Archive | July 2014

Menjelang Lagi Hari Raya 2014 M /1435H

MENJELANG LAGI HARI RAYA – 28 JULAI 2014/1 SYAWAL 1435

Arwah nenek saya selalu berasa sedih dengan menghilangnya Ramadan. Kata-kata yang sering diucapkan: “Dapat jumpakah lagi Ramadan?” masih terngiang-ngiang di telinga saya. Beliau menghargai Syawal kerana masa-masa inilah dapat ditemui anak cucunya di Singapura tetapi hatinya selalu terkenangkan Ramadan. Semakin saya meningkat dewasa, semakin saya memahami apa yang beliau maksudkan.

Namun kedatangan bulan-bulan Ramadan dan Syawal memusarkan pelbagai kenangan kita, baik yang lucu, menggembirakan dan juga menyedihkan. Bagai pita rakaman, kenangan-kenangan ini sering berputar pada bulan-bulan mulia ini.

Hampir 23 tahun lalu nenek saya berpulang ke rahmatullah pada bulan Disember 1991. Beliau tiba-tiba diserang barah dan dalam masa lebih kurang sebulan, nenek saya meninggal dunia. Saya baru pulang bertugas di Singapura setelah lebih 3 tahun berkhidmat di Brunei. Dalam masa setahun itu, pelbagai perkara yang tidak disangka-sangka berlaku terutama dalam kerjaya saya di Singapura. Dalam kesedihan yang tiba-tiba menggelapi masa depan saya, nenek saya selalu memberi saya semangat dan ketabahan. Dalam keadaan yang amat menduka dan memeranjatkan saya, dengan pelbagai fikiran yang terlintas, kehadiran dan keyakinan padu nenek saya memberi saya secercah harapan agar jangan berputus harap. Dulu, masa saya melalui zaman-zaman yang bergelora, beliau selalu mengingatkan: “Allah tidak akan memberatkan kita apa yang kita tak boleh tanggung, Idah.”(Inilah panggilan nenek kepada saya). Dan ketika pintu-pintu rezeki dan peluang saya seakan tertutup, beliau yang menasihatkan: “Orang boleh tutup semua pintu rezeki dan peluang, tapi kalau Allah bukakan, tiada siapa boleh menghalang.” Semasa air mata saya mengalir kerana hal-hal tertentu, nenek saya dengan lembut menasihatkan: “Lepas Idah menangis, Idah nak buat apa?” Nenek mengingatkan saya bahawa dalam apa hal pun yang merisaukan kita, termasuk kesedihan, kemarahan dan sebagainya, ada jangka waktu yang harus ditetapkan agar kita tidak terlalu berlarut dalam hal-hal yang boleh merosakkan jiwa kita.

Saya banyak terkenangkan nenek saya sebagaimana anda juga mungkin terkenangkan orang tua, pasangan hidup, ahli keluarga dan sahabat handai anda yang telah berpulang, pada bulan Ramadan yang berlalu dan bulan Syawal yang baru tiba ini.

Memang sukar untuk kita terus melupakan mereka yang telah pergi – dalam setiap solat, kita menghubungkan kasih kita kepada mereka dengan menghadiahkan mereka Al-Fatihah dan surah-surah Al-Quran. Dalam beberapa amalan, pahalanya dihadiahkan kepada mereka. Banyak yang telah dan akan kita lakukan di atas nama orang-orang yang kita sayang ini kerana kita yakin, segala kebaikan ini akan mereka perolehi manfaatnya di alam barzakh.

Namun sebagai manusia biasa, air mata kita sesekali mudah berlinang bila melihat sesuatu yang mengingatkan kita kepada mereka. Berpuluh tahun boleh berlalu, namun bagi kita, ia bagaikan semalam. Betapa pun kita sebagai seorang cucu/anak/pasangan/ahli keluarga/kawan yang telah cuba melakukan yang terbaik bagi mereka yang telah berpulang ke rahmatullah, dalam sanubari kita, kita terasa betapa sedikitnya yang telah kita lakukan untuk mereka. Kerana dalam hati nurani kita, jasa mereka kepada kita tidak mungkin dapat kita balas hingga ke akhir hayat kita.

Lebih daripada orang tua saya, saya merindui kedua-dua nenek dan datuk saya, yang membesarkan saya. Saya memanggil nenek saya ‘Mak’ dan datuk saya ‘Bak’. Datuk saya meninggal dunia ketika saya berumur 5 tahun; beliau dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (Singapore General Hospital), 3 hari setelah saya dimasukkan ke hospital yang lain (saya dipindahkan ke dua buah hospital). Beberapa hari setelah saya dikeluarkan dari hospital, datuk saya meninggal dunia. Hidup saya dan nenek saya serta keluarga berangkai saya, berubah setelah itu.

Nenek dan datuk saya yang memelihara saya sejak saya berusia 11 hari. Ketika saya berusia 8 tahun, saya ‘dikembalikan’ kepada keluarga saya, walaupun nenek saya datang ke rumah keluarga saya di Kampong Wak Tanjong setiap hari, kecuali pada hujung minggu (pada hujung minggu kadangkala saya ikut nenek saya pulang ke rumah keluarga berangkai saya di Jalan Kobis, dekat Kaki Bukit, Singapura). Kemudian, pada 1968, nenek saya lebih banyak meluangkan masa bersama adik-beradik saya kerana ibu saya tidak lagi tinggal sebumbung dengan bapa saya. Kami tinggal di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura, ketika itu.

Terlalu banyak kenangan saya bersama nenek saya – satu-satu insan di dunia ini yang saya panggil ‘mak’ kerana ibu saya pun saya tidak memanggilnya dengan panggilan ‘mak’. Dalam semua tulisan saya, bila saya menulis ‘mak’ atau menggambarkan seorang ibu, beliaulah yang saya maksudkan. Kalau ibu saya, saya akan sebut, ‘ibu saya’. Ini tidak bermakna saya tidak menyayangi ibu yang melahirkan saya – saya hanya lebih menyayangi wanita yang membesarkan saya. Nenek saya banyak berkorban untuk saya; dalam suka duka saya beliau bersama saya. Beliau telah melakukan segala-galanya yang dilakukan oleh seorang ibu untuk anaknya – hanya satu sahaja tidak dapat nenek saya lakukan untuk saya sebagai anaknya – beliau tidak dapat melahirkan saya. Tetapi dalam semua hal, beliaulah wanita yang saya anggap ibu saya, dunia dan akhirat.

Saya tidak akan menjadi seorang penulis/penyair seandainya nenek saya tidak membesarkan saya. Walaupun hanya boleh membaca tulisan Jawi, minatnya pada ilmu, seni dan hal-hal kemasyarakatan sedikit sebanyaknya tertumpah juga kepada saya. Amalan agamanya biasa-biasa sahaja tetapi rasa tanggungjawab dan keprihatinannya terhadap mereka di sekelilingnya menjadi kayu ukur bagi kehidupan saya. Anda akan mengenalinya lebih sedikit jika anda sudi membaca sajak-sajak saya berjudul ‘Perdu Kasih’, ‘Terkenang Nenda’, ‘Rahim Fatimah’ dan ‘Kenangan (1) – Jalan Kobis’ dalam blog ini mengenai nenek yang saya rindui dan sayangi ini.

Cerita nenek saya ini hanyalah satu cerita; banyak lagi cerita mengenai keluarga kita yang menimbulkan kenangan dan keharuan kita pada bulan Syawal ini. Selamanya akan kita rindui mereka dan kadangkala kita akan terfikir – apakah nasihat mereka seandainya kita dapat mengadu atau berkongsi dengan mereka hal-hal yang kita alami kini? Kita rindui senda gurau mereka, teguran mereka, leteran mereka dan masa-masa bersama yang kadangkala tidak perlu diisi dengan kata-kata tetapi sarat dengan kasih sayang mereka kepada kita. Betapa jauh alam barzakh dan kampung akhirat itu dan penghubung ke dua alam kita dan mereka hanyalah ayat-ayat Allah dan amalan-amalan yang diredai-Nya.

Dalam bergembira, hati kita dibauri kesedihan kerana terkenangkan mereka yang tiada. Semoga kasih sayang kita kepada mereka yang telah berpulang ke rahmatullah ini akan membuhulkan niat kita untuk melalui kehidupan ini dengan ciri-ciri yang terbaik, sebagaimana harapan mereka untuk kita. Bagi saya, ahli keluarga dan orang-orang yang saya sayangi tetapi kini telah berpulang ke rahmatullah, terutama nenek saya, masih ‘hidup’ lagi. Mereka masih ‘hidup’ bukan di alam nyata, tapi di hati kita. Dan selamanya orang-orang yang kita sayangi ini akan ‘hidup’ di hati kita, insya-Allah.

Semoga amalan-amalan baik kita pada bulan Ramadan diterima Allah dan semoga Allah menjadikan bulan-bulan seterusnya terisi sebaiknya sebagaimana bulan Ramadan. Dan semoga doa kita untuk mereka yang telah pergi sentiasa bergema di dalam sanubari dan kehidupan kita sehari-hari. Semoga kita sentiasa menghargai mereka yang masih bersama kita hari ini dan hari-hari seterusnya dan kita tetap mengambil berat terhadap keluarga nahas udara MH370, MH17 dan pelbagai nahas, bencana dan kematian yang telah terjadi terutama pada tahun ini. Dan semoga kita tetap prihatin terhadap mereka yang serba kekurangan dan yang dizalimi, apa pun bangsa, negara dan agama mereka dan di pelosok mana pun mereka berada, insya-Allah. Amin.

Selamat Hari Raya – Maaf Zahir dan Batin.

Ditulis: 1 Syawal 1435 Hijriah/28 Julai 2014 Masihi
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kebenaran Itu Akan Berlidah

Kebenaran Itu Akan Berlidah
(Sebahagiannya diilhami klip video kanak-kanak Gaza yang berkata:
“And I wish, I only wish that the truth has a tongue.”)

Kebenaran itu akan berlidah
jika nurani kita sentiasa mekar
memihak kepada yang dizalimi
berdoa untuk mangsa-mangsa tragedi
melakukan sesuatu, biar sekecil zarah
demi kemanusiaan & mereka.

Kebenaran itu akan berlidah
jika kita lebih saksama
enggan disilau wang & kuasa
lebih bersimpati & memahami
yang tertindas bukan Si Jalut
yang mempertahankan diri bukan pengganas
tika peluru, bom, fosforus menghujan
& seketul batu di tangan kanak-kanak
hanyalah pengisytiharan:
semangat juang itu tidak akan pudar.

Kebenaran itu akan terus berlidah
jika kita menghadami
cubit paha kanan, paha kiri terasa
tika darah bersimbah
kehancuran merata
cedera parah, nyawa, rumah, hospital, prasarana
di mana pun berlakunya
& kanak-kanak itu akan terus bersuara
mengobori kemanusiaan kita
untuk semua yang dimangsai
untuk Gaza.

Ditulis: 26 Julai 2014 Masihi/28 Ramadan 1435 Hijriah
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dan Mengalir Lagi Si Air Mata

FreePalestine Mother n ChildMH17-msia-ukraine-crash-graphic-AFP-180714

DAN MENGALIR LAGI SI AIR MATA

Prolog

Di selang-seli kesibukan memenuhi hari-hari terakhir Ramadan, masih banyak hal lain yang turut meruntun jiwa kita. Kita terkenang-kenangkan mereka yang telah pergi, sama ada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, mahupun biduanita yang kita sayangi. Terasa begitu terbatas segala apa yang dapat kita lakukan untuk mereka yang telah berpulang ke rahmatullah ini tetapi kita masih tetap mahu menghubungkan kasih kita kepada mereka melalui amalan-amalan yang baik yang dihadiahkan atau dibuat atas nama mereka. Dan air mata kita mudah mengalir mengingati mereka yang telah pergi ini.

Gaza/Palestin

Dan air mata kita turut mengalir mengikuti tragedi yang berlaku di Gaza, Palestin. Si Jalut (‘goliath’) bermaharajalela dan menyerang dengan senjata-senjata canggih, seolah-olah nyawa penduduk Gaza tiada berharga langsung. Tragedi ini bukanlah baharu, malah bermula sekitar 1948 tetapi ia semakin meledak semasa dan setelah 1967. Suara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (P.B.B./U.N.) tidak laku di daerah bergolak ini kerana Si Jalut licik membina rangkaian dan menyilaukan keadaan. Walaupun pembunuhan sebegini telah lama berlarut, nurani kita bagai disobek-sobek tiap kali membaca dan menonton mengenainya, lebih-lebih lagi yang berlaku pada tahun ini dan semasa bulan Ramadan 2014. Kita terasa keterbatasan kita untuk membantu – bukan kerana mereka saudara kita sesama Muslim sahaja tetapi mereka juga adalah saudara kita sesama manusia kerana bukan semua penduduk Gaza atau Palestin itu beragama Islam.  Nurani kita terpanggil untuk cuba melakukan sesuatu, sama ada berdoa, menyebarkan kisah tragedi ini, menderma dan membantu dengan penghantaran doktor pakar dan sebagainya yang dilakukan oleh Malaysia, misalnya. Adalah amat memedihkan melihat kuasa-kuasa dunia begitu bisu dan menghalalkan tragedi kemanusiaan sebegini terus menerus berlaku pada abad ke-21 ini.

Semasa Perang Dunia Kedua dan pelbagai tragedi yang berkaitan dengannya, terdengar kata-kata: ‘Never again’. Kita tidak mahu perkara-perkara yang amat buruk seperti pembunuhan orang-orang Yahudi dan orang-orang lain yang dilakukan Hitler misalnya atau pembunuhan yang dilakukan oleh tentera-tentera Axis di Asia dan beberapa tempat, berulang. Cukuplah setakat itu manusia dan kemanusiaan kita dirobek-robek. Tetapi apa yang berlaku di Gaza dan beberapa tempat yang lain baru-baru ini jelas menunjukkan kebanyakan kita belum menghadami kata-kata ‘Never again’ itu. Yang satu masa dulu menjadi mangsa di Eropah, memangsai pula penduduk asli di Gaza. Di manakah terperuknya kemanusiaan kita? Tidakkah air mata kita mengalir bila kanak-kanak dibaham peluru dan bom, wanita dan lelaki dewasa didera pelbagai cara dan hidup dalam sebuah penjara yang terbuka? Tanpa sistem pertahanan dan senjata canggih, bagaimana mereka dapat mempertahankan cebisan wilayah dan kedaulatan, mahupun harga diri mereka? Bila ubat-ubatan dan makanan disekat-sekat, dan tiap minggu ada sahaja anggota masyarakat mereka dibunuh, bagaimana sesuatu masyarakat itu harus terus bertahan? Bagaimana membina kesabaran dan ketabahan taraf tinggi semasa bulan Ramadan dan bulan-bulan lain apabila sebilangan besar masyarakat dunia seolah-olah menutup sebelah mata? Apakah kita membenci kedamaian bila air mata kita mengalir deras mengikuti tragedi mereka? Saya amat yakin kita amat terharu dan berasa bagaikan tangan-tangan kita digari bila mengikuti kisah di Gaza. Dan pihak-pihak yang berwenang bagai dikaburi mata mereka dan menyetujui kata-kata: ‘Might is right’.

Kita menangis bukan kerana sebilangan besar penghuni di Gaza itu orang Islam tetapi kita menangis kerana mereka adalah manusia – baik yang beragama Islam atau Kristian di Gaza dan Palestin, yang terus dimangsai pada zaman yang sering melaung-laungkan hak asasi dan demokrasi ini. Dan penyokong para penduduk Gaza yang dimangsai ini juga bukan hanya orang-orang Islam, malah orang-orang Kristian, Yahudi, dan penganut pelbagai agama dan mereka yang tidak beragama. Yang kita tentang tentunya dasar dan rejim Zionis, bukan orang-orang berbangsa dan beragama Yahudi. Kita berdoa semoga insan-insan yang mencintai kedamaian dan harga diri manusia dan kemanusiaan akan terus mara ke hadapan dan memberi pembelaan sewajarnya bagi penduduk Gaza dan Palestin yang dimangsai ini.

Penerbangan MH17

Berita terhempasnya penerbangan MH17 di Ukraine dan sempadan Rusia begitu memeranjatkan kita. Belum lagi reda hati kita dengan tragedi penerbangan MH370 lebih empat bulan yang lalu, satu lagi pesawat Malaysia Airlines ditimpa musibah. Dan semua penumpang dan anak kapalnya gugur. Ia bagaikan suatu ulang-tayang yang tak mahu kita tonton dan begitu mudah mengocakkan air di mata kita.

Saya menonton televisyen RTM1 semalam malam (awal pagi) bila berita penerbangan MH17 itu disiarkan. Saya bagaikan tidak percaya; bagi keluarga dan sahabat penumpang dan anak kapal penerbangan MH17, perasaannya mungkin amat memeranjatkan mereka. Dengan segera saya terfikirkan kawan saya, Z, yang menginap di Shah Alam, Selangor, Malaysia. Z sahabat saya sejak di kelas pra-universiti (form six/junior college/’A’ level). Beliau, yang terdidik di Singapura, merupakan rakyat Malaysia, dan meneruskan pelajaran tingginya di Malaysia. Z berumahtangga dengan seorang juruterbang MAS (penerbangannya mengikut laluan Eropah-Amerika Syarikat)dan mereka dikurniakan enam orang anak. Saya menganggap Z sebagai salah seorang sahabat karib saya; saya mengenali ibu bapa dan adik-beradiknya,suami dan anak-anak serta cucu-cucunya. Kami jarang dapat bertemu tetapi sesekali kami mengutus pesanan ringkas. Keluarga Z bagi saya bagaikan sebahagian daripada keluarga berangkai saya juga.

Mendengar berita penerbangan MH17, hati saya ingin menghubungi Z tapi saya urungkan dahulu kerana saya sebenarnya takut akan kemungkinannya. Setelah beberapa waktu berselang, saya mengutus sms dan bertanya sama ada suami Z berada di rumah dan dalam keadaan selamat. Z menjawab lebih kurang setengah jam setelah saya mengutus sms kepadanya, pada dinihari tadi. Dia memberitahu suaminya selamat dan berada di Amsterdam kerana tugas. Alhamdulillah, saya menjawab smsnya dan berkirim salam kepada suami dan keluarga Z. Namun, kesedihan itu tetap kita rasai, walaupun kita mungkin tidak mengenali sesiapa pun dalam penerbangan MH17. Bagaimanalah keluarga dan sahabat yang mereka tinggalkan – hanya Allah sahaja yang tahu kepiluan dan kesengsaraan yang mereka tanggung kerana kehilangan orang-orang yang mereka sayang. Bagi mereka yang beragama Islam, Hari Raya yang bakal menjelang pasti menimbulkan rasa keharuan yang mendalam kerana ahli keluarga dan sahabat mereka telah berpulang buat selama-lamanya. Kita berdoa semoga mereka yang terjejas ini akan sabar diduga Allah dan tabah menghadapi tragedi ini. Kita maklum, seperti yang dirakamkan peribahasa kita – betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, harapan kita mereka yang ditimpa tragedi penerbangan MH17 dan juga penerbangan MH370 akan Allah beri ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan hidup ini, walaupun sesekali masih beriring air mata.

Surah Adh-Dhuha

Saya sebenarnya pada mulanya ingin menulis mengenai Surah Adh-Dhuha, sebelum tragedi penerbangan MH17 ini berlaku. Saya bercadang ingin menulis sedikit mengenai kesan surah ini dalam entri sebelum bulan Syawal. Saya dapati surah ini amat menenangkan hati apabila ada perkara-perkara yang menimbulkan rasa kesedihan.

Walaupun saya ada juga membaca terjemahan Al-Quran dahulu, kesan Surah Adh-Dhuha ini hanya timbul bila saya diberi buku ‘In the Shade of Al-Quran’ tulisan Sayid Qutb. Buku tersebut merupakan himpunan beberapa surah Al-Quran yang dianalisis oleh Sayid Qutb dan dicetak secara siklostil dengan kulit buku yang sedikit tebal. Z memberinya kepada saya pada 20hb Jun 1978 – ketika Z menjadi mahasiswi kejuruteraan di Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UITM) dan saya menuntut dalam fakulti sastera dan sains kemasyarakatan di Universiti Singapura (sekarang NUS). Z mula bergiat dalam persatuan bercorak keislaman di ITM dan penampilannya juga mula berubah. Tetapi persahabatannya dengan saya dan dua orang lagi kawan kami (kami sering berempat) masih seperti biasa. Dahulu Z dan saya banyak berbincang dan mengutus surat mengenai hal-hal kemasyarakatan (termasuk juga hal-hal agama) tapi dengan kecenderungan baharunya, isu-isu keislaman lebih mendapat tumpuan Z. Buku yang agak besar ini diberikan kepada saya dengan kata-kata: ‘For Rasiah – Share with me this venture’. Saya mengambil masa untuk benar-benar ‘share this venture’ dengan Z tetapi salah satu tulisan Sayid Qutb, berkali saya ulangi membaca kerana ia menyentuh hati. Pada bulan Oktober, 1988, bila saya siapkan cerpen saya berjudul ‘Orang Luar’, saya masukkan juga Surah Adh-Dhuha kerana ia menggambarkan harapan yang Allah janjikan kepada hamba-hambanya. Sebelum ini saya tidak berani memasukkan apa-apa surah daripada Al-Quran dalam tulisan saya kerana berasa saya tidak layak berbuat demikian. Tetapi surah ini demikian menyentuh hati saya.

Pada bulan Disember 1990, saya mengerjakan umrah pertama saya. Pemergian saya memang tidak dijangkakan – saya hanya menemani pangkat sepupu saya dan kawannya menghadiri ceramah mengenai umrah. Kedua-dua mereka mendapat tiket percuma untuk mengerjakan umrah kerana mereka bekerja di sebuah syarikat penerbangan. Tetapi akhirnya tiket percuma itu tdak jadi diberi kepada mereka kerana masa itu Iran dan Iraq hampir berperang. Saya yang hanya menemani mereka, akhirnya terfikir apakah saya mahu mengerjakan umrah selama 11 hari itu. Saya baru bertugas semula di Singapura, setelah berkhidmat selama lebih 3 tahun di Brunei. Mungkin saya tidak akan mendapat cuti walaupun jangka masa umrah itu sebenarnya cuti pendek semester di NUS. Setelah solat istikharah, saya membuat keputusan saya akan mengerjakan umrah, walaupun tidak ditemani sesiapa dan saya juga mendapat cuti.

Surah Adh-Dhuha saya hafal makna yang diberi Sayid Qutb yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Walaupun saya ada membaca terjemahan surah ini oleh A. Yusuf Ali dan lain-lain, terjemahan Sayid Qutb yang menjadi ingatan saya. Umrah pada bulan Disember 1990 itu bertolak dari Singapura ke Madinah dan kemudian ke Makkah. Kami sampai di sebuah masjid yang kecil (saya dah lupa namanya) hampir waktu subuh sebelum ke hotel yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Pada masa itu Masjid Nabawi tidaklah sebesar sekarang dan mudah pula untuk kita bersolat di Raudhah dan menziarahi Makam Nabi saw.

Yang saya amat tersentuh, ketika bersolat subuh di masjid kecil di Madinah atau perjalanan ke Madinah itu, imam solat subuh itu membaca Surah Adh-Dhuha. Air mata saya tak berhenti mengalir mendengar bacaan imam, yang seolah-olah menjawab beberapa keresahan dan kesedihan saya ketika itu.

Saya perturunkan kini terjemahan Surah Adh-Dhuha yang dibuat oleh Sayid Qutb dalam bukunya, ‘In the Shade of Al-Quran’:

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful
1. By the white forenoon,
2. And the brooding night:
3. Your Lord has neither forsaken you nor hates you.
4. What is to come shall be better for you than what already was.
5. And certainly your Lord will give unto you until you are satisfied.
6. Did He not find you an orphan and shelter you?
7. Did He not find you wandering and guide you?
8. Did He not find you destitute and enrich you?
9. So as you the orphan, do not oppress him;
10. And for him who asks, scold him not;
11. And as for the bounty of your Lord, proclaim it.

Terjemahan bahasa Melayunya diambil daripada tulisan Syed Abdillah Ahmad Aljufri dalam bukunya, ‘Pelita Al-Quran, Juz 30’:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang
1. Demi waktu Dhuha.
2. Dan malam apabila senyap dengan kegelapannya.
3. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak benci kepadamu.
4. Sebenarnya akhirat lebih baik bagimu daripada dunia.
5. Dan nanti Tuhanmu akan memberimu pemberian yang engkau redai.
6. Bukankah engkau didapati yatim lalu dilindungi-Nya kamu.
7. Dan Dia telah dapati kamu tiada mengetahui lalu ditunjuki-Nya kamu.
8. Dan Dia telah dapati kamu miskin lalu dikayakan-Nya kamu.
9. Sebab itu anak yatim janganlah engkau kuasai.
10. Dan orang yang meminta janganlah engkau herdik.
11. Dan terhadap nikmat Tuhanmu hendaklah kamu sebarkan.

Kesimpulan

Pelbagai perkara akan menggusar dan menyedihkan kita, sama ada tragedi penerbangan MH17, keadaan di Gaza dan beberapa pelosok dunia, pemergian ke rahmatullah orang-orang yang kita sayangi, masalah pekerjaan, perhubungan, kesihatan, kewangan, pembelajaran dan sebagainya. Selagi kita hidup sudah pasti kita diterjah pelbagai masalah dan diuji Allah. Semoga dalam gusar dan getir kita akan ada ayat-ayat Allah seperti Surah Adh-Dhuha dan lain-lainnya, selain hadis-hadis Nabi saw serta kata-kata hikmah daripada khazanah peradaban Islam terutamanya, dan juga daripada khazanah dunia yang akan selalu menenangkan kita dan menjadi pendorong untuk kita belajar bersabar, tabah dan tidak mengenal erti putus asa dalam mengharungi dugaan dan kehidupan yang dihamparkan-Nya untuk kita. Insya-Allah.

Tulisan: Rasiah Halil
Bedok, Singapura
18hb – 19hb Julai 2014.

Al-Fatihah Buat Biduanita Sharifah Aini

SA 2SA 3SA 5

Seri Dewi Malam*
(Buat Sharifah Aini)

Kau adalah bunga tanjung* yang mekar di waktu malam
kadangkala begitu harum, tapi tidak disunting untuk hiasan
kau juga adalah burung pungguk* yang berhiba melihat bulan
dengan resah & riamu mengabadikan sesebuah kenangan
apakah kau juga sekuntum teratai* yang hanya layak untuk melambai
sedang tasikmu juga bakal dilanda musim kemarau.

Seri Dewi Malam, hidup memang selalu mengajar & berbilang makna
dendangkanlah suara hatimu dalam alunan yang merdu lagi mesra
sesekali bila suaramu terdengar, ingin kulihat kau berbaju kurung & bertocang dua
yang mengenalkanku kepelbagaian perasaanmu & kekayaan irama pusaka
sesekali getaran senandung sepimu pernah membuatku berdoa:
semoga kau bertemu insan yang sudi memberimu pelangi yang amat indah*.

Ditulis: 19 Mac 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

*Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Burung Pungguk dan Teratai – tajuk-tajuk lagu nyanyian Biduanita Sharifah Aini.
*‘pelangi yang amat indah ‘ – petikan sajak ‘Suarahatiku’ tulisan A. Samad Said.

Sajak ‘Seri Dewi Malam’ pernah dijadikan lagu (tidak dirakamkan untuk pendengaran umum) oleh Allahyarham Bani Farouk daripada kumpulan ‘Gingerbread’. Pita rakaman lagu ini telah diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini oleh Bani Farouk pada akhir tahun-tahun 1990-an dahulu (saya tidak ingat tarikhnya yang tepat tetapi saya ingat ia dicipta oleh Bani Farouk dan diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini pada akhir tahun-tahun 1990-an). Bani Farouk menemui Biduanita Sharifah Aini dalam sebuah persembahan seni dan turut menghantarnya ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Changi, Bani Farouk memperdengarkan lagu ‘Seri Dewi Malam’ kepada Biduanita Sharifah Aini dan memberinya pita rakaman lagu tersebut. Bani Farouk memberitahu saya Biduanita Sharifah Aini suka mendengar lagu itu tetapi memintanya agar memperlahankan sedikit tempo lagu tersebut kerana tempo lagu ‘Seri Dewi Malam’ agak cepat.

Allahyarham Bani Farouk merupakan adik ipar seorang kawan saya. Beliau banyak berbincang-bincang mengenai hal-hal kesenian dengan saya pada akhir tahun-tahun 90-an tersebut. Saya memberi beliau antologi puisi pertama saya, ‘Perbualan: Buku Catatan Seorang Gipsi’ dan juga sajak ‘Seri Dewi Malam’, yang tidak dimuatkan dalam antologi tersebut, untuk bacaan beliau. Tanpa disuruh-suruh dan disangka-sangka, Bani Farouk meminta keizinan saya untuk mencipta lagu bagi sajak ‘Seri Dewi Malam’. Lagu ini kemudian, dengan keizinan saya, digunakan untuk projek akhir tahun seorang pelajar bidang perfileman di Singapura pada akhir tahun-tahun 90-an itu selain diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini dan menempatkan Allahyarhamah di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan terpilih di syurga. Amin. Al-Fatihah.

PS: Saya akan menambah tulisan mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini ini semasa bulan Syawal nanti bersama tulisan mengenai Allahyarham Pak Ghani Hamid, Allahyarham Pak Aziz Sattar dan lain-lain, insya-Allah.

Saya mendapat panggilan telefon daripada salah seorang adik angkat Allahyarhamah, Khir, jam 8 lebih pagi, 4 Julai lalu. Khir memberitahu saya Allahyarhamah sakit tenat. Kami berbincang beberapa hal mengenai Allahyarhamah dan hal-hal lain dan saya ada juga mencadangkan Khir memberikan sejumlah ayat syifa’ yang pernah saya beri kepada Allahyarhamah Kartina Dahari dahulu. Khir ada membuat salinan foto beberapa ayat syifa’ itu, bukan semuanya. Saya yakin, seperti Allahyarhamah Kartina Dahari, Allahyarhamah Sharifah Aini pasti memiliki sebilangan ayat syifa’ ini tetapi ini tidak mengapa asal sahaja ayat-ayat tersebut diberikan juga kepadanya.

Pada 5 Julai, sekitar jam 1 lebih pagi, Khir mengirim sms (pesanan ringkas) kepada saya memberitahu Biduanita Sharifah Aini telah berpulang ke rahmatullah. Saya amat terperanjat. Beberapa sms yang ringkas diutus antara Khir dan saya. Khir memberitahu saya beliau akan berangkat ke KL dalam penerbangan jam 6 pagi untuk menghadiri upacara menyempurnakan jenazah Allahyarhamah. Saya langsung tidak dapat tidur selepas menenerima berita daripada Khir dan mengirim beberapa sms kepada beberapa orang saudara dan sahabat saya di dalam dan luar negara Singapura. Saya ikuti berita mengenai Allahyarhamah di Internet dan RTM1.

Seperti kebanyakan penggemar lagu-lagu Melayu dan peminat Allahyarhamah yang membesar bersama lagu-lagunya, tentu banyak cerita boleh ditulis mengenai kesan lagu-lagunya kepada kita dan sumbangan Allahyarhamah kepada dunia kesenian kita. Tapi saya masih belum boleh menulisnya buat masa ini kerana saya masih dalam keadaan sedikit terperanjat dan sedih. Dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, biarlah kita reda dan redakan hati kita menerima berita yang menyedihkan ini. Insya-Allah ada tulisan yang lebih lanjut pada bulan Syawal nanti. Semoga kita yang masih terharu mengenai pemergian Allahyarhamah akan sedia menggantikan rasa sedih dan air mata kita dengan selalu menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, insya-Allah.

PPS: Seorang sahabat saya, Sharifah, menelefon saya pada Rabu (9/7/14) lalu. Sharifah yang menginap di California, tidak pernah menelefon saya dari sana; kami sesekali mengutus emel dan bila beliau berada di Singapura, sering menghubungi saya. Seperti saya, Sharifah terperanjat dan terharu di atas pemergian Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini. Mungkin juga beliau menantikan tulisan saya selanjutnya mengenai Allahyarhamah kerana masih terkenang kami berdua bertemu Allahyarhamah pada 1977 dulu. Mungkin juga seperti kebanyakan orang, Sharifah terasa zaman orang-orang yang kita kenal, satu persatu pulang ke rahmatullah. Dalam masa terdekat ini, dua orang sahabat kami dari kampus Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura/NUS) telah meninggal dunia. Dan pemergian Allahyarhamah, yang lagu-lagunya banyak menyerikan zaman remaja dan dewasa kami, melambangkan lagi pemergian orang-orang yang sama membesar pada zaman tersebut.

Saya memberitahu Sharifah saya belum dapat menulis mengenai Allahyarhamah. Selain sedikit kurang sihat dan disibukkan oleh kerja terjemahan yang agak besar yang saya selesaikan pada hari Rabu lalu (9 Julai) dan memandangkan bulan Ramadan yang mulia ini, saya juga masih terharu dan sukar menulis mengenai Allahyarhamah. Menghadiahkannya Al-Fatihah dan Surah Yasin pun air mata saya bergenang dan menitis.

Dalam terkenang-kenangkan Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini semalam, saya teringatkan sebuah sajak yang saya tulis mengenai tiga kematian yang berlaku pada tahun 2009 – seorang penjual perata di pusat penjaja berdekatan rumah saya, Farrah Fawcett dan Michael Jackson. Sajak itu bukan hanya mengenai kematian mereka tetapi mengenai zaman mereka (Farrah dan Michael) terlibat dalam seni dan sentuhan mereka kepada kehidupan kita. Ia juga mengingatkan sumbangan para seniman kepada kehidupan kita dan betapa kematian itu boleh tiba pada bila-bila masa. Kerana saya belum boleh menulis catatan atau puisi mengenai pemergian Allahyarhamah, mungkin sajak yang saya titipkan di bawah ini dapat menggambarkan sebahagian perasaan kita bukan sahaja terhadap nama-nama yang disebut dalam sajak ini, tetapi juga Allahyarhamah. Hanya setelah membaca-baca sajak ‘Tiga Kematian’ ini baru saya perasan – sajak ini mula ditulis pada 26 Jun 2009 dan diselesaikan pada 5 Julai 2009. Dan lima tahun setelah saya selesaikan sajak ini, pada 5 Julai 2014, Allah menjemput biduanita kesayangan ramai, Allahyarhamah Sharifah Aini, ke sisi-Nya.

Tiga Kematian

Aku terkejut menyaksikan Ali, penjual perata,
yang tengah bergurau & ketawa, tiba-tiba rebah,
panik di pusat penjaja, dia terus tidak sedar,
walau dibantu saudara, rakan, doktor, paramedik,
dikejarkan ke hospital, tapi pada tengah hari 25 Jun itu,
usia 34, isteri hamil & anak masih kecil, riwayatnya berakhir.

Dinihari, aku sibuk menyelesaikan terjemahan di komputer,
& terbaca, Farrah Fawcett, 62, meninggal dunia, aku terkenang
kisah-kisah di kampus, ‘Siswa Anekarama’, ‘Kelas Bimbingan’,
siri-siri 70-an, ‘Charlie’s Angels’, ‘Donny & Marie’, ‘Six Million Dollar
Man’, ‘Bionic Woman’, ‘The Paper Chase’, ‘Mork & Mindy’, &
terkenang keluarga & kenalan yang ditewaskan pelbagai barah ini.

Kutonton TV, mencari berita Farrah Fawcett ‘tika dinihari,
yang muncul hanyalah berita yang tambah menyentak lagi:
Michael Jackson, 50, jantungnya tiba-tiba terhenti,
& helikopter menderunya ke hospital di Los Angeles.

Dalam kelas, pagi 26 Jun itu, aku ceritakan kisah Ali & keluarga
yang ditinggalkan, kisah Farrah Fawcett, & kuberitahu
bagaimana subuh tadi CNN tunjukkan Michael Jackson
dikejarkan ke hospital, & semoga dia selamat. Sekali lagi aku
tersentak: ‘Cikgu, Michael Jackson sudah meninggal.’ Tergamam,
aku terkenangkan lagu-lagu Motown, Jackson 5, ‘Never Can Say
Goodbye’, ‘Ben’, ‘One Day In Your Life’, ‘Beat It’, ‘We Are The
World’. Aku teringatkan P. Ramlee, Saloma, Elvis, The Beatles,
seniman-seniman sejati yang turut menyumbang, warna-warni
kehidupan, tetapi hidup sepi, menderita, walau kadangkala kaya,
bila dipinggirkan atau hilang erti hidupnya.

Dijangka atau tiba-tiba
kematian itu memeranjatkan kita
selebriti atau orang biasa
& kita tergamam, menginsafi keterbatasan
usaha manusia
kesementaraan segala
& besarnya nikmat kehidupan yang diberi-Nya.

Ditulis: 26hb Jun – 5hb Julai 2009;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dalam kita menghadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, hadiahkanlah juga Al-Fatihah kepada para seniman, saudara-mara serta sekalian Muslimin dan Muslimat yang telah berpulang ke rahmatullah.

Dan membaca dan melihat pelbagai angkara yang berlaku kini, marilah kita sama-sama berdoa untuk saudara-saudara kita sesama Islam dan sesama manusia yang dizalimi dan ditindas di beberapa pelosok dunia, terutamanya di Gaza, Palestin. Semoga Allah sentiasa memberi ketabahan dan kekuatan kepada mereka yang dizalimi ini, insya-Allah. Amin.

Si Jalut (ii)*

Kau boleh bebas memusnah
dengan senjata tercanggih, propaganda,
kau boleh sewenang-wenang menjarah
injak Resolusi 242
biar darah membusa di bumi bertuah
dengan angguk & bisunya pemimpin dunia.

Bunuhlah kanak-kanak & wanita
lenyapkan penduduk yang disekat semua
musnahkan prasarana bagai gurun sahara
peradaban itu untuk yang perkasa
peradaban itu untuk yang terpilih
peradaban itu mewajarkan segala.

Betapapun liciknya kau menyilau dunia
kebiadaban & kezaliman pasti tersungkur jua.

*Jalut- ‘gergasi’/kuasa yang besar (‘Goliath’) seperti cerita Nabi Daud a.s. dengan Jalut.

Ditulis: 29hb Disember 2008 – 7hb Januari 2009;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.