Hari Kebangsaan Singapura Dan Ibu Saya

Hari Kebangsaan Singapura – 9 Ogos 2014 Dan Ibu Saya

Hari kebangsaan atau kemerdekaan sesebuah negara amat istimewa bagi rakyat dan negara tersebut. Banyak yang ingin diraikan, terutamanya jika sesebuah negara itu secara amnya membangun dengan damai.

Bagi mereka yang melebihi usia 55 tahun mungkin teringat bagaimana kita dahulu menyanyikan beberapa lagu kebangsaan – bermula dengan ‘God Save the King (kemudian ‘King’ ditukar ‘Queen’ pada 1952), ‘Kimigayo’ semasa zaman Jepun, ‘Majulah Singapura’ sebelum bercantum dengan Malaysia, kemudian ‘Negaraku’ dan akhirnya, mulai 9 Ogos 1965, kita menyanyikan sekali lagi ‘Majulah Singapura’.

Menyambut hari kebangsaan dahulu juga amat berbeza daripada sekarang. Melihat perarakan di Padang atau melalui kaca televisyen, rasa bangga kita menyelinap. Apabila kita terlibat dalam acara hari kebangsaan atau ada pasukan-pasukan yang berarak melintasi tempat kita berdiri atau kawasan perumahan kita, semakin bertambah rasa bangga itu. Dan satu kehebatan zaman itu hanyalah melihat anak-anak muda zaman itu meniup begpaip – begitu seronok dan bangga kita menikmatinya. Tanpa mendapat apa-apa habuan, sebilangan besar rakyat amat ikhlas meraikan hari kebesaran negara kita.

Sayangnya kini kita mahu semua yang tercanggih; tanpa persembahan pasukan payung terjun atau diberi beg serta hadiah-hadiah istimewa semasa menghadiri persembahan menyambut hari kebangsaan, kita berasa tidak seronok. Malah ada yang sanggup menjual tiket hari kebangsaannya yang diberi secara percuma, walaupun jumlah tiket yang diberi ini amat terhad.

Banyak lagu patriotik telah dicipta untuk meraikan hari kebangsaan dan zaman-zaman meniti kemerdekaan Singapura. Ada langsung tidak menyentuh hati kita tetapi ada yang benar-benar menusuk hati kita. Semasa bertugas di Brunei selama 3 tahun lebih, dari 1987 sehingga April 1990, saya pernah juga dijemput untuk meraikan hari kebangsaan Singapura di kedutaan Singapura di Brunei. Ada sebuah lagu patriotik Singapura yang agak masyhur pada zaman itu. Lagunya berjudul ‘Count on me Singapore’ yang dicipta lagu dan liriknya oleh Hugh Harrison pada 1986. Bila terdengar lagu itu di Brunei, ada di antara kami tersentuh kerana ada rasa sedih yang berbaur.

‘Count on me, Singapore, count on me to give my best and more’ – namun sebilangan kita mungkin bertanya juga – ‘Am I really being counted or will I never be able to give my best and more?’ Perkara-perkara sebegini bukanlah baharu, ia sesekali akan bergema pada waktu dan keadaan tertentu. Dan dengan landskap kependudukan kita yang amat berubah kini serta beberapa dasar yang menimbulkan sedikit tanda tanya, lagu ini kadangkala membuat sebilangan kita dibalut rasa kesedihan yang jarang dapat diucapkan.

Semasa hari kebangsaan kita mungkin juga akan terkenang saudara dan sahabat kita yang telah berhijrah dari Singapura. Dahulu, isu ini begitu hangat diperkatakan, namun bagi saya tidak semua orang yang meninggalkan Singapura kerana bersikap seperti semut yang selalu berada di tempat yang terdapat banyak gula. Bukan semua yang berhijrah kerana sikap haloba atau kebencian. Tiap kita mungkin juga pernah terfikir ingin berhijrah – terutama semasa zaman muda kita dan apabila melihat kenalan dan taulan kita berbuat demikian. Banyak faktor ‘menarik’ dan ‘menolak’ (pull and push factors) yang menyebabkan seseorang itu sedia menetap di tanah tumpah darahnya atau meninggalkan kampung halamannya. Ada pepatah Inggeris yang berbunyi: ‘Home is where the heart is’ – betapa benar ini apabila kita semakin meningkat dewasa. Di mana terdapat orang-orang yang kita sayang, kenangan bersama kita, dan ketenangan yang kita perolehi daripada konsep ‘kampung halaman’ ini, di situlah kita akan menetap. Dengan dunia yang semakin global, kadangkala ada di kalangan kita menjadi semacam ‘anak semua bangsa’ tetapi langsung tidak mempunyai rasa kasih kepada tanah airnya. Tanpa mengakar di bumi sendiri atau bumi yang dipilih, sukar pula kita benar-benar, bagaikan pohon, membesar dengan subur. Tentunya kita mahu proses mengakar itu saksama dilakukan lantas setiap pohon di kampung halaman kita tumbuh dengan sihat dan memanfaatkan sekitarnya.

Bagi saya ada perbezaan ketara di antara mencintai kampung halaman kita dan sistem-sistem tertentu atau dasar-dasar yang diamalkan atau diguna-pakai oleh tanah air kita. Kita mungkin mahukan pelbagai sistem bernegara yang lebih baik dan sebagainya tetapi ini dibezakan dengan tanah air itu sendiri. Kampung halaman atau tanah air kita bukan milik mutlak sesuatu sistem, dasar, kumpulan dan sebagainya. Ia adalah hak milik kita – selamanya. Tapi kadangkala kita tidak tahu membezakan mereka yang mencintai negaranya yang sesekali bersuara menegurnya dengan mereka yang sikapnya tidak ubah seperti burung kakak tua. Bahawa dengan cinta yang mendalam itu tidak semestinya kita menyetujui segala-segalanya yang berlaku dalam negara kita, seringkali sukar diterima pihak-pihak tertentu. Tapi hakikatnya, kadangkala sebuah keikhlasan itu sukar kita nilai dengan saksama kerana cara penilaian kita lebih condong kepada satu atau dua cara tertentu sahaja.

Namun, hari kebangsaan memang mengingatkan kita zaman-zaman yang telah kita lalui di negara bandar ini. Dalam banyak lagu patriotik yang telah kita nyanyikan sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi sehingga banyak lagu yang dicipta dalam bahasa Inggeris kini untuk meraikan hari kebangsaan, satu lagu begitu menyentuh hati saya. Ia bukanlah lagu kebangsaan biasa tetapi bagi saya, inilah lagu yang sering mengingatkan saya kepada Singapura dan impian awal rakyat, pemimpin dan negara bandar yang saya cintai ini. Lagu ini pada mulanya iaitu pada tahun 1960 telah digunakan sebagai lagu untuk Hari Belia Singapura dan kemudian ia dijadikan sebagai lagu untuk Hari Kanak-kanak Singapura. Lagu ini ciptaan penggubah lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, iaitu Pak Zubir Said. Ia menggambarkan banyak harapan kita semasa Singapura masih menapak ke persada kemerdekaan dan pembangunannya. Inilah lagunya:

Semoga Bahagia

Sama-sama maju ke hadapan
Cari ilmu pengetahuan
Jaga diri dalam kesihatan
Serta sopan santun dalam pergaulan.

Dengan hati bersih serta suci
Sama-sama hormat menghormati
Jaga akhlak pemuda pemudi
Adat ketimuran junjung tinggi.

Capailah lekas cita-cita
Pemudi pemuda
Supaya kita ada harga
Di mata dunia.

Kalau kita lengah serta alpa
Hidup kita sia-sia
Jiwa besar, sihat serta segar
Rajin dengan sabar tentu bahagia.

Suci murni sifatnya pemudi
Cergas tangkas wataknya pemuda
Sukarela selalu berbakti
Sikap yang sateria dan berjasa.

Capailah nama yang mulia
Pemudi pemuda
Rajinlah supaya berjaya
Semoga bahagia.

Lagu dan lirik ciptaan: Zubir Said.

Diambil daripada buku: Zubir Said. His Songs, Times Books International, 1990.

Betapa mekar harapan kita untuk menyambut dan menyahut cabaran dan harapan Pak Zubir dan negara kita yang baru bertatih ketika itu. Dan betapa bermakna lirik ini: ‘supaya kita ada harga/di mata dunia’. Pada zaman yang serba cepat dan canggih ini, kata-kata Pak Zubir masih begitu relevan mengingatkan dan memacu kita agar tahu makna ‘adat ketimuran’ kita dan dalam apa pun kekurangan dan halangan yang kita hadapi, kita memahami sedalam-dalamnya makna ‘supaya kita ada harga’ – memberi yang terbaik untuk tanah air, sekitaran dan dunia yang kita huni.

Namun hari kebangsaan bagi keluarga saya, ada pula maknanya yang lain – ibu kandung saya meninggal dunia ketika Singapura menyambut hari kebangsaan kesepuluhnya, pada 9 Ogos 1975. Kami baru seminggu meraikan majlis persandingan abang kedua saya dan ibu saya datang ke rumah kami di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Walaupun ibu dan bapa saya tidak lagi tinggal sebumbung sejak bulan Jun 1968, ibu saya dibenarkan datang menziarahi dan sesekali tidur di rumah kami. Rumah kami ketika itu agak besar, sebuah rumah banglo dua tingkat, yang bertaman luas di hadapan dan belakang rumah. Lantas, ibu saya boleh menziarahi kami di tingkat atas rumah tanpa menemui bapa saya, yang biliknya terletak di tingkat bawah. Baru seminggu kami anak-beranak berserta saudara-mara bersukaria kerana majlis persandingan abang saya dan dalam masa seminggu, dengan tiba-tiba, keriangan kami bertukar air mata.

Seorang ibu dan sebuah ibu pertiwi – satu peristiwa yang menyedihkan dan satu lagi peristiwa yang kita raikan bersama sebagai rakyat sebuah negara.

Saya titipkan dua buah sajak yang ditulis pada 1980 dan 2011 serta sebuah rencana mengenai ibu pertiwi dan ibu saya, yang tersiar dalam ‘Ruangan Sri Anggerik’ di Berita Minggu Singapura pada Ogos, 2002 dahulu.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan Singapura. Dan bagi mereka yang sudi, hadiahkanlah ibu saya dan juga bapa saya (bapa saya meninggal dunia pada awal Mac 1977, ketika saya sedang menduduki peperiksaan tahun pertama saya di Universiti Singapura) serta kedua datuk dan nenek saya yang membesarkan saya, dan juga semua Muslimin dan Muslimat yang telah berpulang ke rahmatullah dengan Al-Fatihah.

Selamat membaca dan semoga Allah menjaga kampung halaman serta keluarga kita dan juga mereka yang ditimpa tragedi dan yang kita sayangi di pelosok mana pun mereka berada di dunia ini, insya-Allah.

Tulisan: Rasiah Halil
9 Ogos 2014.

Advertisements

2 thoughts on “Hari Kebangsaan Singapura Dan Ibu Saya

  1. Assalamualaikum Rasiah. Menarik rencana tentang Hari Kebangsaan ni. Saya tersentuh juga bila membaca tentang ibu Rasiah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s