Catatan Ringkas 19 September 2017

1. Banyak perkara yang berlegar dalam fikiran saya sejak kebelakangan ini. Seperti biasa, tidak semua yang kita fikirkan dan gusarkan itu perlu kita luahkan dalam bentuk tulisan atau disebarkan dalam alam siber. Namun, adalah kurang saksama jika saya membiarkan sebilangan hal yang menimbulkan fikiran dan kadangkala kegusaran saya, berlalu begitu sahaja.

2. Tragedi kebakaran dan terbunuhnya pelajar serta warden di Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, tentu menyentak kita. Betapa pula perasaan ahli keluarga dan mereka yang mengenali semua yang meninggal dunia kerana tragedi itu. Seperti orang lain, saya berharap langkah-langkah keselamatan yang lebih rapi akan diusahakan  dari segi bantuan prasarana  dan sebagainya bukan hanya untuk mereka yang terlibat dalam pusat tahfiz tersebut bahkan semua pusat serta pelajar sedemikian. Kalau isu-isu remaja dan keselamatan ini dianggap enteng, kita gusar jika hal-hal sebegini tiada berkesudahan. Kita doakan semua yang berpulang ke rahmatullah akan ditempatkan di sisi hamba-hamba pilihan-Nya dan bagi mereka yang ditinggalkan, semoga diberi ketabahan menghadapi tragedi ini. Dan semoga masyarakat sekeliling akan tetap membantu mereka dalam pelbagai segi.

3. Kisah pelarian Rohingya yang lebih awal berlaku, begitu menyentak hati kita. Banyak yang telah diperkatakan dan kita masih menanti kuasa-kuasa besar melakukan sesuatu agar orang-orang Rohingya ini tidak terus diperlakukan seteruk ini. Anehnya, ada negara-negara kaya sanggup menghulurkan bantuan kewangan dan sebagainya kepada mangsa-bangsa banjir di Amerika – benar, mereka juga perlukan bantuan tetapi negara-negara kaya ini seolah-olah tidak ternampak tragedi yang menimpa orang-orang Rohingya. Betapa bersikap dwitara (double standard) negara-negara begini.

Di Singapura, Malaysia dan beberapa negara yang lain – baik yang negara berpenghunikan ramai orang Islam atau sebaliknya, pelbagai bantuan kemanusiaan diusahakan. Masalahnya tentulah halangan atau sekatan pihak tentera Myanmar bagi menyalurkan bantuan yang sepatutnya ini.  Bantuan sebegini penting tapi sama pentingnya tentulah bersemuka dengan pihak-pihak berkuasa di Myanmar. Yang kononnya seharusnya bersuara setelah dahulu dipenjarakan secara tidak rasmi oleh pihak tentera, menganggap banyak hal sebagai palsu. Dan pihak tentera, disokong oleh golongan agama yang tegar,  tentu akan mencipta pelbagai lagi kepalsuan. Yang dikelar, manusia dan kemanusiaan. Tentera Myanmar juga disokong dari segi mendapatkan senjata dan sebagainya daripada beberapa negara. Akankah negara-negara ini bersuara, sedangkan mereka mengaup untung dan Myanmar juga banyak hasil buminya dan sedang membangun – kalau bersuara, bertabur nasi dan periuk nasi mereka. Biarlah Rohingya terus dikeronyok.

Bantuan kemanusiaan itu penting tapi tanpa bersemuka dengan pihak-pihak berwajib, masalah ini akan berterusan. Ibarat kita membantu kanak-kanak atau para wanita yang dipengapakan sebilangan orang. Kita boleh beri ubat, melindungi mereka dan sebagainya buat sementara waktu tetapi tanpa berdepan dan menghuraikan masalah yang dimungkinkan sebilangan orang tadi, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai. Kebencian itu tidak dilahirkan bersama kita – ia diajar dan disosialisasikan. Kalau kita dibesarkan untuk membenci sesuatu kaum atau agama, besar kemungkinan kebencian itu akan melekat dalam hidup kita, melainkan kita belajar menghakisnya.

Dan mereka yang dimangsakan tidak akan terus berdiam bagaikan batu. Tanpa menangani isu-isu sebegini dengan baik dan adil, bukan hanya Rakhine, malahan beberapa tempat akan dibarakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, termasuk ISIS dan sebagainya. Mudah-mudahan mereka yang berkuasa tidak bersikap seperti burung kasuari, buat-buat tidak nampak masalah, kerana mereka sengaja menyembunyikan kepala. Atau ada di kalangan pihak-pihak berkuasa ini menganut falsafah kaum pedagang yang negatif – apa sahaja yang boleh mereka jual dan menguntungkan,  itu yang mereka pentingkan. Dan kaum Rohingya akan terus disalai.

4. Seorang ilmuan yang saya hormati, meninggal dunia pada 3 September lalu.  Allahyarham berasal dari Singapura dan pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Malaya di Singapura  mulai tahun 1959. Orang yang saya maksudkan ialah Prof. Emeritus Datuk Dr Mohd Taib Osman.

MTO 1MTO 3Gambar kiri diambil daripada Internet dan gambar kanan merupakan gambar dalam simpanan saya. Prof. Mohd Taib Osman bersama beberapa rakan sekerja saya dari Universiti Brunei Darussalam, dalam perjalanan feri dari Bandar Seri Begawan ke Labuan pada akhir tahun-tahun 80-an.

Allahyarham pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dan terkenal sebagai  seorang sarjana dan pensyarah yang berwibawa dan mudah didekati. Beliau juga terlibat dalam UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam bidang pengajian Melayu dan kebudayaan Asia Tenggara pada 1970-an. Beliau menulis dan menyelenggarakan sejumlah buku yang tetap menjadi rujukan pengkaji sehingga kini.

Saya membaca sebilangan buku tulisan dan selenggaraannya sebelum saya menemui beliau pada tahun-tahun 80-an di Universiti Brunei Darussalam. Selama tiga tahun lebih saya di Universiti Brunei, Prof Mohd Taib Osman datang beberapa kali ke universiti tersebut untuk menjadi penilai kurikulum, bahan pengajaran dan tenaga pengajar Jabatan Pengajian Melayu serta satu lagi jabatan, kalau tidak salah saya. Beliau seorang penilai yang penuh integriti dan maklum,  siapa di kalangan tenaga pengajar yang dinilainya, yang kaki angkat dan siapa pula yang menjalankan tugas dengan penuh integriti. Rasa hormat saya terhadap beliau bertambah setelah menemuinya.

Setelah saya meninggalkan Brunei pada April 1990, kami sering berkirim-kirim kad Hari Raya. Saya juga menghantar Prof Mohd Taib, buku-buku saya. Salah sebuah buku saya yang mencuit hatinya ialah Hikayat Sri Anggerik. Beliau beritahu saya beliau terhibur membaca tulisan-tulisan saya, terutama tulisan-tulisan awal saya – semasa zaman persekolahan dan di universiti – mungkin kerana beliau juga terkenang zaman mudanya. Satu ‘keanehan’ Prof. Mohd Taib ialah cara beliau menulis nama saya. Tiap kali saya mengirimnya kad Hari Raya atau buku, dan disampul belakang atau dalam kad, selain menandatangani, saya tulis nama saya, beliau maklum siapa saya. Tapi tiap kali kadnya akan dikirim kepada ‘Rasiah Jalil’ dan bukan ‘Halil’.  Kali terakhir saya mengirim dan menerima kad kepada/daripada beliau, mungkin 2 tahun sebelum Raya tahun ini. Saya pun kurang sihat dan semasa Ramadan, saya seringkali menjadi lebih lemah daripada biasa, mulai 2013.  Dan Prof. Mohd Taib juga kurang sihat. Namun, walau tanpa mengirim kad pun, beliau menjadi salah seorang cendekia yang saya ingati dan hormati.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham di kalangan hamba pilihan-Nya di syurga. Al-Fatihah. Amin.

4. Singapura baru sahaja mendapat presiden baharu pada 13 September lalu. Puan Halimah Yacob menjadi Presiden wanita yang pertama bagi Singapura. Melalui sistem ‘presiden yang diperuntukkan (reserved)’, dan kriteria-kriteria tertentu, pilihan raya untuk memilih presiden kali ini ditiadakan kerana tiada calon lain yang sesuai. Ini bukanlah kali pertama seorang presiden Singapura menang tanpa bertanding (walkover) tapi isu satu-satu kaum (Melayu) diperuntukkan untuk bertanding, apakah benar seseorang itu Melayu, kriteria syarikat yang dikendalikan calon dari pihak swasta seharusnya mempunyai ekuiti pemilik saham sebanyak 500 juta dolar Singapura  dan sebagainya, seolah-olah membuka pelbagai kotak pandora kali ini.

HY 1HY 2

Gambar-gambar Puan Halimah Yacob yang diambil daripada Internet.

Ramai yang bertanya, apakah setelah 47 tahun, setelah satu-satu Presiden Melayu, Encik Yusof bin Ishak, berpulang ke rahmatullah pada 1970, baru terfikir  masanya kini seharusnya orang Melayu pula diberi peluang . Dan ada juga persoalkan kenapa tidak kita kekalkan ‘Presiden yang Dilantik’ sebagaimana Encik Yusof bin Ishak, Dr Benjamin Sheares dan Encik Wee Kim Wee dahulu, seperti dicadangkan Kertas Putih (White Paper) yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas dahulu. Selepas Presiden Wee, kesemua Presiden Singapura dipilih melalui pilihan raya, walaupun ada yang menang tanpa bertanding juga dan kesemua mereka pernah menjadi menteri atau berkait rapat dengan parti pemerintah.

Ada pula menganggap, pilihan raya kali ini sedemikian dijalankan kerana ingin menghalang Dr Tan Cheng Bock daripada bertanding kerana Dr Tan pernah bertanding pada 2011 dan kalah tipis kepada Dr Tony Tan. Apakah ini benar atau ada lain-lain sebab mengapa pemilihan Presiden Singapura menimbulkan pelbagai tengkarah, hanya mereka yang terlibat lebih mengetahui. Pada anggapan saya, seandai dua lagi calon Melayu, Encik Salleh Marican dan Encik Farid Khan, dibenarkan bertanding dan walaupun Dr Tan Cheng Bock menyokong salah seorang daripada mereka, amat besar kemungkinannya Puan Halimah Yacob akan menang. Dengan meniadakan terus pertandingan dan menghalang kaum-kaum lain daripada bertanding, ada yang berasa seolah-olah dinafikan dua kali (double whammy). Dan rungutan-rungutan yang terdengar kadangkala begitu lantang dan boleh juga menjadi amat peribadi bagi Puan Halimah, masyarakat Melayu-Islam Singapura dan lain-lain.

Saya mengenali Puan Halimah semasa di kampus – saya freshie dan beliau di tahun ketiga, dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Singapura. Walaupun saya tidak rapat dengannya atau makan semeja dengannya dan sebagainya, saya tahu bagaimana orangnya. Pada zaman yang bertelagah itu, pada tahun-tahun 70-an dan ada orang suka selar-menyelar mereka yang dianggap kurang Islamik dan sebagainya, Puan Halimah tidak melakukan itu. Beliau menjadi salah seorang pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Singapura tetapi perilakunya tidak seperti sesetengah mahasiswa yang dangkal, daripada kedua-dua persatuan kampus, baik dari Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura ataupun Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Singapura. Beliau dikenali sebagai seorang yang mudah didekati dan bertanggungjawab.

Semasa beliau menyertai politik, pada 2001, saya jangkakan beliau akan menjadi seorang menteri dalam kabinet Singapura. Singapura hanya mempunyai seorang menteri Melayu dalam kabinetnya sehingga 2015, apabila Encik Masagos Zulkifli menjadi menteri. Ada juga bertanya, apakah Puan Halimah dan Encik Masagos Zulkifli tidak layak sebelum 2015 atau ada pertimbangan-pertimbangan yang lain?

Banyak perkara yang ditimbulkan dalam pemilihan Presiden Singapura kali ini. Mudah-mudahan semua yang terlibat akan mengambil iktibar daripada episod ini. Janganlah kerana nila setitik susu sebelanga ingin kita tumpahkan. Dan jangan pula menganggap kebanyakan orang tiada perasaan dan tidak boleh terguris dengan beberapa tindakan pelbagai pihak.

Insya-Allah pada lain ketika akan saya sentuh mengenai makna ‘menjadi Melayu’, ‘berdarah kacukan’ dan sebagainya.

Saya teringat kata-kata daripada sajak Muhammad Haji Salleh:

‘Hormatilah orang berilmu
orang yang setia kepada bangsamu
walau betapa tidak setuju’

Dan untuk keadaan semasa dan keadaan di sekeliling kita, biarlah saya tukarkan sedikit sajak Profesor Muhammad Haji Salleh ini kepada:

‘Hormatilah orang yang prihatin
orang yang setia kepada Singapuramu
walau betapa tidak setuju.’

Saya doakan yang terbaik untuk Puan Halimah Yacob dan sekeluarganya serta negara saya, Singapura.

Dan bagi yang beragama Islam, selamat menyambut Tahun Baharu Hijrah pada 22 September ini. Semoga Allah mempermudahkan segala usaha yang baik, melindungi dan memberkati kita dan semua makhluk-Nya. Amin.

Salam
Rasiah Halil
19 September 2017 Masihi / 28 Zulhijah 1438 Hijriah.

 

Advertisements

4 Kuntum Puisi: ‘Sirna’, ‘Kasuari’, ‘Banjir’ dan ‘Literati of Yore’

Sirna

Yang ada hanya kesirnaan
diterjang keterasingan
ayat-ayat hambar
bercalit kelompongan
ditafsir kamus sezaman.

Dan suara-suara itu pun menjadi lantang
dikaitkan pertalian
diriakkan persamaan
selari bergemanya kekosongan
bila ikhlas sirna
bibir dimadu kata
sedang kepedulian itu
indah khabar dari rupa.

Yang sirna itukah menghancurkan
bukit- bukau kehidupan
kerana takut kehilangan
limpahan kebahagiaan terlalu zarah
berdepan secercah bahagia
yang cuba dihirup bersama.

Ditulis: 3 September 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kasuari

Bila kenyataan ditukar-tukar
& yang palsu disebar-sebar
bila nyawa begitu murah
& kehancuran dikelu kata
bila yang berkuasa merajalela
& manusia dibaham sesukanya
nantikan kemusnahan melahap
kezaliman tanpa tara.

Pejamkan mata, tulikan telinga
bisukan mulut selamanya
jadilah kasuari
sembunyikan kepala, masalah tiada
cubit paha kiri, paha kanan jangan terasa
sempurna sungguh ilmu & keihsanan kita
seolah dengan perebutan, pesta pora
bergelumang yang tohor, remeh, kacau
kita menjadi warga dunia
besar, peduli, sempurna
sedang di legar bersama
kemanusiaan dikelar
wanita diperkosa
kanak-kanak menjadi piatu
lelaki dilucutkan maruahnya
kerana kulit & agama berbeza
pendatang abadi
yang seharusnya diusir, disuci
& dunia seharusnya senyap
memalingkan muka
menjadi kasuari.

Ditulis: 6 – 7 September 2017
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Banjir

Telah melimpah banjir ini
dari muara ke anak-anak sungai
tanpa hadangan, bagai kuasa besar,
memusnahkan segala di laluan:
semua ternakan & tanaman
deretan rumah & padang permainan
& melihat air yang bertakung & bergenang
kita pun menjadi sedih, marah, hampa & geram.

Berapa kalikah banjir ini
terus mengganas di sekitarnya
usaha berabad pun hancur
& kita mula terpaksa berlindung
di pedalaman & pelosok belantara
akankah kita hanya merindui kampung
kehidupan tenang, mesra & ramah
& akankah anak-anak kita membesar
tanpa mendiaminya, mengenali sungai & muara?

Terus menderas banjir ini
mengikut lingkaran kekuatannya
kerana kepulan-kepulan awan begitu gelap
lama minta ditukari hujan-hujan sarat
biarlah semusim dua ini tanaman
kita rosak, ternakan hanyut,
& rumah kita satu-satu runtuh
& kita yang terpaksa lari & kesejukan
akan lebih yakin menternak & bercucuk tanam
membina rumah & empangan
kerana banjir ini juga melimpahkan khasiat.

Nanti bila-bila pun banjir menjelma
tiadakan lagi berdaya memusnah
segala empangan baharu kita.

Ditulis: 6 Mac 1990
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Literati of Yore (Translated Poem)

You bequeathed no name
except aesthetic treasures
born from observation, experience,
colouring life.

Who may you be
creator of pantun & shair*
communicator of penglipur lara*
amusing with cerita jenaka*
documenting values & culture
that are genteel, consummate, proud,
while in art, in laughter,
you entertain & educate
that man is great
affluent & sagacious
though shackled by various powers.

Reading the cerita jenaka*
I learn of your intellect
that bravely articulate, satirize:
should we become Pak Kaduk*
victorious in acclaim, yet lose the village
live as straightforward as Pak Pandir*
fantasize like Mat Jenin*
or be greedy like Lebai Malang*
should we be as cunning as Pak Belalang, Si Luncai*
or as ingenious as the woman
exposing Musang Berjanggut*
with artfulness?

Literati of yore
who may you be
skilful at weaving words
earnest in blending ideas & sensations
unfolding mats of pearls
unto the community’s dias?

*Pantun & shair – traditional Malay poems
*Penglipur lara – soother of woes/storyteller
*Cerita jenaka – comic tales from traditional Malay literature
*Pak Kaduk etc – characters from the comic tales.

Malay Poem Pujangga Silam by Rasiah Halil
Written: 26 February 1989, Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Translated By: Bohari Jaon with the poet’s assistance
Published: Malay Literature Journal, Vol 7, No. 1 & 2, KL, 1994.

Banggakah Kita Dengan Jati Diri Kita?

Membaca rencana ‘Kemajuan Akan Lebih Bererti Selagi Ada Adab’ tulisan Rahmad Sakom (Berita Harian, 20 Mei 2006), Sri turut terpanggil untuk membincangkan hal yang serupa. Memang tulisan Rahmad Sakom membuat kita berfikir: apakah itu jati diri (identiti), termasuk adab dan adat kita? Apakah mempamerkan perilaku yang kurang beradab itu sebahagian daripada jati diri kita kini? Atau kitakah kelompok yang semakin malu dengan jati diri kita lantas, bak umang-umang, harus mengambil ‘rumah’ yang lain sebagai sebahagian daripada khazanah kita?

Sebagai manusia memang sukar bagi kita menjadi ‘murni’ dari segi pengaruh luar misalnya. Kita dibenturkan oleh pelbagai pengaruh tetapi akhirnya, kita terpaksa juga memilih yang terbaik dan bersesuaian dengan pegangan dan amalan masyarakat kita. Jati diri kita melambangkan ini.

Adat sesetengah budaya kita diambil daripada budaya Hindu, misalnya sebahagian adat perkahwinan kita, malah sejumlah perkataan yang kita gunakan diambil daripada bahasa Sanskrit. Tetapi proses pengubahsuaiannya telah menjadikan adat dan kekata itu milik kita. Kita menangkis yang tidak sesuai dan sejak zaman dahulu lagi proses menangkis yang kurang baik ini berlaku.

Memegang pada nilai dan prinsip hidup Islam juga membuka penilaian baharu terhadap pengaruh-pengaruh terhadap jati diri ini. Lantas, perilaku yang dianggap bercanggah dengan nilai kesopanan Islam atau amalan yang bertentangan dengan dasar-dasar keislaman tetap tidak akan diterima. Seseorang lelaki Muslim misalnya, mungkin penggiat seni terkenal tetapi jika dia bertatu, bertindik, berpakaian seperti perempuan atau mengamalkan cara hidup atau adab yang bertentangan dengan budaya dan agama masyarakatnya, dia tetap tidak diterima. Dan ini telah berkali-kali berlaku dalam masyarakat kita sejak zaman bahari.

Banggakah kita terhadap jati diri kita? Anda lihatlah di sekeliling, adakah kita sebenarnya berbangga dengan jati diri kita? Ada di kalangan kita malu mempunyai nama-nama yang biasa digunakan; kita mahu nama kita atau nama anak kita ‘hilang’ unsur kemelayuan-keislaman yang sedia digunakan sejak berkurun-kurun lamanya. Nama-nama seperti Aminah, Khadijah, Fatimah, Ahmad, Ali atau Umar, jarang kita gunakan. Sebaliknya anak-anak kita kini diberi nama-nama yang agak aneh: nak kata Melayu-Islam, bukan Melayu-Islam, nak kata bukan Melayu-Islam, Melayu-Islam. Kita memilih nama-nama yang mirip orang Barat, dan kadangkala kita mewajarkan ini konon ini nama seorang nabi, nama malaikat atau salah satu nama Allah. Tetapi anehnya nama-nama ini benar-benar seperti nama orang Barat dan memang jarang benar digunakan pada zaman dahulu.

Dan ada pula terang-terangan menggunakan nama Barat, padahal anak tersebut tiada langsung darah kacukan Barat. Anehnya orang Barat yang telah sepenuh hati memeluk agama Islam, jarang pula menggunakan nama Barat bagi anak-anak mereka, kecuali mengekalkan nama keluarga mereka. Kita malu pada nama-nama biasa, lantas mahu jadi ‘luar biasa’, padahal ini langsung tiada melambangkan jati diri kita. Demikian juga terdapat orang-orang yang sengaja mengeja nama anak-anak mereka berlainan, misalnya ‘Haslindah’ dieja ‘Haslyndah’, ‘Mazni’ dieja ‘Maznie’, ‘Sani’ dieja ‘Sonny’, ‘Ibrahim’ dieja ‘Ebrahim/Abrahim/Abraham’ dan lain-lain. Kalau satu zaman dahulu  ada sesetengah orang tua kita tidak pandai mengeja lantas tersilap nama anaknya dieja, itu lain. Tapi kini ibu bapa kita pandai mengeja, apa pula ‘silap’nya bila anak-anak kita semakin hilang unsur kemelayuan-keislamanannya dalam nama mereka?

Ada orang pernah berkata, buat apalah nak beri nama ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’ sebagai pangkal nama, tapi anak tersebut, misalnya ‘Muhammad Ali’, tiada sedikit pun mengikut perilaku Nabi s.a.w. atau Sayidina Ali r.a.? Kan lebih baik anak-anak kita ada nama kebarat-baratan tetapi berperilaku sebagaimana orang Melayu-Islam yang baik? Tetapi Nabi s.a.w. juga berpesan agar kita memberi nama-nama yang baik kepada anak-anak kita, kerana ia boleh mempengaruhi mereka, pada suatu masa, jika tidak sekarang. Kalau nama seseorang itu sudah melambangkan rasa malu orang tuanya terhadap jati diri mereka, bagaimana pula jati dirinya nanti?

Sri juga hariran, sebagaimana Rahmad Sakom, bila orang kurang menghargai khazanah budaya dan seninya. Sehingga ke hari ini, orang masih menghargai drama Shakespeare yang semarak pada zaman Ratu Elizabeth I pada abad ke-16 Masihi, muzik klasik Barat dan lain-lain. Apakah kita hanya boleh menghargai yang kini sahaja? Berapa ramaikah peniaga kita mengeja nama syarikatnya dengan tulisan Jawi, selain tulisan Rumi, sebagaimana peniaga Cina dengan tulisan Cinanya? Atau tahukah kita menulis/membaca tulisan Jawi atau menghargai seni khat yang berdasarkan tulisan ini? Atau bagi kita, budaya kita sekadar perarakan pengantin sahaja? Atau kitakah yang berbangga, kita tetap orang Melayu-Islam kerana masih berbaju Melayu, tetapi anehnya rambut kita diwarnakan seperti orang Barat dan mata kita juga diwarnakan seperti mereka – kerana kita malu terhadap apa yang kita ada agaknya?

Kata pepatah: baik buat teladan, yang buruk buat buat sempadan tetapi dalam hal adab, budaya dan jati diri ini, Sri rasa kita seringkali juga menjungkar-balikkannya. Yang tak baiklah selalu kita buat teladan, bukan sebaliknya. Dan yang kita miliki, semakin hari semakin kita pinggirkan kerana malu, tiada nilai ekonomi, tidak terkini. Kalau jadi diri sesebuah kelompok semakin dihakis dan tradisinya dipupuskan, kita akan menjadi bak seni kata sebuah lagu daripada filem Fiddler on the Roof: ‘Tanpa tradisi (makna di sini adab, adat, budaya dan jati diri), kita akan menjadi penggesek biola di atas bumbung.’ Betapa mudahnya nanti kita terjatuh.

Ditulis: 24 Mei 2006
Tajuk Asal: Jati Diri Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 4 Jun 2006
Tulisan: Rasiah Halil.

Bila Panas ‘Menyengat’ Kita Ditenggelami Peluh Sendiri

Bila Panas ‘Menyengat’ Kita Ditenggelami Peluh Sendiri

Adakah anda berpeluh-peluh ketika membaca halaman-halaman dalam Berita Minggu hari ini? Bukan, bukan kerana berita-beritanya begitu ‘hangat’ tapi kerana hangatnya cuaca di luar? Memang hangat, kita berpeluh tanpa henti, salah-salah hemat, boleh tenggelam dalam peluh sendiri! Rasa-rasanya nak saja mandi tanpa henti atau berendam di kolam renang atau kolam air pada saat-saat begini. Hai, cuaca, cuaca, begitu mengesankan kehidupan manusia.

Mereka yang pernah ke luar negara, di negeri-negeri yang sememangnya panas, rasanya taklah panas begini. Panas cuaca kita ditambahi dengan kelembapan, jadi badan kita sentiasa berpeluh dan berlengit. Di Makkah misalnya, pada ketika-ketikanya memang panas tapi panasnya panas kering dan ada angin jadi kita tak berpeluh dan tak terasa kehangatannya. Di Madras pula, panasnya memang menyeksa tapi dah begitu cuacanya jadi tak menghairankan. Kita tak terbiasa dengan kepanasan menyengat begini dan sejak beberapa tahun ini cuaca begitu menyucuk dan menikam hingga terasa bagai terkupas kulit kita bila terpaksa keluar dan disinari matahari. Bila dah panas-panas begini, mak saudara Sri selalu berkata: ‘Bulan tengah terang/mengambang” (maksudnya matahari terlalu terik) tak sangguplah dia atau sesiapa keluar rumah kecuali jika perlu.

Cuaca banyak mempengaruhi kita walaupun di daerah sebelah sini hanya cuaca panas dan hujan sahaja yang bersilih musim. Bila panas terik begini, kita terasa letih dan sering kehausan. Mereka yang menjual air atau menjemur ikan dan kain, tentulah suka. Tapi dalam keadaan panas dan berlengit begini kita menjadi cepat marah dan kalau boleh nak berlindung di tempat yang sejuk saja. Kalau boleh kita nak berlenggeng atau berkemban saja kerana air-con macam tak cukup menyejukkan kita. Beberapa orang tua mengingatkan Sri, panas kini amat berbeza dengan panas suatu masa dulu. Dulu kalau panas pun taklah menyengat dan bulan November/Disember jarang pula panasnya membahang kerana selalunya bulan-bulan itu dah musim hujan. Kini musim panas dan hujan kita berubah.  Sri agak ini mungkin kerana lapisan ozon yang dah bocor, jadi musim-musim hujan/panas kita dah amat berbeza daripada tahun-tahun 60-an dulu.

Kita mungkin juga tak lupa musim-musim banjir yang kita alami, terutama semasa Hari Raya tahun-tahun 60-an dulu. Syioknya bila dapat ‘berenang’ di tepi anak sungai kecil atau longkang besar, mengejar ayam-ayam yang dah bertempiaran  atau ketagih teh susu sebab dah lihat air yang mengelilingi kampung kita macam teh susu. Dalam segala rintangan itu, kita tetap membuat persiapan Hari Raya dan tetap mengunjungi sanak saudara walaupun hanya terpaksa bertenggek di amben dan tak dapat rasa kuih-muih yang dihanyutkan banjir.

Mereka yang pernah jadi mahasiswa di Universiti Singapura akhir tahun 70-an dulu pasti teringat banjir besar yang melanda Singapura pada Disember 1978. Sebahagian mahasiswa ‘terkandas’ dan terpaksa beramai-ramai mengharungi banjir sehingga ke larut malam dan sempat pula bernyanyi-nyanyi dari Bukit Timah hingga ke Newton Circle dan seterusnya kerana tiada kenderaan yang dapat lalu lantas berdedailah mereka ke tempat-tempat yang kurang banjirnya!

Orang-orang Inggeris suka bercakap pasal cuaca sama ada dalam perbualan ataupun karya-karya kreatif mereka. Pada mulanya Sri tak faham, apalah sangat dibualkan pasal cuaca, macam tak ada lain yang dapat dibincangkan. Hanya setelah Sri alami musim-musim tersebut baru Sri faham ‘obsesi’ mereka pasal cuaca. Musim bunga memang indah dan rasanya dunia ini berubah: menjadi lebih berwarna-warni dan ceria. Musim panaslah yang digemari mereka. Di mana-mana mereka suka perkatakan musim panas ini; abang Sri mempunyai sedikit ‘kelebihan’ pasal hal ini, nak tahu musim panas bermula anda hanya perlu melihatnya. Jika dia selalu bersin dan diserang ‘hay fever’ (kerana masa musim panas banyak debunga yang berterbangan) anda tahulah dah tiba musim panas. Sepatutnya abang Sri jadi ahli kaji cuaca!

Bagi Sri musim yang terindah ialah musim gugur atau musim luruh. Pohon-pohon yang menghijau menjadi perang tapi ada sesetengah pohon menjadi merah sebelum menjadi perang. Indahnya bagai wanita yang menginaikan rambutnya dan daun-daun berguguran bagaikan lambang musim-musim kehidupan anda. Dan musim yang paling mempenga- ruhi ‘mood’ kita ialah musim salji. Tanpa matahari, hidup menjadi muram dan anda terasa lebih sedih pada musim salji. Musim salji bagaikan suatu kemalapan panjang.

Antara pelbagai cuaca dan musim ini, ada sejenis ‘cuaca’ yang kita ‘takuti’. Adakala kita ke pejabat dan bertanya rakan sekerja: ‘Bagaimana cuaca hari ini?’ Tentunya bukan kita tanyai cuaca cerah atau panas hari ini tapi lebih kepada ‘cuaca’ (‘mood’) bos kita hari ini. Dan cuaca begini jarang pula mengikut musimnya.

Ditulis: Mei 2000
Tajuk Asal: Kisah Cuaca
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 28 Mei 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku ‘Tapai’ – Keterbukaan Perlukan Bendungan (Ditulis: 2010)

Tapai

Pendahuluan

Baru-baru ini saya meminjam buku dari perpustakaan kejiranan saya. Tajuknya menarik: Tapai. Travels and Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian, tulisan Hishamuddin Rais, terbitan ZI Publications, Jun 2010. Saya fikirkan tentunya ia sebuah buku mengenai makanan dan pengembaraan seumpama beberapa rancangan masakan di kaca TV.

Penulisnya Hishamuddin Rais

Sesuatu yang menarik perhatian saya membaca buku ini, selain topiknya ialah penulisnya. Saya tidak pernah membaca atau menonton apa pun karya Hishamuddin Rais sebelum membaca buku Tapainya. Apa yang saya tahu, nama Hishamuddin Rais memang dikenali di kalangan beberapa mahasiswa semasa menuntut di Universiti Singapura pada tahun 1976. Beliau merupakan presiden persatuan mahasiswa Universiti Malaya yang melarikan diri pada 1974 kerana Peristiwa Baling dan lain-lain.

Selepas melarikan diri, tiada berita mengenainya atau kalau ada pun, saya tidak membacanya.  Yang saya tahu melalui pembacaan akhbar ialah kepulangannya ke Malaysia pada 1994. Beliau dikatakan ada membuat filem tapi saya tidak pernah menontonnya. Hishamuddin juga dikatakan menjadi kolumnis beberapa akhbar di Malaysia tetapi saya juga tidak pernah membaca tulisannya sehinggalah saya selesai membaca buku Tapai ini dan kemudian cuba mencari beberapa tulisannya di Internet. Ternyata apa yang saya terka setelah membaca bukunya tidak meleset malah diperkukuhkan lagi dengan membaca tulisan-tulisannya yang lain.

Buku ‘Tapai’

Buku Tapai ini bagaikan ‘pengembaraan’ Hishamuddin Rais ke beberapa daerah di Malaysia. Di dalamnya beliau memuatkan makanan-makanan enak yang terdapat di sesuatu tempat dan juga komentarnya mengenai beberapa isu misalnya majlis perkahwinan ‘Melayu Baharu’,  kedai makanan yang terperosok dan cerita pelanggan dan pengunjung daerah ‘hitam’ tersebut, penjual masakan itik dari Aceh di Kuala Lumpur  dan sebagainya.

Apa yang ditulis memang dapat menambah pengetahuan kita mengenai sesuatu hal dan kita terasa Hishamuddin agak terbuka menulis mengenai pelbagai perkara yang beliau anggap penting.  Tetapi yang memusykilkan kita ialah sikap berterus terangnya yang bagaikan tanpa bendungan dan nilai-nilai hidup yang menjadi tunjangannya.

Beliau mengaku dirinya sebagai ‘seorang bumiputera sambilan dan seorang manusia sepenuh masa’; kita dapat memahami pandangan begini terutama apabila ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakan makna ‘bumiputera’ di Malaysia. Tetapi dapatkah seseorang yang  mengaku dirinya Melayu, yang ada juga darah Orang Asli, terlalu berterus terang dan bertindak seperti beliau, dan bolehkah orang Melayu menerimanya?

Hishamuddin Rais tidak segan silu menyatakan beliau ada memelihara anjing, suka minum minuman keras, terutama yang percuma, pernah bersekedudukan dengan wanita  yang bukan isterinya, mengamalkan gaya hidup yang sukar diterima masyarakat, tiada larangan memakan makanan yang tidak disembelih secara Islam, malah menyebut memakan makanan yang ditaburi  emping (flakes) babi yang disebut ‘porcine’.

Pandangannya terhadap masyarakat Melayu dan Islam seolah-olah terhenti pada 1974. Setelah 20 tahun meninggalkan Malaysia dan masyarakat Melayu/Islam, nilai-nilai hidup yang beliau kemukakan, terasa amat janggal sekali. Benar, ada orang Melayu/Islam yang  minum minuman keras dan makan makanan yang tidak disembelih secara Islam dan sebagainya, mungkin kerana keadaan tertentu, tetapi jarang orang Melayu/Islam akan mengatakan ini sebenarkan ‘diboleh’kan. Dan sejahil-jahil orang Melayu/Islam, dia tidak makan babi.

Beliau merindui yang silam, ketika berHari Raya dengan bermain mercun dan sebagainya. Beliau menyentuh mengenai ‘Mandi Safar’ sedangkan kita tahu, dari segi sejarah, ‘Mandi Safar’ dianjurkan oleh Portugis di Melaka setelah menjajah Melaka pada 1511. Ia dijadikan perayaan untuk memperlekeh Nabi Muhammad s.a.w. kerana pada bulan Safar lah Nabi sakit kuat. Kita di Singapura pun pernah terlibat dengan perayaan begini tanpa mengetahui sejarahnya. Malah ada sebilangan amalan kita pada zaman silam kita lakukan tanpa mengetahui ia tidak sesuai bagi orang Islam.  Kesedaran dan pemahaman kita terhadap Islamlah yang banyak merubah masyarakat Melayu di Singapura, Malaysia dan di rantau ini. Namun bagi Hishamuddin, Islam dan nilai-nilainya bukanlah terlalu penting. Beliau seolah-olah mahu orang Melayu itu pergi pada yang silam – zaman pra-Islam, kerana dianggap itulah zaman orang Melayu lebih kuat identiti  Melayunya  dan lebih terbuka.

Benarkah ini? Apa ertinya menjadi orang Melayu tetapi sesuatu yang membawa banyak perubahan kepada pembangunan dan kemajuannya, iaitu agama Islam, diketepikan? Saya dapati pandangan Hishamuddin mengenai masyarakat Melayu dan Islam, sebilangannya bagaikan pandangan para orientalis.

Kita tak mampu menjadi manusia ‘ulang-alik’ iaitu Melayu/Islam bukan dan Barat pun bukan.  Kalau kita mahu mengambil daripada Barat, ambillah yang terbaik, bukan gaya hidup yang bercanggah dengan agama, yang bersifat luaran tetapi pelajarilah keprihatinan Barat terdapat pemikiran kritis, pengkajian dan kepentingan ilmu. Apalah ada pada masyarakat Melayu tanpa nilai-nilai yang ditunjangi Islam? Pernah orang dulu-dulu berkata: perkataan awal ‘mim’ (ejaan Jawi: mim, lam, alif, ya, waw: Melayu) bagi ‘Melayu’ dihubungkan dengan perkataan akhir ‘mim’ (ejaan Jawi: alif, sin, lam, alif, mim: Islam) bagi ‘Islam’. Kedua-dua ‘Islam’ dan ‘Melayu’ itu berhubung-kait. Dan mengamalkan nilai-nilai hidup Islam tidak bermakna kita menjadi orang Arab atau hilang identiti kita sebagai orang Melayu.

Dalam buku Tapainya Hishamuddin seolah-olah sukar menerima orang Melayu Malaysia telah berubah, sebilangannya merupakan perubahan yang lebih baik. Benar, ada orang yang kononnya kelihatan lebih ‘Islam’ tetapi mengamalkan hal-hal yang bercanggah dengan ajaran agamanya. Itu bukanlah kekurangan agama tersebut tetapi kekurangan kita sebagai manusia memahami mesej sebenar agama yang diamalkan.

Bolehkah masyarakat kita menjadi terbuka tanpa nilai-nilai baik? Nilai apa dan siapa pula akan kita tunjangi? Dan zaman pra-Islam mana pula akan kita jadikan kayu ukur nilai kita? Masyarakat Melayu telah melalui zaman animisme, zaman Hindu, zaman Buddha,  sebelum zaman Islam, mahukah kita membawa masyarakat kita ke zaman tersebut dan mengamalkan nilai-nilainya? Apalah ada pada identiti masyarakat Melayu tanpa nilai-nilai murni agama Islam?

Kesimpulan

Sesiapa pun boleh mengemukakan pendapat mengenai perkembangan masyarakat yang dicampurinya. Tetapi ini berbeza bila seseorang mahu dianggap pemimpin dan berhujah itu dan ini di depan masyarakat. Memang manusia itu banyak kekurangannya tetapi adalah amat sukar diterima jika seseorang yang mahu pandangan-pandangannya diterima menggambarkan dirinya ‘bebas’ daripada nilai-nilai masyarakat Melayu yang umum, sekurang-kurangnya. Benar  Hishamuddin Rais tidak berpura-pura seperti sesetengah orang yang mengaku dirinya ‘baik’ dan ‘alim’ tetapi keterbukaan tanpa nilai-nilai murni, misalnya dalam soal gaya hidup, sukar diterima ramai.

Tapai sebagai makanan memang boleh sesekali dimakan tetapi ia bukan makanan harian kita atau makanan utama dalam majlis-majlis perayaan. Demikian juga dengan nilai-nilai murni; keterbukaan itu ada peranannya tetapi keterbukaan tanpa bendungan dalam hal-hal tertentu boleh memudaratkan. Tanpa tunjangan nilai-nilai hidup yang dibawa Islam, apalah ada pada identiti Melayu dan keteguhannya menghadapi cabaran semasa?

Ditulis: 22 November 2010
Tajul Asal: ‘Di Mana Tunjangan Kita/’
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 24 November 2010
Tulisan: Rasiah Halil.

Pendirian Zaharah Nawawi: Tiada Air Mata Untuk Wanita (Ditulis: 1991)

Buku 1Buku 3Buku 2

Buku 4Buku 5Zaharah Nawawi

Latar

Orangnya peramah dan mudah diajak berbual ketika kali pertama saya bertemu beliau di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Berusia 51 tahun, tingginya sederhana, berbaju kurung, jalannya tidak terlalu cepat, seolah-olah merenung dan memerhatikan kehidupan di sekelilingnya. Selain di pejabat, beliau mengajak saya menziarahi salah seorang kawannya yang baru melahirkan anak, kerana ini memanfaatkan masanya yang terhad. Beliau mudah berseloroh dan tertawa, seolah-olah saya kenalan lamanya dan dia tidak punya apa-apa rahsia untuk diselindunginya.

Zahara Nawawi. Nama ini terkenal dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu. Seorang penulis yang versatil, Zaharah menulis dalam hampir semua bidang penulisan: rencana, cerpen, sajak, novel dan lain-lain. Ibu kepada tiga orang anak ini pernah berkhidmat sebagai wartawan, editor penerbitan majalah-majalah berbahasa Melayu, pengawal urusan dan lain-lain di majalah atau akhbar seperti Utusan Melayu, Berita Harian (M) atau The New Straits Times, Mastika, Wanita, Jaguh, Jelita dan Sajian Jelita. Dan semenjak tahun 1989, Zaharah bertugas sebagai editor majalah Timang.

Di antara karya-karyanya termasuklah novel-novel seperti: Sebelum Berakhirnya Musim Bunga, Jalur Sinar Di Celah Daun, Pesisir Hitam dan Panglima Salleh Selempang Merah. Cerpen-cerpennya pula tersiar di akhbar, majalah serta antologi terkemuka di Malaysia. Zaharah pernah mengikuti kursus seni foto selama 1 ½ tahun di Tokyo atas biaya sendiri pada tahun 1966.

Zaharah Dan Dunia Penulisan

Mengapa memilih menjadi penulis, tanya saya kepada Kak Zaharah. Ingin ‘memberontak’, jawabnya ringkas. Menulis adalah satu cara untuk meluahkan pendapat tentang sesuatu perkara yang dialami atau yang dikesani, terutama jika perkara itu menyentuh hal-hal kepincangan masyarakat dan wanita. Beliau enggan melihat wanita menjadi semacam ‘bahan air mata’ dan kurang yakin bahawa hidup wanita mesti bergelumang dengan air mata. Beliau optimis terhadap hari muka dan percaya penanya adalah ‘pedang’ yang boleh membantu menghapuskan gambaran stereotaip mengenali wanita, khususnya wanita Melayu.

Apakah cita-citanya untuk menjadi penulis dipupuk oleh orang tuanya? Tidak, tegas jawab beliau. Ibu bapanya adalah petani dari Johor dan bagi mereka, hidup harus diisi dengan tenaga yang nampak, iaitu bercucuk tanam. Lantas bidang penulisan, sesuatu yang agak mujarad, sukar mereka fahami apalagi menggalakkan. Zaharah terpaksa bekerja keras sendiri untuk memenuhi dadanya dengan ilmu dan pembacaan yang luas; beliau mencuri-curi membaca buku dan majalah yang dibeli oleh abang iparnya sebagai langkah pertama. Hanya setelah banyak membaca dan mencuba, pada tahun 1962, dalam usia 22 tahun, karyanya mendapat tempat di ruangan dewasa, Mingguan Malaysia.

Apakah watak ‘memberontak’ ini cernaan beliau sendiri atau campuran daripada beberapa pengaruh luar? Beliau sendiri enggan percaya wanita adalah anggota yang pasif dalam masyarakat dan pandangan ini dibumbui oleh tulisan-tulisan Anis Sabirin, Azah Aziz dan pejuang wanita, Allahyarhamah Ibu Zain. Wanita, daripada sorotan Zaharah dan ketiga-tiga orang ‘guru’nya ini mempunyai peranan yang bererti dalam kehidupan. Apakah beliau seorang feminis yang radikal, sekali lagi saya mencungkil. Kak Zaharah tersenyum mendengar soalan itu. Tidak, beliau tidak percaya dengan cara kekasaran dan kekerasan tapi yakin bahawa suara wanita yang lembut tetapi tegas perlu diperdengarkan kepada khalayak ramai agar wanita tidak lagi dianggap ‘boneka’ dan ‘bahan air mata’ sahaja. Beliau percaya diskriminasi terhadap wanita masih berleluasa dan kerjayanya sebagai wartawan banyak mendedahkan hal sedemikian.

Jadi apa yang beliau ingin lakukan? Meninggikan imej wanita, katanya. Menurut Kak Zaharah, sudah tiba masanya wanita Melayu khususnya tidak disorot dari kaca mata yang stereotaip dan sudah sampai ketikanya masyarakat mula menerima hakikat baharu ini.

Yang Ingin Dilakukan

Pendedahan beliau dalam bidang kewartawanan banyak memberi ilham untuk Kak Zaharah. Malah, tugas kewartawanannya memberi semacam kesan sampingan dan impak dalam penulisannya kerana disiplin kerja yang amat membantu merangkai sesuatu peristiwa. Di pejabat, sebagai editor, beliau menumpukan perhatian kepada tugas-tugas kewartawannannya dan berfikir. Di rumah, beliau melakukan tugasnya sebagai penulis kreatif. Kadangkala sebuah rancangan televisyen yang ditonton, misalnya, akan dibuat ‘follow-up’, yang mungkin berakhir sebagai sebuah rencana ataupun cerpen. Bagi Zaharah ilham itu boleh ditimba daripada berbagai-bagai sumber kehidupan dan beliau sering tertarik dengan isu-isu kepincangan masyarakat dan wanita.

Apakah sukar menjadi penulis yang berwibawa dan sekali gus isteri atau ibu yang berjaya. Tentu sukar, jawabnya. Seseorang itu harus pandai memainkan peranannya dan sering pula, salah satu tumpuan terpaksa terjejas kerana tumpuan kepada yang lainnya. Tapi itu adalah pengorbanan yang harus dicagari oleh setiap penulis wanita.

Bagaimana pula cara bekerja Kak Zaharah dalam penulisan kreatif? Beliau mematuhi disiplin yang ketat; tiap malam beliau akan menulis dari jam 10:30 sehingga 2:00 pagi, melainkan jika beliau terpaksa keluar kerana tugas lain-lainnya. Walaupun kadangkala beliau amat letih, jadual waktu ini dipatuhinya agar masanya tidak terluang begitu sahaja. Misalnya kini Kak Zaharah sedang menyiapkan novel sejarah tiga serangkai mengenai perjuangan orang-orang Melayu dari zaman penjajahan sehingga tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, dengan tumpuan khas diberikan kepada perjuangan kaum wanita. Kerana proses penciptaan novel-novel ini memerlukan banyak bahan rujukan, Kak Zaharah telah menghabiskan sebilangan masa untuk mengumpulkan bahan. Dan kerana novel-novel ini agak berat, untuk meringankan beban mentalnya, Kak Zaharah selang-selikan penulisan novel-novel tersebut dengan novel-novel ringan mengenai kucing (tiga siri). Trilogi novel sejarah ini, yang sebahagian besarnya telahpun disiapkan, Kak Zaharah harap dapat diselesaikan tidak berapa lama lagi. Bagi beliau, menulis novel sejarah lebih mencabar dan bererti kerana ia memerlukan ketabahan dan pertukangan daripada sang penulis. Selain itu, menulis novel sejarah adalah suatu sumbangan yang besar ertinya kepada sesuatu bangsa.

Falsafah Hidupnya

Bagaimana pula falsafah hidupnya? Presiden Wartawan Wanita Malaysia serta Ketua Pasukan Badmintonnya ini jeda sebentar sebelum menjawab pertanyaan saya. Bagi Kak Zaharahm falsafah hidupnya ialah, dia tidak suka menyusahkan dirinya berlarut-larut. Jika timbul masalah beliau lebih suka berdepan dengan masalah itu dan menyelesaikannya daripada berlarut-larut mengenainya. Beliau juga berpegang teguh kepada prinsip agama Islam dan percaya, beliau harus berusaha gigih dahulu dan kemudiannya menyerahkannya kepada takdir. Bagaimana pula pandangannya tetang bidang penulisan? Baginya, penulisan adalah suatu kenikmatan yang menyeksa yang memerlukan penglibatan serius. Kak Zaharah menaruh harapan yang besar terhadap sastera dan menghidupkannya. Beliau juga percaya seorang penulis yang baik adalah seorang pemikir dan masa adalah penentu utama berkesan atau tidaknya tulisan-tulisan si penulis.

Nasihat Dan Bagaimana Ingin Dikenangi

Apa pula nasihat Kak Zaharah kepada penulis-penulis muda? Bagi Kak Zaharah seorang penulis itu harus banyak membaca dan bergaul dengan masyarakat kerana ini akan memperkayakan pengamatan dan kepekaannya. Kelulusan tinggi, menurut Kak Zaharah, adalah berfaedah bagi penulis tetapi ia tidak penting, kerana baik atau tidaknya karya seseorang penulis itu tidak bergantung kepada ada atau tiadanya kelulusan tinggi. Yang utama ialah bagaimana seseorang penulis itu mencernakan bakat dan ilmunya untuk menghasilkan sesuatu yang bererti dalam bidang yang diceburinya.

Bagaimana pula Kak Zaharah ingin dikenangi, lagi soal saya. Beliau tersenyum mendengar soalan itu ketika memandu keretanya. Sebagai seorang penulis yang pemikir dan feminis—dalam erti kata yang positif. Dan tulisan-tulisannya menyerlahkan hakikat itu: gaya tulisan wanita Melayu yang jitu pemikirannya, yang berkeyakinan, yang walaupun watak-wataknya kadangkala terpaksa menangis, itu hanya suatu laluan yang sementara sahaja, kerana beliau sering membuktikan bahawa  ‘tiada air mata untuk wanita’.

Penutup

Saya hormati dan sanjungi penulis-penulis gigih serta berwibawa seperti Anis Sabirin dan Adibah Amin. Dalam diri Zaharah Nawawi saya temui seorang lagi penulis wanita Melayu yang menjadi sumber contoh yang baik.

Ditulis: 30 Ogos 1991
Tersiar : Berita Harian (Singapura), 1991
Tulisan: Rasiah Halil.