I Muharam 1436 Hijriah

images (2)images (30)download

I Muharam 1436 Hijriah

Menjelma lagi Muharam dalam kehidupan kita. Banyak yang kita fikirkan semasa tahun baharu Islam ini – bagaimana diri kita dan mereka yang kita sayangi dalam menghayati agama Islam, bagaimana pula keadaan masyarakat, negara dan dunia yang kita huni? Akankah lebih aman dunia kita atau semakin panas dan tegang keadaan dunia kerana persengketaan sesama kita dan kecuaian kita terhadap alam di sekeliling kita?

Hijrahnya Nabi s.a.w. bersama Sayidina Abu Bakar r.a. dan kemudian diikuti oleh kaum Muslim dari Makkah ke Madinah, membawa banyak pengertian kepada kehidupan kita. Sanggupkah kita berkorban seperti Nabi s.a.w. dan kaum Muslim zaman Baginda? Mampukah kita berhijrah, bukan terbatas kepada berpindah ke tempat lain tetapi ‘berhijrah’ daripada sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang lebih baik, dalam kehidupan kita? Semua ‘penghijrahan’ memerlukan pengorbanan, persiapan dan tumpuan. Kalau hidup kita rata-ratanya alhamdulillah, masih ada lagi ‘penghijrahan’ yang perlu kita lakukan. Cukupkah apa yang kita lakukan selama ini? Atau kita terlalu dilenakan dalam ‘zon selesa’ kita sehingga sukar kita membuat walaupun sedikit perubahan? Dalam ilmu fizik memang dijelaskan bahawa bila sesuatu benda (boleh juga orang) tidak bergerak (state of inertia) tidak akan ada pergerakan/perubahan (momentum). Hendak bergerak atau ‘berhijrah’ bukanlah mudah. Hendak menjaga solat, susah. Hendak puasa sunat pun susah. Hendak menjaga pemakanan, menjaga kesihatan, berhenti merokok, kurangkan membazir waktu dan wang juga bukanlah senang. Hendak meluangkan masa bermutu untuk orang-orang yang kita sayang, hendak menyayangi tanpa syarat kerana Allah, jangan mengata orang atau tabahkan hati bila diumpat atau difitnah, tentunya bukannya mudah. Tetapi ‘penghijrahan-penghijrahan’ kecil inilah yang mungkin dapat kita lakukan, setapak demi setapak.

Saya selalu teringat kata-kata semasa belajar dengan beberapa orang guru agama dahulu – hablu minallah, hablu minnannas – cinta kepada Allah dan cinta kepada manusia. Nabi s.a.w. mengajar kita ini – agama kita bukan agama pertapaan iaitu kita duduk di tikar sembahyang sahaja dan melupakan dunia. Demikian juga, agama kita juga bukan yang mengejar dunia sehingga melupakan akhirat. Bagai kedua belah tangan kita, ia perlu seimbang – keperluan dunia dan akhirat kita. Mencintai Allah bererti kita mencintai makhluk-Nya dan kita akan berlaku adil dan saksama kepada makhluk, hatta kepada haiwan dan pohon serta alam yang Allah hamparkan kepada kita. Dan kerana cinta ini, kadangkala kita harus melakukan ‘penghijrahan’, terutama kalau kita terlalu selesa dalam kehidupan yang sedia ada dan tiada momentum atau keperluan mendesak untuk menambah baik kehidupan dan alam di sekeliling kita.

Selagi kita hidup banyak lagi ‘penghijrahan’ yang harus kita lakukan; mudah-mudahan ‘penghijrahan’ kita melalui jalur daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, dan bukan sebaliknya. Dan kadangkala kita terpaksa meninggalkan keselesaan, bagaikan seorang pendayung sampan yang harus melupakan pantai yang ditinggalkan untuk mencuba nasib di laut dan lautan kehidupan. Dan mudah-mudahan, usaha-usaha kita untuk meningkatkan nilai kebaikan dan kebajikan pada diri kita dan mereka di sekeliling kita akan sentiasa dipermudahkan Allah dan diberkati-Nya, insya-Allah.

Saya lampirkan di bawah ini 5 kuntum puisi yang sedikit sebanyak membicarakan hal ‘penghijrahan’ atau tafsiran/pandangan yang berbeza-beza – semoga ada manfaatnya kepada kita.

Catatan Daripada Sebuah Gambar

Beranikah kau ke seberang?
Hanya bulan sebagai teman
pohon-pohon nyiur semakin samar.

Malam sebegini kelam
terdayakah kau ke seberang?
Sejuk menikam tulang –belulang
laut bergelora & liar.

Lautan tidak menjanjikan segalanya
tapi keindahan pohon nyiur juga sementara
milikmu hanya sebuah sampan
impianmu di lautan
ombak & angin tidak selalu kejam
duhai pendayung
kemudikanlah sampanmu dengan penuh ketabahan.

Bulan, nyiur, pendayung & sampan
tidak bergerak & diabadikan oleh seorang jurugambar
& kata-kata bagai menyimpul di bahagian bawah:
We cannot discover new oceans
unless we have the courage
to lose sight of the shore
.’

Ditulis: 10 Januari 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Notakaki

Kita seharusnya belajar
erti sejarah & kesilapan
bezakan inti daripada tempelan
memilih & menilai
antara kaca & manikam
agar tiap permata
menyinarkan
kecemerlangan.

Kita seharusnya jadi pekebun
menanam biji-biji kelapa
menyisihkan rumpai
berani membaja & melindung
agar tumbuh-tumbuhan
menjadi pohon-pohon segar
di taman yang lama terbiar.

Hanya jauhari
dapat melihat pohon-pohon teduh
pada benih-benih berlumpur.

Ditulis: 23 Jun 1986
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Hujan

Bumi inikah akan kaubersihi
daripada pencemaran
asap mesiu, ledakan bom,
sisa nuklear, pupusnya hutan,
atau kaukah memberi tafsiran
erti air setitik & bencana selautan
gempa, banjir, rentetan nahas,
darah menyimbah & ketegangan saraf
di Bosnia, Timur Tengah, Afrika, Chechnya,
yang menipiskan lapisan ihsan
dalam sinaran kecelaruan.

Berilah kesegaranmu, wahai hujan
pada nurani kami yang kian tandus
tanam-tanaman yang perlu hidup
& anak sungai yang ingin mengalir ke laut.

Ditulis: 26 Januari 1995
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Jalan Ini

Ambillah makna daripada perkataan
inti daripada persoalan
untuk menemukan peleraian
kerana tohornya pengetahuan
singkatnya pemahaman
kita tersadung kerikil tajam
& terlupa memerhati
lautan luas
pohon-pohon melambai
haiwan & unggas
yang sama menghuni, menghiasi,
menghabluri kewujudan
jalan jernih memanjang ini.

Ditulis: 3 – 6 Ogos 2001
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Makna Kesepian

Kau akan dikelar kesepian
tika menekuni buku
atau memilih hala tuju
ia membingungkan, melukai,
menyeksa, menggarami,
tiap hirisan bernama keyakinan, ketabahan,
melencongkan kesabaran, ketenangan,
meletuskan tanpa tepu kepedihan.

Tapi kesepian itulah gurumu
membezakan sepuhan
menyulingkan pilihan
menjauhi budaya tayang-tampang
& menjadikan kau jauhari
mengenali, melahirkan,
butir-butir manikam.

Ditulis: 7 April 2014
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Salam Maal Hijrah
1 Muharam 1436 Hijriah/25 Oktober 2014
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s