Kapal Terbang Malaysia Airlines MH370

Seperti kebanyakan orang, saya amat sedih apabila mendengar berita kapal terbang Malaysia Airlines MH370, ‘hilang’ pada 8 Mac lalu dan mengikuti beritanya dari sehari ke sehari. Tidak dapat saya gambarkan perasaan keluarga penumpang dan anak kapal MH370 tersebut – betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Dalam pelbagai kesibukan dan beberapa gangguan kesihatan yang saya hadapi sejak Februari tahun ini, berita penerbangan MH370 benar-benar menyentak. Saya teringatkan tragedi yang menimpa Singapura semasa penerbangan SilkAir  MI 185 terhempas di Sungai Musi, Palembang pada 19 Disember 1997 dahulu dan juga tragedi terhempasnya kapal terbang SIA di Taiwan pada tahun 2000.

Dan beberapa jam yang lalu, perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa kapal terbang MH370 disahkan hilang di koridor selatan, jauh berjarak dari Perth, Australia, dan di Lautan Hindi.  Titis-titis harapan yang masih mengalir di hati kita, menemui penghujungnya. Kesedihan yang ditanggung keluarga dan sahabat penumpang dan anak kapal MH370, hanya Allah sahaja yang tahu.

Tragedi ini menginsafkan kita – demikian canggih peralatan yang kita miliki, perkara sebegini boleh juga berlaku dan sukar dikesan. Dan dalam dunia yang dihubungkan dengan pelbagai peralatan canggih dan terkini, kita boleh terputus hubungan dengan penumpang dan kapal terbang yang besar, selama-lamanya. Dan ia juga menginsafkan kita – betapa kita perlu bekerjasama, sebagaimana yang ditunjukkan oleh negara-negara yang sedia membantu Malaysia dalam usaha mencari kapal terbang tersebut. Kita sering dipisahkan oleh pelbagai hal, kadangkala perkara-perkara yang amat remeh dan sementara, sedang kemanusiaan dan kepedulian kita sesama insan seharusnya menalikan kita sebagai penghuni bersama dunia ini.

Semasa berita tragedi tersiar, saya terkenangkan beberapa orang yang bertugas dalam kapal terbang. Pertama, saya terkenangkan suami sahabat karib saya, seorang juruterbang dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines. Saya juga terkenangkan seorang anak saudara saya yang menjadi juruterbang dalam syarikat penerbangan British Airways di United Kingdom dan seorang lagi anak saudara saya yang menjadi pramugara dalam syarikat penerbangan Singapore Airlines. Saya dapat bayangkan, semoga dijauhkan Allah, seandainya sesuatu yang buruk berlaku kepada suami sahabat karib saya atau anak-anak saudara saya. Demikianlah perasaan mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan dan persahabatan dengan penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.

 

Semoga Allah memberikan ketabahan dan ketenangan kepada mereka yang ditinggalkan oleh penumpang dan anak kapal MH370 dan semoga kita mengambil iktibar daripada tragedi ini; meneguhkan lagi tali kemanusiaan dan persaudaraan sesama insan kita , apa pun bangsa dan agama mereka kerana akhirnya, kita semua tetap makhluk ciptaan-Nya. Dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka yang telah tiada. Amin.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s