Al-Fatihah Buat Biduanita Sharifah Aini

SA 2SA 3SA 5

Seri Dewi Malam*
(Buat Sharifah Aini)

Kau adalah bunga tanjung* yang mekar di waktu malam
kadangkala begitu harum, tapi tidak disunting untuk hiasan
kau juga adalah burung pungguk* yang berhiba melihat bulan
dengan resah & riamu mengabadikan sesebuah kenangan
apakah kau juga sekuntum teratai* yang hanya layak untuk melambai
sedang tasikmu juga bakal dilanda musim kemarau.

Seri Dewi Malam, hidup memang selalu mengajar & berbilang makna
dendangkanlah suara hatimu dalam alunan yang merdu lagi mesra
sesekali bila suaramu terdengar, ingin kulihat kau berbaju kurung & bertocang dua
yang mengenalkanku kepelbagaian perasaanmu & kekayaan irama pusaka
sesekali getaran senandung sepimu pernah membuatku berdoa:
semoga kau bertemu insan yang sudi memberimu pelangi yang amat indah*.

Ditulis: 19 Mac 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

*Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Burung Pungguk dan Teratai – tajuk-tajuk lagu nyanyian Biduanita Sharifah Aini.
*‘pelangi yang amat indah ‘ – petikan sajak ‘Suarahatiku’ tulisan A. Samad Said.

Sajak ‘Seri Dewi Malam’ pernah dijadikan lagu (tidak dirakamkan untuk pendengaran umum) oleh Allahyarham Bani Farouk daripada kumpulan ‘Gingerbread’. Pita rakaman lagu ini telah diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini oleh Bani Farouk pada akhir tahun-tahun 1990-an dahulu (saya tidak ingat tarikhnya yang tepat tetapi saya ingat ia dicipta oleh Bani Farouk dan diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini pada akhir tahun-tahun 1990-an). Bani Farouk menemui Biduanita Sharifah Aini dalam sebuah persembahan seni dan turut menghantarnya ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Changi, Bani Farouk memperdengarkan lagu ‘Seri Dewi Malam’ kepada Biduanita Sharifah Aini dan memberinya pita rakaman lagu tersebut. Bani Farouk memberitahu saya Biduanita Sharifah Aini suka mendengar lagu itu tetapi memintanya agar memperlahankan sedikit tempo lagu tersebut kerana tempo lagu ‘Seri Dewi Malam’ agak cepat.

Allahyarham Bani Farouk merupakan adik ipar seorang kawan saya. Beliau banyak berbincang-bincang mengenai hal-hal kesenian dengan saya pada akhir tahun-tahun 90-an tersebut. Saya memberi beliau antologi puisi pertama saya, ‘Perbualan: Buku Catatan Seorang Gipsi’ dan juga sajak ‘Seri Dewi Malam’, yang tidak dimuatkan dalam antologi tersebut, untuk bacaan beliau. Tanpa disuruh-suruh dan disangka-sangka, Bani Farouk meminta keizinan saya untuk mencipta lagu bagi sajak ‘Seri Dewi Malam’. Lagu ini kemudian, dengan keizinan saya, digunakan untuk projek akhir tahun seorang pelajar bidang perfileman di Singapura pada akhir tahun-tahun 90-an itu selain diberikan kepada Biduanita Sharifah Aini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini dan menempatkan Allahyarhamah di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan terpilih di syurga. Amin. Al-Fatihah.

PS: Saya akan menambah tulisan mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini ini semasa bulan Syawal nanti bersama tulisan mengenai Allahyarham Pak Ghani Hamid, Allahyarham Pak Aziz Sattar dan lain-lain, insya-Allah.

Saya mendapat panggilan telefon daripada salah seorang adik angkat Allahyarhamah, Khir, jam 8 lebih pagi, 4 Julai lalu. Khir memberitahu saya Allahyarhamah sakit tenat. Kami berbincang beberapa hal mengenai Allahyarhamah dan hal-hal lain dan saya ada juga mencadangkan Khir memberikan sejumlah ayat syifa’ yang pernah saya beri kepada Allahyarhamah Kartina Dahari dahulu. Khir ada membuat salinan foto beberapa ayat syifa’ itu, bukan semuanya. Saya yakin, seperti Allahyarhamah Kartina Dahari, Allahyarhamah Sharifah Aini pasti memiliki sebilangan ayat syifa’ ini tetapi ini tidak mengapa asal sahaja ayat-ayat tersebut diberikan juga kepadanya.

Pada 5 Julai, sekitar jam 1 lebih pagi, Khir mengirim sms (pesanan ringkas) kepada saya memberitahu Biduanita Sharifah Aini telah berpulang ke rahmatullah. Saya amat terperanjat. Beberapa sms yang ringkas diutus antara Khir dan saya. Khir memberitahu saya beliau akan berangkat ke KL dalam penerbangan jam 6 pagi untuk menghadiri upacara menyempurnakan jenazah Allahyarhamah. Saya langsung tidak dapat tidur selepas menenerima berita daripada Khir dan mengirim beberapa sms kepada beberapa orang saudara dan sahabat saya di dalam dan luar negara Singapura. Saya ikuti berita mengenai Allahyarhamah di Internet dan RTM1.

Seperti kebanyakan penggemar lagu-lagu Melayu dan peminat Allahyarhamah yang membesar bersama lagu-lagunya, tentu banyak cerita boleh ditulis mengenai kesan lagu-lagunya kepada kita dan sumbangan Allahyarhamah kepada dunia kesenian kita. Tapi saya masih belum boleh menulisnya buat masa ini kerana saya masih dalam keadaan sedikit terperanjat dan sedih. Dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, biarlah kita reda dan redakan hati kita menerima berita yang menyedihkan ini. Insya-Allah ada tulisan yang lebih lanjut pada bulan Syawal nanti. Semoga kita yang masih terharu mengenai pemergian Allahyarhamah akan sedia menggantikan rasa sedih dan air mata kita dengan selalu menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, insya-Allah.

PPS: Seorang sahabat saya, Sharifah, menelefon saya pada Rabu (9/7/14) lalu. Sharifah yang menginap di California, tidak pernah menelefon saya dari sana; kami sesekali mengutus emel dan bila beliau berada di Singapura, sering menghubungi saya. Seperti saya, Sharifah terperanjat dan terharu di atas pemergian Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini. Mungkin juga beliau menantikan tulisan saya selanjutnya mengenai Allahyarhamah kerana masih terkenang kami berdua bertemu Allahyarhamah pada 1977 dulu. Mungkin juga seperti kebanyakan orang, Sharifah terasa zaman orang-orang yang kita kenal, satu persatu pulang ke rahmatullah. Dalam masa terdekat ini, dua orang sahabat kami dari kampus Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura/NUS) telah meninggal dunia. Dan pemergian Allahyarhamah, yang lagu-lagunya banyak menyerikan zaman remaja dan dewasa kami, melambangkan lagi pemergian orang-orang yang sama membesar pada zaman tersebut.

Saya memberitahu Sharifah saya belum dapat menulis mengenai Allahyarhamah. Selain sedikit kurang sihat dan disibukkan oleh kerja terjemahan yang agak besar yang saya selesaikan pada hari Rabu lalu (9 Julai) dan memandangkan bulan Ramadan yang mulia ini, saya juga masih terharu dan sukar menulis mengenai Allahyarhamah. Menghadiahkannya Al-Fatihah dan Surah Yasin pun air mata saya bergenang dan menitis.

Dalam terkenang-kenangkan Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini semalam, saya teringatkan sebuah sajak yang saya tulis mengenai tiga kematian yang berlaku pada tahun 2009 – seorang penjual perata di pusat penjaja berdekatan rumah saya, Farrah Fawcett dan Michael Jackson. Sajak itu bukan hanya mengenai kematian mereka tetapi mengenai zaman mereka (Farrah dan Michael) terlibat dalam seni dan sentuhan mereka kepada kehidupan kita. Ia juga mengingatkan sumbangan para seniman kepada kehidupan kita dan betapa kematian itu boleh tiba pada bila-bila masa. Kerana saya belum boleh menulis catatan atau puisi mengenai pemergian Allahyarhamah, mungkin sajak yang saya titipkan di bawah ini dapat menggambarkan sebahagian perasaan kita bukan sahaja terhadap nama-nama yang disebut dalam sajak ini, tetapi juga Allahyarhamah. Hanya setelah membaca-baca sajak ‘Tiga Kematian’ ini baru saya perasan – sajak ini mula ditulis pada 26 Jun 2009 dan diselesaikan pada 5 Julai 2009. Dan lima tahun setelah saya selesaikan sajak ini, pada 5 Julai 2014, Allah menjemput biduanita kesayangan ramai, Allahyarhamah Sharifah Aini, ke sisi-Nya.

Tiga Kematian

Aku terkejut menyaksikan Ali, penjual perata,
yang tengah bergurau & ketawa, tiba-tiba rebah,
panik di pusat penjaja, dia terus tidak sedar,
walau dibantu saudara, rakan, doktor, paramedik,
dikejarkan ke hospital, tapi pada tengah hari 25 Jun itu,
usia 34, isteri hamil & anak masih kecil, riwayatnya berakhir.

Dinihari, aku sibuk menyelesaikan terjemahan di komputer,
& terbaca, Farrah Fawcett, 62, meninggal dunia, aku terkenang
kisah-kisah di kampus, ‘Siswa Anekarama’, ‘Kelas Bimbingan’,
siri-siri 70-an, ‘Charlie’s Angels’, ‘Donny & Marie’, ‘Six Million Dollar
Man’, ‘Bionic Woman’, ‘The Paper Chase’, ‘Mork & Mindy’, &
terkenang keluarga & kenalan yang ditewaskan pelbagai barah ini.

Kutonton TV, mencari berita Farrah Fawcett ‘tika dinihari,
yang muncul hanyalah berita yang tambah menyentak lagi:
Michael Jackson, 50, jantungnya tiba-tiba terhenti,
& helikopter menderunya ke hospital di Los Angeles.

Dalam kelas, pagi 26 Jun itu, aku ceritakan kisah Ali & keluarga
yang ditinggalkan, kisah Farrah Fawcett, & kuberitahu
bagaimana subuh tadi CNN tunjukkan Michael Jackson
dikejarkan ke hospital, & semoga dia selamat. Sekali lagi aku
tersentak: ‘Cikgu, Michael Jackson sudah meninggal.’ Tergamam,
aku terkenangkan lagu-lagu Motown, Jackson 5, ‘Never Can Say
Goodbye’, ‘Ben’, ‘One Day In Your Life’, ‘Beat It’, ‘We Are The
World’. Aku teringatkan P. Ramlee, Saloma, Elvis, The Beatles,
seniman-seniman sejati yang turut menyumbang, warna-warni
kehidupan, tetapi hidup sepi, menderita, walau kadangkala kaya,
bila dipinggirkan atau hilang erti hidupnya.

Dijangka atau tiba-tiba
kematian itu memeranjatkan kita
selebriti atau orang biasa
& kita tergamam, menginsafi keterbatasan
usaha manusia
kesementaraan segala
& besarnya nikmat kehidupan yang diberi-Nya.

Ditulis: 26hb Jun – 5hb Julai 2009;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dalam kita menghadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, hadiahkanlah juga Al-Fatihah kepada para seniman, saudara-mara serta sekalian Muslimin dan Muslimat yang telah berpulang ke rahmatullah.

Dan membaca dan melihat pelbagai angkara yang berlaku kini, marilah kita sama-sama berdoa untuk saudara-saudara kita sesama Islam dan sesama manusia yang dizalimi dan ditindas di beberapa pelosok dunia, terutamanya di Gaza, Palestin. Semoga Allah sentiasa memberi ketabahan dan kekuatan kepada mereka yang dizalimi ini, insya-Allah. Amin.

Si Jalut (ii)*

Kau boleh bebas memusnah
dengan senjata tercanggih, propaganda,
kau boleh sewenang-wenang menjarah
injak Resolusi 242
biar darah membusa di bumi bertuah
dengan angguk & bisunya pemimpin dunia.

Bunuhlah kanak-kanak & wanita
lenyapkan penduduk yang disekat semua
musnahkan prasarana bagai gurun sahara
peradaban itu untuk yang perkasa
peradaban itu untuk yang terpilih
peradaban itu mewajarkan segala.

Betapapun liciknya kau menyilau dunia
kebiadaban & kezaliman pasti tersungkur jua.

*Jalut- ‘gergasi’/kuasa yang besar (‘Goliath’) seperti cerita Nabi Daud a.s. dengan Jalut.

Ditulis: 29hb Disember 2008 – 7hb Januari 2009;
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s