Archive | December 2014

PUSH = Pray Until Something Happens

A man was sleeping at night in his cabin when suddenly his room filled with bright light and a special angel appeared. The angel told the man that God had work for him to do, and showed him a large rock in front of his cabin. The angel explained that the man was to push against the rock with all his might. This, the man did, day after day.

For many years he toiled from sun up to sun down with his shoulders set squarely against the cold, massive surface of the unmoving rock, pushing with all his might. Each night the man returned to his cabin sore, and worn out, feeling that his whole day had been spent in vain.

Seeing that the man was showing signs of discouragement, Satan decided to enter the picture by placing thoughts into the man’s weary mind: “You’ve been pushing against that rock for a long time, and it hasn’t budged. Why kill yourself over this? You’re never going to move it” —thus, giving the man the impression that the task was impossible and that he was a failure. These thoughts discouraged and disheartened the man.

“Why kill myself over this?” he thought. “I’ll just put in my time, giving just the minimum effort and that’ll be good enough.”
And that’s just what he planned to do— until one day he decided to make it a matter of prayer and take his troubled thoughts to God.
“God” he said, “I’ve laboured long and hard in your service, putting all my strength to do that which you’ve asked. Yet, after all this time, I haven’t even budged that rock by half a millimetre. What’s wrong? Why am I failing?”

The special angel voiced out the answer compassionately:
“My friend, when God asked you to serve Him— you accepted. He told you that your task was to push against the rock with all your strength— which you’ve done. Never once did He mention to you that He expected you to move it. Your task was to push. And now you come to God— with your strength spent, thinking that you’ve failed. But is that really so?”
“Look at yourself. Your arms are strong and muscular. Your back sinew is mighty. Your hands are callused from the constant pressure; and your legs have become massive and hard. Through opposition you’ve grown much and your abilities now surpass that which you used to have. Yet you haven’t moved the rock. But your calling was to be obedient and to push and to exercise your faith and trust in God’s wisdom. This you’ve done. God, my friend, will now move the rock.”

At times, when we hear from God, we tend to use our own intellect to decipher what He wants. What God actually wants is just simple obedience and faith in Him.
By all means, exercise the faith that moves mountains, but know that it’s still God who moves the mountains.

P.U.S.H. = Pray Until Something Happens
…When everything seems to go wrong, just P.U.S.H.
…When the job gets you down, P.U.S.H.
…When people don’t react the way you think they should, P.U.S.H.
…When your money looks funny and the bills are due, P.U.S.H.
…When people just don’t understand you, just P.U.S.H.!!!

Menjelang Tahun Baharu 2015

Sunrise 1Sunrise 2

Waktu-waktu terakhir menjelmanya tahun baharu sering membuat kita sedikit sibuk menguruskan pelbagai perkara. Di selang-seli kesibukan ini, mungkin kita sempat juga terfikir-fikir akan waktu-waktu yang meninggalkan kita – sempatkah kita melakukan perkara-perkara yang ingin kita lakukan pada awal tahun ini, dalam azam tahun baharu kita? Atau banyak perkara yang tidak disangka-sangka berlaku dan kita terpaksa mengetepikan beberapa perkara yang kita letakkan sebagai azam kita dahulu?

Betapa kita bersedia pun, kadangkala ada sahaja perkara lain yang timbul yang boleh sahaja melencongkan kita daripada azam tahun baharu kita. Namun persediaan terbaik mungkin terletak kepada kebolehan kita untuk menyesuaikan diri dengan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka dan bersikap terbuka dan bermata harapan berhadapan apa pun yang dihamparkan kepada kehidupan kita.

Tahun 2014 bagi sebilangan kita meninggalkan pelbagai kesan yang menyedihkan kerana berpulangnya anggota keluarga dan orang-orang yang kita kenal. Di samping itu, terjadi pelbagai nahas udara, taufan, banjir, peperangan, serangan pengganas dan sebagainya. Kadangkala begitu sukar untuk kita tersenyum lebar kerana beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka dalam kehidupan peribadi, keluarga, kerjaya, kesihatan dan dunia yang kita huni boleh sahaja mengganggu kita. Langkah kita seakan semakin pendek bila berhadapan hal-hal sebegini. Walaupun demikian, sepanjang 365 ini, Allah juga telah menganugerahi kita hari-hari yang menyenangkan dan menceriakan kehidupan kita. Saat-saat indah yang tidak ternilai ini boleh sahaja tiba-tiba menjelma; mengingatkan kita betapa pun ‘mendung datang bertalu-talu’, akan tetap ada hari-harinya bila langit cerah dan mentari tetap memberi sinarannya dan vitamin D kepada kita.

I Januari 2015 kali ini jatuh pada hari Khamis yang tidak jauh daripada 12 Rabiul Awal, hari keputeraan Rasulullah s.a.w., yang jatuh pada hari Sabtu, 3 Januari 2015. Semoga hari dan bulan keputeraan Baginda s.a.w akan selalu mengingatkan kita akan perjuangan dan pengorbanan Baginda s.a.w., keluarga serta para sahabatnya r.a. dan membuat kita lebih memahami dan mengamalkan agama yang dibawa Rasulullah s.a.w.

Dan semoga tahun mendatang ini akan menjadikan kita insan-insan yang lebih baik, lebih ihsan, lebih prihatin, lebih gigih berusaha, lebih penyantun, lebih pemaaf, lebih bertenaga, lebih ceria, lebih sihat, lebih sabar, lebih tabah, lebih berprasangka baik dan lebih bersyukur terhadap segala pemberian Allah.

Saya lampirkan tiga kuntum sajak dan sebuah rencana untuk renungan bersama – semoga ada manfaatnya. Selamat Tahun Baharu 2015 – semoga Allah sentiasa memberi kita taufik dan hidayat, melindungi dan memberkati kita. Amin.

TIGA KUNTUM SAJAK

Harapan (ii)

Jangan dirikan tembok ini
menyempitkan ruang
nafas-nafas sesak
bahasa tegang
& udara kita dikotori
curiga serta kebimbangan.

Walau semua pintu tertutup
carilah tingkap-tingkap
kecapi kesegaran
untuk suatu pertumbuhan
kerana pohonmu juga perlu membesar
menjadi pelindung
menghadiahkan buah-buahan
untuk kehidupan.

Jadilah titian
menghubungkan pulau-pulau
walau diganggu ombak liar
kerana manusia selalu silap
tapi tali persaudaraan itu panjang.

Seperti pengembara itu
yakinlah pada ketentuan:
telah Tuhan hadirkan sebutir bintang
akan Dia kekalkan
di tengah kegelitaan.

Ditulis: 19 Mei 1985
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Selamat Pagi

Selamat pagi alam
kicau burung
melagukan kesunyian
cengkerik berbunyi
alam bersimfoni
& malam masih sarat
menanti subuh hari.

Selamat pagi dunia
kata pohon
tunduk & berfotosintesis
embun bergenang
bayu gemeresik
& muncul kesegaran
pada hari yang bakal naik.

Selamat pagi manusia
gema azan
bangunlah dengan doa
& secebis harapan.

Ditulis: 7 September 1993
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
Tulisan Rasiah Halil.

Di Sisi-Nya

Akhirnya segala akan tersingkap
walau betapa pun ditutup & dielak
sandiwara yang dipersembah
haloba yang bertakhta
riyak, iri, hasad, membusung
nama, pangkat, harta, direbut-rebut
sekadar zarah
nilai sebelah sayap nyamuk
di sisi-Nya.

Pintu-Nya tidak pernah tertutup
walau dosa bak buih laut
kecuali syirik digalas
ditaburi rahmat
dihampari sejahtera
& tiada satupun terlepas
segala pura-pura
segala helah
segala keangkuhan
kerana Dia lebih maklum
seluruh dunia & semesta.

Di sisi-Nya nanti
segalanya akan menjadi jelas
apa yang kita dikejar-kejarkan
apa yang kita bangga-banggakan
apa yang kita musuh-musuhkan
kerana yang terlebih besar
hanyalah takwa & ikhlas.

Ditulis: 25 – 31 Disember 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Renungan Awal Tahun: 1997

Mukadimah

Apakah yang anda lakukan akhir tahun lalu (1996)? Adakah anda, seperti kebanyakan orang, terpaksa membereskan beberapa tugas yang berhubung dengan hal-hal keluarga, pejabat dan diri sendiri, agar dapat memulakan tahun baharu dengan keadaan yang lebih selesa? Atau anda ligat bersiap dan merayakan tahun baharu, terlalu disibukkan oleh kesesakan jalan raya, atau sekadar berduka kerana tiada apa yang istimewa yang anda harapkan bagi tahun baharu 1997?

Bagi setiap orang, tahun baharu memberi makna yang berbeza, walaupun secara umum, dunia menyambut kedatangan tahun baharu dengan ria dan gembira. Telah 365 hari kita tinggalkan, apakah 365 hari yang mendatang akan menjanjikan sesuatu yang baik seperti masa-masa yang sudah? Atau ufuk masa depan kita tidak secerah yang kita harapkan?

Akhir Tahun Dan ‘Pengkelanaan’ Saya

Saya ke Brickfields dan Bangsar (di KL) pada akhir tahun 1996; mengirim surat, bayar bil telefon dan membeli beberapa keperluan. Saya menghabiskan banyak masa di Bangsar, kerana kebetulan tempat ini ada beberapa kedai buku, kedai-kedai lain yang menarik dan juga, kerana Bangsar mengingatkan saya pada Singapura, terutama daerah Katong, tempat saya membesar, dan juga Orchard Road. Sebuah kedai runcit yang telah beberapa kali menimbulkan semacam keharuan dalam hati saya, buat pertama kali saya masuki pada akhir tahun 1996. Bukan istimewa sangat kedai runcit ini; hanya kebetulan nama kedai ini bersamaan dengan nama bapa saya, dengan ejaannya yang sedikit unik (nama saya dan nama bapa saya telah disalah-eja dalam surat kelahiran saya). Kerana nama bapa saya yang dijadikan nama keluarga kami ini, kedai runcit ini menjadi istimewa dan menimbulkan nostalgia saya. Dalam hujan gerimis itu saya teringatkan arwah bapa saya dan kaum keluarga. Saya terkenangkan masa silam saya. Dan di Bangsar, berdepan dengan sebuah kedai yang menyamai nama bapa saya, saya terfikirkan apakah yang menanti saya pada 1997 dan tahun-tahun seterusnya.

Pada akhir tahun 1972, ketika hujan gerimis, dan dalam usia belasan tahun, saya menulis sebuah sajak berjudul ‘Venus Menjelma’ ketika menyambut tahun baharu. Ketika itu dunia dilanda perang di Vietnam, Ireland, Bangladesh, Timur Tengah selain adanya Perang Dingin. Bagi sebahagian besar Dunia Ketiga pula, masalah kemiskinan dan kebuluran bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun, dalam malapetaka yang pelbagai itu, saya masih idealistik melihat dunia dan mengharapkan ‘Venus’ (Dewi Cinta/Kasih Sayang) akan menjelma dan merubah dunia. Kini. 25 tahun sesudah peristiwa itu, dapatkah saya menyambut tahun baharu dengan idealisme yang pernah membumbui zaman remaja saya, dengan mengharapkan wujudnya kasih sayang di antara manusia dapat menangkis segala malapetaka yang sedang dan bakal melanda manusia dan dunia?

25 tahun adalah masa yang amat panjang. Apakah 25 tahun yang akan datang saya masih hidup dan dapat melihat dunia yang belum lagi dimusnahkan penghuninya? Setiap hari, membaca akhbar dan mendengar berita kita semakin sangsi akan keupayaan kita menjadi ‘manusia’ yang sebenar. Di sana sini berlaku peperangan, keganasan, rusuhan kaum, kemiskinan yang amat melarat, masalah-masalah sosial semakin meningkat, musnahnya hutan, cemarnya alam, manusia yang mudah dipancingi prasangka dan wang sedangkan kemungkinan ledakan nuklear meremang bagai senja yang berulang? Apakah saya dapat membina harapan melihat dan mengalami segala peristiwa yang seolah-olah menghakisi segala kemungkinan?

Kata Shakespeare, harapan itu terserlah abadi di dada manusia. Kata psikologis Eric Fromm, tanpa harapan, kita tidak dapat merubah apa pun keadaan. Dan kata Nabi Muhammad s.a.w, seorang Muslim tidak pernah berputus harapan terhadap rahmat Tuhan.

Bukanlah mudah menghadami kata-kata di atas, bila melihat beberapa ketegangan dan malapetaka yang melanda kita dan dunia. Bagaimanakah membina harapan, bila anak yang kita sayangi, mengecewakan kita, rumahtangga yang dibina, musnah segala, gaji bulanan tidak dapat menampung keperluan kita, majikan yang tidak bertimbang rasa, ‘kawan’ yang menikam dari belakang, rakan kongsi yang pecah amanah, sokongan yang membawa rebah, selain peristiwa-peristiwa dunia yang lebih ‘besar’? Masihkah boleh kita mempunyai harapan berdepan dengan keadaan-keadaan negatif sedemikian?

Tiada siapa yang dapat menjamin, hari-hari dan tahun-tahun mendatang akan bertambah baik bagi kita sebagai manusia yang menghuni dunia yang serba mungkin ini. Dihadapkan apa pun malapetaka atau masalah, kita mungkin memilih untuk ‘berdepan’ atau ‘lari’ dari masalah itu; ini lumrahnya tindakan manusia. Mestikah kita melihat kehidupan ini dari kaca mata yang naif dan seperti Polyanna daripada cerita Tolstoy, percaya semuanya akan menjadi baik, di akhirnya, seperti cerita-cerita fabel? Atau, sebaliknya, dengan penuh sinis, kita tidak percaya akan kebaikan di hati manusia dan melihat segala-segalanya begitu negatif dalam kehidupan kita dan dunia?

Memang mudah untuk menjadi sinis dalam dunia yang serba canggih ini dan tidaklah sukar menjadi naif dalam arus kehidupan yang menuju ke abad 21. Kedua-duanya adalah jalan ekstrem yang sebenarnya mengaburi mata pengamat dan tidak akan membawa kita kemana-mana. Hidup bertunjangkan harapan bererti memilih jalan tengah; dan jalan tengah adalah jalan yang dipertunjukkan oleh Nabi kita s.a.w. Kita seharusnya melihat hidup tanpa menjadi sinis atau naif, sebagaimana dirumuskan oleh pepatah kita: ‘Bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak’. Maknanya kita menjadi celik manusiawi; kehidupan ini bukan sekadar diwarnai dengan hitam dan putih tetapi dijurusi pelbagai warna bagaikan pelangi.

Masalah yang kita hadapi tidak akan tiba-tiba hilang kerana perasaan naif kita atau sentiasa menghantui kita kerana perasaan sinis kita. Tetapi masalah itu ‘bertukar warna’ kerana kaca mata dan kayu-ukur yang menjadi rujukan kita telah berbeza. Dan perbezaan ini dimungkinkan oleh adanya harapan di hati kita. Ini bererti, berdepan dengan apa pun keadaan yang menggusar dan menggetirkan, kita akan melihatnya dari berbagai sudut, menilai dan menafsirnya, bersungguh-sungguh mencari penyelesaiannya secara jujur dan kemudian, menyerahkan pada Tuhan, akan rumusannya.

Ini bererti kita membuat pilihan dan perancangan berhadapan dengan apa pun masalah yang kita hadapi. Kita memilih untuk mempunyai harapan atau untuk menjadi sinis ataupun naif. Kita memilih untuk mengecap kebahagiaan ataupun bergelumang dengan penderitaan dan perasaan ‘kasihan pada diri sendiri’. Kita memilih untuk berikhtiar atau duduk menangisi nasib kita. Pucuk pangkalnya adalah kita: penentu terpenting, selain Allah, dalam menjalani kehidupan kita dan masalah-masalahnya. Dan membuat pilihan terhadap cara kita berdepan dengan masalah bererti kita tahu makna dan nilai tanggungjawab kita sebagai manusia. Dan cara ini bukanlah mudah kerana ia menuntut seluruh komitmen kita untuk menjadikan hidup kita lebih bermakna walaupun dengan cara sekecil zarah.

Menyusuri Jalan Bangsar dan kemudian ke Taman Pantai Indah, Kuala Lumpur, ingatan saya masih tertumpu kepada kedai runcit yang mempunyai nama seperti nama bapa saya. Dapatkah kita melupakan masa silam? Tanpa yang lepas, dapatkah mungkin timbul yang sekarang? Tanpa Hamzah Fansuri, akankah wujud Chairil Anwar, Amir Hamzah, Taufik Ismail, Pramoedya, Usman Awang dan A.Samad Said? Tanpa P.Ramlee dan Saloma, akankah wujud M.Nasir dan Sharifah Aini?

Yang silam itu adalah kekuatan, bagai akar tunjang, yang meneguhkan pohon kehidupan kita. Ia memberi akar, melarik kayu-kayan yang turut membina rumah panggung kita. Ia mengejapkan semangat dan membuhulkan niat kita. Masa silam, terutama perisitwa-peristiwa yang dilalui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita, dapat menjadi cermin perbandingan yang jujur: sejauh mana kita telah melangkah dan sejauh mana kita boleh terus-menerus melangkah. Dan dalam dunia yang tanpa sempadan ini, dengan teknologi maklumat yang begitu cepat dan canggih, masa silam itu memberi erti jati diri dan kekuatan yang tersendiri.

Namun, terlalu terikat dengan masa silam tanpa melihat perubahan di sekitar, adalah belenggu yang amat menyeksa. Kita akan dihanyuti arus dan tersadai di pinggiran. Kita akan terus digari, kerana peristiwa-peristiwa silam, sedangkan yang lain demikian ceria dan bebas mengharungi kehidupan. Dan kita akan tenggelam dalam duka dan dendam lama serta gagal menggarap masa-masa kini yang mendatangi kita.

Kata pepatah kita: ‘Yang baik buat teladan, yang buruk buat sempadan’; demikianlah ertinya masa silam itu kepada kita. Ia bukan belenggu tetapi mangkin dan pemacu bagi kekuatan dan jati diri kita, menghadapi masa kini dan mendatang. Tidak kita pudarkan keburukan silam atau kita sekadar menggilap keindahannya. Yang silam itu adalah pelbagai benih yang merimbunkan taman kehidupan kita, zaman demi zaman. Bagai rentetan tanah lapang yang membolehkan kita membuat ‘lepas landas’ (take-off) dalam apa pun bidang kehidupan. Kita dapat membuat ‘lepas landas’ itu kerana leluhur kita juga pernah melakukannya, walaupun secara luaran, modus operandi mereka mungkin berbeza dengan cara kita.

Kesimpulan

Apakah kemungkinan-kemungkinan tahun 1997 dan tahun-tahun mendatang bagi dunia kita yang semakin tua ini dan penghuninya yang sering dipisahkan oleh pelbagai masalah dan prasangka?

Dapatkah saya menulis sajak dengan penuh idealisme 25 tahun dari sekarang sebagaimana sajak ‘Venus Menjelma’ saya tulis 25 tahun yang silam? Atau idealisme saya terhadap manusia dan kehidupan akan hancur pada tahun-tahun tersebut?

Sepanjang 25 tahun yang lalu, idealisme saya turut juga diwarnai oleh sinisme, kekecewaan, kehancuran, malapetaka, kegetiran; dan tidak kurang juga oleh kebahagiaan, keindahan, keluhuran, keyakinan dan ketulusan. Dan saya percaya, 25 tahun yang menjelang ini, ciri-ciri keindahan dan kejelekan kehidupan akan tetap berbaur dan mendatangi saya dan manusia lainnya, walau betapa pun canggih kehidupan yang bakal kita semua lalui ketika itu.

Kata Pujangga Rabindranath Tagore, setiap lahirnya seorang bayi ke dunia, menandakan Tuhan tidak pernah kecewa dengan manusia. Saya yakin Tuhan tidak pernah kecewa dengan apa pun tindak tanduk manusia, namun kata-kata Tagore ini menunjukkan padunya harapan dalam hati manusia: sanggup melahir dan membesarkan anak walau dalam apa pun suasana dunia.

Melihat seorang anak kecil kali pertama melangkahkan kaki ke sekolah, menyaksikan bayi yang pernah anda timang menjadi remaja, mengamati anak-anak anda menjalani perkhidmatan negara, menceburi bidang pekerjaan atau dunia berumahtangga, apa lagi yang berbaur di hati anda, melainkan kesedaran dan harapan dalam melihat pusingan kehidupan manusia. Memang, anda juga pernah terguris oleh kata-kata dan tindakan yang kurang sopan daripada mereka dan anda juga pernah memarahi dan mungkin memukul mereka. Tapi peristiwa-peristiwa itu mendewasakan mereka dan anda, kerana pada natijahnya, anda yakin akan proses yang perlu dilalui oleh tiap seorang daripada kita. Dan betapa pun anda sayangkan keluarga dan sahabat handai anda, anda tidak mampu menjalani proses itu untuk mereka melainkan mereka sendiri menjalaninya dan mahu melakukan perubahan-perubahan dalam kehidupan mereka.

25 tahun dari sekarang, anda juga akan tersentuh melihat kanak-kanak yang didera atau dijadikan buruh paksa; orang tua diabaikan anak-anaknya; saudara yang terpisah jauh dan bertemu semula; manusia yang dikejami perang dan kebuluran; insan daif yang sanggup membantu sesamanya dengan ketulusan dan keupayaan manusia mengkesampingkan kelainan dan prasangkanya demi menolong sesama insan.

Bukan semuanya indah bagai taman-taman mawar atau kelam bagai jelaga malam. Dalam pembauran keduanya, dapat juga kita hidu wanginya mawar dan menjadi ‘remaja’nya perasaan melihat sebutir bintang. Sebagaimana tertera kata-kata ini di sebuah kampung di Britain, yang hampir musnah keseluruhannya semasa Perang Dunia Kedua: ‘Tiada kegelapan yang secukupnya dari seluruh dunia untuk menghilangkan cahaya dari sebatang kandil yang kecil.’

Demikianlah kandil tersebut, harapan secarik yang akan senantiasa gemerlapan di hati insan, dalam menghadapi apa pun kegelapan kehidupan dan zaman. Dan seperti nama kedai yang mengingatkan saya kepada seorang bapa, kenangan silam ini meneguh dan keyakinan saya, seperti kandil itu, ketika saya menyusur dan meredah lorong-lorong dan lalu-lintas kehidupan saya, insya-Allah.

Disiapkan: 1 Januari 1997
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Tersiar : Berita Minggu Singapura
Tajuk Asal: Merenung Tahun Mendatang.

Pesawat AirAsia QZ8501

images[3]imagesLZ0L1Q9A

Sekali lagi kita menerima berita tragedi pesawat, kali ini hilangnya pesawat AirAsia QZ8501, yang menyentak jiwa, setelah dua nahas udara di alami negara jiran kita, Malaysia. Di tengah-tengah berita banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan negara-negara lain, berita ini, pada penghujung tahun 2014, semakin menghibakan kita. Kemungkinan berita baik diterima mengenainya adalah tipis dan kita berdoa semoga keluarga dan semua yang berkaitan dengan penerbangan AirAsia QZ8501 akan tabah dan sabar menghadapi tragedi ini. Kata-kata tidak dapat mengucapkan perasaan terperanjat dan terharu kita, sebagaimana yang kita alami semasa mendengar berita tragedi dua pesawat MAS tahun ini. Dan bagi kita di Singapura, tragedi sebegini mengingatkan kita kepada tragedi yang sama kita alami pada 19 Disember 1997 – setengah jam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Changi, pesawat SilkAir yang membawa 104 penumpang dan anak kapal, terhempas di Sungai Musi, Palembang.

Tragedi tersebut begitu mengharukan kita dan bagi saya, ia memusarkan beberapa persoalan lain berkaitan dengan tanah tumpah darah saya, Singapura, yang saya cintai. Saya yakin, tragedi pesawat AirAsia yang hilang ini akan mengharukan ramai orang, bukan hanya keluarga penumpang dan anak kapal. Kita berasa sedih dan amat terbatas segala usaha apabila sesuatu yang tidak dijangka seperti ini berlaku. Semoga kita lebih menghargai mereka yang terdekat dengan kita dan kemanusiaan bersama kita agar yang menyedihkan ini menjadikan kita insan-insan yang lebih prihatin dan penyayang menerima sesama insan dan makhluk Allah. Amin.

Saya lampirkan sajak panjang yang saya tulis mengenai tragedi pesawat SilkAir yang menimpa Singapura pada 19 Disember 1997. Saya ada juga menulis mengenai tragedi ini dalam ruangan ‘Sri Anggerik’ saya dahulu. Tajuk sajak ini, ‘Dan Air Mata Sepanjang Sungai’, diambil daripada sebaris pantun traditional kita – semoga sajak ini ada manfaatnya kepada pembaca.

Dan Air Mata Sepanjang Sungai

Tiada lagi air mata di sini, ketika kau menyepi,
disalut masa, bagai haba, maya itu berlegar,
mencantas peristiwa, & peritnya bergema, bagai
gempa, lama terlena dalam rekahan bumi, & sedihnya
sentiasa bermukim di hati.

Akukah terdengar lebih daripada jerit hati, pesawat yang
terhempas, di lubuk Sungai Musi, & melihat idealisme itu
berkecai, atau melebihi itu, kutemui secercah harapan, bakat
insan, cinta & ihsan, bagai terbenam di sungai silam?

Dari Palembang, Sriwijaya pernah membina empayar,
dari Palembang, Parameswara lari ke Kota Singa,
dari Bintan, Sang Nila Utama bermuara di Temasik, terlihat
kelibat haiwan tangkas perkasa, berbulu merah, hitam, & putih,
& menamakannya Singapura, terbinalah kuasa di Bukit Larangan,
dengan kisah-kisah Tun Jana Khatib, Nadim, Dang Anum, Badang,
dari lautnya perahu, lancang, tongkang, & armada bertandang,
tapi di tepi Sungai Musi, Palembang, 1997, 19 Disember,
yang ada hanya air mata, terhempasnya pesawat SilkAir MI 185,
meragut 104 nyawa, anak, ibu, bapa, saudara, suami, isteri, kekasih,
& sahabat, mencermin jejak rasa, sebuah pulau, serumpun manusia,
bersama sejarah yang menjaringi kita.

Dalam kampung sejagat kita terlalu kecil,
di tengah teluk & rantau, kita hanya setitik,
yang mengharu kasih, membuhul kekuatan diri,
lalu jejak kita seakan mendera, berderap tanpa jeda,
apakah dengan dabikan dada, sikap serba tahu & angkuh,
akan kita bina sebuah pulau, tersendiri, terpisah, dari
semenanjung & pulau-pulau rempah, atau kitakah semakin
asing akan erti saksama, kerjasama, di perairan dunia?

Ada kesedihan yang melebihi terkorbannya 104 nyawa,
terlalu berharga di mata kita, bagai anak yang dikasihi,
tiba-tiba terpisah, terbiar, kitakah yang seharusnya berani
melihat bintang, tanpa melupai rumput di daratan, atau
kitakah yang belajar menjadi kiasu, enggan peduli, angkuh,
di tengah gelombang teknologi canggih, & terlupa menyebati
makna kasih, sama rata, sama rasa, dengan keikhlasan benar-
benar mengakar & merimbun di jiwa?

Akukah yang semakin merindui, kebersamaan kita,
dalam waktu-waktu sukar & sepi, mengambil air dari
paip munisipal, menghuni di rumah tanpa elektrik,
bermain, bersekolah & berkampung, & membesar
bersama Pamela, Kok Chye, Hock Neo, Yakcob,
Noor Jahan, Izah, Victor, Akhtar, You Hwa, Zaiton,
Lee Lian, Katherine, Boon Howe, Jit Pang, Heng Foon,
akukah masih ingat zaman-zaman itu bersamamu,
dapat susu percuma, bermain bola hentam, rondas,
sofbol, bola jaring, bertanding sukan di kawasan timur,
berbasikal ke perpustakaan dan kedai-kedai buku di
Joo Chiat & Katong, menyanyi ‘Majulah Singapura’
& ‘Negaraku’, mengalami rusuhan kaum, berpisah dari
Malaysia, & kau bertatih membina penakatan, dengan
hanya harapan, kebersamaan, & gigihnya usaha.

Air mata inikah menitis melihat sekitarmu berubah,
Katong yang kucintai, Kampung Melayuku menghilang diri,
& Telok Kurau yang menambat hati, & bagai anai-anai,
dirayapi perasaan kebersamaan ini, & terdengar pula suara
-suara sehala, kasar, pedas, semakin melukai & meminggir,
penghuni pulau.

Yang kutangisi bukan sekadar hilangnya 104 nyawa,
tetapi kita, yang bagai pedagang, hampir menjual segala,
& terlupa erti ihsan, kepedulian, kemanusiaan, kitakah yang
terlalu bangga dengan rasa kemilikan, harta, wang, pangkat,
kedudukan, kelulusan, sedang di hati bergema sepi, dilenakan
MTV, & dalam derasnya perjalanan MRT, kita masih bertadika
menyelami makna budi.

Engkaukah nanti akan turut merasai, kasih yang tersirat ini,
dari Tanjung Bemban ke Tanjong Katong,
dari Bukit Larangan ke Bangunan Parlimen,
atau kitakah yang akan terus terjebak, dalam pelbagai
zero sum game, sedang penghuni pulau membesar,
jaluran kemanusiaan melebar, & kasih ini perlu ditaut,
di luar perhitungan rugi-untung.

Air mata sepanjang sungai, bagaimana dapat kulupakan
sebuah cinta yang tak pernah malap, walau dijadam masa,
dikelar peristiwa, kerana telah kutemui serimbun cintamu,
dalam usaha bersama & getir dulu, ketika kau tiada apa-apa,
kecuali harapan, kegigihan, & kesediaan kita
membina pulau.

Dan air mataku sepanjang sungai,
mengalir lebih deras daripada Sungai Musi,
kerana dalam singkatnya sejarah,
pendeknya beberapa langkah,
aku masih yakin kebolehanmu mengembalikan,
kebersamaan kita, ikhlas, ihsan, & saksama,
& melihat bahteramu, Singapuraku, membelah
samudera dunia.

Ditulis: 20 Disember 1997 – 5 April 1998
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Peribahasa Suku Kaum Peribumi Amerika

1. With all things and in all things, we are relatives. (Peribahasa/P. suku kaum Sioux)

2. The rain falls on the just and the unjust. (P. suku kaum Hopi)

3. I have been to the end of the earth.
I have been to the end of the waters.
I have been to the end of the sky.
I have been to the end of the mountains.
I have found none that are not my friends. (P. suku kaum Navajo)

4. The soul would have no rainbow if the eyes had no tears. (P. suku kaum Minquass)

5. A danger foreseen is half-avoided. (P. suku kaum Cheyenne)

6. They are not dead who live in the hearts they leave behind. (P. suku kaum Tuscarora)

7. There can never be peace between nations until it is first known that true peace is within the souls of men. (P. suku kaum Oglala Sioux)

8. When you have learned about love, you have learned about God. (P. suku kaum Fox)

9. When there is true hospitality, not many words are needed. (P. suku kaum Arapaho)

10. Always look at your moccasin tracks first before you speak of another’s faults. (P. suku kaum Sauk)

Dipetik daripada The Soul Would Have No Rainbow If The Eyes Had No Tears And Other Native American Proverbs, susunan Guy A Zona, 1994.

Sajak ‘Akhirnya (ii)’

Hari ini genap 10 tahun tragedi menimpa kita – Tsunami Lautan Hindi, yang meragut ribuan nyawa dan menjadikan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal. Semoga ingatan kita kepada tragedi ini akan membuhulkan niat kita untuk saling bekerjasama dan membantu satu sama lain demi kebaikan semua warga dunia terutamanya bagi negara dan penduduk yang dilanda ombak perkasa tsunami.

Akhirnya (ii)

Akhirnya yang tersisa hanyalah keterbatasan
hidup nan rapuh & dahsyatnya alam
plat-plat yang bertembung di dasar
memuntahkan gempa & raksasanya gelombang
menghancurkan ribuan nyawa, prasarana,
bagai dendam lama, 40 tahun terpendam
& kita terlalu terkejut, menginsafi kedaifan.

Akhirnya yang tertinggal hanyalah persaudaraan
sesiapa pun yang dihancuri bencana, apa pun
bangsa, negara, ideologi, atau agamanya
kerana dalam sesaat:
setitik air bertukar bencana
setitik air merubah bahagia
& jutaan air mata mengharui kegamaman kata.

Akhirnya yang ada hanyalah kemanusiaan
merentasi bencana, perbezaan, permusuhan,
sepercik bunga api yang harus terus bersinar
disumbui keihsanan kita & rahmat Tuhan.

Ditulis: 26-29 Disember 2004
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

.

Bela Nasib Anak-Anak Mangsa Tsunami

G 1G 2G 4G 3

Seperti Pak Oteh (ruangan ‘Celoteh’, Berita Harian [Singapura], 12 Januari 2005), ramai orang yang Sri kenal juga amat terganggu oleh bencana alam yang melanda beberapa buah negara Asia. Ada yang tak dapat tidur betul; bukan sekadar menitis atau mengalirkan air mata bila melihat gambar dan klip video akibat bencana ini, malah air mata terus berjurai. Ada yang tak ada lagi air mata; terlalu sedih dan terperanjat menyaksikan, walaupun hanya dari kaca TV atau dada akhbar, dahsyatnya bencana ini. Bayangkan gangguan atau trauma yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana ini.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa bencana ini berlaku; walaupun telah diterangkan mengenai perbenturan plat-plat di dasar lautan, terjadinya gempa dan munculnya ombak tsunami, ramai mengaitkannya juga dengan kemungkaran yang dilakukan manusia, sama ada terhadap diri sendiri dan orang lain ataupun terhadap alam. Apa pun pandangan orang, Sri yakin, setiap kejadian itu ada hikmahnya, meskipun kini sukar kita melihatnya. Dan bila kejahatan dilakukan manusia, mereka yang baik juga terpalit dalam menerima padahnya. Sri yakin, yang ditimpa bencana dan yang terlepas daripadanya, semua diuji oleh Allah.

Salah satu gambaran yang menyayat hati ialah melihat mayat kanak-kanak yang disusun rapi atau bergelimpangan, selain melihat wajah kanak-kanak mangsa bencana alam ini. Kita terharu melihat orang-orang dewasa yang dibaham bencana ini, tetapi bila melihat wajah kanak-kanak yang hampir hilang segala-galanya, hati kita amat terguris. Apalah masa depan anak-anak ini?

Dikatakan satu pertiga mangsa bencana tsunami ini adalah kanak-kanak. Ada yang menjadi yatim piatu dengan tiba-tiba dan ramai pula yang kehilangan salah seorang orang tuanya, selain adik-beradik dan rakan sepermainan. Dengan trauma yang dialami mereka, akankah terawat segala penyakit yang ditanggung mereka, zahir dan batin? Akankah keihsanan penduduk dunia berpanjangan untuk sama mententeram dan memantapkan kehidupan kanak-kanak sebegini? Jan Egeland, penyelaras ehwal kecemasan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu/PBB menyatakan jangka masa 5 sehingga 10 tahun diperlukan untuk memantapkan kehidupan mangsa-mangsa yang terjejas, membangun prasarana dan sebagainya. Bagi kanak-kanak ini, beberapa lagi masalah timbul: akankah mereka dimangsai pula oleh sindiket-sindiket tertentu misalnya golongan paedophile, dijadikan hamba seks atau abdi, atau dicabuli oleh mereka yang mengambil kesempatan dari keadaan yang kucar kacir ini? Atau mereka diseludup ke negara-negara tertentu untuk dijadikan anak angkat? Kemungkinan-kemungkinan ini adalah besar, jika pihak-pihak tertentu tidak bersungguh-sungguh menanganinya.

Dalam krisis, ciri-ciri terbaik manusia terserlah, demikian juga ciri-ciri terburuk kita. Dan petualang itu kadangkala boleh berwajah malaikat, walhal berselirat niat jahatnya terhadap mangsa-mangsa tadi mahupun mereka yang ingin membantu. Salah satu keutamaan, Sri rasa, adalah kanak-kanak kerana mereka terlalu terdedah kepada bahaya-bahaya tersebut. Sri berharap bukan sekadar negara-negara terjejas, malah pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan kebajikan akan lebih memberi perhatian mengenai hal ini. Bak kata buku tulisan Hillary Clinton, ‘It takes a village to raise a child’. Kanak-kanak memerlukan semacam kemantapan dalam kehidupan mereka dan ini lebih baik jika diadakan dalam suasana kekeluargaan atau kampung mereka. Ada agensi yang mahu mengambil anak-anak yatim ini sebagai anak angkat, tetapi bagaimana nanti jika kanak-kanak ini membesar dalam suasana dan kepercayaan yang berlainan dengan apa yang dianuti oleh mereka atau ibu bapa mereka? Dan perkara sebegini pernah berlaku misalnya kepada kanak-kanak dari Bangladesh yang juga ditimpa bencana alam satu masa dulu. Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) dikatakan akan membantu kanak-kanak yatim Muslim, walaupun kita belum tahu perinciannya. Mungkin selain membenarkan pengambilan anak-anak yatim secara undang-undang (dengan juga memenuhi kriteria agama yang sama) negara-negara terjejas dan badan-badan kebajikan boleh mengadakan semacam skim ‘anak angkat’, walaupun kanak-kanak tadi tetap menetap di negara asalnya. Perkara sebegini pernah dilakukan, walaupun bukan untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam. Seseorang itu membiaya persekolahan dan penghidupan kanak-kanak tersebut sehingga dia dewasa atau melengkapi pelajarannya. Beberapa mekanisme harus diadakan agar skim ini tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Dan orang yang mempunyai kelebihan, dapat membantu beberapa orang anak angkat sebegini. Yang utama, kanak-kanak tadi mendapat semacam kemantapan kehidupan dan dikelilingi orang-orang yang dia telah terbiasa, mengamalkan budaya dan agama yang sama. Jika sebaliknya, kita mungkin pula mula menanam benih-benih perbenturan di kalangan pelbagai bangsa dan agama.

Kita juga berharap negara dan pertubuhan yang mengikrarkan derma mereka, akan mengotakan janji mereka. Dalam tragedi gempa bumi di Bam, Iran, pada Disember 2003, yang membunuh 31,000 orang, sebanyak 1 bilion diikrarkan oleh dunia, tetapi hanya 17 juta saja yang diberi. Kini beberapa bilion telah pun diikrarkan untuk bencana tsunami; jangan pula ada yang sekadar berlagak kononnya ia lebih dermawan, tetapi tidak mengotakan ikrarnya ataupun melakukannya sekadar ada udang di sebalik batu. Tentunya menyedihkan jika kita menderma bagaikan membuat taruhan atau mengharapkan balasan, sedangkan lebih 150,000* orang telah terkorban dan lebih 5 juta *dikatakan menjadi pengungsi kerana hilang tempat tinggal dan mata pencarian. Mudah-mudahan tragedi ini bukan sekadar menginsafkan kita akan kekuasaan Allah, malah mengingatkan kemanusiaan bersama yang kita miliki, apa pun bangsa, negara dan agama kita.

*Laporan The Straits Times (20 Disember 2014), mencatatkan lebih 226, 000 orang dari Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, tMyanmar, Somalia and Maldives terbunuh semasa Tsunami Lautan Hindi ini dan lebih 1.7 juta orang menjadi pengungsi (refugees/displaced persons).

Ditulis : 12 Januari 2005
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 16 Januari 2005
Tajuk Asal : Kanak-kanak, Bencana Alam dan lain-lain.