Archive | August 2014

Seribu Mawar Untuk Seri Dewi Malam

SA 3Sharifah Aini 2

Seribu Mawar Untuk Seri Dewi Malam

(Mengenang Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini
Lahir: 2 Julai 1953 – Meninggal Dunia: 5 Julai 2014)

Masih menitiskah si air mata
setiap kali suaramu terdengar
atau rakaman senimu dipersembah
setelah sebak sejak 5 Julai lalu
setelah Ramadan & Syawal disarati pilu
kerana pemergianmu yang tiba-tiba
memeranjatkan, menghiba
insan seni yang diranjaui dugaan
berakhir di Perkuburan Bukit Kiara
dalam istirahat panjang.

Dari Bintang RTS ke Seri Dewi Malam
gemerlapan bakatmu semula jadi, besar
gemersik bagai belaian bayu
melirik bagai kasih terbuku
merdu & menjentik bagai nafiri alam
senja meremang, subuh membangkitkan
suaramu melantunkan suara hati kami
dalam suka, duka, girang, kecewa
bertahun beralun sejak 1970
dalam pelbagai irama, nada, tempo
indah, mengharu, mengasyikkan
bak permata & emas tempawan
bukannya kaca & emas sepuhan.

Siapakah yang benar-benar memahami
impian & harapan seorang anak seni
dalam senyumnya ada tangis
dalam hiburnya hati terguris
bertatih dalam kedaifan
bergulat dengan pengalaman
demi Abah, Mak, masa hadapan
dari Kampung Majidee di Johor
hingga ke Singapura, Kuala Lumpur
& seni suara, lirik, lakon yang kau ceburi
memaknakan kewujudan & jati diri.

Betapa jauh perjalananmu sejak 1969
bersinar, lindap, bersimpang-perinang
menempuh gurun & gunung-ganang
melalui lebuh raya & lorong tak beraspal
yang membahagiakan kau & menyimpangkan
pada keluarga, keluarga angkat, sahabat, peminat
pada kasih-kasih yang putus
peristiwa-peristiwa mencerut
mahligai-mahligai runtuh
tengkarah bertubi, berlarut
sehingga bahteramu seakan hanyut
dibadai raksasanya gelombang, arus
tanpa sepenuhnya disokongi anak kapal, pelampung.

Tapi kau tabah & tekal berkemudi
merempuh batu karang, kawasan angin mati
bersauhkan pelampung kasih, ihsan
pada yang kausayang, kebajikan
hingga lebih empat dekad bahtera senimu belayar
merentasi pulau, semenanjung, benua
kemudian perlahan-lahan mudik ke muara.

Kau hanyalah insan biasa
dengan kerenah, kelemahan
dengan masalah, kesilapan
tapi melebihi segala adalah bakatmu
& kesedaran
bahawa semua itu anugerah-Nya
untuk berbudi, berbakti
sesama manusia.

Selamanya nanti lagu-lagumu berkumandang, didendang
merimbunkan kenangan bersama, pengalaman:
Seri Dewi Malam, Temanku, Patah Hati, Kekasih Pujaan
Kini Hatiku Telah Tertawan, Perwira, Pengajian Di Seberang Lautan
Pantun Kasih, Inikah Manusia, Beban Asmara, Kasih Berjauhan
Kau Tinggi Di Awan Biru, Dari Masa Hingga Masa, Selamat Malam
Hapuslah Air Matamu, Di Malam Persandingan, Terbang Helang
Jasa Nenda, Kasihnya Ibu, Mama, Mawar Putih Untuk Mama
Kenang Daku Dalam Doamu, Halimun Malam, Fatwa Pujangga
Seri Mersing, Seri Banang, Bintan Telani, Lela Manja
Gambus Palembang, Ratapan Kamarulzaman, Aku Dan Dia
Seri Sarawak, Pasir Roboh, Dondang Sayang, Jauh Di Mata
Bunga Tanjung, Bunga Melur, Teratai, Seroja
Kau Pergi Tanpa Pesan, Sayang Musalmah, Empat Dara
Burung Pungguk, Burung Putih, Jalak Lenteng, Tinggallah
Suasana Di Hari Raya, Nostalgia Aidilfitri, Hari Yang Mulia
Forever & Ever, One Way Ticket, Woman In Love, Casablanca
Kudaku Lari, Surat Dari Seberang, Seksa, Penyakit Cinta
Kuntum-kuntum Kasih, Pengorbanan, Kau Yang Bernama
Teman Bicara, Kalam Jauhari, Takkan Melayu Hilang Di Dunia
Nourelain, Nary Ya Habiba, Ishar, Yayadan, Seribu Mawar
Fitrah Insani, Permaidani, Sketsa Kehidupan, Antara Dua Cinta
Taman Rohani, Syukur, Cinta Alaika, Qasidah Di Jabal Rahmah
Kepulangan Dalam Iman & Tiada Yang Kekal Melainkan Allah.*

Kakak seniku, Sharifah Aini
segala sumbanganmu & bakti
segala iktibar yang kau ilhami
akan selamanya dihargai, dikenang
bak bianglala nan indah
di langit lazuardi
& seribu mawarmu kan sentiasa mekar
mengharumi hayat & warisan kami
& selalu mengingatkan
makna berseni
beramal
ikhlas
& Allah lah sebaik-baik pembalas.

*Sebilangan tajuk lagu nyanyian Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini

Ditulis: 5 Julai – 21 Ogos 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil

Ps: Saya perbetulkan sedikit puisi ini (22 Ogos 2014) kerana ada yang tertinggal dan yang lebih sesuai tidak dimasukkan dalam titipan semalam (21 Ogos 2014).

Hari Kebangsaan Singapura Dan Ibu Saya

Hari Kebangsaan Singapura – 9 Ogos 2014 Dan Ibu Saya

Hari kebangsaan atau kemerdekaan sesebuah negara amat istimewa bagi rakyat dan negara tersebut. Banyak yang ingin diraikan, terutamanya jika sesebuah negara itu secara amnya membangun dengan damai.

Bagi mereka yang melebihi usia 55 tahun mungkin teringat bagaimana kita dahulu menyanyikan beberapa lagu kebangsaan – bermula dengan ‘God Save the King (kemudian ‘King’ ditukar ‘Queen’ pada 1952), ‘Kimigayo’ semasa zaman Jepun, ‘Majulah Singapura’ sebelum bercantum dengan Malaysia, kemudian ‘Negaraku’ dan akhirnya, mulai 9 Ogos 1965, kita menyanyikan sekali lagi ‘Majulah Singapura’.

Menyambut hari kebangsaan dahulu juga amat berbeza daripada sekarang. Melihat perarakan di Padang atau melalui kaca televisyen, rasa bangga kita menyelinap. Apabila kita terlibat dalam acara hari kebangsaan atau ada pasukan-pasukan yang berarak melintasi tempat kita berdiri atau kawasan perumahan kita, semakin bertambah rasa bangga itu. Dan satu kehebatan zaman itu hanyalah melihat anak-anak muda zaman itu meniup begpaip – begitu seronok dan bangga kita menikmatinya. Tanpa mendapat apa-apa habuan, sebilangan besar rakyat amat ikhlas meraikan hari kebesaran negara kita.

Sayangnya kini kita mahu semua yang tercanggih; tanpa persembahan pasukan payung terjun atau diberi beg serta hadiah-hadiah istimewa semasa menghadiri persembahan menyambut hari kebangsaan, kita berasa tidak seronok. Malah ada yang sanggup menjual tiket hari kebangsaannya yang diberi secara percuma, walaupun jumlah tiket yang diberi ini amat terhad.

Banyak lagu patriotik telah dicipta untuk meraikan hari kebangsaan dan zaman-zaman meniti kemerdekaan Singapura. Ada langsung tidak menyentuh hati kita tetapi ada yang benar-benar menusuk hati kita. Semasa bertugas di Brunei selama 3 tahun lebih, dari 1987 sehingga April 1990, saya pernah juga dijemput untuk meraikan hari kebangsaan Singapura di kedutaan Singapura di Brunei. Ada sebuah lagu patriotik Singapura yang agak masyhur pada zaman itu. Lagunya berjudul ‘Count on me Singapore’ yang dicipta lagu dan liriknya oleh Hugh Harrison pada 1986. Bila terdengar lagu itu di Brunei, ada di antara kami tersentuh kerana ada rasa sedih yang berbaur.

‘Count on me, Singapore, count on me to give my best and more’ – namun sebilangan kita mungkin bertanya juga – ‘Am I really being counted or will I never be able to give my best and more?’ Perkara-perkara sebegini bukanlah baharu, ia sesekali akan bergema pada waktu dan keadaan tertentu. Dan dengan landskap kependudukan kita yang amat berubah kini serta beberapa dasar yang menimbulkan sedikit tanda tanya, lagu ini kadangkala membuat sebilangan kita dibalut rasa kesedihan yang jarang dapat diucapkan.

Semasa hari kebangsaan kita mungkin juga akan terkenang saudara dan sahabat kita yang telah berhijrah dari Singapura. Dahulu, isu ini begitu hangat diperkatakan, namun bagi saya tidak semua orang yang meninggalkan Singapura kerana bersikap seperti semut yang selalu berada di tempat yang terdapat banyak gula. Bukan semua yang berhijrah kerana sikap haloba atau kebencian. Tiap kita mungkin juga pernah terfikir ingin berhijrah – terutama semasa zaman muda kita dan apabila melihat kenalan dan taulan kita berbuat demikian. Banyak faktor ‘menarik’ dan ‘menolak’ (pull and push factors) yang menyebabkan seseorang itu sedia menetap di tanah tumpah darahnya atau meninggalkan kampung halamannya. Ada pepatah Inggeris yang berbunyi: ‘Home is where the heart is’ – betapa benar ini apabila kita semakin meningkat dewasa. Di mana terdapat orang-orang yang kita sayang, kenangan bersama kita, dan ketenangan yang kita perolehi daripada konsep ‘kampung halaman’ ini, di situlah kita akan menetap. Dengan dunia yang semakin global, kadangkala ada di kalangan kita menjadi semacam ‘anak semua bangsa’ tetapi langsung tidak mempunyai rasa kasih kepada tanah airnya. Tanpa mengakar di bumi sendiri atau bumi yang dipilih, sukar pula kita benar-benar, bagaikan pohon, membesar dengan subur. Tentunya kita mahu proses mengakar itu saksama dilakukan lantas setiap pohon di kampung halaman kita tumbuh dengan sihat dan memanfaatkan sekitarnya.

Bagi saya ada perbezaan ketara di antara mencintai kampung halaman kita dan sistem-sistem tertentu atau dasar-dasar yang diamalkan atau diguna-pakai oleh tanah air kita. Kita mungkin mahukan pelbagai sistem bernegara yang lebih baik dan sebagainya tetapi ini dibezakan dengan tanah air itu sendiri. Kampung halaman atau tanah air kita bukan milik mutlak sesuatu sistem, dasar, kumpulan dan sebagainya. Ia adalah hak milik kita – selamanya. Tapi kadangkala kita tidak tahu membezakan mereka yang mencintai negaranya yang sesekali bersuara menegurnya dengan mereka yang sikapnya tidak ubah seperti burung kakak tua. Bahawa dengan cinta yang mendalam itu tidak semestinya kita menyetujui segala-segalanya yang berlaku dalam negara kita, seringkali sukar diterima pihak-pihak tertentu. Tapi hakikatnya, kadangkala sebuah keikhlasan itu sukar kita nilai dengan saksama kerana cara penilaian kita lebih condong kepada satu atau dua cara tertentu sahaja.

Namun, hari kebangsaan memang mengingatkan kita zaman-zaman yang telah kita lalui di negara bandar ini. Dalam banyak lagu patriotik yang telah kita nyanyikan sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi sehingga banyak lagu yang dicipta dalam bahasa Inggeris kini untuk meraikan hari kebangsaan, satu lagu begitu menyentuh hati saya. Ia bukanlah lagu kebangsaan biasa tetapi bagi saya, inilah lagu yang sering mengingatkan saya kepada Singapura dan impian awal rakyat, pemimpin dan negara bandar yang saya cintai ini. Lagu ini pada mulanya iaitu pada tahun 1960 telah digunakan sebagai lagu untuk Hari Belia Singapura dan kemudian ia dijadikan sebagai lagu untuk Hari Kanak-kanak Singapura. Lagu ini ciptaan penggubah lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, iaitu Pak Zubir Said. Ia menggambarkan banyak harapan kita semasa Singapura masih menapak ke persada kemerdekaan dan pembangunannya. Inilah lagunya:

Semoga Bahagia

Sama-sama maju ke hadapan
Cari ilmu pengetahuan
Jaga diri dalam kesihatan
Serta sopan santun dalam pergaulan.

Dengan hati bersih serta suci
Sama-sama hormat menghormati
Jaga akhlak pemuda pemudi
Adat ketimuran junjung tinggi.

Capailah lekas cita-cita
Pemudi pemuda
Supaya kita ada harga
Di mata dunia.

Kalau kita lengah serta alpa
Hidup kita sia-sia
Jiwa besar, sihat serta segar
Rajin dengan sabar tentu bahagia.

Suci murni sifatnya pemudi
Cergas tangkas wataknya pemuda
Sukarela selalu berbakti
Sikap yang sateria dan berjasa.

Capailah nama yang mulia
Pemudi pemuda
Rajinlah supaya berjaya
Semoga bahagia.

Lagu dan lirik ciptaan: Zubir Said.

Diambil daripada buku: Zubir Said. His Songs, Times Books International, 1990.

Betapa mekar harapan kita untuk menyambut dan menyahut cabaran dan harapan Pak Zubir dan negara kita yang baru bertatih ketika itu. Dan betapa bermakna lirik ini: ‘supaya kita ada harga/di mata dunia’. Pada zaman yang serba cepat dan canggih ini, kata-kata Pak Zubir masih begitu relevan mengingatkan dan memacu kita agar tahu makna ‘adat ketimuran’ kita dan dalam apa pun kekurangan dan halangan yang kita hadapi, kita memahami sedalam-dalamnya makna ‘supaya kita ada harga’ – memberi yang terbaik untuk tanah air, sekitaran dan dunia yang kita huni.

Namun hari kebangsaan bagi keluarga saya, ada pula maknanya yang lain – ibu kandung saya meninggal dunia ketika Singapura menyambut hari kebangsaan kesepuluhnya, pada 9 Ogos 1975. Kami baru seminggu meraikan majlis persandingan abang kedua saya dan ibu saya datang ke rumah kami di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Walaupun ibu dan bapa saya tidak lagi tinggal sebumbung sejak bulan Jun 1968, ibu saya dibenarkan datang menziarahi dan sesekali tidur di rumah kami. Rumah kami ketika itu agak besar, sebuah rumah banglo dua tingkat, yang bertaman luas di hadapan dan belakang rumah. Lantas, ibu saya boleh menziarahi kami di tingkat atas rumah tanpa menemui bapa saya, yang biliknya terletak di tingkat bawah. Baru seminggu kami anak-beranak berserta saudara-mara bersukaria kerana majlis persandingan abang saya dan dalam masa seminggu, dengan tiba-tiba, keriangan kami bertukar air mata.

Seorang ibu dan sebuah ibu pertiwi – satu peristiwa yang menyedihkan dan satu lagi peristiwa yang kita raikan bersama sebagai rakyat sebuah negara.

Saya titipkan dua buah sajak yang ditulis pada 1980 dan 2011 serta sebuah rencana mengenai ibu pertiwi dan ibu saya, yang tersiar dalam ‘Ruangan Sri Anggerik’ di Berita Minggu Singapura pada Ogos, 2002 dahulu.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan Singapura. Dan bagi mereka yang sudi, hadiahkanlah ibu saya dan juga bapa saya (bapa saya meninggal dunia pada awal Mac 1977, ketika saya sedang menduduki peperiksaan tahun pertama saya di Universiti Singapura) serta kedua datuk dan nenek saya yang membesarkan saya, dan juga semua Muslimin dan Muslimat yang telah berpulang ke rahmatullah dengan Al-Fatihah.

Selamat membaca dan semoga Allah menjaga kampung halaman serta keluarga kita dan juga mereka yang ditimpa tragedi dan yang kita sayangi di pelosok mana pun mereka berada di dunia ini, insya-Allah.

Tulisan: Rasiah Halil
9 Ogos 2014.

Warkah Untuk Ibu

Warkah Untuk Ibu

Ibu, telah kausaksikan segalanya:
sejarah sebelum Parameswara lari ke Seletar
percaturan politik Inggeris & Belanda
kedaulatanmu dicemuh ketika dijajah
pengorbanan anak-anakmu menuntut kemerdekaan
singkatnya sebuah perkahwinan
& peritnya perceraian.

Kini kemajuan adalah milik anak-anakmu
dengan bangunan-bangunan seolah mencabar langit
tempat-tempat hiburan & kompleks-kompleks
segalanya seolah begitu teratur & bertenaga, anak-anakmu
semakin dikenali kerajinan & daya usahanya, bandarmu
yang serba boleh & bersih, pelabuhan cantik, & setiap
tahun pendapatanmu bertambah baik.

Tapi, Ibu, kaulihat juga unsur-unsur hakisan
anak-anakmu begitu gemar dengan cara-cara orang luar
betapa bangga berlagak seperti di Eropah & Amerika
sedang kebudayaan Timurmu hanya laku untuk pameran saja
& betapa anak-anakmu digelar anak-anak antarabangsa
seperti di Orchard saban waktu kaulihat telatah mereka
& pastilah para pelancong semakin terhibur & gembira
bila khidmat anak-anakmu lebih daripada sepatutnya.

Kau juga telah perhatikan
bagaimana anak-anakmu didera kesempatan
dihambat waktu, sesekali perikemanusiaannya hilang
di persimpangan, menilai sesuatu hanya dengan wang
menganut & mengamalkan falsafah kaum pedagang.

Ingin sekali kusaksikan, Ibu,
persaudaraan anak-anakmu bukan hanya pada waktu-waktu
tertentu, bukan pada pertunjukan anekaragam, perarakan
atau setakat menyanyi Lagu Kebangsaan, tidak dibatasi
warna kulit, kedudukan atau latar belakang keturunan,
& setiap anakmu dapat berasakan ikhlasnya kau
mencurahkan kasih sayang.

Ibu tercinta
warkahku ini terlalu menyoal dalam resah orang muda
tapi anakmu tidak pandai melihat tanpa berasa
& bagaimana pula, jika kau juga mengukur kesetiaan
& kasih sayangku, dengan hanya mengikut kata
& menganggukkan kepala?

Ditulis: 10 Ogos 1980
Asrama Nanyang, Jurong, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Terlupa

Terlupa

Kita selalu terlupa
di sini pernah bertaut kasih
dalam getir, dalam gusar,
atau riang dalam waktu-waktu santai
tanpa kata-kata iklan
persembahan kaku & pesta pora
kerana perhubungan semula jadi
berpangkalkan hati
minda & nurani yang saling mengerti.

Akar kita lama di sini
rimbun dalam apa pun cuaca
walau ada pohon tumbang sebelum masa
setelah suasana kita bertukar
setelah kehidupan kita berubah
setelah kampung-kampung roboh
setelah laut-laut menjauh
& sekitaran yang kita terbiasa,
muhibah & mesra-alam
lenyap atau dikonkritkan keadaan
& kita tercari-cari
ruang legar
keikhlasan
keterbukaan
kebersamaan
pada sebuah kenangan & masa hadapan.

Sebutir benih menjadi pulau
tanpa keikhlasan, kebersamaan,
hanyalah bongkah tanah yang dihias.

Ditulis: 7 – 23 Mei 2011
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Biarkan Ibu Pertiwi Sentiasa Di Hati Kita

Biarkan Ibu Pertiwi Sentiasa Di Hati Kita

Setiap kali hari kebangsaan Singapura menjelang, terbetik kesedihan di hati keluarga Sri. Bukan, bukan maksudnya kami tidak meraikan hari kebangsaan. Hari yang bersejarah bagi sebuah negara, amat menyedihkan bagi kami semua: ibu Sri meninggal dunia pada hari kebangsaan Singapura, 9 Ogos 1975. Pemergian beliau memeranjatkan kami kerana tiada apa-apa penyakit berat yang ibu Sri alami kecuali selalu pening kepala atau migrain. Usia beliau hampir 48 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tan Tock Seng, lebih kurang jam 3 lebih pagi. Beliau sempat meminta dan memberi maaf selain berpesan untuk kami semua. Kesedihan yang dialami tidak pernah hilang seratus peratus kerana mungkin kami terfikirkan masa-masa yang tidak lagi dapat bersama, membahagiakan dan berbakti kepadanya.

Ibu Sri adalah seorang wanita Melayu yang ramah, suka berjenaka, boleh bertutur beberapa bahasa, walaupun tidak pandai menulis dan membaca, mudah bergaul dengan apa pun bangsa, dan mempunyai pendapatnya sendiri mengenai satu-satu perkara. Rambutnya ikal mayang, disanggul, dan orangnya setinggi 5 kaki 3 inci, serta berbadan langsing. Beliau suka memakai kebaya dan batik lepas walaupun sering berbaju kurung. Ramai menganggap ibu Sri sebagai seorang wanita yang agak cantik. Kehidupan yang beliau lalui beranjau dugaan dan ketiadaannya masih dirasakan sehingga sekarang.

Sebuah negara juga seperti seorang ibu, sebab itu kita memanggil negara kita ‘ibu pertiwi’. Dan bagi Sri, sayangnya Sri akan negara lebih mirip kepada sayangnya Sri kepada keluarga Sri. Sri bangga akan keluarga Sri tetapi rasa bangga ini tidak pula menyulapkan mata Sri daripada melihat ada perbuatan anggota keluarga Sri yang mungkin tidak sebaiknya. Dan kerana Sri sayangkan mereka, jika terdapat sesuatu yang kurang baik, tentunya ada hak juga bagi Sri menyuarakan ketidak-senangan itu. Kalau dah tak sayang, tak perlulah kita tegur apa-apa. Demikian juga hubungan Sri dengan negara ini. Dan apakah anda sayangkan keluarga atau negara anda bila anda diberi kelebihan-kelebihan tertentu saja? Berapa banyak cerita dan filem selalu menggambarkan: seringkali anak yang mendapat segala-galanya itu kasihnya mudah tertanjap tetapi ini mudah berubah bila ‘pemberian’ itu berkurang. Yang mengikat hubungan itu hanyalah ‘pemberian’, bukan keikhlasan. Tetapi anak yang mungkin dinafikan pelbagai ‘pemberian’ selalunya kasihnya lebih ikhlas, kerana tanpa mendapat apa-apa pun kasihnya tak pernah berkurang.

Sri teringatkan drama Shakespeare, King Lear. Lear mahukan anak-anaknya, Regan, Goneril dan Cordelia menyatakan kasih sayang mereka terhadapnya. Regan dan Goneril, yang tamakkan harta dan takhta Lear, menyatakan kasih sayang yang kononnya sejati kepada Lear. Cordelia, yang jujur dan berterus terang, tidak pandai memadui kata atau berpura-pura. Tetapi Lear tidak dapat menerima kejujuran Cordelia, lantas dia dihalau dari istana. Hanya setelah Regan dan Goneril menyeksa Lear dan merebut takhtanya dan Cordelia pula membela bapanya, barulah terlambat Lear mengetahui dalamnya cinta Cordelia terhadapnya. Bagi Sri, kasih pada keluarga atau negara bukan pada kata-kata yang sekadar memadui tetapi pada sikap dan amal yang sering tak dapat kita nyatakan dengan perkataan.

Orang Melayu amat peka terhadap tanah airnya. Kalau kita susuri sejarah, apa yang pernah disebut sebagai Kepulauan Melayu terdiri daripada pulau-pulau kecuali Semenanjung Tanah Melayu yang dihubungkan sedikit dengan negara Siam/Thai melalui tanah Segenting Kra. Lantas ‘tanah’ atau pulaunya serta ‘air’ atau laut/lautan di sekelilingnya amat bererti baginya — itu adalah tanah dan airnya. Dan satu masa dulu, seseorang yang berasal dari Pulau Jawa atau Pulau Pinang dan berpindah ke Singapura tidak pula dianggap ‘pendatang’ kerana dia sekadar bertandang dalam ‘kampung halaman’nya yang terdiri daripada seluruh Kepulauan Melayu ini. Istilah ‘pendatang’ ini timbul bila negara-negara di dunia menjadi negara bangsa dan mencapai kemerdekaan masing-masing.

Demikian juga istilah ‘tanah tumpah darah’ amat bermakna bagi orang Melayu. Walaupun kita maklumi darah yang tumpah semasa kelahiran kita termasuk juga darah ibu kita, tapi makna tersiratnya memberi pelbagai tafsiran mengenai erti tanah/tanah air kepada kita. Begitu juga amalan kita pada satu masa dulu: uri atau tembuni serta pusat yang bercantum dengan bayi setelah dipotong, kita bersihkan. Selang beberapa hari, uri serta pusat tadi dimasukkan ke dalam ‘periuk tembuni’ yang diperbuat daripada tanah liat dan dimasukkan juga asam dan garam serta ditutup. ‘Periuk tembuni’ ini kemudian ditanam berdekatan pokok, selalunya tidak jauh dari rumah. Kata nenek Sri, seorang bidan, penanaman ‘periuk tembuni’ tadi melambangkan bahawa sejauh mana pun kita akan pergi kita tetap terpanggil ke tanah tumpah darah kita kerana sebahagian daripada kita telah tertanam di dalamnya. Sebab itu, perasaan kita terhadap tanah air atau selalu diistilahkan sebagai kampung halaman amat mendalam di hati kita. Dan mungkin juga sebab itu orang Melayu jarang berhijrah ke kawasan di luar Kepulauan Melayu, kecuali baru-baru ini. Dari segi sejarah pula orang-orang rumpun Melayu yang terdapat di Afrika Selatan dan Ceylon/Sri Lanka lebih merupakan orang-orang yang dibuang negeri oleh penjajah Barat kerana melawan mereka, walaupun ada juga orang rumpun Melayu yang tidak dibuang negeri misalnya di Madagaskar dan Surinam. ‘Diaspora’ Melayu berbanding dengan Cina, India, Arab atau Yahudi itu amat sedikit berlaku. Mungkin ini ada kena mengena dengan soal ‘periuk tembuni’ tadi atau yang lebih utama, konsep ‘tanah tumpah darah’ dan ‘tanah air’ yang membawa pengertian yang amat bermakna bagi orang rumpun Melayu, termasuk di Singapura.

Kehilangan seorang ibu tetap dirasakan setelah berpuluh tahun peristiwa itu berlaku. Sesekali Sri terasa ibu Sri masih hidup bila terdengar cara bercakap, ketawa atau imbasan wajahnya di kalangan keluarga Sri. Sebuah ibu pertiwi juga hidup di hati kita, walaupun kita kadangkala berjauhan darinya. Kita menyayanginya kerana ini tanah air kita dan kita juga mahu dikasihi kerana kita anaknya.

Ditulis : 7 Ogos 2002
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 11 Ogos 2002
Tajuk Asal: ‘Kehidupan dan Sebuah Pulau’.