Archive | July 2013

Bila Ramadan tiba terkenang kisah lama…

Sudahkah anda ke Geylang Serai baru-baru ini? Geylang berubah ketika Ramadan dan bagi masyarakat kita, tidak mengunjungi Geylang semasa membeli-belah Hari Raya, macam tak ‘sah’. Orchard Road tetap ada, tapi Geylang Serai yang sering menambat hati kita. Agaknya Geylang selalu mengingatkan kita kepada cogan ‘kembali ke akar’ dan akar kita dah lama tertanam di celah-celah Pasar Geylang, Joo Chiat dan Tanjong Katong Complex serta lorong-lorong berdekatan yang pernah memetakan kehidupan kita pada suatu masa.

Andakah seperti Sri suka melihat daya kreatif orang kita menghiasi rumah mereka dengan lampu kelap-kelip ? Sri seringkali terpegun dengan daya kreatif kita dan hiasan lampu ini dah berakar sejak dahulukala, terutama bila Ramadan telah menjangkau ‘satu likur’ nya. Dan mungkin anda, seperti Sri, semakin nostalgik terkenang zaman muda menyambut malam-malam likur ini.

Sesiapa yang pernah tinggal di kampung akan tahu, masa bermula satu likurlah, lampu-lampu mula dinyalakan dan kanak-kanak pula memeriahkan suasananya dengan ‘hiasan’ mereka. Ada yang menggunakan tutup tin milo dan sebagainya, dipakukan pada sebatang kayu dan lilin pula dilekatkan di atas kayu berdekatan tutup tin tadi. Kanak-kanak itu kemudian menolak kayu berlilinnya di merata kampung dan ditemani kanak-kanak lain, juga dengan kayu berlilin mereka. Pandangannya indah, jika anda dapat bayangkan. Tidak kurang pula yang memasang pelita di laman rumah atau membesarkan nyalaan lampu pam mereka.

Satu peristiwa yang sukar Sri lupakan ialah bagaimana Pak Busu Sri membuat lampu kelap-kelip tanpa menggunakan eletrik. Kami tinggal di Jalan Kobis, dekat Kaki Bukit, ketika itu. Sebahagian besar kampung tiada eletrik. Jadi bagaimana? Pak Busu Sri melekatkan lilin pada sejumlah gelas minuman. Ini kemudian diisi air dan dibancuh dengan pewarna berlainan. Gelas-gelas ini digantung di sekeliling beranda rumah. Lilin dinyalakan, lantas wujudlah lampu berwarna-warni, tanpa menggunakan eletrik. Keindahannya tak terkata dan sehingga kini tetap menyalakan kenangan manis Ramadan dan Syawal Sri …

Memang di kampung juga terdapat banyak kegiatan sepanjang Ramadan; dari bertarawih, bertadarus sehinggalah kegiatan-kegiatan yang menimbulkan kenakalan kanak-kanak. Yang ‘terpaksa’ tolong mak atau nenek buat kuih, tangkap ayam, anyam ketupat, pun sama hebat. Anyam punya anyam, tiba-tiba anda ‘terbuat’ ketupat yang agak lain reka bentuknya…dan terpaksalah ketupat itu dibuka dan anda bermula dari mula…alangkah terseksa. Masa tolong mak atau nenek buat kuihlah anda selalu berharap anda terlupa anda berpuasa, sebab tak tahan ‘godaan’ kuih yang baru dibakar di depan mata. Atau tertenung inti kuih tart atau ternampak lebihan kuih yang belum dibakar, ‘pakkal’ puasa, kalau tidak, dah anda ‘sauk’ semua…Ini belum lagi ‘terseksa’ masa tolong mak atau nenek rendam kacang tanah, picit kacang, goreng dan campurkan kacang dengan sedikit garam… betapa tak sabar anda menanti buka kerananya…

Saloma pernah menyanyi: Dam dam dum, bunyi mercun, walaupun senikata ini kemudian ditukar bila mercun diharamkan. Tapi zaman itu, memang mercun berdentam-dentum. Kanak-kanak yang tak main mercun dan ‘menyerang’ kawan/geng lain dengan mercun, macam tak ‘best’. Ubat mercun pula kadangkala dikumpul dan dijadikan bahan mercun besar untuk ‘mengebom’ kumpulan lain. Adakalanya mercun boleh dijadikan semacam bunga api dengan mematahkannya tiga suku di bahagian tengah. Tentunya bunga api biasa pun dimainkan juga. Malah ada yang bermain meriam buluh yang diisi karbaid untuk ‘menyerang’ kumpulan lain. Serang punya serang, ada juga dibawa ke hospital kerana tangan atau jarinya menjadi sasaran.

Sesekali bila melihat orang membeli juadah berbuka, teringat Sri juadah-juadah yang dijual di Bussorah Street pada suatu masa. Bapa Sri suka membeli juadah berbuka dari Bussorah Street; dari pejabatnya di Telok Ayer Basin dia akan ke Bussorah Street dan bila pulang kita tahu juadah-juadah yang mana satu yang dibeli di sana. Masa itu, makanannya terasa lebih sedap, mungkin kerana jarang benar dapat membeli makanan di daerah Bussorah Street/Arab Street, kecuali bulan puasa, tidak seperti sekarang.

Lagu-lagu Hari Raya turut juga memusarkan kenangan bulan-bulan Ramadan/Syawal yang pernah kita lalui sepanjang hayat kita. Paling istimewa bagi Sri ialah lagu Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma. Tanpa mendengar lagu ini, macam tak semeriahnya menyambut Syawal, sebab lagu ini dah lama sebati di hati kita. Begitu juga, kita terharu dengan Dendang Perantau P.Ramlee, lagu-lagu nyanyian Fazidah Joned, Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Sharifah Aini, Sudirman, Aman Shah, AlJawaher, M.Nasir dan lain-lain. Kita gembira dan sekali gus terharu mengenang masa-masa yang berlalu dan bersyukur dapat menjalani ibadat puasa pada tahun ini dan dapat bersama (walau berjauhan) dengan mereka yang kita kasihi dan dapat terus memanjatkan doa bagi mereka yang telah pergi…

Ditulis: 8hb Januari 1999
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 10hb Januari 1999
Tajuk Asal: Kenangan Puasa 2
Tulisan: Rasiah Halil

Advertisements

Perdu Kasih

(Mengenang Nenda Fatimah bte Abdullah)

Penulis Bersama Nenda Fatimah di Haw Par Villa, 1960 - RH Images

Selendang putih yang kubelikan kau di Makkah,
tidak sempat kaugunakan ke mana-mana, hanya
pesanmu, tutuplah mukamu dengan selendang itu,
engkaukah yang dapat menebak masa depan,
atau Tuhan yang lebih menyayang, bagai
mimpi pedih, sesingkat masa, kusaksikan kau
berjuang, barah tiba-tiba menular, tabah & tawakal,
& akhirnya, 8:29 malam, 16 Disember, 1991,
selendang putih itu menutup wajahmu.

Kehilangan inikah terlalu menghiris, atau
akukah yang terasa, betapa sedikitnya dapat
kubalas segala pengorbananmu & jasa, & dalam
kehidupan yang semakin bercabang, luas, aku
menjadi demikian piatu.

Kau ibarat pohon nan rimbun.
teguh & sentiasa melindung,
terik & taufan cuaca,
kau sedia mengongsi air, sinar, baja,
kerana yakin,
tiap kami adalah tumbuhan istimewa,
yang berupaya menjadi pohon.

Bagaimana dapat kulupakan jasamu,
membesarkan aku, cucu yang kaujadikan
anakmu, bagaimana dapat kulenyapkan
dari ingatan, air mata yang kautitiskan,
sepanjang perjalanan dari Kg Wak Tanjong
ke Jalan Kobis, atau ria-laramu di Lorong
L, penantianmu ketika aku pulang lewat
dari Bukit Timah, Kent Ridge, doronganmu
terhadap cita-cita, kejutanmu agar bersegera
ke tempat kerja, doa & air matamu yang
mengiringiku ke Brunei, kepulanganku &
peristiwa-peristiwa membadai, bagaimana
dapat kulupakan, ketabahan hatimu & keyakinan
padumu terhadapku, & dalam getirnya sengsara,
aku tetap bahagia, dalam doa, kasih sayang
& kemaafaanmu.

Kau perdu kasih, tunjang harapan,
berakar kemanusiaan, ikhlas merimbuni
ketika langit gelap, sebatang kara, kau
menghubungkan insan, membesarkan anak-anak
terbiar, membina persaudaraan dari
persahabatan, & mewariskan inti ihsan
& cinta: tiada ‘orang luar’ di sisi manusia.

Kehidupanmu adalah lorong-lorong beraneka,
keramahanmu aspalnya, kau enggan membeza,
kelainan bangsa, agama, usia, lalu menjadi
ibu angkat, nyonya di depan rumah, nenek bagi
penduduk Lorong L, Sims Avenue, Jalan Kobis, Bedok,
bidan di Kg Melaka, Kallang, Lorong G, Duku Road,
& dalam derita, bahagia, kau tetap percaya,
kebaikan manusia mengatasi keburukannya.

Apakah nanti aku akan selalu terkenang,
cerita-cerita yang pernah kausampaikan:
Panji Semirang, Gul Bakawali, Malik Saiful-Lizan,
Sejarah Melayu, 1001 Malam, Faridah Hanum,
kisah misteri, cerita jenaka, aneka syair, pantun,
Md Hanafiah, kisah-kisah Nabi, para wali, anbia,
minatmu pada sejarah, perubahan dunia, isu semasa,
atau kecenderunganmu mengikuti kisah-kisah diraja,
kitab-kitab lama, masakan tradisi, dunia seni,
yang merencami pengalaman & meyakinkan kau,
indah & kayanya anugerah kehidupan.

Atau akukah yang akan sukar melupakan, segala
tunjuk- ajar yang kauserlahkan:
tabah
tegas
gigih
yakin
jujur
kasih
ihsan
hikmah
maruah
& kebesaran & kekuasaan Allah.

Dalam peredaran hari, perubahan cuaca, aku
merindui kau, minum teh, makan petang,
duduk-duduk, memerhati dari tingkap dapur,
makan ubat, petik tauge, menasihat, berleter, gurauanmu,
berbual, bertengkar, tidur, kerenah & perhatianmu,
rumah ini semakin sunyi tanpamu,
& kami demikian piatu.

Tiada ciptaan seniku seagung kasihmu,
nenek & ibu, kau jauhari arif, mohor manikam,
segala pengorbananmu & jasa,
segala pesananmu & doa,
akan kukenang, kutunaikan,
ke manapun berakhirnya kembara.

Nenda Fatimah Abdullah -RH Images

Ditulis: 16hb Disember 1991 – 2hb Januari 1992;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Pentingnya Menyayang dan Disayangi

Oleh Rasiah Halil

Ginger2 RH Images

Ginger

Snowy2 RH Images

Snowy

Anda pernah pelihara binatang ? Kalau pernah anda akan tahu betapa mudah kita menyayangi dan disayangi oleh haiwan peliharaan kita. Rasa kasih dan belas kita mudah menjelma berhadapan dengan haiwan-haiwan peliharaan kita ini.

Orang Melayu memang gemar memelihara binatang. Dulu sesetengah kita mungkin memelihara ayam, ikan, burung, arnab, kucing, kura-kura, monyet dan lain-lain. Semiskin-miskin kita, sempat juga kita berkongsi makanan atau sekurang-kurangnya mengambil berat terhadap haiwan-haiwan yang kadangkala muncul sahaja di depan pintu kita. Dan masa dulu memelihara binatang tidaklah mahal. Anda tak perlu bawa kucing anda ke doktor haiwan untuk suntikan atau ketika ia sakit. Sekadar memberinya daun misai kucing dah cukup. Dan kucing anda pula bila dah dekat ajalnya akan berusaha bertemu anda dan seringkali menghilang selepas itu, kecuali bangkainya yang anda temui nanti. Dia seolah-olah mengucapkan ‘selamat tinggal’ sebelum meninggalkan anda untuk selamanya.

Di beberapa negara Barat, terutama di Amerika, binatang peliharaan mendapat tempat yang agak istimewa. Bukan sahaja ada di antara mereka boleh ‘mewarisi’ harta tuannya, malah mereka ada ‘kaunselor kucing’ misalnya bagi mententeramkan jiwa yang gundah gulana kerana kehilangan tuannya. Tak tahulah Sri kaunselor kucing ini menggunakan bahasa apa – bahasa manusia ke kucing. Wujud pelbagai kedai untuk memenuhi kehendak haiwan peliharaan kita malah ada juga tanah perkuburan yang khas untuk mereka. Pendek kata ada binatang peliharaan dijadikan lebih daripada keluarga.

Dari segi psikologi, memang memelihara haiwan baik untuk kita. Melihat kerenah dan kadangkala ketidakupayaan mereka, kita bertambah kasih dan ihsan antara sesama makhluk dan terhibur dengan gelagat mereka. Kadangkala binatang peliharaan kita agak sensitif terhadap keadaan atau mood kita. Melihat kita muram atau bersedih misalnya, seekor kucing peliharaan kita mungkin membuat gaya-gaya tertentu hanya untuk melihat kita tersenyum atau tidak bersedih lagi. Malah ada binatang peliharaan boleh diharap untuk beberapa tugas, misalnya mengejutkan tuannya bangun solat subuh, menjaga kanak-kanak atau memberi semacam amaran ada orang menghampiri rumah mereka.

Sejak dari kecil ada saja binatang peliharaan yang menjadi ‘sahabat’ Sri. Kenangan awal Sri mengenai haiwan, selain kucing ialah sepasang ayam belanda peliharaan nenek Sri. Dan ada juga arnab-arnab peliharaan nenek saudara Sri. Dan ini diikuti oleh pelbagai haiwan yang lain. Masa Sri menginap di rumah baharu berhalaman luas pada pertengahan 60-an, selain haiwan-haiwan biasa, satu-satu haiwan yang Sri ingin bapa Sri belikan ialah seekor kambing biri-biri. Tetapi seperti yang anda sedia maklum, tentulah hajat ini tak kesampaian. Kenapalah nak biri-biri — ini mungkin kerana adanya rancangan kanak-kanak Lambchop dari Australia yang menampilkan watak kambing biri-biri yang petes dan comel ketika itu.

Dah lebih 20 tahun Sri tidak memelihara kucing. Kucing terakhir peliharaan Sri bernama Pepito, mati pada 1979. Dan seolah-olah melambangkan suatu pengakhiran, beberapa peristiwa pahit berlaku selepas tarikh 1979 itu. Bersamanya tiada lagi rumah yang didirikan oleh bapa Sri yang Sri fikir akan tetap Sri huni sehingga ke akhir hayat. Turut runtuh ialah cebisan hidup berkeluarga dan peribadi Sri. Bersamanya binatang peliharaan dan pokok-pokok tanaman yang turut mengisi makna ‘rumah’ dan ‘keluarga’ Sri. Dan dah lama pembauran mengenai rumah, keluarga, hidup peribadi dan lain-lain terpendam di hati.

Tahun lalu rumah pangsa Sri dipertingkatkan dan Sri juga membuat sedikit ubah elok. Setelah merantau di beberapa negara, mengalami pelbagai pengalaman suka dan duka, akhirnya makna ‘rumah yang hilang’ itu Sri temui dalam rumah pangsa Sri. Untuk melengkapkan rasa tenang ini, Sri memelihara seekor kucing Parsi tempatan bernama Snowy (betina) dan kemudian seekor lagi kucing jenis British short-hair bernama Ginger (jantan). Perasaan gembira Sri bersama kucing timbul semula dan bersamanya rasa-rasa ketenangan lain. Hidup ini menjadi lebih bahagia dan ceria bagi Sri.

Dua minggu lalu Snowy terjatuh dari rumah pangsa Sri di tingkat sepuluh. Ia ditemui di waktu pagi. Setelah dikejarkan ke doktor haiwan, dimaklumi tulang sarafnya terjejas, sebelah kakinya patah dan besar kemungkinan kedua-dua kaki belakangnya lumpuh. Ia jalan berengsot, makannya disuap dan pembuangan najisnya terpaksa dibantu. Hancur hati Sri melihat penderitaan Snowy dan betapa terbatasnya keupayaan Sri membantunya. Air mata Sri begitu mudah mengalir kerananya dan doa Sri tiada putus-putus untuknya. Seekor anak kucing dan betapa ia meruangi di hati kita. Apa pun takdir Allah Sri reda kerana anak kucing comel ini dengan segala kerenahnya amat menyentuh perasaan Sri. Snowy dan juga Ginger seolah-olah mengingatkan Sri bahawa yang penting dalam hidup ini adalah seperti yang dinyanyikan Nat King Cole dalam lagunya Nature Boy:

The greatest thing you could ever learn is just to love and be loved in return………

Ditulis: 31 Mei 2001
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 3 Jun 2001
Tajuk Asal Penulis: ‘Seekor Anak Kucing Bernama Snowy’.

NB: Snowy dan Ginger masih hidup dan sudah pun berusia lebih 13 tahun pada tahun ini (2013). Kaki belakang kiri Snowy yang patah tiga, kini lebih panjang daripada kakinya dahulu. Dan kaki belakang kanan Snowy pula terbengkok dan kedua-dua kakinya ini lumpuh. Snowy boleh makan sendiri tetapi pembuangan najis kecil dan besarnya harus dibantu. Kedua-dua Snowy dan Ginger semakin uzur dan harus diberi ubat setiap hari.

Perbualan

Telah kucuba memulakan perbualan ini
ketika dinihari sarat dengan udara lembap
katak-katak pada menguang, angin sejuk berdesir
sepi menghening & sabar menanti takbir.

Bagaimana harus kumulakan perbualan ini
sedang Kau lebih mengetahui segala rahsia hati.
Petang tadi, dari Kent Ridge menuju Telok Kurau
langit yang sejak tadi terbeban, meluahkan kandungannya
lalu lahirlah titis-titis hujan, bagai pita,
perakam masa silam
sesekali mengingatkan kehadiran sekarang.

Betapa sayu titis-titis yang Kauturunkan
begitu seni, sekecil diriku di mayapada ini
terlalu luas hidup yang Kaubentangkan
bagaimana akan kurangkum keseluruhannya
untuk kunamakan sebuah kehidupan?

Kau telah menghampari hidup ini
dengan panas & hujan
tapi kadangkala hujan turun terlalu lebat
hingga aku takut & tidak berani melihat
keindahan, di balik tiap titis yang rahmat
sering juga petang-petang hidup ini terlalu panas
kerana teriknya mentari mengganas
tapi aku masih percaya, antara keduanya
Kausisipkan juga hari-hari yang nyaman & sederhana.

Penumpang-penumpang bas selalu bertukar
di tiap perhentian penghuni dilepaskan atau ditambah
& dalam hujan lebat bas no. 11 begitu tegas menuju matlamatnya
apakah Kaukurniakan hidupku seperti ini juga
membiarkan tiap yang kusayang pergi atau berubah
untuk aku lebih menghargai manusia & gigih mencapai cita-cita ?

Betapa sukar bas meluncur dalam hujan lebat ini
yang mungkin menyebabkan enjinnya mati
tapi aku yakin, roda-rodanya akan Kautetapkan
untuk melalui jalan-jalan yang berlopak & licin.

Bagaimana akan kuakhiri perbualan ini
kecuali kukatakan dinihari telah larut,
aku harus tidur, kita akan berbual lagi
bila fajar sadik menjelma & melahirkan subuh.

Ditulis: 11 November (Aidil Adha) – 12 Disember 1978
Lorong L, Telok Kurau Road;
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Banjaran Sana

Ketika kurma ini kukunyah
& air kathirah ini kuteguk
siapakah kelaparan, dahaga,
di lembah & banjaran Himalaya
setelah gempa
setelah bencana
tertimbus, parah, cacat, musnah,
kecuali sengsara & kesakitan
membalut erti
Ramadan 1426.

Akankah kita terus baziri
tika kelaparan mencengkam
di Balakot, Muzaffarabad,
atau leka berhias Raya
bila khemah, ubat, makanan, semakin tiada
& kita bersandar, kekenyangan,
berbuka & menyambut Syawal,
sedangkan mereka terpinggir di daerah pergunungan.

Bila musim sejuk ini menjelma
biarlah hanya salju
bukan di hati kita
sekadar memaklumi, tanpa terasa,
atau digetar makna derita
oleh bencana, sengketa,
atau kemanusiaan kitakah seakan menggigil
dihujani ketidakpedulian, pesta,
& mereka pun dilupakan dunia
kerana miskin & di pedalaman sana.

Ditulis: 9 – 29 Oktober 2005;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kasih yang Lain

(Buat Snowy & Ginger)

Snowy RH Images

Snowy

Ginger RH Images

Ginger

Ketika kau berdua tiba-tiba sepi
berbaring di sisi pada petang sunyi
atau riang menyambutku pulang
ajak bermain ketika aku kepenatan
berwajah sayu, walaupun kenyang
semasa melihat aku makan
atau berehat di sofa, meja,
mengacau komputer ketika aku bekerja
aku menjadi tenang
akan kasih lain yang mula berkembang.

Betapa dengan kerenah & kasihmu
gembira dengan mainan kecil
takjub mendekati pokok & bunga
hairan melihat burung bercicip
kertas terbang, tali, bulu ayam,
main pasir, benang, air,
atau ketika kau tiba-tiba tercongok
di luar bilik air, tepi langsir, katil,
berkejar-kejaran, memanjat, jenguk tingkap,
akupun semakin tenang
menyaksikan pemberian Allah
pada kehidupan.

Secercah kasih ini
daripada & pada kau
bagai titis-titis hujan
menyegarkan.

Oleh Rasiah Halil
Ditulis: 27 September 2000;
Bedok, Singapura.