Perginya Seorang Penulis Penuh Integriti, Bermaruah

downloaddownload (1)

Perginya Seorang Penulis Penuh Integriti, Bermaruah

Dunia kehilangan seorang cendekia dan pemikir yang ulung baru-baru ini. Edward Said meninggal di New York pada 25 September 2003 setelah lebih sedekad menghidap penyakit leukemia. Pemergiannya ditangisi oleh ramai orang kerana beliaulah antara segelintir sarjana yang benar-benar cemerlang dalam bidangnya dan boleh juga dianggap sebagai manusia renaissance. Beliau berkhidmat di Universiti Columbia sebagai profesor sastera bandingan sejak tahun 1963. Dilahirkan di Baitulmaqdis pada 1935, orang Palestin penganut agama Kristian Anglikan ini bersekolah di Mesir dan kemudian di Universiti Princeton dan Harvard dan menjadi rakyat Amerika. Beliau sering ke Lebanon, tempat ibu dan keluarganya menginap; demikian juga keluarga isterinya, selain ke negara-negara Timur Tengah dan Eropah. Kemahirannya dalam beberapa bahasa dan ketekunan inteleknya selain integriti moralnya, sikap berperikemanusiaannya serta makna maruah yang beliau perjuangkan, menjadikan Edward Said seorang intelektual yang benar-benar berwibawa.

Sri membaca bukunya, Orientalism, lebih 22 tahun yang lalu. Memang pada mulanya agak terperanjat juga membacanya kerana buku ini sarat dengan kekuatan intelektual dan kajian pengarangnya. Orientalism memaparkan bagaimana para sarjana, penjajah, peneroka, pendakyah dan lain-lain dari Barat membentuk persepsi mereka terhadap mereka yang menginap di Timur terutama orang-orang Arab dan Islam. Melalui persepsi yang songsang ini, Barat mudah menjajah dan mencorakwarnakan orang-orang yang dianggap kurang berperadaban ini, lantas mewajarkan penjajahan dan perkotak-katikkan mereka terhadap golongan ini. Kajian beliau bukan hanya menyentuh bidang sastera, malah mencakupi pelbagai bidang. Ia menggegarkan bukan hanya masyarakat intelek Amerika ketika ia terbit pada 1978, malah memaksa ramai pemikir, terutama di Asia, untuk menilai pandangan dan anggapan yang selama ini seolah-olah telah dicanai. Bahawa yang menulis buku ini adalah seorang Arab-Palestin yang tegas pendiriannya mengenai masalah rakyat Palestin dan mendalam pengetahuannya serta berhemah dalam hujahnya, dengan sendirinya memecahkan stereotaip umum bahawa orang Palestin tentunya kurang beradab dan pengganas. Dan ia turut juga memecahkan stereotaip mengenai orang-orang Asia, Afrika dan lain-lain.

Edward Said menulis beberapa buku sebelum tarikh 1978 ini dan sesudahnya. Di antaranya: Joseph Conrad and the Fiction of Autobiography (1966), Beginnings (1975), The Question of Palestine (1979), Covering Islam (1981), The World, the Text and the Critic (1983), Musical Elaborations (1991), Culture and Imperialism (1993), Representations of the Intellectual (1994), Out of Place (1999), Reflections on Exile and Other Essays (2000), Power, Politics and Culture: Interviews With Edward W. Said (2002) selain aktif menulis dalam beberapa jurnal dan akhbar.

Kenapa sedihnya Sri mendengar berita pemergian beliau? Bukan sahaja beliau seorang pemikir yang banyak menggugah pemikiran pembacanya tetapi juga beliau adalah seorang insan yang memandang tinggi makna integriti dan maruah baik dalam dunia kesarjanaan mahupun dalam penglibatan sosial dan perhubungannya dengan sesama manusia. Kerana pendirian yang teguh dan kedalaman hujahnya, beberapa kali beliau digugat oleh golongan-golongan tertentu yang mahu suara keilmuan dan kemanusiaannya disenyapkan. Tetapi ternyata yang mati hanyalah jasadnya pada usia 67 tahun, namun idea-ideanya tetap hidup pada zaman yang penuh gelora ini.

Memiliki integriti dan maruah dalam sesuatu bidang atau sekadar kita menjalani kehidupan ini bukanlah mudah. Kadangkala seseorang itu berkobar-kobar mengenai sesuatu perkara ketika dia masih ‘hingusan’ atau belum mendapat sesuatu kedudukan. Tetapi setelah memperolehi sesuatu, integriti dan maruah itu seakan-akan terpinggir daripada kehidupannya. Mungkin dia bersuara kerana inginkan sesuatu; bukan kerana dia yakin akan perkara yang dia suarakan. Sebaliknya orang yang memiliki integriti dan erti maruah, sebagaimana Edward Said, merentasi jalan yang sukar, kerana untuk melakukan sebaliknya akan amat memudahkan kehidupannya. Dia dicemuh, disenaraihitamkan, dipinggirkan, diugut dan digugat, tetapi pandangannya yang berimbang dalam analisis, kajian dan tulisannya, tetap utuh.

Namun sebilangan manusia amat mudah menggadaikan integriti dan maruah mereka. Orang-orang begini dalam mana-mana masyarakat pun, memiliki falsafah kaum pedagang yang negatif. Apa pun yang boleh dijual, asalkan menguntungkan, dia akan jual. Lantas, dalam dunia seni misalnya, dia tidak segan silu mengambil karya orang, ditukar serba sedikit dan diisytiharkan sebagai karyanya. Dalam dunia cendekia pula, dia ambil kajian orang tanpa izin atau pengiktirafan. Dalam dunia pekerjaan, dia gemar benar menonjol-nonjolkan diri walaupun orang-orang lain yang bertungkus lumus. Dalam apa pun bidang kehidupan, yang utamakan adalah kepentingannya tanpa mendalami makna integriti dan maruah tadi. Siapa pun yang boleh menyenangkan hidupnya itulah kawannya, terutama mereka yang berpangkat dan berpengaruh. Kita akan lemas bersama orang begini kerana unsur oportunistik berselarut dalam kehidupannya.

Betapa seorang Edward Said, atau di daerah kita, Za’ba dan Ustaz Babu Sahib, mengingatkan luhur dan tingginya nilai integriti dan maruah dalam menceburi apa pun bidang dan dalam menjalani sebuah kehidupan. Tanpanya kita mungkin dianggap jempolan tetapi sejarah nanti akan menilai siapakah kita sebenar dan sejauh mana suara kehidupan kita berlandaskan kejujuran.

Ditulis : 9 Oktober 2003
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 12 Oktober 2003
Tajuk Asal: Edward Said: Pemilik Integriti dan Maruah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s