Archive | September 2013

Membeli Semalam

Mendengar lagu-lagu lama ini
tika berjalan-jalan, berpapasan,
berjenis-jenis bahasa, insan,
sesekali wajahmu kucari
mendamaikan keriuhan kini
tapi sekadar membeli-belah, sandang pangan,
mengubati rindu anak yang kehilangan.

Mendengar lagu-lagu lama ini
bagai dibawa perahu silam
menerobos dunia ilusi & kenyataan:
bersama Md Rafi, Lata, Mukesh, beralun indah
segaknya Raj Kapoor, Dev Anand, Rajendra Kumar,
atau jelitanya Nargis, Nutan, Madhubala,
hanya cakera-cakera padat
yang silam menjadi dekat
dengan kisah-kisah di Taj, Garrick,
Singapura, Galaxy, Queen, Alhambra, Rex,
tiket-tiket black market
mi rebus, air batu, kacang putih,
seronoknya berpakaian cantik
berangan menjadi pelakon-pelakon Bombay.

Mendengar lagu-lagu lama ini
bagaikan dilantun masa:
zaman kanak-kanak, remaja, bercinta, berkeluarga,
& kita kembali muda, mudah menerima
kebersamaan & keriangan sementara
walau sedikit sekali difahami bahasanya.

Ditulis: 2hb Mac 2006 (terbengkalai)
Diteruskan dan diperbetulkan: 4hb Oktober 2006;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Perca Kehidupan

(Buat K.F. di California)

Engkaukah merenung bintang itu,
ketika malam ini menjadi sepi,
di sebuah apartmen, tersisih dari
tanah air & keluarga, betapa laluan
ini semakin berpusar, bagai relung-relung
sawah, & malam memanjang,
dipestai Zon Pasifik yang sentiasa riang.

Engkaukah juga menjadi nostalgik,
mendengar nyanyian P. Ramlee & Saloma,
lagu-lagu 50-an, 60-an, suara Md. Rafi,
Fairuz, Lata, The Beatles, Elvis, Connie Francis,
Engelbert, Tom Jones, Barbara Streisand,
atau teringat filem-filem lama,
Jins, Sarimah, Omar Sharif, Sidney Poitier,
Charlton Heston, Gregory Peck, Latifah Omar,
Ahmad Mahmud, Zaiton, Elizabeth Taylor, Aziz Jaafar,
Raj Kapoor, Nargis, Nutan, Dev Anand, Dilip Kumar,
atau terkenang Pak Zubir & belajar main piano,
melihat & memuja Julie Sudiro, merindui
Geylang yang telah berubah, memakai kebaya
ke pasar, belajar di madrasah, atau menjadi
perindu pada daerah Katong & Telok Kurau,
tempat engkau & aku membesar.

Engkaukah itu ketika duduk di MRT
& bas, sering disegari zaman silam,
bagaimana belajar puisi di sekolah rendah,
berbahas, berjoget, menjadi ahli koir, atlet, di
sekolah menengah, berdarmawisata ke Amerika,
bertemu berbagai-bagai watak dalam kerjaya,
& engkaukah yang sukar melupakan, wajah
seorang juruterbang, surat-suratnya yang
panjang, pemberian istimewa sapu tangan & jam,
mengunjungi keluarganya yang menyayangimu,
membina & meneguhkan cinta nan jauh,
& setelah 27 tahun berlalu,
cinta pertama itu tetap istimewa di hatimu?

Engkaukah juga sering berbincang fasal keluarga,
tentang ayah & ibu yang telah tiada,
saudara yang dikasihi & berbagai-bagai tingkah,
perkahwinanmu & anak yang pertama,
hidup berpindah-randah, masalah,
memaknakan masa kini, menjaluri kemanusiaan,
pada jiwa-jiwa takut, kecewa, terbiar,
& dalam kesibukan, kaucuba melenyapkan,
carik-carik derita & beban.

Akukah bertemu seorang wanita, digenjoti
pelbagai tuntutan, pusaran air & beliung,
kemarau panjang & tengkujuh, akukah yang
melihat, tabahnya dia mengangkat sauh,
mengibarkan layar, ketika laut tidak menentu,
& betapa sesekali dia bermimpi,
bertemu pulau yang damai,
untuk berlabuh.

Engkaukah itu yang mengingatkan aku,
akan erti ‘jeritan batinku’,*
dalamnya ‘kasihnya ibu’,*
tafsiran ‘berkorban apa saja’,*
makna ‘hancur badan kandung tanah’,*
& ketika merenung bintang di Amerika,
aku berdoa di Singapura, agar seperti
P. Ramlee & Saloma, kau akan mengecapi:
‘bahagia’.*

*Tajuk-tajuk lagu ciptaan/nyanyian P. Ramlee & Saloma.
Ditulis: 26hb September 1991
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dokumentasi Pop Yeh Yeh Wajar Diusaha Awal

Anda mungkin, seperti Sri, terkejut mendengar berita pemergian A. Ramlie minggu lalu. Sri mendengar berita itu melalui Radio Warna pada pagi hari Khamis itu, melalui rancangan ‘Espresso’. Sejurus selepas membaca ‘Innalillahi” dan kemudian al-Fatihah untuk beliau, Sri menelefon beberapa orang sahabat dan saudara menyampaikan berita itu. Baru juga kita membaca di akhbar mengenai Anugerah Bintang Legenda yang diberikan kepada beliau oleh Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Marine Parade pada 14hb April lalu. Kini, tidak sampai pun sebulan selepas pemberian anugerah itu, A. Ramlie tiada lagi bersama kita untuk mendendangkan secara live kenangan mengusik jiwanya.

Kenapa sesetengah kita berasa sedih mendengar berita pemergian beliau, walaupun kita mengetahui telah lama beliau menghidap penyakit Parkinsonnya? Kematian sesiapa pun yang kita kenal, sama ada secara peribadi atau pun melalui kegiatannya misalnya kegiatan seni, seperti A. Ramlie, yang ternyata memberi saham kepada kehidupan masyarakatnya, tentu sekali menyentuh jiwa kita. Lain halnya dengan orang-orang yang kehadirannya sebenarnya menghancur atau memporak-perandakan sesebuah masyarakat. Dan mungkin pula, seperti pemergian seniman-seniman kita sebelum ini misalnya P. Ramlee, Saloma, A. Rahman, Zubir Said, Normadiah, Ahmad Nesfu, Siti Tanjong Perak, dan lain-lain, terasa benar betapa sedikitnya penghargaan yang telah kita berikan kepada mereka.

Sesiapa yang membesar pada tahun 60-an tentunya teringatkan A. Ramlie. Kalau P. Ramlee dan Saloma (serta beberapa orang penyanyi seangkatan mereka) mencorakkan gelombang baharu dalam dunia muzik kita selepas Perang Dunia Kedua, demikian juga A. Ramlie, M. Osman, Ahmad Jais, Jefrydin, Rafeah Buang, A.Romzi, Sanisah Huri serta beberapa orang lagi penyanyi dan kumpulan seangkatan mereka mencorakkan gelombang kedua pula. Kita yang muda ketika itu, terbawa-bawa dengan lagu-lagu mereka, malah sanggup ‘khusyuk’ mendengar rancangan ‘Lagu Permintaan’ di radio hanya untuk menyalin seni kata lagu mereka. Atau ada yang membeli piring hitam. Tidak kurang pula yang gemar membeli majalah ‘Pop’ hanya untuk mengetahui perkembangan penyanyi dan lagu-lagu Melayu yang mereka minati.

Pertama kali Sri mendengar lagu Oh Fatimah, Sri menggemarinya. Ketika itu Sri masih bersekolah rendah. Sri ingat mengusik nenek bahawa ada anak muda menyanyikan sebuah lagu untuknya kerana nenek Sri juga bernama Fatimah. Ada pula abang-abang Sri membeli piring hitam nyanyian A. Ramlie dan beberapa kumpulan/penyanyi seangkatan beliau. Pendek kata zaman ‘Pop Yeh-Yeh’ itu ramai seperti Sri dibauri oleh lagu-lagu mereka kerana seni katanya yang mudah diingati dan dinyanyikan sama seperti lagu-lagu The Beatles dan kumpulan/penyanyi seangkatan mereka. Demikian juga lagu Hindi ketika itu.

Sri pernah menulis di ruangan ini lebih setahun yang lalu mengenai Sharifah Aini dan penampilan beliau dengan Orkestra Simfoni Singapura bahawa lagu, seperti kata seorang mahaguru, adalah puisi rakyat jelata. Walaupun kadangkala kita sukar menghayati puisi, ternyata ramai di antara kita mudah mengikuti dan menghayati lagu. Dan lagu serta filem Melayu, selain kajian ilmiah, boleh mengingatkan kita kepada yang silam serta mengukur sejauh mana perkembangan kita, sama ada secara peribadi atau kemasyarakatan, sekarang. Tanpa lagu/filem/kajian, kita akan mengalami semacam ‘collective amnesia’.

Seorang seperti A. Ramlie telah memberi sumbangan kepada dunia seni muzik kita. Bukan sekadar Oh Fatimah, Kenangan Mengusik Jiwa, Ole-ole Temasik atau Lambaian Desanya sahaja. Seperti seniman yang lain, sama ada penggubah, penulis seni kata, penyanyi, pelakon, pengarah, jurugambar, penulis skrip dan lain-lain, semua mewarnakan sebahagian daripada calitan yang kita namakan kehidupan. Benar, ada orang yang bergiat dalam dunia seni ini memang tidak layak digelar seniman kerana yang dicipta dan dikejar mereka bukan seni, tetapi hal-hal yang lain yang sebenarnya tiada sangkut-paut dengan seni. Tapi, sejumlah penggiat seni ini ternyata adalah seniman sejati kita.

Banyak cara boleh kita menghargai seniman kita, selain memberi sokongan yang membina agar mereka terus berkembang untuk kemanfaatan semua. Anugerah seperti yang diberikan kepada A. Ramlie memang perlu disokong dan diteruskan; mungkin juga perlu kita fikirkan cara-cara lain untuk lebih mengekalkan sumbangan mereka bagi masa mendatang. Perkara dokumentasi pernah berkali Sri tulis, malah sejak tahun 80-an dulu. Tanpa dokumentasi sama ada bagi dunia seni kita atau hal-hal lain, segala yang kita ketahui akan hanya tersimpan di lembaran kenangan tanpa ada bahan untuk rujukan. Mungkin Perkamus dan badan-badan lain boleh usahakan tulisan mengenai zaman ‘Pop Yeh-Yeh’ dan lebih awal, sementara sebahagian besar penggiatnya masih bersama kita. Ini boleh dibuat dalam bentuk ‘ensiklopedia mini’, tulisan khusus mengenai seseorang seniman (penyanyi, penggubah, penulis seni kata dan lain-lain) atau filem-filem dokumentari mengenai seni muzik kita. Biayanya boleh didapatkan dari Majlis Seni Kebangsaan atau badan-badan seumpama itu. Selain kompilasi lagu, mungkin usaha begini dapat diteliti agar kita tetap menghargai kenangan-kenangan mengusik jiwa yang mereka berikan kepada kehidupan kita.

Ditulis : 15hb Mei 2001
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 20hb Mei 2001
Tajul Asal Penulis: Sebuah Kenangan Mengusik Jiwa
Tulisan: Rasiah Halil.

Beri Erti Yang Lebih Kepada Sumbangan Seniman Kita

Apakah anda seperti Sri, terharu mendengar lagu-lagu Melayu yang diiringi Orkestra Simfoni Singapura dalam ‘Konsert Sharifah Aini’ baru-baru ini? Apakah air mata anda juga tergenang bila lagu-lagu P. Ramlee indah berkumandang di Dewan Konsert Victoria dan tersentuh mendengar alunan ‘Salam Terakhir’ Sudirman nyanyian Sharifah Aini? Ramai yang pulang bersama pelbagai kenangan: yang indah, yang mengharukan, yang menghibur, yang mengajar. Memang seni itu boleh saja memercikkan berbagai perasaan dan fikiran kita.

Melihat konduktor orkestra Eddie Marzuki, kumpulan pemuzik Melayunya selain Sharifah Aini, Art Fazil dan Mohardiman, anda pasti, seperti Sri, memaklumi bakat mereka dan bangga akan kesungguhan mereka dalam bidang seni yang mereka ceburi. Sri sendiri pernah menyaksikan rakaman lagu-lagu di studio privet dan bertemu dengan pemuzik-pemuzik yang berbakat di sana. Ada yang mendapat latihan formal yang mendalam dan ada yang tidak, tetapi permainan mereka tetap menampilkan tahap profesionalisme yang tinggi. Andainya sebilangan mereka ini diberi pendedahan yang lebih luas, Sri dapat bayangkan betapa mercupnya seni muzik kita nanti.

Seorang mahaguru yang Sri temui di seminar tahun 1980 dulu pernah berkata: lagu-lagu kita adalah puisi rakyat terkini. Orang mungkin tidak gemar membaca dan mendengar puisi, tapi apa bangsa pun gemar kepada muzik dan penyanyi mereka. Seniman begini banyak merakamkan kenangan dan harapan kita, walaupun ada di antara lagu-lagu mereka sekadar getaran hati anak muda dan belum lagi mencapai tahap getaran jiwa yang meresap dan menggegarkan masyarakatnya, seperti sumbangan seorang P. Ramlee. Dan seni itu, terutama seni muzik, memang tanpa sempadan — lama sebelum era Internet ini mengingatkan kita akan hal demikian. Sukakah anda akan lagu-lagu Latin atau Hispanik? Sri gemari lagu-lagu begini sejak dulu walaupun tidak Sri fahami seni katanya. Demikian juga sesetengah kita meminati lagu-lagu Hindi, tanpa memahaminya. Md. Rafi, yang dibesarkan di India dan suaranya dipinjamkan kepada kebanyakan hero filem Hindi, berakhir sebagai rakyat Pakistan, tapi seninya tidak dibataskan oleh sempadan negara-negara tersebut. Demikian juga seorang Nat King Cole, Kitaro, Ibrahim Ferrer, Dewi Yull, Celine Dion, Ella Fitzgerald, Broery Marantika.

Semasa di Dewan Konsert Victoria, pelbagai fikiran mengenai seni berlegar-legar dalam fikiran Sri. Di beberapa kedai muzik di sini, tidaklah semudahnya anda mencari lagu-lagu Melayu menurut era tertentu. Betul, anda boleh temui lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma, tapi hampir kesemuanya adalah rakaman EMI. Lagu-lagu bukan keluaran EMI tidaklah mudah diperolehi. Demikian juga jika anda meminati suara Normadiah atau M. Bakri, amat sukar anda mendapatkan lagu-lagu mereka. Di beberapa kedai muzik di dalam dan luar negara, bukan sahaja Sri temui rakaman-rakaman lama (lagu-lagu bukan Melayu) malah ada juga buku-buku yang mendokumentasikan perkembangan muzik sesuatu era. Anda suka jaz, ada saja buku dan rakaman mengenainya. Anda minat rap, reggae, soul, heavy metal, ada tulisan ilmiah dan santai mengenainya. Buku pasal Elvis saja sudah berpuluh kalau tidak pun beratus. Apa lagi kumpulan The Beatles dan lain-lain.

Bagi Sri, seni itu amat indah dan seniman sejati itu adalah penyumbang kepada nilai keindahan dalam kehidupan kita. Kita berbangga dengan P. Ramlee, misalnya, tapi satu masa dulu, beliau juga melalui zaman getirnya, kerana kurang mendapat sokongan dan diejek di atas pentas. Beliau menjadi lambang bagaimana seniman kita harus diberi sokongan dan digilap bakat mereka—-kerana hanya dengan sokongan berterusan mereka dapat menghasilkan karya-karya seni yang besar untuk santapan rohani kita. Kini ada video CD, selain kaset dan karaoke mengenai filem dan lagu beliau—tapi siapakah menangguk keuntungannya? Kita yang berminat terpaksa membeli kerana mahukan dokumentasi itu, walaupun kita tahu sebahagian besar rakaman ini hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu.

Kadangkala sesebuah masyarakat bagaikan melalui ‘collective amnesia’ tapi lagu dan filemlah yang mengingatkan kita akan perkara-perkara yang hampir hilang dari ingatan. Dan masyarakat kita memang berbakat dalam bidang seni, cuma kita perlu adakan lebih lowongan sokongan, pendedahan dan dokumentasi. Sri ingin sangat mendengar lagu-lagu Jasni, Nona Asiah, Lina, A. Rahman, Momok, Siti Mariam, Rokiah Wanda, R. Ismail dan lain-lain dirakamkan dalam CD atau kaset berserta latar belakang sumbangan mereka. Demikian juga ingin Sri miliki lagu-lagu yang dicipta oleh Osman Ahmad, Yusof B, Ahmad Jaafar, Zubir Said dan lain-lain. Sri juga ingin membaca buku-buku serius dan santai mengenai perkembangan muzik dan filem kita—baik Irama Melayunya, Pop Yeh-Yeh, lagu-lagu dari filem atau autobiografi/biografi daripada penggiat seni pelbagai bidang ini. Kata penyair Chairil Anwar: ‘Sekali bererti, sudah itu mati’. Kita haruslah lebih memberi erti sumbangan seniman kita sebelum segalanya ditelan zaman. Jangan nanti kita turut terguris seperti Pak Oteh, penulis ruangan pojok Berita Minggu Singapura, menceritakan perihal lontong, tempe dan kuih-muih kita baru-baru ini.

Ditulis : 9hb Feb 2000
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 13hb Feb. 2000
Tajuk Asal Penulis: ‘Lagu Kita Dan Dokumentasi’
Tulisan: Rasiah Halil.

Dokumentasi: Tugas Kita

Membaca laporan akhbar Berita Harian pada 7hb Mei 1987 mengenai Haji Ahmad Ibrahim yang ingin mendermakan akhbar Jawi berjumlah 2000 naskhah, menimbulkan berbagai persoalan di benak kita.

Pertama, ini bukanlah kali pertama Berita Harian menyiarkan laporan tentang ‘pusaka-pusaka’ kita yang tidak ada tempat yang sesuai untuk disimpan. Kedua, laporan tersebut mengingatkan bahawa kita kurang mempunyai ‘mentaliti menjaga’ terhadap bahan-bahan atau perkara-perkara yang penting bagi masyarakat kita.

Apakah ‘nilai’nya akhbar-akhbar seperti Melayu Raya, Mingguan Melayu, Utusan Melayu dan Utusan Zaman, kita mungkin bertanya. Tidakkah mencukupi dengan adanya Berita Harian, Berita Minggu, The Straits Times dan The Sunday Times? Dapatkah kita memahami masa kini tanpa sesekali menoleh ke masa silam untuk lebih mengenali keadaan kita sekarang?

Laporan akhbar itu dan berita mengenai usaha sebuah badan penerbitan untuk menyimpan karya-karya kreatif kita di Malaysia (Berita Harian, 8hb Mei 1987), surat daripada pembaca mengenai akhbar simpanan Hj Ahmad Ibrahim (16hb Mei 1987) dan ruangan ‘Pandangan Kami’ (17hb Mei 1987) seolah-olah mengingatkan bahawa kita kurang mengendahkan bahan-bahan yang penting ini. Mungkin bagi kebanyakan kita, ‘khazanah’ ini tidak penting lantas ‘kehilangan’nya tidak pula dirasakan. Cuba bayangkan, jika bahan-bahan dokumentasi yang rapi disimpan pada zaman sebelum Raffles, misalnya, ia pasti dapat memberi gambaran sejarah yang lebih teratur bagi sesuatu masyarakat. Kurang menitikberatkan dokumentasi bererti membenarkan orang lain membuat telahan mereka terhadap satu-satu masyarakat dan perkara tersebut telah kerap berlaku dalam masyarakat Asia.

Dokumentasi bererti mencari dan mengumpulkan bahan-bahan yang penting mengenai satu-satu masyarakat pada satu-satu zaman. Mungkin boleh dibuat dokumentasi mengenai buku-buku yang terbitkan, tokoh-tokoh yang penting dalam masyarakat, adat istiadat Melayu yang sesuai, jenis-jenis pertukangan Melayu lama, perkampungan-perkampungan Melayu yang pernah wujud di Singapura, jenis-jenis silat, kraftangan, masakan dan lain-lain. Bahan-bahan tersebut ataupun tulisan mengenainya harus pula disimpan di tempat yang sesuai dan selamat dan mudah pula diteliti oleh sesiapa juga yang ingin membuat rujukan ataupun kajian. Dengan kemudahan-kemudahan saintifik dan teknologi moden seperti mikrofiche, pita video, pita rakaman dan lain-lain kerja dokumentasi bahan bukanlah suatu usaha yang sukar dilakukan.

Badan-badan budaya, kemasyarakatan, keagamaan dan sebagainya selain Arkib Negara seharusnya mengorak langkah dalam usaha-usaha dokumentasi. Badan-badan ini boleh membuat pengkhususan dalam bidang-bidang mereka sendiri. Sebagai contoh, sebuah badan bahasa dan sastera boleh mengumpulkan semua tulisan mengenai bidang-bidang ini yang ditulis oleh orang Singapura ataupun mereka yang bermastautin di Singapura, sejak zaman selepas Perang sehingga kini. Dokumentasi juga boleh dibuat mengenai tokoh-tokoh bahasa dan sastera kita dari zaman tersebut. Ini dapat memberi kita gambaran latar yang lebih saksama mengenai kegiatan-kegiatan bahasa dan sastera ketika itu. Pendekatan yang sama boleh dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan lain yang mempunyai pengkhususan yang berbeza. Mungkin pengalaman peribadi ini boleh digunakan sebagai contoh betapa pentingnya dokumentasi dalam masyarakat kita. Semasa membuat kajian M.A., saya telah mewawancara beberapa orang penulis Melayu Singapura. Satu perkara yang menyedihkan terutama mengenai penulis-penulis lama, ialah kurangnya pengumpulan mengenai karya-karya mereka.

Satu lagi perkara yang tambah menyedihkan ialah penulis-penuis lama ini banyak mengumpulkan bahan tulisan, tetapi tiada tempat yang sesuai untuk menyimpan dan mengumpulkan semua karya tersebut dalam satu bangunan, misalnya. Allahyarham Harun Aminurrashid, misalnya, mempunyai banyak karya, sama ada tulisannya sendiri, majalah lama mahupun karya-karya orang lain, tetapi besar kemungkinan karya-karya tersebut akan musnah jika tidak dijaga dengan rapi. Masuri S.N. pula telah memberi begitu banyak buku kepada pihak Malaysia, semasa beliau berpindah rumah, kerana tiada badan tertentu yang akan menyimpannya. Apakah nasib yang sama akan menimpa karya-karya simpanan Haji Md Ariff Ahmad? Beliau banyak menyimpan karya sastera dan budaya zamannya, tetapi sayangnya bahan-bahan tersebut sukar dinikmati oeh masyarakat umum kerana tiada badan mengendalikannya. Usaha gigih beliau mengumpul dan menjilid bahan-bahan itu akan menjadi sia-sia jika tiada badan-badan tertentu melanjutkan usaha tersebut.

Adalah perlu usaha-usaha mendokumentasi dilakukan sekarang kerana tanpanya kita akan kehilangan ‘khazanah’ yang besar ertinya bagi masyarakat kita. Atau kitakah orangnya yang hanya ‘menghargai’ bila sesuatu itu telah tiada sedangkan semasa adanya bahan-bahan tersebut, kita tidak pernah memberi ‘penghargaan’?
Semoga tulisan ringkas ini akan mendorong beberapa orang pemimpin badan setempat untuk bertindak sewajarnya dan masalah yang dihadapi oleh Hj Ahmad Ibrahim tidak akan lagi berulang.

Ditulis: 17hb Mei 1987
Gadong, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Ruangan Pendapat/Isu Semasa, Berita Minggu (Singapura), Mei 1987.
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Persimpangan

DI PERSIMPANGAN
(Buat Z di Petaling Jaya, Malaysia)

Dan aku pun sepertimu
menghitung waktu-waktu yang pergi
seperti kekasih yang tidak akan kujumpa lagi
kerana setiap detik adalah
seorang algojo yang tanpa belas
membunuh, apa yang kunamakan:
keunggulanku
atas kesalahan tidak mahu menerima:
aku sudah dewasa.

Dan aku pun sepertimu
mahu bersembunyi di balik uniform lama
ketika matahari terlalu ganas
mencairkan, apa yang kunamakan:
keyakinanku
& orang tidak mahu menerima:
pigmenku berwarna.

Dan aku pun sepertimu
masih berpaut di kaki remaja
ketika gerimis membasahi pipi.
Aku pun bisa menangis
bila Kartina* mengalunkan
keroncong sepinya
di malam begini
kerana esok:
aku tidak lagi menulis seperti ini
kau pun tidak mudah mengerti
& perasaan kita akan menerima
kebiasaan ini
dengan hati yang akan dibekukan
oleh kedewasaan.

*Kartina – Kartina Dahari, biduanita Singapura yang terkenal kerana
lagu-lagu keroncongnya selain lagu-lagu genre lain.
Ditulis: 28hb Mei 1976;
Lorong L, Telok Kurau, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Iklan Konsert  Kartina Dahari Di Esplanade Singapura

Pagi, 31hb Ogos 2013:
Saya baru sahaja beberapa jam yang lalu menonton konsert ‘Sayang Di Sayang’ yang diadakan di Dewan Konsert Esplanade, Singapura. Konsert tersebut dipersembahkan untuk menghargai sumbangan Biduanita Kartina Dahari.

Seperti ramai penonton yang lain saya terhibur dengan lagu-lagu yang pernah didendangkan Biduanita Kartina dan sekali gus terharu mendengar ucapan beliau di akhir konsert. Betapa penghargaan sebegini untuk seorang seniman seperti beliau amat sesuai dan bermakna.

Saya menggemari lagu-lagu keroncong sejak dulu lagi, selain lagu-lagu tradisional Melayu yang lain dan juga lagu-lagu moden. Sebilangan lagu-lagu ini mempunyai irama yang indah selain seni kata yang mempesona. Secara tidak langsung lagu-lagu sebegini memperkenalkan saya kepada sejumlah perbendaharaan kata dan secebis khazanah daripada kebudayaan Melayu, terutama semasa zaman pembesaran saya iaitu pada tahun-tahun 50-an sehingga 80-an. Selain buku, filem, orang perseorangan dan sumber contoh daripada dunia seni, lagu-lagu terutama dari era 50-an sehingga 80-an itu, termasuk lagu-lagu nyanyian Biduanita Kartina Dahari, turut mencorak dan memperkayakan penglibatan saya dalam bidang penulisan.

Saya tersentuh dengan lagu-lagu keroncong nyanyian Biduanita Kartina Dahari sehingga sajak yang ditulis pada bulan Mei 1976 ini, menyisipkan nama beliau. Ketika itu keputusan GCE peringkat ‘A’ sudah pun diumumkan tetapi belum lagi diketahui sama ada saya dapat meneruskan pembelajaran saya di Universiti Singapura (sekarang NUS) ataupun harus mula bekerja. Begitu juga dengan keadaan kawan sekolah dan sahabat karib saya, Z., yang selepas peperiksaan GCE peringkat ‘A’, menetap di Malaysia. Lagu-lagu keroncong Biduanita Kartina Dahari seolah-olah menyimpulkan keresahan hati saya semasa dalam keadaan ‘di persimpangan kehidupan’ ketika itu. Bagi saya semasa zaman muda itu lagu-lagu beliau, sebagaimana lagu-lagu nyanyian Biduanita Saloma dan beberapa penyanyi mapan kita, memberi saya hiburan, ketenangan dan sesekali boleh juga mengharukan saya.

Dan lagu-lagu Biduanita Kartina Dahari masih lagi menghibur, menenang, mengharu dan mengesankan saya bukan hanya di Dewan Konsert Esplanade malam tadi tetapi semasa kini apabila saya berehat-rehat dan mendengar lagu-lagu beliau dan lagu-lagu silam lainnya.

Semoga lagu-lagu nyanyian beliau akan selamanya mengesan, menghibur dan mengindahkan pengalaman kita dan semoga ‘Sayang Disayang’ kita kepada Biduanita Kartina Dahari akan selalu mendorong kita untuk mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan beliau, dunia dan akhirat, insya-Allah. Amin.

Kartina Dahari August 2013

Gambar terkini biduanita Kartina Dahari – Straits Times