Masa Bersama Keluarga Paling Berharga Walau Cuti Dalam Negeri

images (29)images (50)images (49)

Masa Bersama Keluarga Paling Berharga Walau Cuti Dalam Negeri

Kalau anda perhatikan sekeliling anda, pasti anda maklumi betapa bulan ini kita begitu sibuk dengan pergi ke jemputan-jemputan kahwin, bercuti, sama ada di dalam atau luar negara, dan agak ‘demam’ mengenai bola, maklumlah Piala Dunia. Di pusat membeli-belah, pantai dan tempat-tempat keramaian ada saja beberapa kumpulan atau keluarga berpusu-pusu mengunjunginya. Yang ‘berkhemah’ kerana bola juga tidak ketinggalan sama.

Kerana hidup yang lebih tergesa dan agak mendera, sebahagian besar kita hanya dapat meluangkan masa yang lebih kepada anak-anak semasa cuti sekolah mereka. Lantas ramailah yang merancang lebih awal untuk bercuti di tempat-tempat tertentu, walaupun ini tidak semestinya tempat yang jauh atau di luar Singapura saja. Bahawa kita boleh ketepikan soal kerja hanya untuk keluarga atau sahabat handai buat seketika seringkali melegakan kita.

Kanak-kanak zaman 50-an dan 60-an jarang dapat bercuti ke luar negara mungkin kerana keadaan ekonomi dan promosi percutian tidak seperti tahun-tahun selepas itu. Dapat pergi ke Pantai Changi, Katong Park, Haw Par Villa, tengok wayang atau makan-makan di Geylang Serai sudah mencukupi. Masa itu juga tekanan hidup agak berkurangan; kanak-kanak terutamanya jarang dibebankan dengan kerja sekolah dan kelas tambahan semasa cuti sekolah. Dan masa cuti sering pula diselaraskan dengan musim main layang-layang, guli, bola hentam, rounders, keleret, batu seremban, canang, berlaga ikan, labah-labah dan sebagainya. Pendek kata ada saja kegiatan untuk kanak-kanak yang mudah meningkatkan daya kreativiti dan kebolehan mereka tanpa perlu berbelanja banyak.

Kenangan percutian yang sukar Sri lupakan, selain bermain pelbagai permainan kanak-kanak, ialah sekeluarga pergi bercuti ke KL dengan menaiki kereta Holden bapa Sri. Berhimpit-himpit kami yang ramai itu dan syioknya bila kereta berhenti di tempat-tempat tertentu misalnya Ayer Hitam, untuk berehat dan makan. Masa-masa inilah kami suka kerana yang dimakan itu banyak, termasuk buah-buahan, bila musim buah. Bila sampai di KL, di rumah mak busu Sri, lain pula kegembiraannya. Selain pergi ke tempat-tempat seperti Masjid Negara, Muzium dan lain-lain, yang seronok ialah bila kita ke Pasar Minggu bersama sepupu-sepupu Sri. Barang-barang yang dijual memang berbagai-bagai dan makanannya pun sedap-sedap. Pada zaman sebelum munculnya pusat-pusat membeli-belah yang banyak dan tiadanya restoran makanan segera dan restoran bak cendawan seperti kini, makan di Pasar Minggu atau satu dua tempat yang terkenal, lebih dari mencukupi. Dan kerana bapa Sri minat betul dengan bola, ketika itu tumpuannya di KL, kerap jugalah kita ke KL sempena cuti sekolah dan juga pertandingan bola sepak. Terpaksa ‘terseksa’ dalam kereta stationwagon itu tak terasa bila kami sampai di rumah adik ibu Sri di KL.

Namun ada satu kenangan musim cuti yang sukar Sri lupakan. Masa cuti kadangkala bapa Sri membawa kami ke pejabatnya berpasang-pasangan, misalnya Sri datang bersama kakak Sri. Syarikat bapa Sri terletak di Telok Ayer Basin berdekatan dengan laut dan bot-bot tambang. Selain kadangkala bermain di bot-bot tambang dan lari ke jeti kecil dan memerhatikan segala jenis perahu, bot dan kapal serta laut yang luas, kami juga dibenarkan duduk dalam pejabat bapa Sri dan kononnya ‘menaip’. Dan yang paling istimewa, kami dibenarkan makan dan minum apa saja dan pada bila-bila masa dari kedai sarbat yang terletak tidak jauh dari pejabat bapa Sri, tanpa perlu membayar apa-apa, kerana bapa Sri akan melunaskannya nanti.

Untuk makan tengah hari, bapa membawa kami ke gerai makanan di luar kawasan pejabatnya. Yang paling menyentuh hati Sri ialah keinginan bapa Sri meluangkan masa untuk kami dan memberi semacam kebebasan kepada anak-anaknya bersamanya di tempat kerjanya. Dalam kami bermain-main di tempat yang agak luas itu, ditemani laut, bot-bot tambang dan pekerja-pekerja bapa Sri, Sri selalu terpegun melihat sibuknya bapa Sri menguruskan syarikatnya. Namun sesekali dia tetap bersama kami bertanya itu dan ini, agar kami selesa ‘bercuti’ di tempat kerjanya. Sehingga kini Sri suka melihat bot tambang, perahu dan kapal dalam bentuk asalnya atau pun gambar/lukisan kerana ia selalu mengingatkan Sri kepada bapa Sri serta masa-masa bercuti yang indah yang beliau luangkan untuk anak-anaknya.

Dekat atau jauh, murah atau mahal bukanlah ukuran terpenting dalam kita bercuti dengan anak-anak kita. Ia juga bukanlah untuk dibangga-banggakan. Yang utama, kita dapat bersama anak-anak kita, mengalami dan melihat pengalaman dan tempat baharu atau melihat sesuatu yang biasa, misalnya, Pantai East Coast, dari kaca mata berbeza, kerana anak-anak kita turut mewarna dan memaknakan kehadiran kita ketika bersama dengannya. Segala riang ria, tangis marah, jerit pekik menjadi deposit dalam emotional bank mereka. Walau nanti mereka akan mengembara ke tempat-tempat yang lebih jauh dan menarik, namun kenangan bersama keluarga itu tetap memusarkan kegembiraan yang berbeza. Ini kerana dalam segala kesibukan, kita meluangkan masa untuk mereka dan menyatakan tanpa kata atau heboh bahawa kita menyayangi mereka selamanya, tanpa apa-apa syarat. Itulah, seperti yang dilagukan P.Ramlee dalam filem Hang Tuah: kasih yang sejati dan mulia…

Ditulis : 11 Jun 2002
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik Berita Minggu (Singapura); 16 Jun 2002
Tajuk Asal: Masa Bercuti Dan Bersama
Tulisan: Rasiah Halil.

Ke Kuala Lumpur

Pulang dari pejabatnya di Telok Ayer Basin
bapaku teruja memberitahu:
‘Cuti sekolah kita ke Kuala Lumpur’
kami riang, riuh, tertunggu-tunggu,
kereta Holden bapa dibaik pulih, diperiksa,
ibu membeli buah tangan untuk adiknya
bapa tak sabar mahu ke Stadium Merdeka
& kami ternanti-nanti cuti sekolah bermula.

Dalam kereta stationwagon, berhimpit-himpitlah kami
seorang dua terpaksa ditinggalkan atau naik kereta api
kami berhenti di beberapa tempat, Air Hitam, Segamat,
makan juadah, buah-buahan, berehat-rehat
sehingga sampai ke Selangor, Kg Puah, Gombak.

Di rumah panggung mak busu
pecahlah derai-tawa, usikan, pelbagai cerita
pak busu menghidangkan masakan istimewanya
sebelum kami berpisah ketika senja.

Bapa & pak busu ke Stadium Merdeka
ibu & mak busu bersembang di rumah
kami & kedua sepupu menuju ke Pasar Minggu,
di Kg Baru, makan-makan, membeli-belah,
& pulang ke Kg Puah, gembira, ceria,
bapa dengan cerita bola
ibu dengan cerita keluarga
kami dengan cerita kanak-kanak, remaja.

Dalam bilik hotel ini, aku terkenang masa-masa lalu
sering ke Kuala Lumpur bersama keluargaku
bersiar-siar, ke Muzium, Zoo, Masjid Negara,
Batu Caves, Lake Garden, Tugu Peringatan Malaysia,
atau ke Subang, melihat-lihat lapangan terbangnya
& keluarga dari KL sering juga ke Singapura
berulang-alik sehingga kami membesar, berkeluarga,
& kini bertali-arus ke generasi seterusnya.

Dari bilik hotelku di Jalan Maharajalela
dapat kulihat dari jauh Stadium Merdeka
& terkenangkan bapaku yang gila sukan & bola
masih kudengar cerita-cerita mereka
kisah bola & perniagaan pak busu & bapaku
kisah-kisah keluarga dikongsi mak busu & ibu
kisah-kisah kami dengan kedua-dua sepupu
pada tahun-tahun 60-an itu
ke Kuala Lumpur dengan kereta Holden putih biru.

Ditulis: 2 – 3 April 2009
Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s