Bertemu Dan Berpisah

Bertemu Dan Berpisah

Betapa canggih pun kehidupan kita, ada perkara-perkara yang sering berulang dan mengharukan kita. Banyak perkara datang berpasangan, kalau kita bertemu, suatu hari kita akan berpisah. Kalau kita hidup berdekatan, kemungkinan kita akan hidup berjauhan tetap ada. Seandainya kita bersuka ria, pasangannya, duka nestapa. Ada siang, akan ada malam. Ada zaman kanak-kanak, ada juga zaman dewasa. Dan ada ucapan selamat datang, ada juga ucapan selamat tinggal.

Suatu zaman ada di kalangan bapa-bapa kita meninggalkan kampung halaman buat beberapa ketika kerana mencari nafkah di rantau orang untuk menyara keluarga. Tetapi zaman telah berubah; kini ramai juga di kalangan orang muda yang ke luar negara kerana beberapa sebab – menuntut ilmu, meningkatkan kerjayanya, mengikut pasangan hidupnya atau memulakan penghidupan baharu. Semua ‘perpindahan’ ini meninggalkan kesan bagi yang empunya diri mahupun mereka yang ditinggalkan. Kadangkala perpindahan ini hanya sementara tetapi ada juga perpindahan yang sementara menjadi penghijrahan buat selama-lamanya.

Terdapat orang yang anak-anaknya belajar di luar negara dan kemudian anak-anak ini tidak mahu lagi menginap di negara asalnya kerana peluang-peluang yang lebih baik di negara pilihan mereka. Ada pula yang sekadar singgah sementara di rantau, kemudian terpikat dengan rentak kehidupan yang lebih selesa dengan naluri mereka lalu terus menetap di sana. Ada pula yang mahu mencuba yang baharu dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi, kerana berbuat demikian akan menghilangkan fokus mereka. Namun tidak kurang yang selesa berulang-alik di antara negara yang baru didiami dan tanah airnya kerana hati mereka mahu memilih kedua-duanya.

Dan dalam keluarga dan masyarakat kita perkara-perkara begini selalu berulang. Suatu masa kita mungkin belajar atau bekerja di luar negara dan meningggalkan keluarga yang merindui kita. Zaman berubah, dan anak-anak kita pula meninggalkan kita untuk tujuan yang hampir sama. Tiap zaman ada yang pergi ke luar negara dan ada pula yang ditinggalkan mereka.

Dalam keluarga saya, yang ke luar negara dan kembali dan yang merantau dan tidak lagi tinggal senegeri, sering berulang. Bapa saya dahulu berulang-alik di antara Singapura dan negara asalnya kerana urusan keluarga; sesuatu yang kami terima kerana itulah kenyataannya. Kemudian, pada awal tahun 60-an, abang sulung saya ke luar negara, dengan tujuan menuntut ilmu dan kemudian bekerja. Keluarga saya menjadi kerindu-rinduan – nenek saya menggantungkan gambar abang saya di dinding rumah keluarga berangkai kami; begitu juga di rumah ibu bapa saya. Ada siri televisyen yang pelakonnya ada mirip wajah abang saya, keluarga saya menontonnya kerana merindukannya. Malah, ada sebuah filem Hindi, ibu bapa saya menontonnya berkali-kali, bukan kerana pelakon utamanya, Raj Kapoor, mirip wajah abang saya tetapi kerana Raj Kapoor menjadi seorang juruterbang dalam filem tersebut. Abang sulung saya menjadi seorang juruterbang dengan Tentera Udara DiRaja (Royal Air Force/RAF) di Britain pada tahun-tahun 60-an itu. Entah berapa kali ibu bapa saya menangis menonton filem ini kerana terkenangkan anak mereka yang jauh di mata. Dan pada zaman tidak terdapat banyak telefon di rumah dan panggilan telefon amat mahal, tiada telefon bimbit secanggih sekarang, tiada skype dan sebagainya, kerinduan itu hanya dileraikan melalui apa yang dianggap sebagai persamaan – sama ada dalam filem, siri televisyen dan sebagainya.

Itu pada tahun 60-an tetapi pada awal tahun-tahun 80-an, lebih ramai keluarga saya ke luar negara. Ada yang tidak disangka-sangka dan ada pula yang dirancang. Sebelum berakhirnya 1980-an dahulu, beberapa orang ahli keluarga saya sudah pun berhijrah ke negara-negara lain, selain pernah beberapa anggota keluarga saya bekerja di luar negara, termasuk diri saya. Zaman seterusnya, masih berulang hal-hal begini. Dan ini semua membuat ramai anggota keluarga saya selalu kerinduan kerana ada sahaja ahli keluarga yang tidak menetap di negara tempat ibu bapa dan keluarga mereka menetap.

Dan banyak cara kita menyatakan kerinduan kita. Dengan kecanggihan teknologi kini, lebih mudah kita berhubungan walaupun orang-orang yang kita rindukan berada jauh daripada kita. Tetapi ia tidak benar-benar meleraikan kerinduan kita. Mungkin anda ada pelbagai cerita mengenai keluarga atau sahabat yang merindukan orang-orang tertentu yang berada di luar negara kerana beberapa sebab.

Seorang abang saya yang menginap di negara Barat, memainkan video majlis perkahwinan anak sulungnya hampir setiap hari setelah anaknya berkahwin dan berhijrah pula di negara Barat yang lain. Abang saya ini orangnya ceria dan mudah tersenyum tetapi ini tidak dapat membendung perasaan rindu dan kehilangan yang dialaminya. Setiap kali menonton video majlis perkahwinan anaknya, air matanya mengalir. Dan ini berlaku untuk beberapa waktu.

Demikian juga ada orang yang melakukan pelbagai perkara yang mungkin di luar jangkaan kita kerana mereka merindui keluarga atau sahabat yang tidak lagi menetap senegeri dengan mereka. Semuanya kerana kita sayangkan orang-orang ini dan kita mahu masa-masa kita bersama mereka akan selamanya seperti dahulu.

Hari ini seorang anak saudara saya dan keluarganya meninggalkan tanah air, untuk memulakan penghidupan baharu di negara orang. Walaupun kami sentiasa mendoakan yang terbaik buat dia sekeluarga, namun kehibaan tetap dirasa oleh semua yang menyayangi mereka. Air mata kami mudah menitis mengenangkan dia sekeluarga yang kini jauh dari mata. Kata penyair Rabindranath Tagore: ‘It is the little things that I leave behind for my loved ones – great things are for everyone.’ Seandainya anda terkenal kerana kerjaya atau penglibatan anda dan anda mendapat sokongan kerana itu, ini hanyalah yang anda beri kepada masyarakat. Untuk orang-orang yang kita benar-benar rapat dan sayang, yang kita beri adalah perkara-perkara yang ‘kecil’, misalnya meluangkan masa mendengar cerita masing-masing, makan-makan bersama, berbual-bual ‘kosong’, membeli-belah, bersukan bersama dan sebagainya. Perkara-perkara ini bukanlah ‘besar’ tetapi sebenarnya besar dalam membumbui ramuan kasih sayang anda dengan orang-orang tersebut.

Kata orang, orang yang ditinggalkan akan lebih terkenang yang silam berbanding dengan orang yang meninggalkan keluarga atau tanah airnya. Yang merantau atau berhijrah akan berdepan dengan hal-hal baharu dan perlu bijak menyesuaikan diri dan yang ditinggalkan akan sering ditemani rasa kehilangan kerana mereka yang sering bersama, tiada lagi di sisi. Kedua-duanya akan sering terkenang satu sama lain dan mungkin keadaan yang baharu ini akan meneguhkan perhubungan mereka, insya-Allah.

Anak saudara saya ini berumur 32 tahun; ketika saya meninggalkan Singapura untuk berkhidmat di Universiti Brunei Darussalam pada 28 Februari 1987, saya baru mencecah 31 tahun. Anak saudara saya ketika itu berusia hampir 4 tahun 7 bulan. Hari ini, anak sulung anak saudara saya hampir berumur 4 tahun 2 bulan. Betapa sejarah kadangkala boleh berulang dengan sedikit perbezaan.

Bukan mudah buat saya meninggalkan nenek yang saya panggil ‘mak’ dan keluarga saya di Singapura untuk ke Brunei selama 3 tahun lebih pada Februari 1987 dahulu. Tetapi terdapat banyak hal yang mendera saya membuat keputusan tersebut – kata-kata yang tidak dikota dan sikap dwitara (double standards) yang berhubung dengan pembelajaran dan kerjaya saya. Saya jangkakan nenek dan ibu saudara saya dapat selalu menziarahi saya di Brunei – tetapi ini tidak berlaku walaupun saya telah membeli tiket penerbangan untuk mereka. Doktor tidak membenarkan nenek saya menaiki kapal terbang kerana beberapa penyakitnya, pada akhir 1987. Allah sahaja yang tahu betapa hibanya hati saya memaklumi keadaannya. Ini yang akhirnya mengilhamkan cerpen ‘Pemergian’.

Insya-Allah perkara begini tidak akan berlaku kepada anak saudara saya sekeluarga dan keluarga yang ditinggalkannya di Singapura. Seperti saya, bukan mudah baginya meninggalkan keluarganya di Singapura. Dan dia bukan seorang yang tidak bertanggung jawab dan prihatin terhadap keluarga dan sanak saudara. Kami menyayanginya kerana seperti makna namanya, dia adalah ‘permata’ bagi keluarga kami.

Saya tahu, buat beberapa waktu keluarga saya di Singapura akan menitiskan air mata bila mengenangkannya sekeluarga. Tapi akhirnya kesedihan ini juga akan reda. Dan seperti dinyanyikan Biduanita Saloma, kami akan selalu mendoakannya sekeluarga dan semoga dia sekeluarga akan tabah dan sabar di rantau orang, dan ‘jangan undur menyerah kalah/pantang pendekar di tengah gelanggang’, insya-Allah.

Semoga Allah akan sentiasa menjaga, melindungi dan memberkati anak saudara saya sekeluarga – itulah harapan dan doa kami untuknya, selamanya.

Ditulis: 17 November 2014 Masihi/24 Muharam 1436 Hijriah
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan Waktu Hujan

Inikah air mataku
yang menitis sayu
memantulkan nostalgia
kerana seorang anak yang kaupelihara
telah jauh meninggalkanmu
mencari kewujudan baharu.

Atau seperti hujan yang menitis
terlalu lama kaupendamkan keresahan
lalu meluahkan, dalam kesedihan,
melepaskan.
Bahawa hujan ini akan reda
seperti air matamu
menyegarkan tumbuh-tumbuhan yang ada
& mengizinkan aku dewasa
dengan rela.

Ditulis: 28 Februari 1987 – April 1987
Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s