Bila Masalah Melanda Kita

If Allah bring you to itStarsWhen Something Bad Happens

Bila Masalah Melanda Kita

Dalam kehidupan seharian kita banyak masalah yang boleh melanda kita. Ada yang boleh kita jangka tetapi banyak pula yang tidak pernah kita jangkakan. Kadangkala masalah-masalah ini melanda hidup kita dalam pelbagai kesibukan kita menjalani kehidupan seharian dan turut membelenggu kita dalam pelbagai masalah yang lain. Dan adakalanya pula, apa yang dianggap masalah sebenarnya bukan masalah kerana kita tersalah sorot. Ada orang dilanda masalah kerjaya, rumah tangga, keluarga, kewangan, perhubungan, kesihatan, penginapan, pembelajaran dan lain-lain. Semuanya besar daripada kaca mata mereka yang menghadapinya dan kadangkala dirasakan amat sukar untuk keluar daripada jeratan masalah ini.

Selagi kita hidup sudah pasti kita menghadapi masalah atau kalau dipositifkan, kita kata ia sekadar cabaran. Kalau kita telah berpulang ke rahmatullah masalah-masalah itu mungkin berpindah kepada waris kita. Dan betapa kelihatan senangnya kehidupan seseorang, pasti ada juga hal-hal yang boleh merusuhkan hatinya, begitu juga sebaliknya. Ada orang yang kelihatan amat sederhana hidupnya dan pelbagai masalah membelenggu hidupnya tapi mengapa adakalanya kita dapati dia seakan-akan tiada masalah? Apakah yang dia miliki sehingga perkara-perkara yang kita anggap masalah, baginya hanya perkara enteng sahaja? Begitu juga ada orang kehidupannya kelihatan amat senang dari segi kebendaan tetapi dilanda pelbagai masalah yang berat tetapi dia juga menganggap masalah-masalah ini perkara kecil.

Kadangkala masalah-masalah yang melanda hidup kita mungkin untuk melorongkan kita ke arah yang lain pula atau melihat sesuatu yang dianggap masalah itu dari sudut pandangan yang berbeza. Masalah itu masih wujud tetapi kerana perspektif kita berubah, ia pun kelihatan berubah. Setitik nila atau dakwat hitam di baju yang putih akan kelihatan besar kalau kita asyik tertumpu kepadanya padahal ia mungkin sebenarnya langsung tidak kelihatan kerana terlalu kecil.

Namun bila kita menghadapi masalah, ia boleh begitu mengganggu kehidupan kita. Kalau kita rasional dan cuba menyelesaikan dengan cara baik, mungkin ia boleh terungkai. Berkata demikian bukan bermakna semua masalah boleh kita selesaikan dengan sekelip mata. Ada masalah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan dan ada pula tidak akan selesai sampai ke akhir hayat kita. Bercakap dengan orang-orang yang boleh dipercayai atau mereka yang pakar dalam bidang tertentu, mungkin dapat membantu kita. Masalah yang dikongsikan dengan orang-orang yang prihatin terhadap kebajikan kita tentu boleh meringankannya.

Ada orang begitu meremehkan masalah orang lain, misalnya masalah kewangan. Apa yang dianggap jumlah yang kecil bagi mereka yang berwang, amat besar bagi mereka yang tidak berwang atau hidup sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang dianggap perhubungan yang penuh tekanan atau kerjaya yang begitu ‘menyirap darah’ kita, bagi orang lain mungkin perkara kecil sahaja. Dan kadangkala kerana kurang peka, kita sukar memahami masalah orang lain atau lebih buruk lagi, kita memperlekehkan mereka yang dilanda masalah.

Saya teringat kata-kata Mahatma Gandhi: ‘Nobody can hurt me without my permission’. Kita memilih untuk menjadikan sesuatu masalah itu menghancurkan hidup (walaupun masalah itu amat besar dan dahsyat) atau sebaliknya. Tanpa ‘keizinan’ kita masalah sebesar mana pun tidak akan kita biarkan menghancurkan hidup kita, hanya ‘keizinan’ kita membolehkan masalah itu menggelapi seluruh hidup kita. Eleanor Roosevelt juga berkata perkara yang hampir sama: ‘No want can make you inferior without your consent’ – kerana kadangkala masalah kita berpunca daripada masalah terlalu memandang rendah terhadap diri sendiri atau orang-orang yang terdekat dengan kita. Mereka yang dilanda ‘superiority complex’ juga boleh merentetkan pelbagai masalah.

Kalau kita yakin, apa pun masalah insya-Allah boleh kita atasi walaupun mengambil masa dan jika sikap kita terhadap masalah-masalah yang melanda kita lebih positif, separuh daripada beban masalah ini seolah-olah diringankan. Anda mungkin telah bertemu orang-orang begini – hidup mereka dipenjara pelbagai masalah tetapi mereka dapat bergerak dan bertindak mengatasi jeriji-jeriji pintu yang memenjarakan mereka. Mereka bukan ‘superman’ atau ‘superwoman’ tetapi kerana mereka selalu bergantung-harap kepada Allah dan berusaha sebaiknya, akhirnya mereka dapat mengecapi nikmat kesabaran dan kebijakan mereka mengatasi atau mengurangkan masalah-masalah yang melanda. Dan kita mungkin akan teringat pesanan Allah dalam Surah Al-Insyirah atau Surah Alam Nasyrah, ayat 5 dan 6:
Sesungguhnya bersama kesukaran itu pasti ada kemudahan; Dan bersama kesukaran itu pasti ada kemudahan.’ (Diambil daripada: Al-Quran Rasm Uthmani, Jilid 10, Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid, halaman 186). Betapa Surah Alam Nasyrah ini selalu mengingatkan kita bahawa apa pun masalah yang kita hadapi, akan ada kemudahannya untuk kita, walaupun semasa menghadapinya terasa begitu terbeban hidup kita. Kadangkala kita tidak ternampak hikmah di sebalik masalah-masalah yang melanda kita – semasa bergelut menghadapi pelbagai masalah ini memang sukar untuk kita mencari hikmah di sebalik semuanya. Tapi melalui kesukaran itu kadangkala membuat kita lebih menghargai kesenangan yang akhirnya menanti kita.

Tentunya orang yang dilanda masalah itu berasa demikian terbeban dan kita yang memerhatikannya kadangkala hanya boleh berucap: ‘sabar’. Betapa berat mata memandang tentunya berat lagi bahu yang memikul. Tetapi kalau kita prihatin terhadap masalah orang lain atau kita galas masalah yang kita hadapi sebaiknya dengan berusaha mengatasinya dengan sabar, tabah dan tawakal, insya-Allah sedikit demi sedikit terlerai juga sebahagian masalah kita. Yang penting sikap dan tindakan kita terhadap masalah-masalah yang melanda dan pergantungan-harap kita hanya kepada Allah, penentu segalanya. Pastinya ada juga kita menangis atau amat hiba dilanda masalah tetapi kita yakin bahawa Allah tidak akan membebankan sesuatu jiwa melainkan apa yang sanggup ditanggung jiwa tersebut. Inilah pesanan Nenek saya yang selalu saya ingat, yang sebenarnya diambil daripada ayat-ayat al-Quran. Ia selalu menenangkan saya, sebagaimana Surah Alam Nasyrah/Al-Insyirah menenangkan saya. Semoga anda juga berasa demikian dan walaupun dibelenggu pelbagai masalah, kehidupan ini tetap kita nikmati dengan penuh kesyukuran dan keceriaan. Banyak lagi keindahan yang Allah berikan dalam hidup kita meskipun ia tidak sunyi daripada batu-batan dan kerikil masalah yang menurap kehidupan kita.

Saya lampirkan kini sebuah lagu indah, ‘Smile’, nyanyian Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini ketika mengadakan konsert di Dewan Konsert Victoria, Singapura, pada 8 Februari tahun 2000 dahulu. Beliau diiringi Orkestra Simfoni Singapura dengan Encik Eddie Marzuki sebagai konduktor  dan penyusun orkestra konsert tersebut.  Saya hadir semasa konsert itu dan beberapa kali terharu menyaksikan persembahan beliau, yang saya ikuti sejak 1969 ketika beliau menyertai  ‘Bintang RTS’ di Singapura dan mendapat tempat ketiga pada awal Januari 1970, di Singapura. Bakatnya terserlah ketika itu, demikian juga semasa menyaksikan konsertnya pada 8 Februari tahun 2000 dahulu. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya kerana banyak menyumbang keindahan, khazanah dan bakti kepada kehidupan dan masyarakat kita, insya-Allah. Amin.

Ditulis: 14 Oktober 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s