Archive | April 2011

Jalan Ampas oleh Rasiah Halil

Yang tinggal hanya kenangan
poster-poster wayang yang pudar, terbiar,
pita-pita filem yang putus, berselerak,
sepenuh 5 lori dipunggah, dibakar,
bagai segala-galanya hampas belaka
menghangusi kenangan bersama kita.

Yang ada hanya kesunyian
bergema di tiap sudut Jalan Ampas
tiada lagi studio filem, tempat bersenda,
tiada lagi pencak silat pendekar purba
tiada lagi tarian rakyat, istana,
tiada lagi lagu tradisional, moden,
tiada lagi Malay Film Productions
atau Cathay Keris di studio East Coast
& kita tercari-cari
P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Nordin Ahmad, Aziz Jaafar
Jins Shamsuddin, S. Kadarisman, Hj. Mahadi, Aziz Sattar
Jamil Sulong, Sharif Medan, M. Amin, Mustaffa Maarof
A.R. Tompel, S. Shamsuddin, Wahid Satay, S. Roomai Noor
Omar Rojik, Omar Suwita, Salleh Kamil, A. Rahim, Mahmud Jun
Ahmad Nesfu, Udo Omar, Kemat Hassan, S. Sudarmaji, Sharif Dol
Ibrahim Pendek, Ibrahim Din, M. Zain, H.M.Busra, Alias Conggo
Kasma Booty, Mariam, Normadiah, Rosnani, Maria Menado
Neng Yatimah, Mariani, Fatimah Ahmad, Umi Kalsom
Saadiah, Saloma, Latifah Omar, Dayang Sofia, Zaiton
Rahmah Rahmat, Sarimah, Salmah Ahmad, Hashimah Yon
Saamah, Roseyatimah, Zaharah Agus, Siput Sarawak
Ani Jasmin, Mak Dara, Zainon Fiji, Siti Tanjung Perak
pengarah, penulis, penyanyi, jurugambar, penggiat filem
yang pernah menghidupi, menceriai,
Jalan Ampas yang sepi kini
bagai tiadakan pernah mereka wujud di sini.

Keharuan ini adalah kita
yang mengingati tapi melupa
segala sumbangan & jasa mereka
merakam kehidupan
mendokumentasi perjalanan
memperkaya kenangan
bangsa yang mula bertatih
tanpa banyak perhitungan, peralatan canggih,
diceburi, diberi sepenuh jiwa
kini terabai
khazanah bangsa hancur berkecai
bak kaca murahan
bukannya permata dicanai.

Studio Jalan Ampas, Singapura,
betapa kenangan itu menghiris kita
bila kau terus terbiar
cuma segelintir senimanmu diiktiraf
sedang mereka begitu heboh
membina kota gemilang
menghidupi seni, perfileman,
meminggir & meniadakan kau
dalam diam.

Ditulis: 7hb Oktober – Akhir Disember 2000;
Jalan Ampas, Singapura,
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Latar:

Saya ke Jalan Ampas, Singapura, bersama Marhaini, anak S. Kadarisman, kawan baik saya sejak awal remaja semasa kami tinggal sekampung di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Kami pergi ke Jalan Ampas pada 7hb Oktober 2000. Marhaini menangis di sana – terkenangkan arwah ayahnya dan rakan-rakan seperjuangan ayahnya serta perubahan yang kini berlaku di Jalan Ampas. Saya juga sama terharu dan melahirkan keharuan saya melalui petikan gambar di beberapa sudut Studio Jalan Ampas dan juga penulisan sajak ini.

Sajak ini saya simpan dan tidak dihantar ke pihak akhbar atau majalah sastera ketika itu kerana ia agak panjang. Saya hanya menghantar sajak ini ke Ruangan Sastera, Berita Minggu Singapura, pada 31hb Oktober 2010, 15 minit setelah selesai menonton dokumentari ‘P.Ramlee’ yang ditayangkan di ‘History Channel’ dari jam 8 sehingga 10 malam, dan memberi sedikit latar mengapa sajak ini ditulis dulu.

Setelah menunggu sebulan dan Berita Minggu Singapura tidak juga menyiarkan sajak ‘Jalan Ampas’ ini walaupun terdapat beberapa tulisan sastera dan bukan sastera mengenai P. Ramlee disiarkan di akhbar tersebut selepas tayangan dokumentari P.Ramlee, pada akhir November 2010, sajak ini saya hantar ke Berita Minggu Malaysia dan ia disiarkan pada 11 Disember 2010.

Berita Minggu Singapura menyiarkan sajak ‘Jalan Ampas’ ini pada 6hb Mac 2011 tetapi terdapat beberapa kesilapan pada susunan nama seniman yang diterakan dalam sajak yang disiarkan.