Memartabatkan Tulisan Jawi Dan Seni Khat

Saya lampirkan dua buah esei, yang pertama bertajuk ‘Memartabatkan Tulisan Jawi Dan Seni Khat’ dan yang kedua bertajuk ‘Penghuni Gua Dan Epal-Epal Setengah Busuk’. Esei pertama ini, yang tersiar di Ruangan Tun Fatimah, Berita Minggu Singapura, saya berharap akan mendapat perhatian pihak-pihak tertentu, terutamanya Taman Warisan Melayu agar warisan kita ini tidak akan hilang.

Esei kedua pula menjurus kepada hal yang lain. Saya pernah menghantarnya ke ruangan sastera Berita Minggu Singapura tetapi ia tidak disiarkan. Ia mencatatkan gambaran stereotaip seorang Pemenang Hadiah Nobel yang memberi ceramah di Singapura, terhadap agama dan masyarakat Islam. Esei ini juga mencatatkan para ‘penilai’ sastera – boleh ditukar ‘sastera’ kepada ‘budaya atau masakan atau tekstil atau muzik atau kesenian secara umum – yang tidak boleh berbahasa Melayu (bahasa sastera yang dinilai) tetapi ‘pandai’ pula membuat penilaian itu and ini mengenai sastera kita. Demikian juga ada orang yang tidak benar-benar mendalami kepercayaan, sastera, budaya dan falsafah masyarakat Melayu, tiba-tiba menjadi ‘pakar’ hal-hal sebegini. Ini berbeza dengan mereka yang membuat kajian bila menyampaikan ceramah atau membuat penilaian terhadap sesuatu karya atau ciptaan seni misalnya ceramah mengenai ‘Sirih’ yang baru-baru ini disampaikan di Taman Warisan Melayu. Ia menunjukkan penceramahnya membuat kajian dan memahami sebilangan budaya masyarakat Melayu. Inilah yang kita perlukan dan bukan sebaliknya.

Saya juga lampirkan sebuah sajak berjudul ‘Yang Baru Melayu’ kerana gejala ini semakin ketara kini – orang-orang acuan Macaulay yang kononnya menyuarakan pandangan masyarakat kita tetapi dihinggapi penyakit ‘minda tertawan’. Lagu ‘Anak-Anak Kita’, ciptaan lagu, seni kata serta nyanyian M. Nasir sendiri, menyimpulkan beberapa hal yang diketengahkan oleh esei kedua dan sajak yang dilampirkan. Semoga ada manfaatnya, insya-Allah.

Memartabatkan Tulisan Jawi Dan Seni Khat

Pengenalan

Seorang mahasiswa di Mesir menghadiahkan saya sejenis cap yang terukir nama saya dalam tulisan Arab. Mungkin beliau teringat cap-cap tulisan Cina yang selalu disertakan dengan tanda tangan Rumi yang dibuat oleh orang-orang Cina. Selain itu, mungkin anak muda ini tidak mahu saya melupakan tulisan Jawi, yang banyak dipengaruhi skrip Arab.

Mengingati hadiahnya, saya terkenangkan beberapa buah buku peninggalan datuk pertama saya. Dua daripadanya, simpanan nenek saya, merupakan salinan ceramah-ceramah agama yang ditulis dalam tulisan Jawi yang indah. Datuk saya menggunakan dakwat hitam dan merah untuk menyalin ceramah-ceramah agama yang pernah beliau dan nenek saya ikuti. Sebuah lagi merupakan buku sejarah keluarga saya yang ditulis oleh datuk saya. Catatannya terhenti pada pertengahan 1950-an, tahun beliau meninggal dunia. Buku ini ditulis dengan dakwat hitam dan biru serta disimpan oleh ibu saya. Datuk saya juga meninggalkan beberapa buku bacaannya yang lain, dalam tulisan Jawi dan Rumi. Dua naskhah yang masih dalam simpanan saya merupakan di antara novel Melayu terawal, Hikayat Faridah Hanum, dua jilid, yang terbit pada 1925-26. Novel dua jilid karangan Syed Sheikh Al-Hadi dan peninggalan datuk saya ini merupakan cetakan kedua, iaitu diterbitkan pada 1927-28. Saya hargai buku salinan, tulisan dan juga pembelian datuk saya ini, lebih-lebih lagi tulisan Jawinya yang cantik. Walaupun boleh menulis dalam tulisan Rumi serta pandai berbahasa Inggeris dan Jepun, datuk saya memilih tulisan Jawi untuk mewariskan sesuatu untuk anak-cucunya.

Sejarah Tulisan Jawi

Tulisan Jawi bukan baru wujud dalam penulisan kita. Sejak Islam berkembang dan sampai ke daerah kita, skrip Arab telah kita gunakan dan kita tambahi untuk keperluan kita. Abjad-abjad ’ga’, ’ca’, ’pa’, ’nga’ dan ’nya’ telah kita tambahi kepada abjad-abjad Arab yang sedia ada (dalam tulisan Jawi yang disempurnakan kini, satu lagi abjad telah dimasukkan iaitu ’wau bertitik’ bagi abjad ’v’). Menurut Hashim Musa dalam bukunya Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu, terdapat beberapa pendapat sarjana mengenai kedatangan agama Islam ke daerah kita, dan dengan itu, tulisan skrip Jawi. Ada sarjana berpendapat Islam datang seawal abad ke-7 Masihi, di Sumatera Timur, kerana telah ada penempatan orang-orang Islam di sana. Ada pula berpendapat, telah terdapat penempatan Islam di Kedah dan Palembang pada abad ke-9 Masihi. Di Pekan, Pahang, dijumpai inskripsi Jawi bertarikh 1020 Masihi, di Champa, Kampuchea, pada 1039 Masihi dan di Brunei, pada 1048 Masihi. Di Grisik, Jawa, ditemui inskripsi pada 1082 Masihi. Sementara itu telah terdiri kerajaan Perlak-Samudera pada abad ke-13 Masihi, dengan sultan pertamanya bernama Sultan Malikul Saleh; batu nisan sultan ini ditulis dalam tulisan Jawi dan tarikh mangkatnya dicatat sebagai 696 Hijriah atau 1297 Masihi. Di Trengganu, telah ditemui pula inskripsi Jawi yang terkenal iaitu Batu Bersurat Trengganu bertarikh 1303 Masihi; menunjukkan penggunaaan tulisan Jawi yang telah meluas ketika itu.

Makna Perkataan ’Jawi’

Tulisan ’Jawi’ dikatakan tiada kena mengena dengan ’Jawa’ kerana Pulau Jawa menjadi Islam lebih lambat daripada Sumatera. Menurut Omar Awang, yang dinukil oleh Hashim Musa, perkataan ’Jawi’ itu besar kemungkinan diambil daripada perkataan Arab, ’al-Jawah’, yang merujuk kepada Pulau Sumatera dan sistem ejaan mereka, sebagaimana tercatat dalam kitab Arab abad ke-14 Masihi. ’Jawi’ juga bermakna ’Melayu’, lantas berbeza dengan tulisan Arab dan apabila sesuatu tulisan itu ’dijawikan’ bermakna ia diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Keistimewaan tulisan Jawi ialah dekatnya skrip ini dengan skrip Arab, lantas istilah-istilah agama lebih tepat digunakan dalam tulisan Jawi. Selain itu, tulisan Jawi memang indah dan ia juga banyak persamaan dengan tulisan-tulisan lain dari dunia Islam yang sama dipengaruhi oleh skrip Arab dan Parsi.

Tulisan Jawi Dan Seni Khat

Salah satu cabang seni yang dimunculkan daripada tulisan Jawi ialah seni khat. Seni khat dikatakan bermula pada abad ke-8 Masihi, di Kufah, Iraq, salah sebuah pusat pendidikan Islam yang tertua. Menurut kajian pelukis tersohor Malaysia, Syed Ahmad Jamal, terdapat dua jenis khat asas yang berbeza iaitu khat Kufi bersegi, yang kemudian menjadi khat Kufi berdaun dan berbunga. Dan jenis khat asas kedua, ialah khat Kufi bersambung, yang lebih digunakan mulai abad ke-11 Masihi. Kini jenis-jenis khat ini semakin bertambah; selain khat Kufi, ada juga jenis khat Naskh, Riqaah, Thuluth, Muhaqqqaq, Farisi dan sebagainya. Keindahan seni khat ini bukan hanya menghiasi Al-Quran dan kitab-kitab, bahkan masjid, bangunan tertentu, perhiasan, pakaian, senjata, pingat, mohor, tembikar, lukisan, dan lain-lain. Syed Ahmad Jamal dalam buku Pameran Seni Lukis & Seni Khat, Pameran Tamadun Islam, 1984, menunjukkan keindahan tulisan khat dan peranannya dalam kehidupan kita, dengan menterjemahkan yang berikut, saya nukil:

Risalah Maulana Sultan Ali Mengenai Tulisan Khat
…..Tulisan adalah separuh pengetahuan (Hadis)

Tulisan yang dapat dibaca adalah tulisan yang baik.
Tulisan wujud supaya boleh dibaca
bukan untuk menyusahkan pembaca.
Tulisan yang cantik menerangkan mata
tulisan yang buruk mengeluarkan air mata.

Kesucian tulisan adalah kesucian jiwa.

Pertuturan yang baik menakluki hati,
dan tulisan yang elok membersihkan mata.

Pati tulisan adalah jiwanya,
sungguhpun dihasilkan melalui tangan.

Tulisan yang cantik itu ialah harta bagi yang miskin
hiasan bagi hartawan,
kesempurnaan bagi pentadbir,
jika tiada renungan dalam tulisan,
bagaimana terdapat makna-makna yang bercahaya
dan fikiran yang memperbaiki jiwa terus berkembang?
Wujudnya kalam ialah menerima perintah Allah
dari Allah lilin kalam menerima cahaya-Nya
kalam itu adalah pohon yang indah dalam taman pengetahuan
bayang peraturannya menutup debu.

Kecantikan tulisan adalah lidah bagi anggota
dan keindahan bagi fikiran.

Manusia tiada mempunyai
harta yang lebih bernilai dari kebijaksanaan dan bakat,
tiada kebaikan yang dapat menyamai pengetahuan dan pertuturan,
dan tiada keindahan yang dapat dihargai lebih dari tulisan yang indah.
Jika gaya tulisan tidak mempunyai tanda-tanda kecantikan,
ia mencemarkan (walaupun secebis kertas).

Selain tulisan-tulisan khat sebagai perhiasan rumah, kitab-kitab kesusasteraan tradisional kita juga banyak memuatkan tulisan khat sebagai hiasan lembaran pembuka dan penutup kitab. Malah raja-raja Melayu zaman silam juga menulis surat dalam tulisan Jawi dan juga yang dihiasi tulisan khat, sebagaimana sebahagiannya dapat kita temui dalam buku tulisan dan susunan Annabel Teh Gallop, The Legacy of the Malay Letter.

Kedudukan Tulisan Jawi Dan Seni Khat Kini

Bagaimanakah kedudukan tulisan Jawi kini dan seni khat dalam masyarakat kita? Berbeza dengan masyarakat Cina yang kaligrafi Cina serta cap nama dalam tulisan Mandarin sebagai sebahagian kebudayaan mereka yang masih ’hidup’, kita kurang pula memartabatkan tulisan Jawi dan seni khat dalam kehidupan kita. Jarang terdapat peniaga kita menulis tulisan Jawi bagi nama syarikat mereka, selain tulisan Rumi. Malah lukisan khat kurang pula menghias pejabat-pejabat atau pertubuhan-pertubuhan budaya dan kemasyarakatan kita.

Tulisan Jawi sebagai suatu warisan kita, dan dengannya, bercambah pula kepada seni khat kurang pula kita pentingkan. Selalunya apabila kita bercakap pasal kebudayaan Melayu, yang kita pentingkan ialah budaya persembahan seperti tarian, lakonan, perarakan pengantin dan sebagainya. Kita kurang menunjukkan satu cabang seni kita yang indah, iaitu seni khat, yang memerlukan latihan bertahun-tahun untuk melahirkan seorang penulis khat yang berwibawa. Mungkin sudah tiba masanya kita menghidupkan semula tulisan Jawi dengan badan-badan tertentu mengadakan kelas-kelas tulisan Jawi bagi mereka yang berminat. Tanpa pengetahuan dalam tulisan Jawi, seni khat yang diharapkan tidak akan menjelma, walaupun dengan bantuan perisian komputer. Dan tanpa pengetahuan tulisan Jawi dan abjad Arab, kita akan mudah menerima tulisan-tulisan khat yang menyeleweng, sebagaimana pernah dilaporkan pada suatu masa dahulu.

Dengan pengetahuan tulisan Jawi yang lebih mendalam, mungkin akan muncul mereka yang benar-benar mahir dan berminat untuk mendalami seni khat. Ini semua akan mengambil masa kerana jalan pintas, sebagaimana mi segera, tidak akan melahirkan sesuatu yang baik atau berkhasiat. Bahasa Melayu akan patah sebelah sayapnya jika tulisan Jawi tidak diketahui oleh sebilangan anggota masyarakat kita kerana mereka hanya dapat membaca sesuatu yang ditulis dalam tulisan Rumi sahaja. Sejumlah besar khazanah sastera dan kajian mengenai masyarakat Melayu akan ’tertutup’ bagi mereka yang tiada pengetahuan dalam tulisan Jawi. Begitu juga dengan seni khat. Tanpa pengetahuan dalam tulisan Jawi dan tanpa mendalami konsep seni dalam Islam, satu-satu cabang seni yang indah dan menggugah daya keindahan dan intelek kita, akan terkubur begitu sahaja. Kehilangan ini akan semakin terasa apabila pada masa-masa mendatang seandainya sesuatu tidak diusahakan untuk mendepani keadaan ini sekarang. Dengan mercupnya kembali tulisan Jawi dan seni khat, gemilangnya kebudayaan kita akan terpancar melaluinya, selain prosa dan puisi kita yang sama memperkayakan bahasa, budaya dan warisan kita.

Ditulis: 18 November 2008
Tersiar: Ruangan ’Tun Fatimah’, Berita Minggu Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s