CERPEN ‘PEMERGIAN’

CERPEN ‘PEMERGIAN’

Bagai menghitung masa-masa yang berlalu, aku memerhati kenderaan-kenderaan yang begitu cepat melintas pergi. Kesesakan jalan raya tidak menghilangkan kesunyianku berdiri di pinggir tingkap, flat tiga bilik, di Bedok South ini. Inilah kerjaku, setiap kali petang menjelma, memerhati dari tingkap dapur, terkenang kau yang jauh.

Kalau aku pandai menulis, telah lama aku nyatakan kesunyian ini kepadamu. Aku kehilangan kau yang selalu menjadi sasaran leterku. Kau yang kadangkala begitu ghairah bercerita tentang kisah-kisah yang tidak aku fahami. Kau yang tiba-tiba pendiam disibukkan keadaan tetapi bersuara dengan kehadiranmu. Kau yang gemar memakan masakan Melayu, mengidam jerganan, terung bakar dan pengat keladi. Kau yang sukar dikejutkan pada waktu pagi, kemudian bergegas-gegas, tanpa sarapan, menaiki bas ke sekolah di Alexandra, ketika hari masih subuh. Aku kehilangan orang yang adanya aku jadikan lawan bertengkar, kini aku hanya melawan air mata…

Kalau aku dapat mengatur hidup, betapa aku ingin kau berada di sini. Lihat kau semakin dewasa, bekerja dalam bidang yang kau minati, mesra dengan saudara dan sahabatmu. Tetapi seorang manusia seperti aku hanya mampu berdoa. Dia tidak mempunyai kuasa atau tenaga untuk memastikan segala doanya terkabul. Dan, betapa pun dia ingin kau mendapatkan pelajaran tinggi itu, dia tidak berharta untuk menjadikan kenyataan cita-citamu.

Kau ingat semasa kau ingin ke Amerika setelah tamat pengajian pertamamu? Kau ingin mengikuti kursus kewartawanan di sana dan ada biasiswa ditawarkan. Hatiku risau mendengar itu semua. Semasa kau ditemuduga oleh pihak penganjur, aku berdoa di rumah. Biarlah kau jangan pergi, detik hatiku. Mungkin permintaan ini kurang adil untuk hidupmu, tetapi bagiku biarlah susah senangmu di hadapan mataku. Sejak kau sebesar tapak tangan kau telah bersamaku, bagaimana mungkin aku menerima suatu keadaan baharu dalam usia yang sebegini tua?

Aku sebenarnya sebatang kara, Halimah. Sebatang kara dalam dunia yang diperkayakan oleh sahabat-sahabat dan orang-orang yang kuanggap saudara. Keadaan ini mungkin membuat aku tidak sanggup kehilangan orang-orang yang kukasihi. Dan dalam usia yang hanya tinggal sisa-sisa, aku memerlukan kebiasaan yang kukenal dan keramahan yang pasti. Ketiadaanmu menjejas kelumrahan ini.

Ketika kau berumur sebelas hari, masih merah, dengan rambut yang lebat dan ikal dan kulit yang cerah, aku telah membawamu dari Geylang Serai ke Lorong G. Beca yang membawa kita begitu sukar meredah dalam hujan lebat. Kau disambut mesra oleh datuk dan ibu-ibu saudaramu. Kehadiranmu menghilangkan rasa sunyi kami. Dan kini, apabila kau menjadi sayu dan pemerhati ketika hujan turun, aku sering terkenang bagaimana ibumu memberi kau kepadaku.

Dalam usia hampir lima puluh tahun, aku menjadi ibu kepada cucuku. Kehidupan kita tidaklah senang, tetapi bahagia. Semasa tinggal di Sims Avenue dan kemudian di Jalan Kobis, walau kami tidak memberimu kesenangan kebendaan, aku tahu kau tidak pernah miskin daripada kemesraan dan kasih sayang.

Terlalu banyak kenangan yang melintas dalam benakku bagaikan kenderaan-kenderaan yang tidak putus-putus melintas di jalan raya.

Kau adalah kanak-kanak yang sering sakit dan malam-malamku selalu diisi dengan menjagamu. Masihkah kau ingat semasa berusia 5 tahun kau dimasukkan ke rumah sakit selama lapan belas hari? Aku bagaikan orang gila; beberapa hari setelah kau dimasukkan ke rumah sakit, datukmu juga dimasukkan. Dan tiga hari setelah kau dibenarkan pulang, datukmu meninggal. Kematiannya menyebabkan jalan hidupmu berubah.

Dulu di amben depan rumah jiran sebelah, kau dan sepupu-sepupumu sering menunggu kepulanganku. Kerja sebagai pembantu rumah hanya membolehkan aku melihat kau pada hujung minggu sahaja. Siang-siang lagi kau dan sepupu-sepupumu dimandikan dengan menggunakan air yang diambil dari paip munisipal. Rumah berek yang mempunyai hanya satu bilik tidur, dapur dan dewan tanpa air dan elektrik itulah syurgamu. Aku akan menaiki bas dari Katong, bertukar bas di Geylang yang membawaku ke Kampung Kaki Bukit. Dari sana aku membetis ke Jalan Ladang yang memanjang dan akhirnya sampailah aku ke Jalan Kobis. Segala kepenatan kerja dan perjalanan seolah-olah tidak terasa apabila melihat kau dan sepupu-sepupumu menantiku di amben itu.

Betapa singkat kebahagiaan itu. Dalam usia lapan tahun, kau diambil semula oleh keluargamu. Aku menangis dan menangis kerana tidak berdaya menahan kehendak orang tuamu. Siapalah aku; wanita yang hanya berpangkat ibu angkat dan ibu saudara kepada ibumu, yang menjadi anak saudara dan anak angkat kepada suami pertamaku.

Pedihnya masa-masa itu. Aku menjadi pembantu rumah di kediaman keluargamu kerana ingin selalu berdamping denganmu. Berbagai-berbagai peristiwa berlaku; yang gembira, duka, pedih dan bahagia. Dan peristiwa-peristiwa di Kampong Wak Tanjong dan Lorong L itu mendewasakan kau dan saudara-saudaramu.

Kerana peristiwa-peristiwa itu aku semakin yakin, biar apa pun terjadi, biarlah kau di depan mata. Biarlah sisa-sisa hidup ini kupenuhi dengan selalu berkumpul dengan kau dan lain-lain anggota keluarga. Dan betapa gembiranya aku apabila kau membeli flat tiga bilik ini untuk kita. Walaupun orang tua seperti aku lebih selesa tinggal di rumah kampung, dapat bercucuk tanam, memelihara kucing dan ayam, tetapi dengan keselesaan ini aku tetap bersyukur. Dan aku selalu berdoa agar Tuhan memurahkan rezeki kau membayar ansuran rumah ini dan menyempurnakan keperluan-keperluan kami.

Siapakah kita untuk meramal hari depan? Kita hanya boleh merancang, Imah, tetapi Allah juga yang menentukan.

Tidakkan kulupa peristiwa-peristiwa pahit pada awal tahun lapan puluhan itu. Dan betapa sukar kau menampung pembelajaranmu. Kau sememangnya seorang anak yang degil, Halimah, degil dan tegas terhadap apa yang kaupercayai baik. Dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, walau sukar, adalah satu daripada kedegilanmu. Itulah cita-citamu, itulah juga ‘harta’ yang dapat kuwariskan untukmu.

Apabila semuanya reda dan selesai, aku bersyukur kerana kau berjaya mengorak langkah yang tegas menuju ke lorong cita-cita. Dan apabila kautunjukkan buku besar berwarna hitam yang kaukata ditujukan khas untukku, aku hanya tersenyum, tidak tahu maksudmu. Aku masih ingat kata-kata yang kaubaca daripada buku itu: “Tesis ini tidak mungkin dapat disiapkan tanpa dorongan dan galakan daripada berbagai-bagai pihak… Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih saya kepada allahyarham/ allahyarhamah ayah dan ibu dan khusus untuk Puan Hajah Fatimah binti Abdullah yang telah memberi kesedaran tentang pentingnya pelajaran…” dan air mataku jatuh bertitisan.

Orang tua seperti aku adalah manusia yang pemurah dengan air mata. Mudah dikocakkan kenangan. Senang dihanyuti kisah silam.

Keputusan itu sesungguhnya telah kuduga tetapi ia tetap memeranjatkan aku. Aku tahu kau hampa, seolah-olah segala pengorbananmu sia-sia dan kau kecewa dengan adanya sikap-sikap dwitara. Kekecewaan ini seolah-olah merantai kakimu daripada bergerak cergas dalam lapangan yang sepatutnya kauceburi dan cintai. Impianku untuk melihat kau memanfaatkan pelajaranmu seolah-olah ditenggelami laut duka itu.

Mungkin ketegasanmu untuk pergi sama seperti tegasnya moyangmu membuat keputusan melarikan diri dari Semarang. Dia sanggup meninggalkan keluarganya kerana dipaksa kahwin tanpa kerelaan. Sebatang kara di Singapura, dia menjual kuih-muih dan menjadi bidan. Dan betapa tegasnya dia, tidak mahu aku berbapa tiri, setelah ayahku, orang dari seberang, mati muda. Ya, mungkin ketegasanmu diwarisi daripada ibuku, Hasinawati.

Aku tidak pernah bersekolah, Imah, kerana pada zamanku seorang wanita Melayu takut anaknya masuk Kristian atau menulis surat kepada lelaki, jika berpelajaran. Tetapi ibuku pentingkan pelajaran lain: melatih aku menjadi bidan, mengaji dan masak-memasak. Dia tidak mahu hidupku melarat, apalagi kerana tidak bersaudara dan memastikan bahawa aku pandai membaca Jawi sekurang-kurangnya.

Betapa tegas pendirian wanita dari Semarang ini ketika kami menginap di Kampong Melaka, berdekatan dengan Masjid Omar. Dia akan menyorong kereta sorongnya yang berisi beraneka kuih dan lain-lain makanan, jika tidak membidani orang. Dan aku akan duduk dan tidur di bahagian bawah kereta sorong itu. Selalunya apabila tiada pelanggan, dia akan bertanya aku itu dan ini, bercerita tentang kisah-kisah dunia yang didengarinya atau menyuruh aku membaca selembar kertas bertulisan Jawi yang diambilnya entah dari mana. Beginilah ibu mengasuh aku sehingga aku dewasa dan dia tidak dapat lagi menunjuk ajar kerana kedua-dua matanya buta. Dia meninggal dunia beberapa tahun setelah aku berumah tangga.

Mengapa mesti aku ceritakan kau ini semua, Halimah? Mungkin aku berasa perlu menyatakannya agar kaukenal sejarah nenek moyangmu. Daripada ibuku aku mempelajari betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan betapa perlunya ketegasan dalam kehidupan, walau aku terpaksa menangis kerana itu. Zaman kita terlalu jauh berbeza, Imah, tetapi inti masalahnya tetap serupa. Biarlah daripada kisah silam ini dapat kau perolehi akar keteguhan bagi menunjangi hidupmu pada masa depan.

Namun, hatiku tetap terusik sedikit dengan keputusanmu. Aku sebatang kara, Halimah. Wanita yang hanya melahirkan seorang anak, yang meninggal ketika bayi, diceraikan suami dan kemudian berkahwin lagi kerana perkahwinan adalah satu-satu jalan selamat untuk wanita zamanku. Mungkin perasaan sebatang kara ini membuat aku menyayangi kau dan mereka yang kuanggap anak cucuku, berlebihan.

Betapa tua aku kini, dengan kulit yang dikedutkan pengalaman dan badan yang bongkok udang. Masa muda yang sering bergelumang dengan air sejuk dan sabun serta membanting tulang empat kerat telah meninggalkan kesannya kepada jasadku. Aku sering sakit, darah tinggi, semput dan bengkak-bengkak kaki. Sukar berjalan dan sukar pula tidur malam. Mataku kedua-duanya telah dibedah kerana berselaput. Pendengaranku semakin pudar. Yang ada padaku hanyalah sedikit kekuatan dan kenang-kenangan.

Orang tua seperti aku bahagia melihat anak cucu yang berkumpul. Tidak terpisah-pisah entah ke mana-mana di bumi Tuhan. Dan kini kau juga di negeri seberang.

Aku tahu kau terpaksa pergi; hatiku merelakan tetapi jiwa tuaku memerlukan kau di sisi. Aku tahu keputusan itu bukanlah mudah dibuat. Dan aku tahu bukan kau orangnya yang akan mensia-siakan kehidupan seorang nenek tua ini. Tetapi, seperti ibuku yang tegas memilih jalan hidupnya, kau juga perlu melakukan sesuatu yang tegas dan saksama untuk hidupmu.

Panggilan jauh itu dapat juga meredakan resahku dan surat-suratmu menghiburkanku. Namun, kadangkala apabila rumah ini sunyi, aku tiba-tiba teringat, apa yang kaubuat di sana? Dapatkah kau tabah menghadapi berbagai-bagai tekanan? Dan ketika ibu saudaramu memasak lauk-pauk kegemaranmu, aku sering terkenangkan kau. Selalukah kau makan di luar kerana tidak sempat memasak di rumah? Sunyikah kau di sana? Rumahmu sebesar rumah di Lorong L dulu, indah dan bertaman, yang kaukata aku pasti suka menginap di sana. Dan kereta biru yang kaupandu, katamu akan kaugunakan untuk membawa aku bersiar-siar. Betapa indah semua itu. Sayangnya aku tidak dapat menikmati segala yang kaupilih khas untukku.

Kaupulang, Imah, kerana aku sakit kuat. Aku yang jangkanya akan ke tempatmu pada awal Januari lalu. Aku tidak dapat ke sana, kini dan sampai bila-bila masa sekalipun. Penyakit-penyakitku seolah-olah membelengguku daripada pergi bercuti ke tempatmu. Cutimu pula terlalu pendek dan entah bila lagi dapat aku menemuimu. Kadangkala aku terfikir, bagaimana kalau kau tidak sempat melihatku ketika aku sakit tenat? Tetapi aku cepat-cepat beristighfar dan menghilangkan ingatan ini. Tuhan telah menjagaku selama ini dan melorongkan kau ke sana. Dia pasti menjadikan kenyataan apa yang pada jangka panjangnya adalah baik untuk hamba-hamba-Nya. Berpegang kepada ini, dukaku selalu reda.

Kau dulu sering berbincang-bincang dengan kawan-kawanmu. Orang tua seperti aku sukar memahami biji butir perbualan itu. Tetapi aku yakin itu adalah sebahagian daripada pelajaran yang pernah kautuntut dulu. Aku yang telah dinafikan pelajaran, Imah, mahu kau mendapat pelajaran setinggi mana yang kau mampu. Dan jika berpisah denganmu bererti kau akhirnya dapat melengkapkan pelajaranmu, walau aku harus berlinang air mata, aku tetap rela.

Tuhan tidak akan membebani satu jiwa melainkan apa yang sanggup ditanggunginya, Imah. Berpeganglah kepada firman Tuhan ini apabila sesekali kau berasa begitu sukar menghadapi berbagai-bagai dugaan. Aku sentiasa mendoakan kau selamat, tabah dan teguh iman di negeri orang.

Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran dari radio. Senja akan bertukar malam. Kapal terbang itu telah sekali lagi membawa kau ke seberang. Bila lagi aku akan menemuimu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin kau sedang menangis dalam kapal terbang, seperti aku yang sukar menahan titis-titis air mata yang memudarkan pandanganku ke luar tingkap.

Air mata hanya mampu kuluahkan untuk untuk melegakan sebak di dada, tetapi hatiku tetap rela. Nanti, bila kau berjaya mencapai cita-cita, manfaatkanlah ilmumu, Halimah. Itulah balasanmu yang terbaik bagi pengorbanan seorang ibu tua.

Ditulis : 14 Januari 1988
Taman Puri, Negeri Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s