Terbuang

Mary & Peter Nazareth- RH Images

Terbuang
(Buat Mary & Peter Nazareth)

Kau pernah terpaksa keluar dari Uganda
‘tika Idi Amin mengusir orang-orang Asia
walau kau diizin menetap
tapi si jeneral mabuk darah
bagaimana akan kaupercayai janji diktator?

Sekelip mata keluargamu terpisah-pisah
sekelip mata kau terbuang dari tanah air tercinta.

Tanpa wang, kedudukan, pertalian, penaja,
hanya novel ‘In a Brown Mantle’ tiketmu ke luar negara
menjadi ahli zamil di Universiti Yale
Januari 1973, kautatapi Uganda buat kali terakhir.

Betapa sukar memulakan kehidupan baharu
bila sejarah berdarah & trauma menghantu
sakitmu memanjang, bentan, memusar kepedihan,
hingga ‘The General Is Up’ kaulahirkan
pecahlah empangan persoalan, trauma,
rasa sedih, marah, terbuang yang membusa
mencari tanah tumpah darahmu yang hilang
memahami kezaliman, kekejaman,
bahawa berbeza keturunan menjadikan kau terbuang
bahawa cinta mendalam tetap menjadikan kau kambing hitam.

Tapi tidak pernah kauhilang Uganda, Tanzania, Afrika,
meski 1974, kau bermukim di Iowa
melibati IWP/Program Penulisan Antarabangsa
mengajar sastera Inggeris, Afrika-Amerika, Dunia Ketiga,
mencari kebersamaan kita dalam kursus Elvis
mencari persaudaraan dalam pelbagai penulis.

Terbuang dari Uganda
kau merumahi IWP, Universiti Iowa
membawa seluruh dunia ke Midwest Amerika
kerana tanah airmu adalah rasa ihsan, kasih,
budaya & bahasamu adalah sastera, seni,
& penulis yang kauramahi, kesani,
adalah keluarga & sahabatmu di Uganda
yang tidak lagi kautemui.

Mary & Peter
kezaliman itu tidak berwarna
tidak beragama, tidak bernegara,
Idi Amin atau sesiapa hanyalah diktator
beredar mengikut masa
tapi ketulusanmu & keterbukaan jiwa
keikhlasanmu yang santun menerima
tidak pernah menjadikan kau kambing hitam
tidak pernah menjadikan kau orang luar
tidak pernah menjadikan kau pendatang
& di hati yang kauakrabi, sayang,
selamanya
tidak pernah kau terbuang.

Ditulis: 26 – 28 Julai 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s