Yang Ditinggalkan Dan Yang Dihadapi

Tahun 2013 Masihi sudah sebulan meninggalkan kita dan membawa bersamanya beberapa kenangan dan peristiwa yang mungkin menyentuh kehidupan kita. Kenangan dan peristiwa  itu mungkin yang indah dan mungkin sahaja yang menyentak mahupun menyayat hati kita.

Lebih 40 tahun yang lalu, pada 31 Disember 1972, ketika duduk di bilik saya di tingkat dua, berhadapan meja yang menghala ke tingkap, saya menulis sekuntum sajak berjudul ‘1973: Venus Menjelma’. Ketika itu saya tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura dan hujan gerimis sedang menitis. Saya memerhatikan halaman luas dalam perkarangan rumah saya yang ditumbuhi pelbagai pokok, dan berkhayal. Membaca dan mengikuti beberapa peristiwa dunia dan kesengsaraan yang dihadapi manusia, saya mengkhayalkan akan muncul ‘Dewi Cinta/Venus’ untuk ‘menaburkan benih cinta dan damai’ ke seluruh dunia. Dunia kita akan aman, tiada lagi peperangan, kemiskinan, keganasan, ketidakadilan dan hal-hal  seumpama itu. Itulah idealisme anak muda yang mahu dunia yang dihuninya lebih damai dan  saksama untuk semua.

Berputar pada menjelangnya tahun 2014, idealisme itu masih membumbui saya walaupun  turut dilenturkan oleh beberapa kenyataan hidup kerana usia yang meningkat. Dunia kita telah banyak berubah tetapi dalam beberapa hal, ia masih tidak berubah. Peperangan masih berlaku di sana sini dan kemiskinan serta ketidakadilan masih bermaharajela. ‘Dewi Cinta/Venus’ bagaikan tidak pernah menjelma walaupun sebagai penghuni dunia, kita kelihatan semakin canggih dan maju. Tetapi dengan usia dan pengalaman yang bertambah, idealisme anak muda yang saya miliki dahulu semakin memaklumi bahawa ada beberapa perkara dalam hidup ini yang boleh kita ubah dan ada beberapa perkara yang kita boleh mengharapkan adanya perubahan tetapi perubahan tersebut akan selalu mengambil masa. Yang penting, apa pun yang disuguhkan kehidupan, baik yang sukar, menghiba atau mengecewakan, kita tidak akan berputus asa.

Bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an dan 60-an dan mengetahui siapa John F. Kennedy, tahun 2013 merupakan tahun kematian beliau yang ke-50. Banyak dokumentari dan filem yang memperingati tragedi terbunuhnya Presiden Kennedy di Dallas pada 22 November 1963 itu. Saya masih di darjah satu ketika Presiden Kennedy mati ditembak dan tidak memahami apa yang berlaku. Besar kemungkinan peristiwa tragis itu dibincangkan oleh orang-orang dewasa dalam keluarga nenek saya. Tetapi saya masih ingat menonton televisyen di rumah seorang jiran semasa saya tinggal di Jalan Kobis, berdekatan Kaki Bukit. Televisyen baru sahaja diperkenalkan di Singapura pada 15 Februari 1963 dan keluarga nenek saya tidak memilikinya.  Rumah seorang jiran, berdepa beberapa rumah dari rumah nenek saya, memiliki televisyen dan ramai yang menonton televisyen di rumahnya. Walaupun saya tidak ingat menonton klip Kennedy ditembak semasa rancangan ‘Warta Berita’, saya masih ingat tayangan beberapa klip dari Amerika Syarikat yang amat menakutkan saya. Saya ternampak beberapa orang yang memakai baju putih labuh, muka dan kepala mereka ditutup dan hanya mata mereka sahaja dapat dilihat.  Mereka membakar dan memukul  sesuatu, besar kemungkinan pokok, tanda salib, barang-barang atau manusia. Gambaran- gambaran itu amat menakutkan saya sehingga saya berlari pulang ke rumah nenek saya. Hanya kemudian saya dapat tahu kumpulan itu bernama ‘Ku Klux Klan’, kumpulan ektremis kulit putih yang menganggap orang-orang berketurunan Afrika dan lain-lain lebih rendah daripada mereka dan boleh sahaja diperlakukan sesukanya.

Betapa kumpulan ini amat berbeza daripada harapan dan impian seorang John F. Kennedy, Dr Martin Luther King, Jr, Malcolm X (Malik El-Shabazz) dan Robert F. Kennedy, yang kesemuanya mati ditembak pada tahun-tahun 60-an dahulu. Keempat-empat orang ini saya anggap wira kerana turut cuba mencorakkan dunia yang lebih adil, damai dan saksama. Dan menonton beberapa filem dan dokumentari mengenai kematian Presiden John F. Kennedy November lalu, semakin mengingatkan saya akan idealisme murni yang seharusnya mengobori kehidupan kita.

Selang beberapa hari kita mengingati peristiwa tragis Presiden John F. Kennedy, kita menerima berita pemergian seorang lagi wira dunia, Nelson Rolihlahla Mandela atau Madiba pada 5 Disember 2013. Seperti kebanyakan orang, saya terharu mendengarberita kematiannya dan berhari-hari saya menonton televisyen untuk mengikuti kisah Mandela. Saya kagum akan nilai-nilai integriti, maruah dan keihsanan Madiba.Setelah 27 tahun dirinya dipenjarakan dan masyarakatnya begitu lama diperbudakkan,beliau dapat memaafkan penyeksanya, bersikap ihsan terhadap sesama manusia dan cuba membina masyarakat Afrika Selatan, ‘negara pelangi’, yang lebih harmoni dan bersatu-padu.

Beberapa petikan kata Mandela mungkin baik untuk renungan kita bersama:

  1. Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.
  2. As I walked out the door toward the gate that would lead to my freedom, I knew if I didn’t leave my bitterness and hatred behind, I’d still be in prison.
  3.  I learned that courage was not the absence of fear but the triumph over it. The brave man is not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear.
  4. For to be free is not merely to cast off one’s chains, but to live in a way that respects and enhances the freedom of others.
  5. I detest racialism, because I regard it as a barbaric thing, whether it comes from a black man or a white man.
  6. A winner is a dreamer who never gives up.

Nelson Mandela hanyalah manusia biasa tetapi kisah hidup dan perjuangannya menjadi inspirasi kepada kita bahawa yang luhur dan saksama itu akhirnya akan ke hadapan jua, walaupun mengambil masa, dalam kehidupan manusia.

Bukan semua berita besar dunia yang mencorak tahun 2013 yang baru berlalu. Kita orang-orang biasa dan sederhana ini, digusarkan juga pelbagai perkara yang membeliti kehidupan kita seperti masalah kewangan, perhubungan, kesihatan dan kematian.

Tahun 2013 menyaksikan pemergian seorang sepupu saya, seorang ibu tunggal, di Ampang, Selangor, Malaysia. Tiga tahun sebelum itu, anak tunggal sepupu saya, seorang lelaki bujang, juga meninggal secara tiba-tiba. Sepupu saya sudah lama menghidap beberapa penyakit tetapi pemergiannya yang tiba-tiba tetap mengejutkan kami. Semasa berita itu diterima, saya sedang digusarkan oleh kemungkinan terkena barah payudara dan belum menjalani pembedahan.

Sepupu saya dan kakaknya merupakan keluarga terdekat sebelah ibu saya. Kami membesar bersama kerana memang ibu saya dan Mak Busu saya (ibu mereka) sering kunjung mengunjungi dahulu, sebagaimana kami sekarang dan generasi anak-anak buah saya. Umur kami juga tidak jauh berbeza. Dahulu, sepupu saya ini agak riang orangnya tetapi semakin meningkat dewasa, dengan beberapa masalah yang dihadapinya, keriangannya seolah-olah menghilang sedikit demi sedikit.  Beliau juga lama tidak berkunjung ke Singapura. Dan berita  pemergiannya yang tiba-tiba begitu menyentak jiwa – inilah generasi pertama setelah generasi ibu bapa kami, yang meninggal dunia.

Masa berputar pada tahun 2014, suami seorang lagi sepupu saya, kakak kepada sepupu saya yang meninggal pada 2013, meninggal dunia kerana barah prostat. Beliau telah menghidap penyakit ini buat beberapa tahun, namum berita pemergiannya tetap mengharukan kami. Kali terakhir beliau sekeluarga berkunjung ke Singapura ialah semasa Hari Raya Puasa tahun lalu; ketika itu beliau sudah kelihatan uzur tetapi masih bertegur sapa seperti biasa. Namun hospital menjadi tempat yang sering terpaksa beliau kunjungi terutamanya pada tahun lalu dan tahun ini dan akhirnya pada 23 Jnauari 2014 lalu, beliau menghembuskan  nafasnya yang terakhir, meninggalkan seorang balu, tiga orang anak dan seorang cucu.

Betapa bersedia pun kita menghadapi kematian orang yang kita sayang, kita tetap berduka dan amat terasa kehilangannya. Dan betapa pun usia kita, seandainya ibu bapa, pasangan hidup, saudara, anak buah atau sahabat terdekat kita meninggal dunia, kita tetap berasa terharu buat beberapa waktu. Banyak perkara akan mengingatkan kita kepada orang-orang yang telah pergi kerana kenangan kita masih segar terhadap mereka, ketika mereka bersama kita. Malah berpuluh tahun setelah pemergian orang-orang yang kita sayang, akan ada hal-hal tertentu yang selalu mengingatkan kita kepada mereka. Demikianlah dalamnya kasih kita kepada mereka yang kita sayang.

Pada tahun 2010, mendapat berita pemergian beberapa orang yang saya kenal, saya menulis sebuah sajak berjudul ‘Pelepah’. Saya teringat peribahasa kita, ‘pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak’ yang bermaksud, kematian itu tidak mengenal usia – ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,  baik orang tua mahupun orang muda. Segala kenangan kita bersama mereka yang telah pergi itu seakan-akan seketika sahaja kerana kematian seolah-olah memutuskan segala-galanya. Walaupun saat-saat bersama kita hanyalah sementara, kita maklum yang lebih kekal adalah keikhlasan kita melakukan sesuatu dan menyantuni makhluk Allah, baik yang terdekat dengan kehidupan kita atau sebaliknya.  Petikan sajak ‘Pelepah’ ini menjelas dan merumuskan:

Ketika pelepah itu gugur
kita tertegun, berhiba,
belum pun lama mengakar
luruh satu-satu pelepahnya
& kita teringat pohon yang kita kenal
tempat permainan, masa-masa membesar,
yang tertinggal hanyalah kenangan
pelepah & pohon permai
makna kasih, sayang,
& kesementaraan.

Gugur sebatang pelepah, pohon,
pernah menghiasi, memberi, melindung,
yang dibawa hanyalah
benih-benih ikhlas
tumbuh & ranum di taman kekal. 

Rasa kesedihan kita tentunya memakan masa untuk dileraikan, namun hidup ini tidak semuanya mendukakan, ibarat putaran roda. Apa pun kesedihan, rasa kehilangan, pelbagai masalah dan cabaran, kekecewaan dan sebagainya, insya-Allah akan berakhir juga, walaupun mengambil masa. Bak dinyanyikan P.Ramlee, ‘barang yang lepas (yang pahit-pahit) jangan dikenang, kalau dikenang meracunlah diri’ dan seperti seni kata sebuah lagu nyanyian Ahmad Jais, ‘panas tak setahun, redup juga bergilir masa’ dan lagu nyanyian J. Mizan, ‘Senandung Hidup’ yang seni katanya boleh juga memberi peringatan dan menenangkan kita menghadapi apa pun cabaran kehidupan.

Tahun ini masih terlalu muda – semoga Allah memberi kita ketabahan, kesabaran dan keihsanan menjalaninya dengan saksama. Bukan senang melupakan orang yang telah tiada atau melenyapkan daripada ingatan perkara-perkara pahit yang membelenggu fikiran dan hati kita. Namun, kadangkala kita terpaksa melenyapkan kenangan-kenangan yang pahit kerana hidup ini tidak disaluti perkara-perkara yang pahit sahaja. Di selang-seli kehidupan, banyak yang manis telah dianugerahkan kepada kita, kalau kita benar-benar memerhatikannya. Bukan yang ‘besar-besar’ sahaja yang menjadikan kehidupan ini manis, banyak perkara yang dianggap kecil yang sebenarnya memberi erti yang amat besar kepada kehidupan kita. Lagu ‘What A Wonderful World’ ciptaan Bob Thiele ‘George Douglas’/George David Weiss dan nyanyian Louis Armstrong ini dengan jelas menggambarkan indahnya kehidupan ini, betapa pun dugaan dan cabaran yang kita semua harus hadapi.

Bagi mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina pada hari ini, tahun kuda 2014, selamat meraikan tahun baharu ini. Dan kepada semua, semoga tahun 2014 ini akan Allah limpahi kehidupan kita dengan pelbagai keberkatan, tenangan dan kebahagiaan, insya-Allah.

Ditulis: 24 – 31 Januari 2014
Tulisan: Rasiah Halil

                                   

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s