Archive | September 2014

Tiga Kuntum Sajak

RW 1images
images (1)

Jarak

Gajah depan mata tiada kelihatan
kerana selaput prasangka terlalu tebal
kuman di seberang demikian besar
kerana kanta asabiyah terlalu jelas.

Dalam dekat kita meminggir
begitu jauh kita menghampir
jarak hanya sempadan hati
menjauh oleh pekatnya naluri.

Ditulis: 6 – 9 Mei 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Doa Dang Anum

Tiada lagi yang kupinta, Tuhanku,
kecuali keadilan
melihat neraca akal
diberati waham
& taufan fitnah membusa
ayahku dibeliungi cerca
sedang esok, sesudah subuh,
akan diheretku ke hujung pasar.

Apakah cinta itu bak kapur, Tuhanku,
kering di hujung jari
apakah setia itu sembilu
menghiris suara hati
antara fitnah & tohmah
antara dendam & curiga
Iskandar dikepayangi kuasa
bentara berpesta
& Temasikku semakin tuli
oleh jerit hati seorang wanita.

Aku akan disula, Tuhanku,
dituduh bermukah
dihina bagai perempuan murah
kerana berkata benar adalah derhaka
sedang sida-sida
cintanya diselempangi hasad
jujurnya ditanjaki pangkat
ditafsir setia
apakah Bukit Larangan ini disulap
oleh bisanya keris
riuhnya pertanda
gergasinya Siam & Majapahit
sehingga nyawa semurah suasa
keadilan pemanis watikah
& derita seorang Anum
hanya disebut dongeng purba?

Ditulis: 25 November 1991
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Seluas Danau

Air seluas danau
akankah dijejas
garam segenggam?
Ia jernih
segar
tenang
& melarutkan keasinan.

Sebesar itu kalbumu, katanya,
bukan sekecil gelas
apalah masalah segenggam
bertemu danau nan luas?

Ditulis: 8 Jun 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Perginya Seorang Penulis Penuh Integriti, Bermaruah

downloaddownload (1)

Perginya Seorang Penulis Penuh Integriti, Bermaruah

Dunia kehilangan seorang cendekia dan pemikir yang ulung baru-baru ini. Edward Said meninggal di New York pada 25 September 2003 setelah lebih sedekad menghidap penyakit leukemia. Pemergiannya ditangisi oleh ramai orang kerana beliaulah antara segelintir sarjana yang benar-benar cemerlang dalam bidangnya dan boleh juga dianggap sebagai manusia renaissance. Beliau berkhidmat di Universiti Columbia sebagai profesor sastera bandingan sejak tahun 1963. Dilahirkan di Baitulmaqdis pada 1935, orang Palestin penganut agama Kristian Anglikan ini bersekolah di Mesir dan kemudian di Universiti Princeton dan Harvard dan menjadi rakyat Amerika. Beliau sering ke Lebanon, tempat ibu dan keluarganya menginap; demikian juga keluarga isterinya, selain ke negara-negara Timur Tengah dan Eropah. Kemahirannya dalam beberapa bahasa dan ketekunan inteleknya selain integriti moralnya, sikap berperikemanusiaannya serta makna maruah yang beliau perjuangkan, menjadikan Edward Said seorang intelektual yang benar-benar berwibawa.

Sri membaca bukunya, Orientalism, lebih 22 tahun yang lalu. Memang pada mulanya agak terperanjat juga membacanya kerana buku ini sarat dengan kekuatan intelektual dan kajian pengarangnya. Orientalism memaparkan bagaimana para sarjana, penjajah, peneroka, pendakyah dan lain-lain dari Barat membentuk persepsi mereka terhadap mereka yang menginap di Timur terutama orang-orang Arab dan Islam. Melalui persepsi yang songsang ini, Barat mudah menjajah dan mencorakwarnakan orang-orang yang dianggap kurang berperadaban ini, lantas mewajarkan penjajahan dan perkotak-katikkan mereka terhadap golongan ini. Kajian beliau bukan hanya menyentuh bidang sastera, malah mencakupi pelbagai bidang. Ia menggegarkan bukan hanya masyarakat intelek Amerika ketika ia terbit pada 1978, malah memaksa ramai pemikir, terutama di Asia, untuk menilai pandangan dan anggapan yang selama ini seolah-olah telah dicanai. Bahawa yang menulis buku ini adalah seorang Arab-Palestin yang tegas pendiriannya mengenai masalah rakyat Palestin dan mendalam pengetahuannya serta berhemah dalam hujahnya, dengan sendirinya memecahkan stereotaip umum bahawa orang Palestin tentunya kurang beradab dan pengganas. Dan ia turut juga memecahkan stereotaip mengenai orang-orang Asia, Afrika dan lain-lain.

Edward Said menulis beberapa buku sebelum tarikh 1978 ini dan sesudahnya. Di antaranya: Joseph Conrad and the Fiction of Autobiography (1966), Beginnings (1975), The Question of Palestine (1979), Covering Islam (1981), The World, the Text and the Critic (1983), Musical Elaborations (1991), Culture and Imperialism (1993), Representations of the Intellectual (1994), Out of Place (1999), Reflections on Exile and Other Essays (2000), Power, Politics and Culture: Interviews With Edward W. Said (2002) selain aktif menulis dalam beberapa jurnal dan akhbar.

Kenapa sedihnya Sri mendengar berita pemergian beliau? Bukan sahaja beliau seorang pemikir yang banyak menggugah pemikiran pembacanya tetapi juga beliau adalah seorang insan yang memandang tinggi makna integriti dan maruah baik dalam dunia kesarjanaan mahupun dalam penglibatan sosial dan perhubungannya dengan sesama manusia. Kerana pendirian yang teguh dan kedalaman hujahnya, beberapa kali beliau digugat oleh golongan-golongan tertentu yang mahu suara keilmuan dan kemanusiaannya disenyapkan. Tetapi ternyata yang mati hanyalah jasadnya pada usia 67 tahun, namun idea-ideanya tetap hidup pada zaman yang penuh gelora ini.

Memiliki integriti dan maruah dalam sesuatu bidang atau sekadar kita menjalani kehidupan ini bukanlah mudah. Kadangkala seseorang itu berkobar-kobar mengenai sesuatu perkara ketika dia masih ‘hingusan’ atau belum mendapat sesuatu kedudukan. Tetapi setelah memperolehi sesuatu, integriti dan maruah itu seakan-akan terpinggir daripada kehidupannya. Mungkin dia bersuara kerana inginkan sesuatu; bukan kerana dia yakin akan perkara yang dia suarakan. Sebaliknya orang yang memiliki integriti dan erti maruah, sebagaimana Edward Said, merentasi jalan yang sukar, kerana untuk melakukan sebaliknya akan amat memudahkan kehidupannya. Dia dicemuh, disenaraihitamkan, dipinggirkan, diugut dan digugat, tetapi pandangannya yang berimbang dalam analisis, kajian dan tulisannya, tetap utuh.

Namun sebilangan manusia amat mudah menggadaikan integriti dan maruah mereka. Orang-orang begini dalam mana-mana masyarakat pun, memiliki falsafah kaum pedagang yang negatif. Apa pun yang boleh dijual, asalkan menguntungkan, dia akan jual. Lantas, dalam dunia seni misalnya, dia tidak segan silu mengambil karya orang, ditukar serba sedikit dan diisytiharkan sebagai karyanya. Dalam dunia cendekia pula, dia ambil kajian orang tanpa izin atau pengiktirafan. Dalam dunia pekerjaan, dia gemar benar menonjol-nonjolkan diri walaupun orang-orang lain yang bertungkus lumus. Dalam apa pun bidang kehidupan, yang utamakan adalah kepentingannya tanpa mendalami makna integriti dan maruah tadi. Siapa pun yang boleh menyenangkan hidupnya itulah kawannya, terutama mereka yang berpangkat dan berpengaruh. Kita akan lemas bersama orang begini kerana unsur oportunistik berselarut dalam kehidupannya.

Betapa seorang Edward Said, atau di daerah kita, Za’ba dan Ustaz Babu Sahib, mengingatkan luhur dan tingginya nilai integriti dan maruah dalam menceburi apa pun bidang dan dalam menjalani sebuah kehidupan. Tanpanya kita mungkin dianggap jempolan tetapi sejarah nanti akan menilai siapakah kita sebenar dan sejauh mana suara kehidupan kita berlandaskan kejujuran.

Ditulis : 9 Oktober 2003
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 12 Oktober 2003
Tajuk Asal: Edward Said: Pemilik Integriti dan Maruah.

Buat Renungan Bersama

Prof Muhaya MohamadYasmin Mogahed

Process Heat And Suffering Like A Coffee Bean

 There’s a story that goes like this: One day a young woman was whining to her father about how hard life was. She was tired of fighting and struggling. Sounds familiar right?

He was a chef, so he set out three pots and boiled water in each of them. In the first he placed a carrot, in the second an egg and in the third some coffee beans. After twenty minutes he turned off the burners. Then he explained how all three reacted differently to the heat. The carrot went in firm, but softened in the boiling water. The egg hardened on the inside. And the coffee beans, well, they actually changed the water.

“When you confront adversity, which one will you be?” he asked his daughter. “The carrot that starts out strong but wilt under pressure? The egg that becomes callous and bitter? Or the coffee bean, which makes something useful, tasty, even beautiful from the boiling water?”

From: Therese J. Borchard, The Pocket Therapist, USA: Center Street, 2010, page 136.

Tiga Sajak Yang Menggambarkan Hal-Hal Semasa

Tiga sajak berikut telah saya tulis lebih awal tetapi kisahnya masih berulang ketika ini. ‘Meraih Sepi’ menggemakan perang dan persengketaan yang berlarutan sejak dahulu. Ketika penduduk Gaza dan di beberapa tempat dizalimi, ramai yang membisu walaupun mereka mempunyai kuasa menghentikan kezaliman tersebut. Kini cerita lama, bak Frankenstein ciptaan Mary Shelley berleluasa di daerah berdekatan Gaza dan tiba-tiba mereka yang seolah-olah membisu, pandai bersuara. Kita tidak memihak kepada kumpulan pengganas ini tetapi ternyata dengan peralatan dan senjata canggih mereka, tentunya mereka didalangi pihak-pihak tertentu. Dan mangsanya tentulah semua pencinta Islam, pencinta Rasulullah SAW (‘Sang Pesuruh’ dalam sajak ‘Meraih Sepi’) dan pencinta kedamaian dunia untuk semua penghuninya.

Sajak kedua, ‘Terpukau’ dan ketiga, ‘Anehnya’ pula masih kelihatan dalam sekitaran kita. Semoga kita memahami kisah yang berulang dan sandiwara yang sering dilakonkan ini. Inilah sajak-sajaknya:

Meraih Sepi

Kita hanya meraih sepi
bila keterbatasan menyulap sekitar
& kambing-kambing hitam terlepas
di rimba yang kian panas.

Harimaukah semakin mengancam
kerana terluka & meluka
biri-biri bagaikan sesak nafas
tika singa berkeliaran
menjejak & membaham
sedang jerebu meruangi segala
di rimba, desa, kota
sehingga kegelapan merajalela
dendam membara
fitnah membusa
& pelanduk semakin terpencil di habitatnya.

Andainya rimba ini dihangusi sengketa
tiada yang lebih sepi
daripada pencinta Sang Pesuruh
yang menghayati erti sejahtera
yang terus ditusuki belati semasa.

Ditulis: 7 – 24 Julai 2005
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Terpukau

Tanpa ilmu ghaib
kita pun terpukau
dengan kata
                     benda
                                kilauan
& semakin yakin
mantera nan ajaib
bakal menjunjung
sebuah peradaban
sedang bomoh-bomoh
memasukkan susuk
menyihir
yang hanya mendewa
yang berjiwa hamba.

Ditulis: 19 Februari 2000
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

 

Anehnya

Apabila belalang menjadi helang
padang-padang pun semakin terbiar
pohon, bunga & buah dilanda kemarau
habitat & ekosistem diinjak-injak
berpestalah serangga & haiwan perosak
mengisytihar dengan celopar, megah,
padang-padang itu milik mutlak mereka.

Betapa anehnya si orang-orang
menjadi bestari berbaju ilalang.

Ditulis: 29 Disember 2007
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.