Di Kubur Datuk

Di Kubur Datuk
(Mengenang datukku Syed Hussein bin Syed Mohidin Abunu)

Perkuburan ini pernah begitu sunyi, sayup,
dengan pokok-pokok rimbun, redup,
pagi ini ia riuh didatangi orang
berdepankan pintu gerbang, masjid teguh,
kawasannya terhampar sejak 1907
& penghuninya ramai
tidak ditambah setelah adanya Pusara Aman.

Lama aku tidak kemari
setelah meninggalkan sekolah berdekatanmu
setelah tahun-tahun 70-an menemani nenekku
tapi hari ini kau kudatangi
bukan untuk menziarah
bersama sepupu, ibu & bapa saudara
kubur datukku akan digali, dipindah,
ditempatkan dengan peninggalan 7 kubur lain
dalam kubur bersama yang kecil
jauh di Choa Chu Kang, Jalan Bahar,
& penggalian ini kamilah saksinya.

Berdekatan kubur ‘keramat’
& kubur warden dari Pulau Senang
5 Jun 1961, di sinilah datukku ditanam
orang yang baik hati, penyayang,
& aku terkenang masa-masa bersamamu
hidup yang sederhana tapi bahagia
di Lorong G, Sims Avenue,
bersama nenek, kakak, cicik, busu, sepupuku
tapi kebahagiaan itu hanya seketika
kau tiba-tiba ke hospital
& nenekku mengalami kesepian yang kekal.

Sesingkat 5 tahun aku bersamamu
cucu yang kaujadikan anakmu
& betapa hidup kami berubah
tanpamu
cicik & busu kehilangan orang tua
sepupuku kehilangan datuk tempat bermanja
kakak kehilangan bapa
nenek yang kehilangan terpaksa bekerja
& aku dipisahkan daripada mereka.

Kesedihan ini bukan sekadar perpindahan
bahawa kubur pun tidak akan kekal
bahawa sejarah pun boleh dipinggir, dibongkar,
tapi kesedihan ini juga kerana mengenang
jasa & pengorbanan kau & nenek
membesarkan kami
semampunya, seikhlasnya,
& budi yang tak dapat kubalas
selamanya.

Bak yang kusayang, kurindui,
inilah kali terakhir kau di Bidadari
bersama penyumbang masyarakat, besar kecil
kau akan dipindahkan ke Pusara Abadi
& Perkuburan Bidadari yang selama ini kauhuni
akan dibongkar, diratakan,
dijadikan perumahan & laluan MRT.*

MRT: Mass Rapid Transport System/Sistem Pengangkutan Gerak Cepat Singapura.

Ditulis: 2 Mac 2002
Perkuburan Bidadari, Upper Serangoon /Upper Aljunied Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s