Walau Pedihnya Menusuk Jiwa

Walau Pedihnya Menusuk Jiwa, Tragedi Kadangkala Dapat Mendewasakan Kita

Hampir 2 jam Sri bercakap-cakap di telefon dengan seorang sahabat yang menginap di luar negara. Sahabat Sri ini, wanita Melayu yang dilatih dalam bidang sains dan kini menceburi bidang perniagaan, mempunyai banyak idea dan gemar membaca, jadi banyak perkara yang kami dapat bincangkan bersama. Dalam perbualan kali ini beliau banyak berkongsi erti pencarian dan keagamaan — betapa pun jauh perjalanan sahabat Sri ini, inti nuraninya tetap sama seperti yang mula-mula Sri kenal semasa di kampus lebih 20 tahun yang lalu. Tidak sampai pun setengah jam setelah meletak telefon, dia menelefon Sri lagi — kali ini untuk memberitahu bahawa pesawat SIA terhempas di Taiwan — baru diikutinya dari saluran CNN.

Sri sedang menaip ketika itu dan mematikan komputer dan membuka TV — menjengah ke saluran BBC, CNN dan CNA. Perkataan ‘terkejut’ tidak dapat mengggambarkan perasaan dan fikiran Sri ketika itu — kita seakan-akan begitu tak berdaya melihat tragedi itu dihidang dan dikupasi melalui TV. Sama sedihnya atau mungkin lebih sedih lagi ketika kita menghadapi tragedi yang berlaku di Palembang pada 19hb Disember 1997.

Tragedi di Palembang itu membuat Sri amat terharu dan tersentuh. 10 hari sebelum tragedi itu, Sri menemani seorang sahabat Sri menemui sepupunya; anaknya adalah seorang pramugari. Sri memberitahu sahabat Sri bahawa anak sepupunya ada imbasan wajahnya semasa remaja dan wataknya juga sama periang, murah senyuman dan peramah. Ketika tragedi Palembang itu diumumkan, entah mengapa, Sri terfikirkan anak saudara sahabat Sri. Sri menelefonnya (dia menginap di luar negara) dan memberitahu mengenai tragedi itu tanpa memberitahu rasa tak sedap Sri. Rupa-rupa benar, di antara yang meninggal di Palembang itu ialah anak sepupunya. Sepanjang dua minggu itu, Sri sering menelefonnya dan menonton berita di TV selain membaca sebanyak mana akhbar. Sri fikirkan banyak perkara, bukan setakat kematian anak saudara sahabat Sri dan berakhir dengan menulis mengenai tragedi itu walaupun sehingga kini puisi yang agak panjang itu belum lagi dapat Sri kemas-kinikan*. Kita terharu kerana ia adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka; tersentuh kerana apa yang kita saksikan tidak akan sama dengan kepiluan yang ditanggung oleh mereka yang kehilangan orang-orang yang disayang dan kita menjadi lebih sedar dan peka akan kesementaraan hidup yang kita lalui bersama.

Sesuatu tragedi selalu menimbulkan dua perkara: yang terbaik dan juga yang terburuk daripada kita. Kadangkala kerana wujudnya sesuatu tragedi sesebuah keluarga atau masyarakat menjadi lebih rapat dan saling teguh-meneguhi tetapi sebaliknya juga boleh berlaku. Dan bukan mudah untuk melupakan tragedi yang menimpa kita — tiap kita mengambil masa untuk merawat hati yang luka — panjang pendeknya masa yang kita perlukan untuk keluar dari lingkaran tragedi itu bergantung kepada peribadi kita dan jangkaan kita untuk masa kini dan masa depan yang kita hadapi.

Ramai pujangga menyatakan menghadapi kesukaran yang besar atau tragedi selalunya mendewasakan kita. Bagaikan api membara, tragedi dapat membezakan emas sepuhan dengan emas tulen. Sama seperti kepanasan 4000 sentigred digunakan untuk menampilkan permata daripada bahan arang batu. Seperti yang dinyatakan oleh penyair Lebanon, Kahlil Gibran, tanpa menghadapi musim gugur dan musim salju akankah kita menghargai musim bunga dan musim panas yang menghiasi kehidupan kita?

Apabila sesuatu tragedi berlaku, kita sering dipaksa berhenti sejenak, menilai kehidupan kita, mendarab dan mencongak kehidupan dan orang-orang terdekat dengan kita. Islam selalu mengajar bahawa tiap berlaku sesuatu musibah itu ada hikmahnya. Mungkin Allah ingin ‘membersihkan’ kita, menaikkan martabat kita atau melorongkan kita ke jalan-jalan tertentu yang belum kita fikirkan sebelum ini. Dan betapa benar dan bermakna kata-kata ini: Kita ini daripada Allah dan kepada Allah kita kembali — semua tragedi akhirnya berpaksikan ini — sejauh mana pun layang-layang kehidupan kita meruangi angkasa atau hanyut, akhirnya ia tetap dianjung oleh kata-kata tadi.

Tragedi selalunya menginsafkan kita. Menyaksikan orang-orang yang terbunuh, dibunuh atau dibelenggui kesukaran berbagai, tidak dapat tidak kita turut terharu bersamanya, walaupun kita tidak dapat membuat sesuatu yang lebih daripada itu. Bila 104 nyawa tiba-tiba lenyap di Sungai Musi, di Taipei atau menyaksikan kemusnahan melandai beberapa masyarakat di dunia ini, kita semakin dikejutkan oleh kerapuhan hidup ini.

Seperti kata kawan Sri dalam permulaan tulisan ini, kita ini mencari pengertian dan mahu memenuhinya dengan cara yang saksama dan diberkati, berlandaskan kemampuan kita masing-masing. Dan tragedi selalunya membuhulkan sesuatu yang baik, jika kita mencari iktibarnya. Alangkah sedihnya jika sesuatu tragedi itu semakin memisahkan kita daripada orang-orang yang terdekat dengan hidup kita kerana perkara-perkara kecil sedangkan kesementaraan hidup ini kian terasa?

* Puisi ini bertajuk ‘Dan Air Mata Sepanjang Sungai’ termuat dalam antologi puisi saya, ‘Nyanyian Si Anak Dagang’, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 2013, halaman 57 – 60.

Ditulis : 1hb November 2000
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 5hb November 2000
Tajuk Asal: Tragedi & Kita

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s