Archive | June 2014

Yang Menyedihkan Dan Yang Kita Harap-Harapkan

Yang Menyedihkan Dan Yang Kita Harap-Harapkan

Pemergian Seniman Kita

Berkali-kali saya ingin menulis mengenai beberapa seniman kita yang telah berpulang ke rahmatullah pada tahun ini. Pemergian Pak A. Ghani Hamid, Biduanita Kartina Dahari, Pak Aziz Sattar serta beberapa orang yang lain terasa begitu menyentuh hati kita. Walaupun saya sempat menulis mengenai Biduanita Kartina Dahari, tulisan mengenai Pak A. Ghani Hamid dan Pak Aziz Sattar, asyik tertunda kerana kesihatan dan kesibukan saya walaupun bahan-bahannya sedikit sebanyak telah dapat saya kumpulkan. Pak A. Ghani Hamid, seorang penyair, penulis cerpen, penulis esei, penulis kajian, pelukis, novelis dan penulis skrip drama pentas merupakan seniman veteran kita yang saya hormati. Pak Aziz Sattar pula melambangkan sesuatu yang lebih besar daripada dirinya dan pemergian beliau seolah-olah memutuskan sebahagian besar tali rantai pada zaman ‘Bujang Lapuk’. Apa yang akan saya tulis kemungkinan besar agak panjang – saya rasa baik saya tundakan tulisan mengenai seniman kita dan kenangan saya mengenai dunia yang mereka ceburi, sehingga bulan Syawal nanti. Sempena bulan mulia Ramadan ini, saya berharap kita semua sudi menghadiahkan mereka yang telah berpulang ini al-Fatihah dan mendoakan ketenangan dan ketabahan untuk keluarga dan sahabat yang mereka tinggalkan. Al-Fatihah.

Kisah Pinkdot Dan WearWhite

Saya membaca di Yahoo News tadi bahawa ramai yang menghadiri acara yang diadakan oleh golongan Pinkdot/LGBT dan acara kemuncaknya diadakan sekitar 8 malam tadi (28 Jun 2014) ketika umat Islam bersiap-siap untuk ke masjid dan memulakan ibadat tarawih.

Sejak beberapa hari ini saya teringat kata-kata yang disampaikan oleh arwah guru agama saya, guru saya sejak tahun 70-an dulu, Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Aljufri: ada perbezaan yang ketara bila seseorang melakukan sesuatu yang dianggap haram oleh Islam, dan dia akui perbuatan itu dilarang oleh Islam dengan seseorang yang melakukan perbuatan yang haram dan dianggap perkara itu tidak haram. Misalnya ada orang Islam meminum arak – dia tahu perbuatannya salah di sisi agama dan dia tidak menghalalkan perbuatan itu. Ini berbeza apabila ada orang Islam yang meminum arak dan berkata perbuatannya itu tidak dianggap berdosa. Dalam al-Quran dan Hadis memang sudah jelas soal meminum arak. Demikian juga mengenai soal Pinkdot ini – larangannya jelas di dalam al-Quran dan Hadis.

Kita faham bila ada orang yang sedikit bingung mengenai orientasi seksualnya mungkin kerana kejahilan, terpengaruh, tidak mendapat bimbingan yang betul dan mungkin juga kerana beberapa hal kurang baik yang dialami dalam hidupnya. Tetapi kalau orang tersebut mendapat bimbingan yang betul dan ikhlas dalam pencariannya, jawapannya akan ditemui juga. Dengan cara berhikmah dia dibimbing dan ketulusan hatinya dalam meleraikan kebingungannya seringkali Allah akan memudahkannya mendapat hidayat dan meninggalkan gaya hidup yang dilarang Islam. Tetapi ini berbeza dengan orang-orang yang tegar dan berbangga dalam mengamalkan orientasi seksual yang mungkar.

Dan kita maklum dalam Islam ada konsep ‘khunsa’ tetapi apa yang diheboh-hebohkan bukan hal tersebut. Kita juga tahu bahawa Islam melarang kita menghina atau menganiaya sesiapa pun dan kita tidak perlu menggunakan kata-kata kesat dan kasar untuk menyampaikan sesuatu maksud atau pendirian. Saya yakin ada juga orang-orang tertentu dalam kumpulan Pinkdot dan WearWhite sekadar mengambil kesempatan untuk menunjukkan ‘kehebatan’ masing-masing, walaupun saya akui ada sebilangannya jujur. Yang tidak kita setujui ialah orientasi seksual/gaya hidup golongan Pinkdot dan bukan orangnya. Namun ini tidak bermakna apabila sesuatu yang demikian dilarang Islam, jika diraikan, kita harus menyokong atau turut serta.

Dalam Islam, ada konsep muhrim, aurat dan ada tatasusilanya atau adabnya. Pernikahan Islam hanya boleh berlaku di antara pasangan yang berlainan jantina dan beragama Islam. Dan dalam pernikahan yang sah pun, ada hal-hal tertentu dalam hubungan yang intim di antara seorang isteri dan suami, diharamkan. Dengan demikian, amat jelas kedudukan Islam dalam hal Pinkdot ini. Tentulah menyedihkan kita bila ada orang-orang yang jelas mengamalkan gaya hidup pinkdot ini seolah-olah mahu kita menerima apa pun pandangan mereka. Tentunya mereka boleh bersuara tetapi kita berharap mereka faham bahawa mereka tidak mewakili masyarakat Melayu-Islam kita. Berkata demikian bukanlah bermakna kita kolot, konservatif atau tidak terbuka. Soal kerelatifan tidak timbul dalam beberapa hal bersangkutan dengan agama kita. Melihat apa yang berlaku sejak 2009 lagi, tentunya kita khuatir dan sedih. Dan kemungkinan golongan ini mendapat sokongan dan galakan media dan pihak-pihak tertentu di dalam dan luar negara, bukanlah mustahil. Kita berharap, badan-badan agama dan kemasyarakatan kita akan bersikap lebih proaktif menangani gejala ini kerana tanpa bertindak dengan cekap dan berhikmah, ramai lagi di kalangan masyarakat kita akan turut hanyut dalam gelombang Pinkdot/LGBT ini. Sempena awal bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah membantu kita, baik siapa pun kita, dalam menghadapi dan menangani hal-hal sebegini dengan baik, saksama dan selamat, insya-Allah.

Ramadan Nan Mulia

Sekali lagi Ramadan menjelma dan terbetik di hati kita pelbagai kenangan dan keindahan bulan mulia ini. Hati kita mudah dikocak kenangan lalu ketika zaman kita membesar, bersama keluarga dan sahabat handai. Kita teringat kenakalan kita semasa baru belajar berpuasa atau seksanya kita bila dikejut untuk bangun sahur. Inilah masa-masanya kita paling terkenang nenek, datuk, ayah dan ibu yang telah tiada. Betapa kita ingin, walau seketika, untuk mendengar lagi senda gurau, malah leteran mereka, terutama semasa bulan Ramadan. Dan kita merindui masakan-masakan istimewa mereka atau pembelian makanan berbuka yang dibeli bapa atau datuk kita. Bagi mereka yang kehilangan pasangan hidup, bulan Ramadan dan Syawal paling menyentuh hati mereka. Air mata mudah menitis melihat anak-anak yang berkumpul untuk berbuka bersama tetapi tanpa ayah atau ibu mereka lagi.

Sebelas tahun setelah Pak Busu saya meninggal dunia, mak cik saya masih merinduinya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan Syawal. Tiada lagi kedengaran bacaan al-Quran oleh Busu saya sepanjang Ramadan atau bacaan tahlil yang diterajui Busu saya setiap malam Hari Raya. Setelah hampir 44 tahun mengahwini mak cik saya dan keluarga Busu saya mengenali keluarga mak cik saya lebih lama daripada 44 tahun, kerana nenek saya dan ibu Busu saya bersahabat baik, tentulah bukan mudah melupakan suami yang telah berpulang. Demikian juga bagi mereka yang mengalami pemergian orang-orang yang mereka sayang.

Kita terasa dekat dengan orang-orang yang kita sayang tetapi kini di alam barzakh, semasa bulan Ramadan dan Syawal. Ketika membeli sesuatu yang mereka suka atau memakan sesuatu yang mereka suka makan, masak atau beli, sesekali air mata kita akan bergenang, teringatkan mereka. Betapa jauh pun kita melangkah dalam hidup kita, betapa berusia pun kita, betapa berjaya pun kita dalam kehidupan, secebis rasa rindu yang mendalam dan kehilangan ini tidak akan dapat kita hakis selama-lamanya dalam hati kita. Kadangkala terlihat seseorang yang imbasan wajahnya mirip orang yang kita sayang pun, hati kita boleh terusik, pada bulan puasa nan mulia ini. Dalam kita memenuhi ibadat puasa, cuba menertipkan lagi amalan-amalan baik pada bulan berkat ini, hati kita bagai dilimpahi tenaga kenangan berjanakuasa besar. Kita kenangkan mereka yang telah pergi, kita kenangkan orang-orang yang kita sayangi yang masih hidup bersama atau berjauhan dari kita dan kita kenangkan umat Islam di pelbagai pelosok dunia, yang mungkin menghadapi berbagai-bagai dugaan peperangan, kemiskinan, kezaliman dan lain-lain.

Dan mungkin kita terkenangkan diri kita – akan adakah banyak lagi Ramadan untuk kita sambut? Cukupkah amalan kita selama ini? Adakah bulan mulia ini benar-benar kita muliakan dengan limpahan kebaikan sesama kita atau kita masih lagi berkira-kira? Saksamakah kita membahagi masa untuk Allah dan Rasul s.a.w. yang kita sayang atau kita lebih mementingkan perkara-perkara sampingan?

Tiap Ramadan rutin hidup kita berubah – mudah-mudahan perubahan ini bukan sekadar untuk membeli-belah dan soal-soal seumpama itu sahaja. Semangat dermawan dan kebaikan begitu ketara pada bulan mulia ini, bukan hanya di Singapura, malah di seluruh dunia yang penghuninya berpuasa. Kita lebih memahami erti lapar, dahaga, menahan diri daripada memenuhi pelbagai kehendak, makna kekurangan di dalam masyarakat, makna kebajikan dan kebaikan yang ikhlas. Mudah-mudahan ‘latihan’ semasa berpuasa ini akan selalu membuat kita lebih insaf dan prihatin terhadap mereka yang serba kekurangan baik dari segi makanan, kewangan, tempat tinggal, keselamatan diri dan keluarga dan sebagainya. Bak kata guru matematik saya semasa menulis dalam buku autograf saya pada tahun 1973 dulu: “Rasiah, school is for exams, life is the final result.” Demikianlah bulan Ramadan, ia bagaikan ‘peperiksaan’ – yang dituruti selepas Ramadan itu yang menggambarkan berjaya atau gagalnya kita dalam ‘peperiksaan’ Ramadan.

Semoga Allah melimpahi pelbagai rahmat-Nya kepada kita sempena bulan mulia ini dan semoga dalam kesedihan kita mengenang mereka yang tiada, kita tetap mensyukuri nikmat kehidupan yang diberi-Nya dan menjadikan kehidupan kita yang terbaik di sisi-Nya. Dan semoga dalam ingatan kita kepada orang-orang yang kita sayang yang telah berpulang ke rahmatullah, kita akan terus berusaha untuk menjadi orang-orang yang baik sebagaimana harapan mereka yang telah tiada ini terhadap kita. Dan semoga Allah memperkenankan segala doa dan harapan kita. Amin.

Tulisan:
Rasiah Halil
29 Jun 2014/ I Ramadan 1435

Advertisements

Si Belalang Dan Bunga Melur

Si Belalang Dan Bunga Melur

Dua minggu lalu saya berbincang-bincang dengan sekumpulan guru mengenai empat teks sastera. Salah sebuah teks tersebut menyentuh masalah penjajahan, ketika Malaya baru merdeka dan Singapura belum pun mencapai kemerderkaannya. Penjajahan dalam teks yang kami sentuh itu bukan sekadar penjajahan fizikal sebuah negara terhadap negara yang lain. Satu dasar penjajahan, baik penjajah Inggeris, Belanda, Portugis, Perancis, Jerman, Itali dan sebagainya tetap sama iatu berpegang pada dasar ‘pecah dan perintah’ (‘divide and rule’) bila menghadapi anak jajahannya. Semasa perbincangan tersebut dan lama setelah itu, saya terfikirkan dasar ‘pecah dan perintah’ itu walaupun bukan di dalam konteks penjajahan. Dasar yang satu lagi, berkaitan dengan hubungan antara individu dengan individu yang lain atau dalam hubungan kemasyarakatan, boleh ditambah iaitu ‘pecah, hapuskan/padam dan perintah’ (‘divide, delete and rule’). Betapa perkara-perkara sebegini lebih kelihatan di beberapa tempat dan negara dewasa ini.

Kadangkala terdapat beberapa tindakan individu, anggota kumpulan, pertubuhan dan sebagainya membuat kita terasa bahawa dasar ‘pecah, padam dan perintah’ demikian hidup. Dalam kerjaya dan hubungan kemasyarakatan kita pasti bertemu manusia-manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi namanya atau kumpulannya ke hadapan sehingga begitu menjejas kerjaya dan kehidupan orang lain. Mereka ‘padamkan’ atau ‘hapuskan’ rakan sekerja, ahli pertubuhan atau individu yang dianggap ‘pesaing’ tanpa memikirkan soal etika atau integriti. Yang penting, kalau dalam kumpulan misalnya, hanya mereka atau kawan-kawan mereka yang harus dianggap ‘jaguh’.

Yang ‘dihapuskan’ atau ‘dipadamkan’ itu diperlakukan pelbagai cara agar orang tersebut kelihatan tidak setanding dengan mereka, kurang kebolehan, kurang kemahiran dan rata-rata wajar diperlakukan sedemikian. Semuanya berpunca daripada perasaan kurang senang individu atau kumpulan tertentu kerana menganggap orang atau sekumpulan orang tersebut perlu ‘ditiadakan’. Mereka mengamalkan konsep ‘zero-sum game’ iaitu apabila mereka di atas, orang lain mesti berkedudukan lebih rendah daripada mereka, kerana hanya mereka yang boleh menjadi nombor satu dalam apa pun bidang. Lantas tidak hairanlah orang-orang begini bertindak tanpa etika atau integriti. Mereka menjadi ‘penjaga pintu’ atau ‘gatekeepers’ dan menentukan banyak hal sehingga sukar bagi orang lain menyuarakan sesuatu yang di luar kepompong tertentu. Bak gelas yang tidak penuh, orang-orang begini mudah berkocak dan apa pun yang mereka perolehi, tidak pernah mencukupi, lantas sesiapa yang dianggap ‘menggugat’ kedudukan mereka ‘dihapuskan’ dengan pelbagai cara.

Anda bekerja keras sejujur dan sebaiknya dalam kerjaya anda tetapi orang lain yang ‘menyulap’ segala, tanpa perlu bekerja keras sebagaimana sepatutnya. Anda melibatkan diri dalam sesuatu bidang dengan sepenuh tenaga, kemahiran, kebolehan dan kejujuran yang anda miliki, tetapi yang dipandang atau diketengahkan adalah mereka yang pandai memadui kata. Dan ‘memadam’ atau ‘menghapuskan’ jejak-jejak anda demikian terperinci dilakukan oleh individu-individu yang takut kepada persaingan ini. Mereka sering puji-memuji di kalangan mereka, mengenengahkan orang-orang sependirian seperti mereka, mengheboh dan menghebahkan hal-hal yang tohor dan picisan hasil ciptaan atau lakaran mereka tetapi mahu masyarakat menganggapnya sebagai mercu tanda tersohor bagi masyarakat kita. Semua yang dianggap ‘pesaing’ mereka diperlekehkan dan perlakukan seolah-olah orang-orang ini baru semalam muncul dalam persada tertentu. Pelbagai ruang dan pintu ditutup dalam gelap dan terang agar orang-orang tersebut patah semangatnya dan terkapar dalam keseorangan. Tanpa segan silu orang-orang sebegini mendabik dada bahawa merekalah ‘penentu’ pelbagai perkara yang kita anggap penting. Dan walaupun sebilangan mereka kelihatan seolah-olah orang-orang yang beradab dan beretika, mereka tidak berasa berdosa mempergunakan pelbagai media untuk menonjol-nonjolkan diri dan kumpulan mereka dan merendah-rendahkan sesiapa yang dianggap ‘pesaing’ mereka.

Kata Abraham Lincoln, anda boleh menipu sebilangan orang pada semua masa, dan semua orang pada sebilangan masa tetapi anda tidak boleh menipu semua orang pada semua masa. Betapa benar kata-kata ini jika ditujukan kepada individu atau kumpulan tertentu yang seolah-olah mahu mereka sahaja yang boleh mencorak-warnakan budaya, sastera, seni dan pelbagai hal yang berkaitan dengan masyarakat kita. Tanpa bersikap berlapang dada dan sama-sama meraikan apa yang terbaik di dalam masyarakat kita, selamanya individu atau kumpulan yang mudah berkocak ini akan berasa tergugat dan bertindak sewenang-wenangnya tetapi menyembunyikannya di sebalik pelbagai topeng. Yang mudah terpengaruh tentu akan terpengaruh dengan tindakan individu atau kumpulan yang pandai bersandiwara ini tetapi saya yakin, satu masa nanti semuanya akan menjadi jelas.

Dalam konteks ini, saya lampirkan dua buah sajak yang ada kaitannya dengan isu yang ditengahkan dalam catatan ini – sebuah sajak bertajuk ‘Betapa’ ditulis pada Januari 1980 dan sebuah lagi berjudul ‘Kisah Si Kaduk’ ditulis pada April 2014. Betapa benar kata peribahasa kita, di tempat tiada helang, belalang mengaku helang. Tetapi kita tidak sebodoh yang disangka individu atau kumpulan tertentu ini untuk tidak tahu membezakan yang mana belalang dan helang.

Saya yakin bahawa dalam semua hal, Allah lah penentunya. Pelbagai cara telah dan boleh dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, zaman berzaman, untuk ‘menghapuskan’ atau ‘memadamkan’ orang-orang yang dianggap ‘pesaing’. Betapa pun orang menutup pelbagai pintu, kalau Allah yang membukanya untuk orang atau orang-orang tertentu, ia tetap akan terbuka. Dan betapa pun individu atau kumpulan tertentu membuka dan merebut peluang hanya untuk diri dan kepentingan mereka, kalau Allah menutupnya, ia tetap tidak akan terbuka. Semua ada kitarannya dan kalau kita jujur, gigih dan berkebolehan dalam bidang pilihan kita, walaupun seolah-olah dipinggirkan, akhirnya benih-benih kejujuran dan keterampilan itu akan menumbuhkan pohon-pohon yang bermanfaat juga, walaupun ia akan mengambil masa, sebagaimana dinyanyikan P.Ramlee dalam lagu bertajuk ‘Bunga Melur’.

Tulisan: Rasiah Halil
16 Jun 2014.

Kisah Si Kaduk

Kisah Si Kaduk

Si Kaduk naik junjung
menganggap diri seteguh pohon
pohon dirayapi, melata ke atas
subur melilit, menegak, menjalar
laksana si jaguh pantang dicabar.

Tak terperi masyhurnya si Kaduk
di taman, belukar, semak samun
bagai si Kunani ligat bersabung
kampung tergadai, dia seronok
kertas kuyup, maruah bertabur
& dia asyik menajamkan taji
pencabar didarahi di sana sini.

Si Kaduk mahu dianggap unggul
riuh menentukan gelanggang, subuh
galak dikelilingi ayam-ayam upahan
penegak panji, pemalu canang
senyumnya sinis bak senyum raja
umpama ular menyusur akar
ayam-ayam pun mula bersembunyi
takut ditusuk taji sakti
maka nyaring & lantanglah kokok si Kaduk
tika reban & denak sama dilindung
& ayam-ayam semakin daif, bimbang
bila beruk di hutan si Kaduk susukan
ayam sereban mati kelaparan.

Kini si Kaduk masih berkokok
mengasah taji, meriuhi gelanggang
sanggup memakan muntah laksana Badang
ingin dinobat wazir, pendekar, pendeta zaman
sayangnya, hanya dadanya yang membusung
kokoknya gagap, nyaring, mentah
tajinya sepuhan, berkulat, bernanah
& reban pasirnya berdekatan Selat Singapura.

Ditulis: 19-21 April 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

How (Translation)

How

How easy to be like you
Appeasing everyone & everything
Commercializing your smile & dignity
Claiming a fighter, as long as it brings glory
Compromising, as long as you will never fall heavily
& humanity is just a word filling the agenda
Hoping for the moon to fall on your lap.*

How difficult to be like him
Ostracized by everyone & everything
Neither commercializing his smile nor dignity
Clearing the thick forest of insularity
Though often accused of poaching
& humanity shines in his attitude & deeds
He waits not for rainbows & pots of gold.*

How if one fine day
A person like you is honoured & admired
& a person like him is despised, then forgotten?

*Malay proverb (‘mengharap bulan jatuh ke riba’) – hoping for the good things in life or sudden wealth to be given to oneself, without much effort on one’s part.
* Malay proverb and general myth – waiting for opportunities to advance oneself, to make money and things related in such manner, most often without putting much effort. It could also be given a positive interpretation but it is used in the negative sense in the above poem.

Written in Malay (‘Betapa’) and translated to English by Rasiah Halil
Written: 20 January 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapore.

Betapa

Betapa

Betapa mudah menjadi seperti kau:
angguk sana, angguk sini
jual senyuman & harga diri
mengaku pejuang, asal saja dapat nama
bertolak ansur, asal saja tidak tersungkur
& perikemanusiaan hanya kita pengisi agenda
mengharap bulan jatuh ke riba.

Betapa payah menjadi seperti dia:
disingkir sana, disingkir sini
tak terbeli senyuman & harga diri
menebang kedangkalan yang berimba raya
walau dituduh perosak belantara
& perikemanusiaan terserlah pada sikap & amal
tidak dinanti pelangi & batil emas.

Betapa jika suatu ketika
seorang seperti kau disanjung & dipuja
& seorang seperti dia dicemuh lalu dilupa?

Ditulis: 20 Januari 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Pelepah

Pelepah

Kita sekadar pelepah
menanti masa
luruh atau kekal di atas
sebatang pohon kelapa
musim-musim menyemai, menuai,
hanyalah seketika
& pusaran alam terus merembat
pelepah tua, muda.

Ketika pelepah itu gugur
kita tertegun, berhiba,
belum pun lama mengakar
luruh satu-satu pelepahnya
& kita teringat pohon yang kita kenal
tempat permainan, masa-masa membesar,
yang tertinggal hanyalah kenangan
pelepah & pohon permai
makna kasih, sayang,
& kesementaraan.

Gugur sebatang pelepah, pohon,
pernah menghiasi, memberi, melindung,
yang dibawa hanyalah
benih-benih ikhlas
tumbuh & ranum di taman kekal.

Ditulis: 31 Oktober – 9 November 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Epilog (Kepada Siti Salina)

Epilog
(Kepada Siti Salina)

Di Rochor, tiada lagi Kampung Kambing
anak muda tidak menyiulkan “mera bulbul soraha hey”
tiada lagi terlihat wajah Mak Jah, Hilmy, Nahidah,
atau riuhnya gelagat Kurupaya Samy, si Bulat,
semuanya lengang
kecuali kenangan
pada suatu zaman selepas perang.

Di manakah kau sekarang
apakah di Kelantan, seperti
surat terakhirmu kepada Hilmy
atau masihkah kau di sini, bersendiri,
setelah Kampung Kambing terbakar
setelah penghuninya berpindah
mencari secarik makna
dalam hidup yang tiba-tiba tawar?

Betapa ganasnya perang, Salina,
membunuh keluarga & kekasih
membikin dunia jungkar-balik
& Jepun yang memaksa
menjerlus noda
pada rantaian pahitnya peristiwa.

Akankah mengerti seorang Fakar
makna kasihmu & pengorbanan
atau kaukah dilemahi ilusi
melihat pengganti pada petualang
mencintai kelasi yang garang & kejam?

Fakar bukan segalanya, Salina,
bukan kekasih & keluarga yang tiada
bukan tempat mengharap, menyerah,
tapi lihatlah
seorang Hilmy, seorang Nahidah,
seorang Sunarto, Bulat, Mak Jah,
tetap mengerti, mengasihi,
tetap pandai menilai manikam & kaca.

Di Rochor, tiada lagi Kampung Kambing
zaman selepas perang telah lama berakhir
tapi kau belum juga pulang, Salina,
masihkah mengejar fajar kazab
atau belum lagi berani melihat
sebutir bintang
pada malam-malammu sepi gelap?

Ditulis: Jun – 1 September 1989
Bedok, Singapura – Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.