Datang Dan Perginya Aidiladha 1435 Hijriah

Datang Dan Perginya Aidiladha 1435 Hijriah

Berakhir sudah sambutan Hari Raya Haji/Aidiladha kita. Tidak seperti Hari Raya Puasa/Aidilfitri, sambutan kita semasa Hari Raya Haji tidaklah semeriahnya. Namun, bagi sesetengah orang Aidiladha lebih besar maknanya kepada mereka.

Sesiapa yang telah menunaikan fardu haji pasti terkenangkan masa-masa mereka ketika mengerjakan rukun dan syarat haji. Masa yang amat singkat itu boleh memberi pengertian yang amat mendalam bagi tetamu Allah. Dan titik tolak perhimpunan raksasa ini tentulah di Arafah. Kita menjadi demikian kecil, tidak memiliki apa-apa, lurut sudah makna kedudukan, harta, nama kita dengan berpakaian ihram kerana akhirnya yang terpenting, kita hanyalah hamba Allah. Yang kita pinta hanyalah keampunan-Nya, sejujur dan seikhlasnya.

Mendengar talbiah ‘Labbaikallahuma labbaik… Aku menyahut seruan-Mu ya Allah. Aku menyahut seruan-Mu. Aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan segala nikmat bagi-Mu dan kekuasaan juga bagi-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu’ hati kita menjadi sayu mengenang dosa-dosa kita yang menggunung dan keampunan Allah yang sentiasa dipohon.

Bukan mudah berubah ke arah yang lebih baik setelah mengejapkan niat untuk menunaikan fardu haji. Dugaannya besar untuk tidak menjadikan ibadah ini sekadar memenuhi rukun Islam sahaja tanpa penghayatan yang sebenar. Banyak contoh yang telah kita baca dan ketahui bagaimana akhlak seseorang itu tidak berubah, malah kadangkala lebih buruk lagi setelah menunaikan fardu haji. Kesilapannya mungkin kerana niat sebenarnya menunaikan fardu haji belum dapat dimurnikan sebagaimana sepatutnya. Namun lebih banyak cerita yang kita baca dan ketahui bagaimana ibadah yang satu ini mampu merubah kehidupan seseorang, menjadikannya insan yang benar-benar memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Sepasang mata yang menyaksikan Masjidilharam dan Kaabah pertama kalinya dengan ketakjuban, namun sepasang mata yang sama, menyaksikan besarnya nikmat Allah dan sedikitnya rasa bersyukur kita, semasa tawaf Wadak. Kita begitu kecil dalam gelombang manusia yang mengerjakan fardu haji dan di seluruh dunia. Sebutir zarah sahaja, namun di Tanah Suci, dapat kita rasakan demikian kecil kita ini, Allah tetap memberi perhatian kepada kita. Dalam masa sesingkatnya dapat kita rasakan, betapa pun kesilapan-kesilapan kita pada masa silam, di Tanah Suci kita seakan-akan berjanji untuk menjadikan Allah dan Rasulullah s.a.w. sebagai paksi kehidupan kita. Betapa kita sayangkan keluarga dan sahabat kita, Allah dan Rasulullah s.a.w. yang seharusnya lebih kita sayangi daripada segala-galanya.

Menunaikan fardu haji, betapa ia dipermudahkan dan betapa canggihnya teknologi pun, ia bukanlah bermakna kita pergi melancong. Tentunya ada adab-adab tertentu semasa kita menjalankan ibadah kita di sana.

Heboh kita membaca musim haji kali ini mengenai jemaah haji yang gemar berselfie, bercakap di telefon bimbit semasa bertawaf dan bersai, memetik dan merakam gambar/video, memuat naik beberapa ibadah/hal dalam facebook dan lain-lain. Tentunya dalam semua hal, apa yang kita lakukan haruslah bertempat dan berpada-pada. Kita seakan-akan mahu seluruh dunia tahu segala jadual kita di Tanah Suci, padahal banyak rukun dan syarat haji memerlukan perhatian kita yang tidak berbelah-bagi. Dengan masa yang amat terhad, mampukah kita berlegar-legar dengan hal-hal begini sedangkan kita adalah tetamu Allah dan perhatian kita seharusnya kepada-Nya? Adalah amat menyedihkan jika menunaikan fardu haji dari masa ke semasa nanti menjadi lawatan ‘menziarah’ dan ‘mencuci dosa’ tanpa penghayatan makna sebenar menunaikan rukun Islam ini.

Namun Hari Raya Korban dengan cerita Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. akan selalu mengingatkan kita makna berkorban dalam kehidupan kita. Sanggupkah kita menyayangi dan berpisah dengan seseorang hanya kerana Allah? Sanggupkah kita melepaskan sesuatu yang amat kita cintai dan hargai kerana Allah semata-mata? Betapa sukar melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Godaan dan cubaan melakukan sebaliknya demikian besar dan kadangkala datang bertalu-talu sehingga kita mudah terlupa untuk berpegang kepada ingatan murni ini.

Sebagai manusia biasa kita mudah digoda oleh ego yang besar, perasaan dendam, marah, kebencian, riyak, taksub kepada kedudukan dan harta serta pelbagai anasir negatif. Bagasi kita terlalu besar dan berat. Bolehkah kita memaafkan orang-orang yang menghancurkan kehidupan kita, menfitnah kita, membenci kita dan hal-hal seumpama itu? Begitu sukar untuk belajar memaafkan dan memulakan kehidupan baharu sebagaimana iktibar daripada makna pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Bolehkah kita ‘korbankan’ perasaan ego kita yang besar, perasaan marah yang melimpah-ruah, kebencian yang meluap-luap dan sebagainya, kerana Allah? Tentunya amat sukar. Tetapi ada pepatah yang menyatakan: ‘Perjalanan seribu batu bermula dengan tapak yang satu’.

Demi kesejahteraan kita adalah lebih baik kita ‘melepaskan’ segala perasaan yang negatif ini. Ini tidak bermakna perkara-perkara buruk itu tidak pernah berlaku tetapi ia bermakna kita tidak mahu bagasi kehidupan kita diberatkan oleh hal-hal negatif begini. Kita bertegur sapa seadanya, selagi ia tidak memudaratkan kita kerana ada juga orang jika kita menjalin kembali perhubungan akrab dengannya, kesejahteraan hidup kita akan amat terjejas. Demi kebaikan semua, baiklah kita belajar berdiam dan menjadi ‘halimunan’ (invisible). Berkata begini bukan bermakna kita memusuhi orang-orang begini tetapi kita belajar berdepa kerana kadangkala bagi sesetengah orang, apa pun yang kita lakukan atau alami, kita tetap dianggap dengan penuh prasangka oleh mereka. Saya yakin kalau tujuan kita baik dan perilaku kita, walau begitu diduga, tetap beradab, insya-Allah lambat laun, pelbagai masalah sebegini akan terlerai juga. Kalau bukan ego kita yang bersuara tetapi hal-hal yang lebih murni yang berlandaskan keikhlasan, suatu hari banyak hal yang merusuhkan kita akan tersingkap juga. Yang penting, kita harus memurnikan makna ‘pengorbanan’ itu dalam kehidupan kita dan sejujurnya bertanya diri kita – apakah kita lakukan sesuatu itu benar-benar kerana Allah atau kerana ego kita yang besar dan anasir-anasir negatif seumpama itu.

Mudah-mudahan kita dapat sama-sama menghayati makna pengorbanan sebenar demi kesejahteraan semua. Dan mudah-mudahan demi cinta kita kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. kita dapat melihat persada yang lebih besar yang Allah bentangkan kepada kehidupan kita dan tidak mudah dilekakan oleh hal-hal yang meremehkan tujuan kita sebagai hamba-Nya, insya-Allah.

Saya titipkan empat kuntum sajak untuk bacaan kita kali ini; sajak-sajak ini ditulis pada tahun-tahun ketika saya masih remaja (1973), awal dewasa (1982), dewasa (1990) dan meniti usia yang semakin meningkat (2006-2007) – semoga ada manfaatnya bagi kita.

Saya lampirkan juga sebuah nasyid/doa yang amat mengharukan saya – kerana akhirnya, sama ada semasa menunaikan fardu haji atau menjalani kehidupan seharian kita, keampunan Allah yang kita inginkan dan pinta, selamanya.

Ditulis: 12 – 13 Zulhijjah 1435/ 7 – 8 Oktober 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Terkorban

Apakah terkorban itu syurga?
Ibrahim & Ismail pertanda cinta.
Apakah hari ini manusia membunuh manusia?
Titik darah bernilai tiada.

Mestikah mentari terus mengganas?
Darah & peluh semua diperas
senjata & B-52 terus membuas
insan merampas, insan terpapas
jadi patung di peta ketua-ketua
mangsa cita & mangsa rasa.

Ke mana hendak dituju?
Kalau hidup hanya untuk membunuh & dibunuh
pudar keadilan, bercendawan kedurjanaan
terpisah segala, tertumpas yang dicinta
kerana:
yang di atas sentiasa memeras
yang menolong minta dibalas
& yang membela melaungkan neraka!

O, darahkah kehausan manusia?
Kiamatkah ini namanya?

Tuhan
sampai bila udara berbau perang
sampai bila harus manusia terkorban
tersisih dari kedamaian & keadilan?

Tuhan
berikan tenaga
agar berputik damai & keadilan di merata dunia.

Ditulis: 14 Januari 1973; Aidiladha
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Pengertian

Di tebing waktu ini, telah Kau
pasang & surutkan arus pengalaman,
dasarkan kerikil-kerikil tajam pada lautan,
timbulkan batu-batu karang, lalu gelombang
ganas, memuntahkan pula hidup-hidupan,
yang kasar & liar, mencacatkan pantai-Mu
yang Maha Luas.

Ketika kakiku parah, tidak kuketahui,
yang Kau ingin kujejaki adalah pasir-pasir
pengajaran, dari himpunan masyarakat pantai…
daratan ini semakin dipenuhi kaca-kaca menikam,
arah itu pudar, oleh bulan yang sebegitu kelam,
tapi tidak putus Kautitipkan pada malam-malamku:
sebutir bintang.

Ditulis: 11 Oktober 1982
Kent Ridge, Universiti Nasional Singapura/NUS
Tulisan: Rasiah Halil.

Central Mosque, London

Biar apa pun musim
salju atau musim bunga
maghrib lewat sembilan malam
atau subuh tiga setengah
manusia tetap berbondong
mengingati Allah
setiap masa.

Masjid ini sentiasa terbuka
kepada semua manusia
kerana tiang serinya persaudaraan
lantainya kebajikan
bumbungnya kesejahteraan
& pintunya iman.

Datanglah ke Baker Street
singgahlah di Central Mosque
kerana hidup sentiasa goyah, rapuh,
& di sini ketenangan berlabuh.

Ditulis: 2 Jun 1990
Baker Street, London
Tulisan: Rasiah Halil.

Anugerah-Mu

Anugerah-Mu adalah perkara-perkara kecil
dua ekor kucing yang comel
sejahtera dalam kesederhanaan
reda dalam pelbagai dugaan
kehidupan ini saling bertaut, berentetan,
manusia-haiwan-alam.

Mengalami kedamaian ini
tika mereka berehat, tidur,
walau di luar dunia begitu hiruk-pikuk
atau hiba menyaksikan dua kakinya lumpuh
namun tetap riang, bermain bersama
menjadi habluran keinsafan, iktibar,
kayanya Kau melimpahi kehidupan.

Sekadar perkara-perkara kecil
namun betapa besarnya rahmat-Mu bermukim.

Ditulis: 31 Disember 2006 – 3 Januari 2007
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s