Penghuni Gua Dan Epal-Epal Setengah Busuk

Pemghuni Gua Dan Epal-Epal Setengah Busuk

Pengenalan
Seseorang yang tidak pernah mengikuti perkembangan sastera kita, bagaimanakah penilaiannya terhadap sastera kita? Tentunya penilaian mereka berbagai. Ada yang menganggap segala-galanya begitu indah; ada yang menganggap semuanya hampas belaka dan pelbagai pandangan yang lain. Kadangkala kita bertemu dengan orang-orang yang langsung tidak tahu-menahu mengenai sastera kita, malah tidak memahami bahasa Melayu yang digunakan oleh penggiat sastera kita, tetapi penilaian mereka, kalah mereka yang mendalami bidang ini. Dan kadangkala mereka bersuara mengenai sesuatu dalam sastera bukan kerana mereka turut terlibat dan ingin memperkayakannya tetapi kerana hal-hal lain yang tiada kena-mengena dengan sastera atau nilai-nilai hidup yang membina sastera kita.

Orang-orang begini tentunya wujud dalam mana-mana masyarakat namun ia tidak bermakna pandangan-pandangan begini boleh kita terima bulat-bulat. Benar, kadangkala sejarah perkembangan sastera sesuatu golongan itu boleh sahaja diberi gambaran itu dan ini, bukan sebagaimana sepatutnya tetapi bila ada orang-orang yang tidak pernah mengikuti perkembangan sastera kita atau bersuara kerana ada saham yang dikaitkan dengan penyuaraan itu, tentunya kita tidak boleh menerima penilaiannya dengan begitu sahaja.

Kisah Ceramah Pemenang Nobel

Beberapa bulan lalu saya mengikuti ceramah seorang Pemenang Nobel yang disampaikan di Singapura. Pemenang Nobel itu berasal dari Afrika dan kini bermastautin di Amerika Syarikat. Saya mengagak tentu beliau akan bercakap mengenai penglibatan seninya dan karya-karya tersohornya. Sebaliknya, yang dimulakan ialah mengenai isu pengganasan, dan secara tidak langsung, ‘kecelaruan’ dalam dunia Islam sebagaimana digambarkan dalam beberapa pandangan ekstrem misalnya para penunjuk perasaan di Iran yang diserang dan percubaan membunuh Naguib Mahfouz oleh seorang radikal beragama Islam. Benar, perkara-perkara ini berlaku, tapi mestikah ia digembar-gemburkan dalam ceramah yang seharusnya lebih mendekatkan kita sebagai penggiat sastera, apapun agama, bangsa dan bahasa kita? Saya kurang selesa mendengar pandangan demikian kerana tidak sudah-sudah perkara-perkara begini ditimbulkan; apakah ketika perang antara penganut Buddha dan Hindu di Sri Lanka dan golongan Katolik dan Protestan di Ireland, perkara sama juga dikaitkan dalam ceramah mengenai sastera? Atau mungkin dengan berkata sedemikian, Pemenang Nobel itu mahu menagih sokongan dan simpati, dan terlupa di kalangan khalayaknya, terdapat juga orang-orang yang mengetahui mengenai Islam dan sasteranya dan tidak mahu disogokkan hal-hal sebegini sahaja? Pemenang Nobel ini bagaikan penghuni gua, yang bagaikan tidak terlihat sesuatu yang indah di luar guanya kerana selesa dengan apa yang dilihatnya, tanpa mahu berusaha keluar dari gua tersebut dan melihat alam yang terbentang luas, merangkumi jua sastera dan penulis Islam.

Kisah Penghuni Gua Dan Epal-Epal Setengah Busuk

Mungkin kita boleh ketepikan ceramah Pemenang Nobel itu kerana mungkin dia kurang pengetahuan mengenai Islam dan sasteranya tetapi bagaimana pula dengan mereka yang membuat penilaian itu dan ini mengenai sastera kita, dan mereka penghuni daerah ini? Beberapa kali saya bertemu orang-orang sebegini yang tiba-tiba memuji satu dua penggiat sastera itu dan ini, tanpa mengikuti perkembangan sastera kita dan/atau tidak memahami bahasa Melayu. Benar, membaca karya seseorang, tanpa mengikuti perkembangan sastera yang dilibati penggiat sastera itu, tentunya kita boleh memberi pandangan. Misalnya kita membaca puisi, cerpen atau novel seseorang dan berkata ia karya yang baik berdasarkan beberapa kayu ukur sastera. Ini tentunya berbeza dengan kita memberi penilaian sesebuah karya itu terbaik, sedangkan kita tidak pernah membaca karya-karya yang ada sebagai perbandingan mahupun mengikuti perkembangan sastera genre yang diceburi penulis itu. Berkata sesuatu karya itu terbaik, menurut Muhammad Haji Salleh, tentulah ada semacam ‘diuji bandingan’. Sesuatu itu dianggap terbaik bila ia dibandingkan dengan angkubah-angkubah (variables) yang lain. Terbaik, tanpa dibandingkan dengan yang sama genre, tentulah sukar diterima.

Sama seperti Pemenang Nobel tadi, orang-orang yang membuat penilaian begini tidak ubah seperti penghuni gua. Mereka tidak pernah keluar dari gua tetapi bila keluar sebentar, mereka terjumpa epal-epal yang setengah busuk, di luar gua. Dengan bangga penghuni-penghuni gua ini mengisytiharkan bahawa epal-epal setengah busuk itulah epal-epal terbaik di luar gua. Bolehkah diterima penilaian begini? Tentunya terdapat epal-epal yang baik di dusun-dusun di luar gua tetapi kerana penghuni-penghuni gua ini tidak pernah melihat atau tahu kewujudan dusun-dusun tersebut, epal-epal setengah busuk itulah dianggap epal-epal yang terbaik. Beberapa orang yang tidak mengetahui mengenai sastera Melayu telah membuat penilaian begini terhadap sastera Melayu di sini dan beberapa tempat. Aneh bukan, epal-epal setengah busuk dianggap terbaik dan epal-epal yang baik, tidak diketahui kewujudannya atau dipinggirkan.

Kesimpulan

Karya sastera yang baik bukanlah epal-epal setengah busuk dan penilai-penilai sastera sesuatu kelompok seharusnya mengikuti perkembangan genre tersebut, untuk menguji-bandingan sesuatu karya. Kalau yang dinilai itu dalam bahasa tertentu, orang-orang yang mengisytiharkan sesuatu karya itu terbaik, seharusnya mengetahui bahasa itu atau mengikuti perkembangan genre itu dalam terjemahan. Kalau ini tidak dilakukan, besar kemungkinan khalayak akan terasa penilaian itu dibuat sewenang-wenang dan yang menyatakan sesuatu itu terbaik, mungkin ada hubungan peribadi, komersial atau agenda tertentu, yang tiada kena-mengena dengan penilaian sastera yang sebenar. Tentunya ini tidak akan memanfaatkan sastera kita atau penggiat-penggiat sastera kita yang jujur dan kreatif mendalami bidangnya.

Ditulis: 1 Februari 2010
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s