Bersama Raikan Hari Kebesaran

Hari ini (29 Januari 2006) ialah Tahun Baharu Cina.  Dua hari selepas ini, pada 31 Januari 2006, masyarakat Islam akan menyambut 1 Muharam, tahun baharu 1427 Hijriah.  Kedua-duanya bererti bagi kelompok masing-masing kerana tahun baharu sering membawa bersamanya harapan-harapan baharu untuk menjalani tahun yang lebih baik bagi semua.  Dan ada orang lebih bertuah kerana mereka terdiri daripada orang-orang Cina yang beragama Islam, lantas sambutan sambung-menyambung ini semakin mengeratkan tali persaudaraan mereka.

Walaupun sebilangan besar kita tidak menyambut Tahun Baharu Cina, namun kita akur juga akan amalan-amalan sahabat dan jiran yang menyambutnya.  Kiriman kad Tahun Baharu Cina, pemberian hadiah antara jiran, selain ucap selamat dan berkunjung adalah perkara-perkara yang lumrah diamalkan sesetengah kita.  Siapakah yang tak tahu mengenai makan malam bersama (reunion dinner), yusheng, kuih bakul dan buah limau, selain berbaju merah, yang menjadi lambang bagi sambutan Tahun Baharu Cina?

Sesetengah kita membesar pada zaman mercun tidak diharamkan.  Hai, gegak gempitalah pada malam Tahun Baharu Cina.  Semasa zaman kanak-kanak, Sri pernah membesar berdekatan sebuah Kelab Cina, di daerah timur Singapura.  Bukan main hebat permainan mercun ketika itu sehingga kami terpaksa tutup pintu dan tingkap ketika mercun dipasang.  Dan mercunnya besar-besar belaka.  Pagi esoknya seluruh kawasan luar rumah kami bagai dipenuhi bunga semarak api kerana sisa-sisa mercun yang telah dibakar.

Nenek Sri dulu pernah menceritakan bagaimana beliau membuat kuih bakul bersama jiran-jiran Baba Peranakannya.  Rupanya ada petua agar kuih bakul itu menjadi cantik dan sedap; wanita-wanita yang membuatnya mestilah bersih daripada haid, kalau tidak kuih bakulnya tak menjadi.  Sri rasa ada satu lagi petua kenapa kuih bakul buatan nenek Sri dan kawan-kawan Tionghoanya menjadi — kerana mereka ikhlas membuatnya bersama — sebagaimana keikhlasan perhubungan ini diamalkan oleh nenek Sri seluruh hidupnya.

Nenek Sri adalah orang Melayu yang bangga secara positif terhadap bangsanya.  Tetapi ini tidak pula bermakna beliau memandang rendah bangsa-bangsa lain, kerana menyayangi bangsa sendiri bukan pula semacam zero sum game terhadap bangsa lain.  Dan ini beliau amalkan dalam hidupnya; membesarkan anak cucunya bukan hanya terdiri daripada orang-orang Melayu, malah Tionghoa, Peranakan India dan Inggeris.  Nenek selalu mengingatkan Sri bahawa betapa berlainan pun kulit dan wajah seseorang, lihatlah di sebaliknya.  Di sebalik kulitnya yang sawo matang, putih, hitam dan lain-lain, tetap mengalir darah yang sama dengan kita.  Kalau kita tahu berasa sedih, gembira, duka, begitu juga orang lain. Demikianlah beliau amalkan dalam hidupnya sehingga ada anak jiran berbangsa Cinanya sanggup tidur dan berkunjung ke rumah nenek Sri, lama setelah mereka berpindah dari kampung nenek.  Nenek Sri menerima orang seadanya dan berhati ikhlas dan terbuka, lantas tidak hairanlah di kampung lama kami, beliau menjadi ‘nenek’ bagi sebilangan besar orang kampung dan menjadi semacam ibu angkat kepada nyonya di depan rumah kami.  Setiap kali memasak sesuatu yang beliau tahu nyonya tersebut suka, diberikannya semangkuk.  Malah neneklah tempat nyonya tersebut mengadu pelbagai hal.

Tahun Baharu Cina seharusnya mengingatkan kita kepada hal-hal yang baik seperti ini.  Tanpa keikhlasan, apa pun perhubungan tidak akan berkekalan.  Dan tanpa kejujuran, kita akan rendah-merendahkan orang lain.  Dalam novel E.M. Forster, A Passage To India, watak-watak utamanya, Dr Aziz, berbangsa India, dan Henry Fielding, berbangsa Inggeris, berbincang sama ada mereka dapat berkawan rapat.  Menurut Dr Aziz ini tidak akan berlaku kerana bangsa Fielding masih menjajah negaranya dan Dr Aziz tetap anak jajahan Inggeris.  Menurut Dr Aziz mereka hanya akan bersahabat rapat apabila negaranya tidak lagi dijajah Inggeris.  Demikianlah keakraban dan persahabatan kita dengan mereka yang berlainan bangsa; ia mestilah perhubungan yang setara, bukan yang rendah-merendahkan yang lain atau menganggap hanya golongannya sahaja yang terbaik.

Semoga Tahun Baharu 1427 Hijriah ini akan mejadikan kita insan dan hamba Allah yang lebih baik.  Antara pelbagai kisah Nabi s.a.w., ada satu kisah yang menyentuh hati.  Nabi sering memberi makan seorang Yahudi tua yang buta, berdekatan pasar.  Bila terdapat daging, Nabi akan mengunyahkan untuknya.  Tanpa tahu siapa yang menyuapkannya makan, Yahudi itu sering mengutuk Nabi dan agama Nabi, tapi Nabi tidak menjawab.  Setelah Nabi wafat, amalan Nabi ini diteruskan oleh Sayidina Abu Bakar r.a.  Yahudi tua itu tahu orang yang menyuapnya makan bukan orang yang dahulu kerana orang dahulu itu (Nabi) lebih lembut menyuap dan mengunyahkan daging untuknya.  Hanya setelah diberitahu Nabi lah yang menyuapnya dahulu, Yahudi itu menangis dan kemudian memeluk agama Islam.  Kelembutan dan keihsanan Nabi lah, selain rahmat Allah yang memberi hidayat kepada orang Yahudi tersebut.  Kedua-dua ciri inilah, selain ciri-ciri lain, akan menali-aruskan manusia, apa pun bangsanya, menyambut hari-hari kebesaran dan hari-hari lainnya.

Ditulis : 25 Januari 2006
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 29 Januari 2006
Tajuk Asal : Meraikan Hari Kebesaran Bersama.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s