Jangan Sampai Rindu Bawa ‘Penyakit’

Jangan Sampai Rindu Bawa ‘Penyakit’

Seekor burung macaw (sejenis kakak tua yang besar) peliharaan keluarga Pak Busu Sri terlepas ketika pintu depan terbuka semasa sibuknya sepupu Sri berpindah rumah. Ia hinggap di flat berdekatan dan kemudian, di sebuah pohon yang tinggi. Berkali dan berhari dipujuk dengan pelbagai cara tidak juga macaw bergelar ‘Rocky’ itu turun. Keluarga Pak Busu Sri amat bimbangkan keselamatannya dan rindukan burung yang pandai bercakap ini. Mereka terkenangkan kerenahnya: suka makan nestum, suka bercakap misalnya ‘Helo’, ‘Allah’, ‘Mak’, ‘Bak’, ‘Kakak’, ‘Bak penat, eh?’ dan pandai pula mengambil hati. Tapi yang paling merindukan Rocky ialah kawannya, sejenis burung bayan kecil bernama ‘Rolly’ yang sangkarnya bersebelahan sangkar Rocky. Hampir setiap hari bayan ini mencari Rocky dengan memanggil ‘Rocky, Rocky’ dan kemudian seolah-olah mengadu kepada Mak Busu Sri:‘Rocky naughtylah’ bila dia tak faham kenapa Rocky tak ada. Ketika bersama mereka suka usik mengusik, malah cemburu, bila dah tak ada, Rolly tak lalu makan, menjadi semakin kurus dan merindu.

Bukan Rolly saja yang ‘menghidap’ penyakit rindu ini. Setiap seorang daripada kita pasti pernah mengalami penyakit ini. Kalau tak percaya, dengarlah lagu — sebahagian besar lagu-lagu dari seluruh dunia bertemakan rindu, cinta, putus cinta. Sri teringatkan lagu-lagu misalnya daripada P.Ramlee: Rindu Hatiku Tidak Terkira/Nak Dara Rindu/Rindu Hatiku Rindu, lagu keroncong Rindu nyanyian Kartina Dahari, Rindu Serindu-rindunya nyanyian Sharifah Aini dan kumpulan Slam, kalau tak salah Sri, Jamal Abdillah dengan Sepi Seorang Perindu/Penghujung Rindu, Broery menyanyikan Senandung Rindu, Ebiet G. Ade dengan Nyanyian Rindu, Siti Nurhaliza mendendangkan Purnama Merindu dan yang paling klasik, Saloma bertanya: Mengapa Dirindu?

Rindu ini pula dialami oleh pelbagai lapisan masyarakat, bukan sekadar sepasang kekasih sahaja, walaupun kita maklum akan kisah-kisah seperti Laila Majnun, Shirin Farhad, Romeo Juliet mahupun Uda dan Dara. Rindu kepada ibu bapa itu berbeza daripada rindukan suami/isteri, saudara, sahabat dan sebagainya. Kadangkala apa yang kita rindukan adalah perkara-perkara yang amat sederhana dan biasa misalnya cara ibu/bapa kita bercakap, suami/isteri kita ketawa, adik/anak kita menyakat atau sekadar sahabat yang bertanya khabar bila dah lama tak mendengar berita atau suara kita. Tidak seperti dalam filem apabila rasa rindu kadangkala digambarkan begitu dramatik, sebahagiaan besar kita sering senyap dan biasa-biasa saja dalam kerinduan.

Nak tahu rasa rindu, berjauhanlah sedikit daripada orang yang anda kasihi. Kadangkala setakat pergi melancong pun anda dah boleh terindu-rindu orang yang anda tinggalkan. Tapi tak semua orang pandai menyatakan ini. Seorang anak saudara Sri pertama kali pergi ke luar negara seorang diri semasa di sekolah rendah. Agak lama juga dia bercuti di rumah pak ciknya dan kecuali satu dua kali, dia tidak menghubungi keluarganya di Singapura. Bila pulang, ibunya tertanya-tanya, adakah dia rindukan mereka. Anak saudara Sri ini agak berat mulut dan sedikit malu nak tunjukkan kasih sayang. Bila ditanya: “Jaja tak rindukan siapa-siapa?” Setelah lama berdiam, dia menjawab, jawapan yang agak ‘meleset’ daripada jangkaan ibunya: “Ada”, jawabnya ringkas, “Alf.” Alf ialah kucing kesayangannya.

Bila anda bertugas atau menginap di luar negara, anda dan orang yang anda tinggalkan boleh saja dilanda kerinduan. Ketika Sri di rantau, Nenek bingkaikan gambar Sri dan letakkan di bilik, agar dia selalu dapat ‘melihat’ Sri. Bila Sri menelefon, dia jawab hanya sepatah dua, yang lain hanya deraian air matanya. Ibu saudara Sri pula, bila orang bertanyakan hal Sri, misalnya bertembung di pasar, hanya air mata yang menjadi jawapannya. Begitu juga ketika Nenek dan Ibu saudara Sri memasak makanan kegemaran Sri, rindu mereka bertambah pada Sri yang jauh dari mata… Demikian juga beberapa kisah lain: anak-anak kawan Sri ketika bapanya bertugas di luar negara, sering bertanya hal bapa mereka dan menyebut-nyebut namanya dan ketika bapanya menelefon, ada yang becok bersuara dan ada pula, hanya bertitisan air mata.

Memang rindu-merindu ini boleh membawa penyakit mungkin kerana dalam keadaan sedikit murung, sistem daya ketahanan kita rendah, lantas mudah dihinggapi penyakit. Orang dulu-dulu selalu nasihatkan: simpanlah baju terpakai orang yang dirindukan dan berikan kepada yang merindu, terutamanya kanak-kanak, nanti hilang rindunya. Ini okey juga, tapi bayangkan jika orang yang anda rindukan bau badannya semacam… alangkah terseksa dan menyeksa… Dan cakap pasal rindu ini, tak boleh pula kita ‘lepaskan’ rindu ikut suka hati tanpa ijab kabul, seperti kata sebuah lagu 60-an: nenek bilang itu merbahaya… Kini orang yang merindu atau berjauhan daripada mereka yang dikasihi, mudah juga berhubungan misalnya melalui telefon, sms, Internet, faks dan sebagainya tapi tak boleh lagi hantar telegram kerana perkhidmatan ini kini tidak lagi digunakan.

Tapi kerinduan kita itu tidak semestinya kepada manusia saja. Membaca karya-karya ahli sufi dan pemikir Islam misalnya tulisan Sayidina Ali, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Jalaluddin Rumi, Rabiatul Adawiah, Hamzah Fansuri dan lain-lain kita temui kerinduan puncak tinggi yang tidak dibuat-buat iaitu kepada Ilahi. Dan ada di antara kita pula menghidapi penyakit rindu yang amat mendalam tetapi bukan kepada seseorang: kita rindukan ketenangan, keadilan dan perdamaian untuk dunia dan penghuninya yang kini semakin gusar dan dihiruk-pikukkan.

Ditulis : 10 April 2002
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 21 April 2002
Tajuk Asal: Penyakit Rindu
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s