Mengenang Allahyarham Pak A Ghani Hamid (Lahir: 13 April 1933 – Meninggal Dunia: 13 April 2014)

Mengenang Allahyarham Pak A Ghani Hamid (Lahir: 13 April 1933 – Meninggal Dunia: 13 April 2014)

Pak A Ghani Hamid Tahun 70-anPak A. Ghani A Hamid  1987  Gambar RHimages (29)Pak A Ghani A Hamid  Gambar SPH Internet

Buku-buku Tulisan Allahyarham Pak A Ghani Hamid:

1. 1960 – Sekilas Pandang Seni Lukis Dan Perkembangannya (Kumpulan esei seni lukis)
2. 1964 – Jalinan Rasa (Kumpulan puisi)
3. 1972 – Mata Dan Hati (Kumpulan puisi Melayu dan Inggeris)
4. 1977 – Delima Merah Di Jari Manis (Novelet). Cetakan kedua pada 2001 dengan tajuk Delima Merah.
5. 1978 – Breezes (Kumpulan puisi Inggeris)
6. 1985 – Desa Ini Hatiku (Novelet)
7. 1988 – Nota (Kumpulan puisi)
8. 1988 – Mengenang Pak Zubir (Biografi; ditulis bersama Sulaiman Jeem)
9. 1990 – Kegiatan Kolektif Pelukis-Pelukis Melayu (Dokumentasi aktiviti Persatuan APAD)
10. 1990 – Seni Indah Masjid Di Singapura (Kajian mengenai kesenian masjid)
11. 1990 – Yaacob Mohamed (Biografi; ditulis bersama Sulaiman Jeem)
12. 1991 – An Artist’s Note (Kajian seni lukis)
13. 1993 – Pameran (Esei mengenai pameran lukisan, 1963-1992)
14. 1994 – Harun, Seorang Penulis (Biografi; ditulis bersama Sulaiman Jeem)
15. 1995 – Fragmen 40 (Kumpulan puisi)
16. 1995 – Kesan Citra (Kumpulan esei kesenian)
17. 1997 – Tawajuh (Kumpulan puisi)
18. 1997 – Aktivis Melayu/Islam Singapura (Kajian; ditulis bersama Sulaiman Jeem)
19. 1998 – Sepanjang Jalan Ini (Kumpulan puisi)
20. 1998 – A Journey With No End (Kumpulan puisi Inggeris)
21. 1998 – Wak Cantuk (Drama sebabak; drama pentas)
22. 2001 – reAKSI (Kumpulan esei dan puisi)
23. 2003 – Ombak Terbang Tinggi (Kumpulan puisi)
24. 2005 – Petikan Rasa/Extracts Of Feelings (Kumpulan puisi Melayu dan terjemahannya serta lukisan)
25. 2005 – Berburu Di Padang Datar Dan Lain-Lain (Kumpulan drama pentas)

Karya Pak Ghani bersama penulis lain, di Singapura dan Malaysia terutamanya terlalu banyak untuk disenaraikan dalam tulisan ini. Beliau juga mempunyai ruangan tetap di Berita Minggu Singapura dengan menulis hal-hal mengenai seni lukis 1971-1977, melukis kartun untuk penerbitan yang sama dengan pada tahun-tahun 70-an, mendapat satu lagi ruangan di Berita Harian Singapura (hari Isnin) mengenai sejarah dan penggiat seni serantau dari 1989-1991 dan satu lagi ruangan mengenai kenangan hidupnya yang terbit hari Khamis di Berita Harian Singapura dari 1999-2003. Selain ini Pak Ghani bergiat aktif dalam persatuan-persatuan seperti Angkatan Sasterawan ’50/Asas ’50, Angkatan Pelukis Aneka Daya/APAD, Perkumpulan Seni, Sriwana, mengadakan pameran lukisan serta aktif dalam hal-hal berkaitan seni, bahasa dan budaya.

Prolog

Bukan mudah menulis mengenai seorang seniman yang telah banyak berjasa kepada dunia seni dan masyarakat kita. Ramai yang telah menulis mengenai beliau dan terdapat beberapa kajian mengenai beliau. Apalah yang boleh saya tambah mengenai seniman yang saya hormati ini?

Beberapa kali saya ingin memulakan tulisan saya mengenai Allahyarham Pak A Ghani Hamid, saya tertunda. Dan berkali saya berasa malu untuk menghubungi anak perempuan tertua Pak Ghani, M, yang merupakan seorang kawan saya, memberitahunya bahawa saya telah menyiapkan tulisan saya mengenai bapanya. Itu janji saya kepada diri saya apabila mendengar berita berpulangnya Pak A Ghani Hamid ke rahmatullah pada 13 April lalu. Anak perempuan Pak Ghani bersahabat dengan saya di Universiti Nasional Singapura pada awal tahun-tahun 80-an ketika beliau mengambil ijazah Sarjana Muda/B.A. dan saya ijazah Sarjana/M.A. Beliau merupakan salah seorang sidang pengarang gelombang kedua bagi jurnal sastera kampus yang beberapa orang kawan dan saya usahakan sejak 1978 iaitu Jejak Kembara. Tulisan saya mengenai Pak Ghani tertunda kerana gangguan kesibukan dan kesihatan dan juga beberapa berita kematian yang saya terima sejak awal tahun ini. Lantas beberapa perkara sekadar berlarut dan tulisan kenangan mengenai Pak Ghani, hanya tinggal angan-angan, sehinggalah minggu ini.

Saya tidak akan mendalami puisi-puisi Pak Ghani tetapi akan memetik beberapa kuntum sahaja dalam tulisan ini kerana puisi-puisi Pak Ghani pernah saya telusuri dalam sebuah kertas kerja berjudul ‘Perkembangan Puisi Mutakhir Singapura’ yang disampaikan dalam Pertemuan Sasterawan Nusantara X dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1, pada 17 – 21 April 1999 di Johor Bahru. Kertas kerja tersebut telah dibukukan oleh Yayasan Warisan Johor pada 2006 dengan tajuk Sastera Nusantara: Warisan dan Harapan. Begitu juga ada juga karya-karya Pak Ghani yang lain yang pernah saya dalami sedikit dalam beberapa esei sastera yang terbit di dalam dan luar negara. Biarlah saya tidak mendalami karya-karya Pak Ghani dalam tulisan ini tetapi menulis sedikit kenangan mengenai seorang seniman yang kehadirannya bak bayu, menyamankan taman seni kita.

Seorang Insan Seni Bernama Pak Ghani

Saya menerima berita pemergian Pak Ghani daripada anaknya, M, sekitar 10 pagi pada 13 April lalu. Saya kurang sihat ketika itu dan hanya sempat melawat ke rumah Pak Ghani di Tampines, sekitar zuhur. Jenazah Pak Ghani baru sahaja dibawa turun dari rumah pangsanya. Setelah jenazah dibawa ke tanah perkuburan Islam, saya berjumpa balu Pak Ghani, Mak cik Khatijah Tain dan beberapa orang ahli keluarganya yang tidak ke tanah perkuburan.

Esoknya, 14 April, pada waktu pagi, wartawan Akshita Nanda dari The Straits Times Singapura mengirim sms (pesanan ringkas) dan e-mel kepada saya. Akshita mengajukan 4 soalan mengenai Pak Ghani dan meminta saya memberi jawapan secepat yang boleh. Saya memberitahu Akshita saya akan menjawab keempat-empat soalannya sekitar tengah hari kerana saya masih kurang sihat. Jawapan saya agak panjang dan saya sebut Pak Ghani sebagai seorang insan dan seniman yang gentleman/budiman dan beliau layak digelar seorang renaissance man iaitu insan Zaman Keserlahan/Renaissance kerana kejituan bakat serba bolehnya dan kedalaman wawasan dan penciptaan karya seninya. Rupa-rupanya Juffri Supaat seorang pustakawan di Perpustakaan Negara Singapura, yang mengenali Pak Ghani, dan diwawancara oleh Akshita melalui e-mel juga memberi gelaran yang sama kepada Pak Ghani. Akshita membalas e-mel saya dan mengatakan dia seolah-olah lebih mengenali Pak Ghani setelah membaca jawapan e-mel saya dan dia menyesal tidak dapat berbual dengan Pak Ghani kerana tiga atau empat tahun sebelum pemergiannya, Pak Ghani kurang sihat. Akshita juga memberitahu saya bahawa daripada semua orang yang diwawancaranya, semua menganggap Pak Ghani seorang seniman yang benar-benar boleh dianggap demikian, sejujurnya. Wawancara mengenai Pak Ghani disiarkan dalam bahagian Life, The Straits Times pada 15 April 2014.

Bagaimana saya mengenali Pak Ghani? Saya mengenali Allahyarham melalui tulisan-tulisannya sebelum saya bertemu beliau. Sekitar 1969 – 1971 , saya mula membaca buku-buku dan majalah-majalah bahasa, kesusasteraan dan isu-isu semasa masyarakat Melayu dengan lebih kerap lagi. Nama Pak Ghani sebagai pelukis dan penulis memang saya temui dalam pembacaan saya, lebih-lebih lagi mulai 1972 apabila Berita Harian Singapura ‘berpecah’ dengan Berita Harian Malaysia. Saya juga membaca tulisan-tulisan Pak Ghani mengenai dunia seni lukis di Berita Minggu kerana meminati bidang ini walaupun saya tidak boleh melukis. Selain itu dan karya kreatif Pak Ghani di media massa, ada juga lukisan kartunnya di Berita Minggu Singapura yang saya ikuti; ketika itu saya tidak tahu Pak Ghani yang melukis kartun-kartun tersebut.

Mulai bulan Mac 1972, karya saya, sebuah puisi, mula mendapat tempat di media massa; ia diterbitkan dalam Majalah Harapan, terbitan Kementerian Pendidikan Singapura. Ini diikuti oleh karya-karya saya yang lain yang tersiar di majalah tersebut, di Ruangan Remaja, Radio Singapura (sekarang Warna FM94.2) dan majalah sekolah. Pada 1973, ketika di kelas Menengah Empat, guru bahasa Melayu saya, Cikgu Noorkhairati, begitu prihatin terhadap minat saya dalam bidang kesusasteraan. Asas ’50 menganjurkan perkampungan sastera di Khemah Percutian Tanah Merah pada 4 -5 Ogos 1973. Guru bahasa Melayu saya mendaftarkan nama saya untuk mengikuti perkampungan tersebut, membayarkan yurannya, menghantar saya ke sana dan menjemput saya pulang dari perkhemahan tersebut. Saya baru menulis dan begitu mentah serta tidak mengenali sesiapa secara peribadi di sana walaupun ‘mengenali’ beberapa orang penulis yang sering gambarnya tersiar di akhbar dan majalah sastera. Perkhemahan itu membantu saya mengenali sedikit dunia sastera tempatan dan di sanalah saya bertemu Pak Ghani. Pak Ghani, Ismail Muda (kini Allahyarham) dan mungkin beberapa orang pelukis lain mengadakan pameran lukisan semasa perkampungan sastera tersebut. Yang paling saya ingat bukan lukisan tertentu tetapi sejenis lukisan/puisi baharu yang dipanggil ‘sajak transformasi’ iaitu sebuah lukisan dicipta berdasarkan sajak. Ini kemudian memberi ilham kepada saya menulis sebuah cerpen pada 1974 dengan tajuk ‘Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi’. Watak utama cerpen tersebut seorang pelajar Tingkatan Enam/Pra-U/Junior College dalam aliran sains tetapi dia meminati dan boleh melukis. Dalam cerpen itu, watak utama saya, Ahmad Ashraf, mencipta sebuah lukisan berdasarkan sajak yang diciptanya dengan tajuk ‘Di Atas Buih-Buih Aku Berdiri’. Isu-isu yang saya bincangkan dalam cerpen itu bukan hanya mengenai sajak/lukisan transformasi tetapi cerpen itu mungkin tidak mengetengahkan watak yang pandai melukis jika saya tidak bertemu dengan lukisan/sajak transformasi Pak Ghani dan kawan-kawannya semasa Perkampungan Sastera Asas ’50 itu.

Pada 1976, saya mendapat undangan daripada Pak Ghani melalui APAD, untuk menghadiri sebuah pameran lukisan dan pembukaan Galeri Seni, Muzium Kebangsaan Singapura. Ketika itu saya hampir atau baru melanjutkan pelajaran saya di Universiti Singapura. Itulah pertama kali saya berbual-bual panjang dengan Pak Ghani dan beberapa orang pelukis. Pak Ghani mengajukan sesuatu kepada saya, yang bagi saya yang baru setahun jagung dalam bidang penulisan, begitu besar ertinya – Pak Ghani menyarankan sajak-sajak Inggerisnya dan saya dikumpulkan dalam sebuah buku. Ketika itu sajak-sajak bahasa Inggeris saya mula mendapat tempat, selain di majalah-majalah sekolah, ia juga tersiar di Prospect Magazine terbitan Kementerian Pendidikan Singapura, dan juga akhbar petang Singapura pada zaman itu, New Nation. Puisi berbahasa Inggeris Pak Ghani pun ada tersiar dalam New Nation. Karya berbahasa Inggeris saya tidaklah banyak, saya beritahu Pak Ghani, mungkin lebih baik Pak Ghani menerbitkan puisi-puisi Inggerisnya tanpa karya-karya saya, tetapi saya memberi juga puisi-puisi saya kepada Pak Ghani seperti yang diminta. Akhirnya Pak Ghani menerbitkan sajak-sajak Inggerisnya, Breezes pada 1978.

Tahun-tahun selepas itu saya menemui Pak Ghani dalam acara-acara sastera dan kesenian yang banyak diadakan pada zaman-zaman 70-an dan 80-an itu. Pada 1983 saya mewawancara Pak Ghani kerana kajian tesis Sarjana/M.A. saya dan pada 1987, saya mewawancara Pak Ghani sekali lagi kerana saya mengajar sebuah kursus baharu di Universiti Brunei mengenai puisi Melayu Singapura dan Pak Ghani selain beberapa penyair lain merupakan orang-orang yang penting diketengahkan dalam kursus tersebut.

Pada 1997, ketika Pak Ghani diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang dalam Majlis Anugerah Persuratan Singapura, anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura, saya hadir dalam majlis tersebut. Selain keluarga dan sahabat terdekat Pak Ghani, saya begitu gembira kerana Pak Ghani diberi anugerah tersebut kerana bagi saya beliaulah orang yang benar-benar layak menerimanya. Penglibatan seninya begitu meluas dan mendalam; semua diceburi dengan sepenuh hati dan kemahiran serta keikhlasan. Cinta Pak Ghani kepada bidang seni, bahasa dan budaya selain sikapnya yang sopan, budiman, merendah diri dan terbuka menerima penulis/pelukis lain selain karya-karyanya yang memang menjadi, memang menjadikan Pak Ghani selayaknya menerima anugerah persuratan tertinggi itu. Pada 1998, pada usia 65 tahun, baru Pak Ghani diberi SEAsia Write Award dan pada tahun 1999, Pak Ghani diberi Pingat Budaya Singapura kerana penglibatan dan karya seninya. Pak Ghani juga menerima sejumlah lagi anugerah daripada beberapa badan di dalam dan luar negara kerana karya dan penglibatan seninya.

Bagi saya Pak Ghani seorang insan dan seniman yang ternyata integritinya. Banyak hal menunjukkan sedemikian. Sekadar contoh, sekitar 1996/1997, Pak Ghani dilantik oleh Usman Awang dan Prof Muhammad Hj Salleh untuk mengetuai projek antologi puisi senusantara, bahagian Singapura, berjudul Cakerawala Nusantara. Projek itu memuatkan puisi-puisi dari 4 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Seorang penyair hanya dipilih 2 puisinya oleh Usman Awang dan Prof Muhammad dan puisi-puisi berbahasa Melayu ini semua turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Prof. Muhammad sendiri. Setiap puisi dan terjemahannya diiringi sebuah lukisan dari negara masing-masing. Dari Malaysia, dipilih 14 penyair dan 28 puisi berbahasa Melayu dan 28 puisi terjemahan bahasa Inggerisnya, Indonesia, 13 penyair dan 26 puisi berbahasa Melayu dan 26 terjemahan bahasa Inggerisnya, Brunei, 4 penyair dan 8 puisi berbahasa Melayu dan 8 puisi terjemahan bahasa Inggerisnya dan Singapura, 3 penyair dan 6 puisi berbahasa Melayu dan 6 puisi terjemahan bahasa Inggerisnya. Dari Singapura puisi-puisi Masuri S.N., Mohd Latiff Mohd dan saya dipilih. Karya Pak Ghani tidak dipilih tetapi beliau tidak berkecil hati kerana ini. Pak Ghani diberi tugas untuk mendapatkan keizinan kami dan juga memilih lukisan-lukisan (6 buah) yang mengiringi sajak-sajak kami. Ada juga orang yang sering menonjol-nonjolkan dirinya apabila menyelenggarakan sesuatu projek sastera/seni tetapi ini tidak berlaku kepada Pak Ghani. Dalam bahagian memilih lukisan yang mengiring 6 sajak bahagian Singapura pun, beliau hanya memilih sebuah lukisannya sahaja, 5 yang lain merupakan lukisan Jaafar Latiff, S. Mohdir, Thomas Yeo, Goh Beng Kwan dan Saiman Ismail. Buku ini agak besar iaitu 30 x 29 sentimeter, berkulit tebal, ada sampul buku yang lebih besar dan tebal, kertasnya cantik dan berwarna-warni. Buku ini yang diterbitkan dan ditaja oleh Maybank, dilancarkan pada 7 April 1999. Saya tabik kepada Pak Ghani kerana nilai integritinya begitu terserlah semasa mengelolakan projek besar ini dan pelbagai lagi projek/penglibatan lain.

Walaupun saya mengenali keempat-empat orang anak Pak Ghani, terutama anak perempuannya, M, dan anak sulungnya, A.K. serta menyayangi isterinya, yang saya panggil ‘mak cik’, saya jarang ke rumah Pak Ghani untuk berbual-bual dengannya kerana saya segan, kecuali apabila ada hal-hal tertentu. Meskipun demikian, apabila sesekali bertemu, ada juga Pak Ghani menceritakan beberapa hal, misalnya, bagaimana Pak Ghani menghadiri sebuah seminar yang begitu memberangsangkan mindanya kerana jarang beliau dapat menghadiri seminar-seminar sebaik itu. Mengenali Pak Ghani kita maklumi Pak Ghani seorang yang mencintai dan menghargai ilmu dan beliau gemar mendalami sesuatu bidang ilmu, terutama berkaitan dengan seni. Tidak hairanlah, selain mengenai dunia sastera dan lukisan, Pak Ghani juga meminati seni keris, kesenian masjid, sejarah, muzik tradisional, tekstil Nusantara dan lain-lain. Pak Ghani juga pernah berkongsi rasa terperanjat dan hairannya dengan saya kerana beliau menghadiri satu acara maulid di luar negara. Seumur hidupnya, menurut Pak Ghani, belum pernah beliau menyaksikan acara sambutan maulid didendang dan ditarikan di dalam masjid oleh kaum wanita. Kaum lelaki yang mendendangkan acara maulid dan menari pun Pak Ghani tidak pernah saksikan, apa lagi yang dilakukan oleh kaum wanita di dalam masjid.

Pada Disember 2007, penerbit saya, Pustaka Nasional/PN, melancarkan dua buku saya terbitan PN. Acara ini seharus acara yang lebih privet kerana saya hanya ingin menjemput keluarga terdekat saya dan kawan-kawan rapat saya dan tempatnya, di The Arts House juga tidaklah besar sangat. Hanya dua orang penulis yang saya jemput, selain seorang dua kawan yang sememangnya penulis dan pernah bergiat mengelolakan jurnal Jejak Kembara dahulu. Selain seorang penyair/penulis dan isterinya, saya hanya menjemput Pak Ghani dan isterinya Mak cik Khatijah. Bagi saya tidak akan lengkap pelancaran buku-buku saya, yang pertama kali diadakan dan Pak Ghani tidak turut dijemput. Pak Ghani hadir bersama anaknya, M, pada hari tersebut.

Saya pernah menterjemahkan puisi Pak Ghani untuk projek Majlis Seni Kebangsaan/NAC dahulu tetapi jumlahnya kecil. Sekitar 2004, kalau tidak silap saya, Pak Ghani menghubungi saya untuk menterjemahkan 2 sajaknya yang kemudian menjadi sebahagian buku Petikan Rasa (terbit 2005). Saya tidak tahu projek ini dikendalikan oleh beberapa orang dan saya tidak tersenarai sebagai seorang penterjemahnya; Pak Ghani yang meminta saya menterjemahkan 2 puisinya. Saya terharu kerana ini; beliau sendiri boleh menterjemah karya-karyanya dan projek ini diuruskan oleh orang lain, bukan Pak Ghani sendiri. Bahawa beliau sendiri mahu saya terjemahkan 2 sajaknya bagi saya merupakan suatu penghormatan. Saya masih ingat saya melakukan kerja penterjemahan itu secara gratis dan tidak pernah bertanya soal pembayarannya atau mahu dibayar kerana pada fikiran saya ia daripada wang saku Pak Ghani sendiri. Hanya setelah berkali-kali Pak Ghani meyakinkan saya projek ini ada pembiayaannya dari Majlis Seni Kebangsaan walaupun diterbitkan oleh Asas ’50, baru saya mahu menerima honorarium bagi kerja terjemahan tersebut.

Sejak 3 atau 4 tahun yang lalu, Pak Ghani mulai sakit. Anaknya, M, memberitahu saya dan saya pernah menziarahi Pak Ghani di hospital. Setelah Pak Ghani pulang ke rumah, ada juga saya mengunjungi beliau sendiri dan ada juga membawa seseorang yang membuat kajian mengenai lukisan ke rumahnya. Setiap tahun, sejak tahun-tahun 80-an sehingga tahun lepas (kecuali waktu saya amat berhalangan seperti saya sakit atau hal-hal seumpama itu), saya mengirim kad Hari Raya kepada Pak Ghani sekeluarga dan saya sering bertanya halnya apabila menghubungi anaknya, M. Dan tahun lepas, semasa berita saya hampir terkena barah tersiar di Berita Minggu Singapura, Pak Ghani yang sakit tidak menghubungi saya tetapi M dan ibunya, Mak cik Khatijah menghubungi saya. Saya tersentuh dengan budi baik Mak cik Khatijah dan Pak Ghani sekeluarga, bukan hanya mengenai hal ini, tetapi beberapa hal lain.

Pak Ghani ada berkongsi perhatiannya mengenai dunia seni dan penggiatnya sejak beliau menceburkan dirinya dalam bidang kesenian sejak tahun-tahun 40-an lagi. Yang penting, menurut Pak Ghani, walau apa pun gelagat orang terhadap kita, kita tidak perlu gundah dan kita perlu selalu tahu tujuan kita berkarya. Beliau juga ada menasihatkan saya agar tabah dalam bidang kesenian ini, apa pun kerenah orang terhadap saya.

Siapakah Pak A. Ghani Hamid? Bagi saya Allahyarham Pak Ghani melambangkan seorang insan dan seniman yang boleh menjadi teladan kita. Beliau tidak pernah berasa tergugat oleh sesiapa; terbuka menerima penggiat seni dan orang lain dan seorang yang tawaduk. Beliau tidak gempar-gempur dalam karya dan kehidupannya tetapi bak ubi, beliau berisi dan melahirkan karya-karya yang indah dan membuat kita berfikir sejak dahulu lagi. Daripada buku puisinya, Jalinan Rasa lagi sehingga Petikan Rasa, kita temui suaranya yang lembut, tetapi boleh juga bertegas, menjadikan agama sebagai akar tunjangnya dalam berkarya dan kehidupan, merindui tempat kelahiran dan pembesarannya, mencintai orang tua, keluarga, kerabat, sahabat dan manusia, berhujah mengenai manusia dan permasalahannya, melukisi dunia kesenian dan menyimpulkan alam dalam catatan dan calitannya.

Beberapa Kuntum Sajak Pak Ghani

Saya perturunkan kini beberapa kuntum/petikan puisi Pak Ghani untuk tatapan kita – semoga kita akan membaca karya-karyanya yang sedia ada untuk benar-benar menghargai sumbangan insan seni ini:

Dari Kami
Api membakar jiwa kami
kelopak-kelopak mata terbuka lebar
merenung dan melihat segala yang berkisar.

Kami berjalan dari desa-desa sunyi
kami mendaki bukit-bukit tinggi
keringat membasah kami – tak peduli
luka mencalar – kami ubati.

Datang menyembah suara zaman murba
negara dan budaya kami
mencari udara musim baharu
dan bapak-bapak yang kami kasihi
kami rela menjadi api – biarpun membakar diri
untuk cita dan cinta kami
dan kami berani berdiri dan berlari
memijak bumi berduri dan bara api.

Ditulis: Ogos 1954.

Beku
Untuk hidup suci dari kurniaan asli
bukanlah seniman kalau memburu anugerah melimpah
bukanlah seniman kalau meminta upah mencurah,
pada hasrat suci asli
cuma keindahan atas segala
dan rasa dalam curahan cipta.

Pada rasa yang mencipta
tiada pernah kehilangan harta
dan tiada apa dari nama,
cintakan buana
gembirakan rasa seribu cerita,
dan kasihkan Tuhan Yang Maha Esa.

Teman-teman tiada akan beku!
(Untuk mereka – penyair dan pelukis)

Ditulis: 1967 – petikan sajak.

Rakaman Di Pantai Siglap
Di sini dulunya kulihat perahu
dan nelayan dari kampungku
dengan pelontangnya di bahu.

Itulah Pantai Siglapku
berombak mendayu.

Dan, antara ombak dengan rumahku
terbenam tapak kakiku.

Kini, Pantai Siglap baharu
ghairah dengan tiupan bayu
berdakap dengan air biru.
Inilah Siglapku dulu
merakam hati rindu.

Dan, gelombang serta lagu
terisi sejak lahirku.

Ditulis: 1975.

Murah
Di mana-mana
di alam serba mewah ini
di situ ada nafas gelisah,
kerana di mana-mana dan bila-bila pun
kita menolak yang mahal
termasuk harga diri.

Ditulis: Awal 1980-an.

Akhirnya
(III)
Ketika zaman terdesak menekan keluarga
kami tetap disuap nasi sesempurnanya
walau kau sendiri mengunyah keraknya,
pengorbananmu adalah siraman kasih termurni
doamu telah mengukir kejayaan kami.

(IV)
Adikku, ibu sudah pergi
kesetiaannya mengasuh
tiada gantian selamanya.
Ibulah dia,
menghadirkan kita hari ini.

Hadiah tertinggi untuk ibu terkasih
pada amalan anak-anaknya yang salih.

Ditulis: 1 Mac 1996 – petikan sajak.

Budiman
Ini adalah akhlak termurni
budi bicara adalah resmi padi
namun, buat baik berpada-pada
rendah diri bukannya rendahnya nama.

Tapi ia bukan arang di wajah
atau hidung tercucuk sesuka
atau ditarik ke mana-mana,
atau biarkan fitnah memamah nilai etika.

Kita adalah insan punya kemuliaan
dituntut petunjuk-Nya dengan kekamilan.

Ditulis: 20 Februari 2000.

Berlalu
Dulu di ambang dewan ini
disirami kelopak-kelopak mewangi
dan senyuman mengukir‘selamat datang’
gemerlapan lampu berwarna.

Di ruang yang sama
teman-teman yang serupa
kini jarang bertegur sapa
masing-masing punya harga.

Kini, ketika perpisahan
ucapan tidak selera
‘semoga bahagia selamanya’
mencatat sendiri dalam hati.

Itu saja, berlalu segalanya
masyarakat insannya kering budaya.

Ditulis: November 2003.

Epilog

Dalam kehidupan saya terdapat dua orang yang bernama ‘Abdul Ghani’. Kedua-dua bertugas sebagai kerani dan meminati seni. Seorang, Pak Busu saya, meminati bidang fotografi dan kreatif orangnya. Walaupun tidak melukis seperti lukisan para pelukis, beliau gemar melukis gambar sawah padi dan petaninya. Beliau tidak terlibat dalam dunia kesenian tetapi dalam usaha-usaha kemasyarakatan. Seorang lagi, Pak Ghani, seorang penyair, pelukis, penulis, penulis drama pentas dan meminati bidang fotografi. Kedua-duanya dikurniakan anak pertama pada 1960. Kedua-duanya juga adalah insan-insan yang budiman/gentlemen dan terkenal dengan budi bahasa dan memiliki nilai-nilai kebaikan dan keprihatinan terhadap orang lain. Kehidupan mereka sederhana sahaja tetapi amat kaya dengan pelbagai kekayaan yang tidak dapat dinilai dengan wang.

Pak Busu saya, yang saya anggap bagaikan bapa kedua saya, meninggal dunia pada 8 April 2003 kerana sakit barah. Pak Ghani, orang yang saya panggil ‘Pak cik’ dan antara segelintir penulis mapan yang saya amat hormati, berpulang ke rahmatullah pada 13 April 2014, pada hari lahir ke-81nya. Pak Busu saya tiada penggantinya; begitu juga Pak Ghani. Seorang seniman seperti Pak Ghani jarang akan kita temui lagi dalam hidup ini – orang yang seni dan kehidupannya bersuara dengan lembut dan ikhlas walaupun sesekali tegas, bagaikan tiupan bayu dan indahnya fajar dan lembayung senja dalam kehidupan kita.

Betapa benar makna nama kedua-dua insan yang saya hormati dan sayangi ini: Abdul Ghani = Hamba (kepada Allah) yang Kaya. Kedua-duanya amat kaya dengan sikap budiman dan keihsanan mereka. Pak Busu saya akan dikenang oleh keluarga, kerabat terdekatnya dan mereka yang pernah disentuhi dalam usaha-usaha kemasyarakatannya, selamanya. Demikian juga dengan Pak Ghani dan ditambah lagi dengan mereka yang disentuhi melalui karya dan penglibatan seninya.

Dunia seni kita kehilangan seorang insan seni yang kehadirannya menenang dan memperkayakan persada seni kita dan kehilangannya sukar dicari ganti. Allah sahaja membalas jasa kedua-dua Abdul Ghani ini dan bagi seniman, semoga kesungguhan dan penglibatan seni Pak A Ghani Hamid akan selalu kita jadikan cermin perbandingan dan kita teladani. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh seniman kita, Pak Abdul Ghani bin Abdul Hamid dan Pak Busu saya, Abdul Ghani bin Abdul Kadir, insya-Allah. Amin.

Saya lampirkan di bawah ini sebuah lagu, Nyanyian Tanjung Sepi, yang dinyanyikan oleh Khadijah Ibrahim dan Rosiah Chik. Lagu ini dicipta oleh Ramli Sarip dan seni katanya ditulis oleh Hartinah Ahmad. Pak Ghani selalu merindui kehidupan berkampung, sama ada di Siglap, Kembangan mahupun beberapa tempat yang bersejarah dalam kehidupan beliau. Lagu ini merakamkan kerinduan itu dan secara berkias, menggambarkan banyak perkara yang turut dicatat dan dicalit oleh seniman tersohor yang kita hormati dan sayangi ini, Allahyarham Pak A Ghani Hamid. Al-Fatihah.

Ditulis: 17 – 18 Oktober 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s