Biarkan Ibu Pertiwi Sentiasa Di Hati Kita

Biarkan Ibu Pertiwi Sentiasa Di Hati Kita

Setiap kali hari kebangsaan Singapura menjelang, terbetik kesedihan di hati keluarga Sri. Bukan, bukan maksudnya kami tidak meraikan hari kebangsaan. Hari yang bersejarah bagi sebuah negara, amat menyedihkan bagi kami semua: ibu Sri meninggal dunia pada hari kebangsaan Singapura, 9 Ogos 1975. Pemergian beliau memeranjatkan kami kerana tiada apa-apa penyakit berat yang ibu Sri alami kecuali selalu pening kepala atau migrain. Usia beliau hampir 48 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tan Tock Seng, lebih kurang jam 3 lebih pagi. Beliau sempat meminta dan memberi maaf selain berpesan untuk kami semua. Kesedihan yang dialami tidak pernah hilang seratus peratus kerana mungkin kami terfikirkan masa-masa yang tidak lagi dapat bersama, membahagiakan dan berbakti kepadanya.

Ibu Sri adalah seorang wanita Melayu yang ramah, suka berjenaka, boleh bertutur beberapa bahasa, walaupun tidak pandai menulis dan membaca, mudah bergaul dengan apa pun bangsa, dan mempunyai pendapatnya sendiri mengenai satu-satu perkara. Rambutnya ikal mayang, disanggul, dan orangnya setinggi 5 kaki 3 inci, serta berbadan langsing. Beliau suka memakai kebaya dan batik lepas walaupun sering berbaju kurung. Ramai menganggap ibu Sri sebagai seorang wanita yang agak cantik. Kehidupan yang beliau lalui beranjau dugaan dan ketiadaannya masih dirasakan sehingga sekarang.

Sebuah negara juga seperti seorang ibu, sebab itu kita memanggil negara kita ‘ibu pertiwi’. Dan bagi Sri, sayangnya Sri akan negara lebih mirip kepada sayangnya Sri kepada keluarga Sri. Sri bangga akan keluarga Sri tetapi rasa bangga ini tidak pula menyulapkan mata Sri daripada melihat ada perbuatan anggota keluarga Sri yang mungkin tidak sebaiknya. Dan kerana Sri sayangkan mereka, jika terdapat sesuatu yang kurang baik, tentunya ada hak juga bagi Sri menyuarakan ketidak-senangan itu. Kalau dah tak sayang, tak perlulah kita tegur apa-apa. Demikian juga hubungan Sri dengan negara ini. Dan apakah anda sayangkan keluarga atau negara anda bila anda diberi kelebihan-kelebihan tertentu saja? Berapa banyak cerita dan filem selalu menggambarkan: seringkali anak yang mendapat segala-galanya itu kasihnya mudah tertanjap tetapi ini mudah berubah bila ‘pemberian’ itu berkurang. Yang mengikat hubungan itu hanyalah ‘pemberian’, bukan keikhlasan. Tetapi anak yang mungkin dinafikan pelbagai ‘pemberian’ selalunya kasihnya lebih ikhlas, kerana tanpa mendapat apa-apa pun kasihnya tak pernah berkurang.

Sri teringatkan drama Shakespeare, King Lear. Lear mahukan anak-anaknya, Regan, Goneril dan Cordelia menyatakan kasih sayang mereka terhadapnya. Regan dan Goneril, yang tamakkan harta dan takhta Lear, menyatakan kasih sayang yang kononnya sejati kepada Lear. Cordelia, yang jujur dan berterus terang, tidak pandai memadui kata atau berpura-pura. Tetapi Lear tidak dapat menerima kejujuran Cordelia, lantas dia dihalau dari istana. Hanya setelah Regan dan Goneril menyeksa Lear dan merebut takhtanya dan Cordelia pula membela bapanya, barulah terlambat Lear mengetahui dalamnya cinta Cordelia terhadapnya. Bagi Sri, kasih pada keluarga atau negara bukan pada kata-kata yang sekadar memadui tetapi pada sikap dan amal yang sering tak dapat kita nyatakan dengan perkataan.

Orang Melayu amat peka terhadap tanah airnya. Kalau kita susuri sejarah, apa yang pernah disebut sebagai Kepulauan Melayu terdiri daripada pulau-pulau kecuali Semenanjung Tanah Melayu yang dihubungkan sedikit dengan negara Siam/Thai melalui tanah Segenting Kra. Lantas ‘tanah’ atau pulaunya serta ‘air’ atau laut/lautan di sekelilingnya amat bererti baginya — itu adalah tanah dan airnya. Dan satu masa dulu, seseorang yang berasal dari Pulau Jawa atau Pulau Pinang dan berpindah ke Singapura tidak pula dianggap ‘pendatang’ kerana dia sekadar bertandang dalam ‘kampung halaman’nya yang terdiri daripada seluruh Kepulauan Melayu ini. Istilah ‘pendatang’ ini timbul bila negara-negara di dunia menjadi negara bangsa dan mencapai kemerdekaan masing-masing.

Demikian juga istilah ‘tanah tumpah darah’ amat bermakna bagi orang Melayu. Walaupun kita maklumi darah yang tumpah semasa kelahiran kita termasuk juga darah ibu kita, tapi makna tersiratnya memberi pelbagai tafsiran mengenai erti tanah/tanah air kepada kita. Begitu juga amalan kita pada satu masa dulu: uri atau tembuni serta pusat yang bercantum dengan bayi setelah dipotong, kita bersihkan. Selang beberapa hari, uri serta pusat tadi dimasukkan ke dalam ‘periuk tembuni’ yang diperbuat daripada tanah liat dan dimasukkan juga asam dan garam serta ditutup. ‘Periuk tembuni’ ini kemudian ditanam berdekatan pokok, selalunya tidak jauh dari rumah. Kata nenek Sri, seorang bidan, penanaman ‘periuk tembuni’ tadi melambangkan bahawa sejauh mana pun kita akan pergi kita tetap terpanggil ke tanah tumpah darah kita kerana sebahagian daripada kita telah tertanam di dalamnya. Sebab itu, perasaan kita terhadap tanah air atau selalu diistilahkan sebagai kampung halaman amat mendalam di hati kita. Dan mungkin juga sebab itu orang Melayu jarang berhijrah ke kawasan di luar Kepulauan Melayu, kecuali baru-baru ini. Dari segi sejarah pula orang-orang rumpun Melayu yang terdapat di Afrika Selatan dan Ceylon/Sri Lanka lebih merupakan orang-orang yang dibuang negeri oleh penjajah Barat kerana melawan mereka, walaupun ada juga orang rumpun Melayu yang tidak dibuang negeri misalnya di Madagaskar dan Surinam. ‘Diaspora’ Melayu berbanding dengan Cina, India, Arab atau Yahudi itu amat sedikit berlaku. Mungkin ini ada kena mengena dengan soal ‘periuk tembuni’ tadi atau yang lebih utama, konsep ‘tanah tumpah darah’ dan ‘tanah air’ yang membawa pengertian yang amat bermakna bagi orang rumpun Melayu, termasuk di Singapura.

Kehilangan seorang ibu tetap dirasakan setelah berpuluh tahun peristiwa itu berlaku. Sesekali Sri terasa ibu Sri masih hidup bila terdengar cara bercakap, ketawa atau imbasan wajahnya di kalangan keluarga Sri. Sebuah ibu pertiwi juga hidup di hati kita, walaupun kita kadangkala berjauhan darinya. Kita menyayanginya kerana ini tanah air kita dan kita juga mahu dikasihi kerana kita anaknya.

Ditulis : 7 Ogos 2002
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 11 Ogos 2002
Tajuk Asal: ‘Kehidupan dan Sebuah Pulau’.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s