Berpulangnya Ibu Saudara Saya, Puteh Abdul Rahman, Lahir: 24 April 1937 – Meninggal Dunia: 24 November 2014

Hari Raya 19701979Ibu dan Anak1985Nenek dan Cucu SulungBusu and CicikAnother Busu and CicikAllahyarhamah Puteh Abdul Rahman

Prolog

Bagaimanakah mengucapkan ‘selamat berpisah’ kepada seorang ibu saudara yang mengenal anda sejak kelahiran anda? Bagaimanakah menerima hakikat bahawa anda tidak lagi dapat menziarahinya, makan, berbual atau berbasa-basi bersamanya?

Dalam masa 8 hari November lalu, saya mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada seorang anak saudara yang saya sayangi kerana dia sekeluarga berhijrah ke negara orang. Ketika rasa kesedihan saya masih belum reda ia disambung dengan berpulangnya ibu saudara saya ke rahmatullah. Dan saya merupakan salah seorang anak saudara yang ibu saudara saya sayangi.

Memang hidup ini lawannya mati dan betapa pun kita sayangi sesiapa, akhirnya kita akan berpisah dengan orang tersebut. Sebagai orang Islam kita reda akan hakikat ini tetapi rasa kesedihan itu masih tetap meruangi hati kita.

Kisah Ibu Saudara Dan Keluarga Berangkai Saya

Saya membesar dan tinggal serumah bersama dua orang ibu saudara, datuk dan nenek saya. Ketika usia saya 3 tahun lebih, pada bulan Oktober 1959, ibu saudara saya berumah tangga. Suaminya saya panggil ‘Busu’ dan mereka dikurniakan 5 orang anak. Saya tinggal serumah dengan keluarga berangkai (extended family) saya ini sehingga usianya 8 tahun dan kemudian ibu bapa saya mengambil saya tinggal bersama mereka. Walaupun menginap di rumah ibu bapa saya, saya sering ke rumah keluarga berangkai saya, malah tidur di sana sehinggalah saya dewasa.

Ibu saudara saya, yang bernama ‘Puteh’ dipanggil ‘Cicik’ oleh abang sulung saya, kerana pelat dan tergandakan panggilan ‘mak cik’. Abang sulung saya merupakan anak saudara pertama ibu saudara saya. Kerana ‘kesilapan’ abang saya ini, kami juga memanggil ibu saudara saya ‘Cicik’. Lantas kekallah panggilan itu tetapi anak-anak saudara saya pula memanggil ibu saudara saya ‘Nek Teh’.

Bagaimanakah kita merangkaikan kehidupan seseorang yang kita kenal tetapi kini telah tiada? Cicik saya hanya manusia biasa, tiada memegang apa-apa jawatan penting dan seperti kebanyakan manusia lain, pernah juga membuat kesilapan. Tetapi seumur hidupnya beliau cuba menjadi anak, adik, kakak, isteri, menantu, adik ipar, ibu, ibu saudara, ibu mentua, besan, nenek dan nenek saudara yang baik. Beliau terdidik di sekolah Melayu dan Inggeris dan pernah bekerja sebagai seorang jurutaip. Orangnya sedikit berat mulut dan mengambil masa untuk mesra dengan seseorang. Kasih sayangnya ditunjukkan dengan memasak makanan kesukaan seseorang dan mengambil berat terhadap seseorang tanpa banyak berkata-kata.

Kisah Sewaktu Kecil Di Sims Avenue Dan Jalan Kobis

Suatu kenangan waktu kecil saya bersamanya semasa Cicik masih gadis ialah pergi ke High Street dan Middle Road bersamanya untuk membeli mainan. Ini dilakukan beberapa kali bila beliau ada kelebihan wang. Gajinya sebagai jurutaip tidaklah seberapa dan tiga suku daripada wang gajinya diberi kepada nenek saya untuk menyara keluarga. Daripada suku gajinya itu pun ada Cicik membantu seorang lagi saudara, berpangkat ibu saudara, yang tinggal di daerah Kampung Gelam. Saya ingat betapa gembiranya saya mendapat mainan pembelian Cicik saya. Satu lagi kenangan ialah ‘membantu’ ibu saudara bongsu saya menjual epok-epok dan kuih yang dibuat oleh nenek dan Cicik saya kerana kebetulan datuk saya yang bekerja sebagai tukang masak di hospital, selalu diberi daging oleh pihak hospital untuk dibawa balik. Banyaknya daging ini menyebabkan nenek dan Cicik saya membuat epok-epok daging untuk dijual. Ini ditambah dengan menjual kuih abuk-abuk.

Walaupun Cicik saya berbapa tiri kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau masih di sekolah rendah lagi, beliau menyayangi dan disayangi oleh bapa tirinya, datuk saya, bagaikan anak sendiri. Satu kisah lucunya dengan datuk saya, Cicik saya meminta datuk saya membelikannya 4 atau 2 pasang kasut jika beliau lulus suatu peperiksaan besar di sekolah. Cicik saya lulus dengan baik dan datuk saya membawanya ke kedai kasut dan membelikan kasut-kasut pilihannya. Cicik saya selalu tersenyum mengingat kisah ini dan betapa sayangnya datuk saya kepadanya. Ketika Cicik saya belajar menaip, datuk saya yang menghantar dan menunggunya pulang kerana datuk saya bimbang akan keselamatannya di waktu malam. Cicik saya berhenti bekerja sebagai jurutaip setelah beberapa bulan berumah tangga.

Saya masih ingat semasa majlis perkahwinan Cicik saya; yang memasak semasa majlisnya ialah datuk saya. Sehari selepas Cicik dan Busu saya bernikah, sayalah orangnya (ketika itu saya berusia 3 tahun lebih) yang mengetuk pintu bilik mereka dan membawakan sabun dan air. Ada gambar saya memasuki pintu mereka yang dirakamkan oleh Busu saya.

Cicik dan Busu saya yang mengajar saya mengenal abjad (A, B, C) pada zaman yang hampir tiada tadika itu. Kebetulan pula ada seorang budak di kampung kami di Sims Avenue (kampung kami terletak di antara Lorong 33 dan Lorong 35 Geylang, Singapura) yang gagal P.S.L.E. (disebut ‘entrance’ pada zaman itu) dan meminta Busu saya, seorang kerani, dan Cicik saya mengajarnya. Lantas bermulalah kelas bimbingan yang amat murah (sekadar untuk membeli peralatan pelajar) untuk beberapa pelajar di kampung kami yang dikendalikan ibu dan bapa saudara saya. Saya pun turut diajar dan saya masih ingat, di akhir tahun, Cicik dan Busu saya mengadakan pesta untuk pelajar-pelajarnya, dan saya serta ibu saudara bongsu saya yang masih di sekolah rendah, tumpang sekaki.

Saya masih tinggal serumah dengan keluarga berangkai saya, pada mulanya di Sims Avenue dan kemudian, di Jalan Kobis, berdekatan Kaki Bukit, apabila 4 daripada 5 orang sepupu saya dilahirkan di rumah. Nenek saya merupakan seorang bidan kampung tetapi pada ketika itu, nenek saya sudah ‘pencen’ dan seorang bidan, yang dipanggil ‘Mak Tik’ yang membidani Cicik saya dan Nenek saya membantu. Ketika sepupu saya yang kelima dilahirkan, saya tinggal di rumah ibu bapa saya dan datang ke rumah ibu saudara saya untuk melihat sepupu bongsu saya.

Di kampung Jalan Kobis yang dihuni pada awal 1960-an itulah Cicik dan Busu saya amat bahagia bergaul dengan orang-orang sekampung. Busu saya aktif mengenai kebajikan di kampung dan bersama rakan-rakan sekampungnya memulakan kelas bimbingan peringkat tadika dan sekolah rendah dan juga majlis maulid dan sebagainya. Cicik saya yang mengajar di kelas bimbingan tersebut, yang kadar bayarannya amat murah. Banyak cerita yang lucu, seram (kisah hantu), dan pelbagai lagi kisah berlaku di kampung Jalan Kobis itu dan cerita-cerita inilah yang selalu dikenang oleh penduduk Jalan Kobis yang terpaksa berpindah dan berpisah pada 1978 dahulu.

Berpindah Ke Flat di Bedok Dan Kenang-Kenangan Di Sana

Pada 1978, Cicik dan Busu saya sekeluarga berpindah ke sebuah rumah pangsa di Bedok North dan ada juga beberapa orang kampung yang tinggal tidak jauh dari flat mereka. Malah ada sekeluarga orang kampung yang membuka restoran berdekatan dengan rumah mereka dan sering juga dikunjungi keluarga Cicik dan Busu saya.

Busu saya pada mulanya menunggang skuter jenis Vespa, lantas ke mana-mana mereka berdua menaiki Vespa – terutama ke rumah ibu mentua Cicik saya di Opera Estate. Lama kemudian ini ditukar kepada motosikal biasa. Kerap juga Cicik dan Busu saya menjengah keluarga saya yang menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Malah, banyak acara keluarga, yang dihadiri dan dibantu oleh Cicik saya sekeluarga, termasuk ibu saudara bongsu saya, yang tinggal bersama mereka. Nenek saya ketika itu tinggal dengan keluarga saya dan pulang ke rumah keluarga Cicik dan Busu saya pada hujung minggu. Semasa ibu bapa saya berpisah pada bulan Jun 1968, keluarga berangkai saya inilah yang sering bersama kami; saudara-mara yang lain amat kurang bersama kami. Sebuah lagi keluarga yang juga sering bersama kami merupakan kerabat terdekat sebelah bapa saya.

Pada 1980, beberapa masalah melanda kehidupan saya; saya terpaksa tinggal di asrama kerana rumah peninggalan bapa saya dijual. Ketika itu saya hampir/baru memulakan pengajian sarjana (M.A.) saya di Universiti Nasional Singapura. Alhamdulillah, banyak yang membantu saya semasa waktu-waktu sukar itu. Dari asrama, saya sesekali pergi ke rumah Cicik dan Busu saya dan tidur di sana pada hujung minggu. Nenek saya juga sudah menetap kembali di rumah Cicik dan Busu saya dan ibu saudara bongsu saya, yang saya panggil ‘Kakak’, memang tinggal di sana. Keluarga Cicik dan Busu saya membuka pintu seluas-luasnya untuk saya sesekali menginap di rumah mereka pada hujung minggu tanpa apa-apa pertanyaan.

Bila pada tahun-tahun 80-an itu seorang saudara saya mempelawa saya menginap di rumahnya, saya setuju. Tetapi, kerana memandangkan keluarga saudara saya keluarga muda dan saya segan, terutama kepada abang ipar saya, saya hanya menginap di rumah mereka pada hari-hari biasa dan pada hujung minggu, saya menginap di rumah Cicik dan Busu saya. Saya akan ke NUS pada waktu pagi dan pulang lewat malam, agar tidak mengganggu kehidupan keluarga saudara saya dan pada malam hari Jumaat atau Sabtu pagi, saya akan ke rumah Cicik dan Busu saya, kalau saya tidak ke kampus pada hari Sabtu (selalunya hari Sabtu pun saya ke kampus). Ini berlangsung sehingga saya mempunyai rumah sendiri pada November 1984.

Yang saya kenang ialah keterbukaan Cicik dan Busu saya sekeluarga membuka pintu rumah mereka untuk saya. Seperti sewaktu saya kecil, pada bila-bila masa saya boleh ke rumah mereka dan seperti biasa, apa pun yang ada, mereka kongsikan dengan saya. Dalam segala kesederhanaan kehidupan mereka saya berasa ‘kaya’ dan mendapat tempat berlindung.

Busu saya dahulu suka membaca maulid dan juga akan membaca tahlil dan khatam Quran serta bertakbir beramai-ramai pada hari terakhir Ramadan. Setelah berpulangnya Busu saya pada April 2003, tradisi membaca tahlil dan bertakbir diteruskan oleh Cicik saya melalui pembacaan anak-anaknya. Saya tidak pernah lupa dijemput untuk bersama mereka. Dan kali terakhir saya bersama keluarga Cicik saya bertakbir Hari Raya ialah pada 4 Oktober 2014 lalu.

Semasa nenek saya masih ada lagi pun, semasa kami pulang daripada bertahlil, berbuka dan bertakbir beramai-ramai pada kedua-dua petang/malam Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, Cicik dan Busu saya akan membekalkan makanan (selalunya nasi beriani) untuk kami membawa pulang. Setelah nenek saya meninggal dunia pada Disember 1991, Cicik dan Busu saya memastikan setiap malam Hari Raya saya dibekalkan dengan makanan setelah pulang bertakbir dan bertahlil di rumahnya, agar pagi Hari Raya saya ada makanan untuk bersarapan. Ibu saudara bongsu saya pula, baik semasa beliau tinggal di Johor Bahru mahupun di Singapura, memastikan saya mendapat juadah Hari Raya seperti ketupat, rendang dan sebagainya pada pagi Hari Raya. Begitu juga dua orang sahabat karib saya sudah bertahun-tahun memberi saya juadah Hari Raya dan kuih-muih Raya untuk makanan saya sendiri. Tentunya saudara-saudara saya berkongsi juadah Hari Raya pada hari pertama Hari Raya apabila kami bertemu selepas waktu maghrib di rumah kakak sulung saya. Cicik dan Busu saya juga memastikan, setelah kematian nenek saya dan ibu saudara bongsu yang kemudian tinggal bersama saya, berumah tangga, agar berbuka walaupun sehari dengan mereka, sebelum hari terakhir Ramadan. Dan walaupun mereka mungkin tiada di rumah kerana menguruskan perniagaan, kedua-duanya memastikan saya berbuka dengan mereka di kedai mereka. Saya tersentuh dengan perhatian-perhatian sebegini. Setelah Busu saya meninggal dunia 11 tahun lalu, saya pula memastikan saya berbuka puasa dengan Cicik saya di rumahnya sekurang-kurangnya sekali sebelum berakhirnya Ramadan, dan pada hari terakhir Ramadan memang secara tradisi, saya berbuka di rumah Busu dan Cicik saya.

Kisah Nenek dan Datuk Saya Dan Makna Persaudaraan

Saya dibesarkan oleh nenek dan datuk saya yang banyak berhubung-kait dengan beberapa orang yang sebenarnya tiada kaitan darah dengan mereka, tetapi dianggap saudara. Ada seorang yang berketurunan Jepun dan dibesarkan oleh keluarga Melayu dan tinggal sekampung dengan nenek saya, kemudian menjadi adik angkat nenek saya. Ada seorang lagi, wanita Tionghoa yang memeluk agama Islam, juga menjadi kerabat nenek saya. Rumah datuk dan nenek saya dahulu, semasa Cicik saya masih muda, di daerah Timur Singapura, sentiasa dipenuhi orang, ada sahaja yang dibantu dan menumpang di rumah mereka dahulu. Mereka bukanlah orang berada tetapi mereka suka membantu mana yang boleh. Nenek saya membesarkan saya dengan menanamkan nilai bahawa mereka yang membesar dengan saya, walaupun tiada pertalian darah dengan saya, adalah keluarga atau kerabat saya dan saya juga diajar agar jangan memandang rendah keturunan seseorang atau berbangga tidak bertempat dengan keturunan sendiri. Tentunya nenek saya juga menerangkan seadanya hukum hakam agama mengenai makna mahram dan sebagainya.

Ada dua perkara yang selalu tidak menyenangkan saya; yang pertama, apabila seseorang yang terlalu berbangga dengan keturunannya seolah-olah keturunan orang lain itu hina. Tentunya kita boleh berasa bangga terhadap apa pun keturunan kita, tetapi biarlah ia berpada-pada dan bertempat. Berbangga bahawa keturunan kita terdiri daripada orang baik-baik, bijak, dan sebagainya tidak menjadikan kita sebaik mereka. Dalam semua kaum dan masyarakat ada orang yang baik dan ada juga yang jahat. Yang kedua, bila orang memandang rendah dan meminggirkan mereka yang diambil sebagai anak angkat, terutamanya apabila anak angkat itu berlainan keturunan daripada ibu bapa angkatnya.

Cicik dan ibu saudara bongsu saya, kedua-duanya merupakan anak angkat datuk dan nenek saya. Mereka diberi kepada datuk dan nenek saya semasa mereka bayi lagi. Cicik saya hanya mengetahui beliau anak angkat semasa hari pernikahannya dan ibu saudara bongsu saya mengetahuinya ketika berusia 12 tahun, apabila beliau harus membuat kad pengenalan. Ibu saudara bongsu saya walaupun sedih bila mengetahuinya, kini lebih terbuka mengenainya dan boleh bersenda perihal keturunan Tionghoa dan status anak angkatnya. Tetapi tidak demikian dengan Cicik saya – ia adalah sesuatu yang menyedihkannya. Dan saya berasa kurang senang apabila ada orang mengetepikan ibu-ibu saudara saya atau sesiapa yang telah diambil sebagai anak angkat, hanya kerana mereka anak angkat. (Sila lihat sajak saya yang berjudul ‘Rahim Fatimah’ yang menyentuh hal ini, dalam blog ini) Seolah-olah segala perhubungan kita dengan orang-orang tersebut tidak membawa apa-apa erti, hanya kerana fakta anak angkat ini. Bak kata ibu saudara bongsu saya, apabila ditanya apakah beliau ingin mencari keluarga kandungnya, beliau enggan, kerana kamilah keluarganya dan beliau bersyukur dibesarkan oleh datuk dan nenek saya sebagai orang Melayu yang beragama Islam. Kalau kitalah keluarga mereka dan mereka tidak tahu atau tidak mahu tahu siapa keluarga kandung mereka, bagaimanakah perasaan mereka, keluarga dan anak buah yang disayangi selama ini mengetepikan mereka kerana fakta yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa?

Kisah Di North Bridge Road Dan Geylang Serai

Pada tahun 2000, Busu saya dan anak-anaknya berpindah sebuah kedai di North Bridge Road, berdekatan Masjid Sultan. Busu saya mula berniaga setelah bersara. Cicik saya gembira ketika berada di North Bridge Road kerana dahulu bapa dan abangnya (berlainan ibu) menginap dan berniaga di daerah Kampung Gelam dan ada beberapa orang kerabatnya yang tinggal di sana. Beliau banyak terkenang zaman silam dan suka menceritakannya kepada saya. Tetapi mereka kemudian berpindah ke Geylang Serai kerana sewa kedai di North Bridge Road dinaikkan secara mendadak. Cicik saya memang membantu Busu saya dalam menjalankan perniagaan berkat dan kad jemputannya; setelah Busu saya meninggal dunia, Cicik saya tidak lagi ke kedai, kecuali sesekali menjenguk anak cucunya serta kawan-kawan lama di tempat beliau dahulu berniaga di Geylang Serai.

Apabila Busu Saya Tiada Lagi Di Sisi

Setelah Busu saya meninggal dunia kerana sakit barah pada 8 April 2003, Cicik saya semakin menyendiri dan sugul. Kesihatannya semakin terganggu. Mereka saling menyayangi dan perkahwinan mereka merupakan ‘love marriage’ atau perkahwinan suka sama suka. Kesihatannya juga terganggu kerana beberapa hal yang tidak diduga.

Saya sering juga menziarahinya dan setelah kematian Busu saya, saya meluangkan lagi masa untuk Cicik saya sama ada bertemu muka atau menelefon. Kesepian Cicik saya bersuara tanpa kata-kata dan saya menghadami rasa sunyinya yang mendalam dengan perasaan hiba. Selalu apabila beliau ingin menghubungi saya, Cicik akan meninggalkan pesanan di telefon rumah saya, jika tidak dapat bercakap dengan saya, dengan ucapan standardnya: ‘Idah, telefon Cicik’, katanya.

Sering juga, bila saya menziarahinya, beliau akan menyiapkan makanan untuk saya, semasa Cicik sihat dan saya juga sering membawa makanan untuknya. Kami sering berbual-bual selepas makan dan Cicik suka bercerita mengenai hal-hal silam, terutama mengenai keluarga dan Busu saya. Saya tahu beliau merindu dan sedih, dan walaupun beberapa kali ceritanya berulang, saya tetap mendengarnya. Apalah yang dapat saya beri kepada ibu saudara yang saya sayangi ini, kecuali mendengar nostalgianya dan kerunsingan hatinya menghadapi beberapa hal semasa?

Kisah Cicik Saya Dan Haiwan Kesayangannya

Cicik saya menyayangi binatang, terutama kucing. Beliau memberitahu saya mengenai monyet peliharaan ibu bapa saya yang kemudian diberi kepadanya semasa beliau masih muda. Semasa itu ibu bapa saya dan keluarga nenek saya tinggal berdekatan. Monyet yang dipelihara itu bernama ‘Cheetah’. Kucing pula menjadi kesayangannya. Cicik suka bercerita mengenai kucing yang dipelihara dan diajak bermain semasa zaman kanak-kanak dan juga setelah berumah tangga. Malah Cicik selalu membawa makanan kucing semasa ke pasar untuk memberi makan kucing-kucing di bawah bloknya dan dalam perjalanannya ke pasar.

Suatu hari, mungkin 2 atau 3 tahun yang lalu, Cicik menelefon saya memberitahu beliau ternampak ikan-ikan kembung yang segar dan cantik di pasarnya dan membelikan untuk kucing-kucing saya. Cicik menyayangi kedua-dua kucing saya, Snowy dan Ginger, dan beberapa kali datang ke rumah saya untuk melihat mereka. Busu saya juga menyayangi kucing-kucing saya. Saya memberitahunya saya akan ke rumahnya untuk mengambil ikan-ikan itu dan membayarnya tetapi beliau tidak membenarkannya dan akan membawa ikan-ikan tersebut ke rumah saya dengan menaiki bas. Jarak rumah Cicik saya di Bedok North hanya 3 perhentian bas dari rumah saya di Bedok South. Apabila sampai, ikan-ikan kembung itu telah pun dibersihkan dan saya merebusnya untuk kucing-kucing saya. Cicik saya duduk sekejap bermain-main dengan kucing-kucing saya dan kemudian beliau mahu pulang. Saya ingin menghantarnya dengan menaiki teksi, tetapi Cicik saya tidak membenarkan. Saya menghantarnya ke lif dan kemudian bergegas ke tingkap bilik belakang saya. Bila melihat Cicik saya berjalan dengan bertongkatkan payung di halaman berhadapan flat saya, saya memanggil dan melambainya. Cicik saya menoleh dan membalas lambaian saya. Beliau berjalan perlahan dan saya perhatikan sehingga beliau menyeberang jalan. Saya benar-benar tersentuh beliau bersusah-payah membawakan ikan-ikan kembung untuk kucing-kucing saya. Dan saya lebih terharu, melihat kesihatannya yang merosot dan beliau berjalan dibantu payung panjang sebagai tongkat tetapi masih bersemangat merdeka, mahu berjalan sendiri. Cicik saya tidak dapat melihat tetapi air mata saya tidak putus mengalir ketika beliau menoleh dan melambai balik kepada saya dan ketika saya memerhatikan beliau berjalan dan menyeberang jalan.

Beberapa Kisah Lain

Suatu hari ketika menziarahinya, Cicik saya tiba-tiba berkata: ‘Idah tahukan Mak (nenek saya) tak ada anak?’ Saya tahu maksud Cicik saya tetapi saya sengaja tidak menjawab, hanya tersenyum sahaja dan memegang bahunya. Saya yakin, kalau Cicik saya bersedia, beliau akan terus bercakap mengenai hal ini, tetapi jika saya menyoalnya, besar kemungkinan hatinya akan semakin terguris. (Cicik saya pernah menangis apabila seorang anaknya secara bergurau berkata: ‘Mak kan orang Cina.’) Kami kemudian bercakap mengenai hal-hal lain. Semasa pulang, saya mencium tangannya dan memeluknya, dan kemudian saya berkata: ‘Cik, you’re my aunty, and you will always be my aunty.’ Semasa turun dari flatnya dan dalam perjalanan pulang ke rumah saya, saya menangis.

Tahun lalu (2013) saya dijengah barah. Apabila mamogram pertama saya menunjukkan ada yang tidak kena (irregularities) dan saya harus membuat mamogram lanjutan dan sebagainya di Pusat Barah Kebangsaan Singapura (National Cancer Center Singapore/NCCS), Cicik lah orang kedua yang saya beritahu, setelah memberitahu ibu saudara bongsu saya. Ketika itu Cicik saya sudah mulai sakit-sakit dan kemudian, dimasukkan ke hospital. Kerana keadaannya beliau tidak dapat menangkap seriusnya keadaan saya. Sebelum keputusan pihak NCSS mengenai tumor payu dara saya diumumkan, saya menziarahi ibu saudara saya di hospital tetapi kami tidak bercakap kerana beliau tidur. Setelah disahkan tumor saya yang sebesar 12 sentimeter jenis phyllodes itu bertahap borderline/borderline-malignant (tumor barah payu dara jenis phyllodes ini amat jarang berlaku dan mempunyai 3 tahap sahaja – benign, borderline/borderline malignant dan malignant) dan setelah menjalani pembedahan dan pulih, saya menziarahi ibu saudara saya. Beliau belum begitu sihat setelah ke hospital dan bertanya saya: ‘Idah, bisul Idah dah baik?’ Saya tersenyum dan menjawab: ‘Dah baik, Cik.’ Apabila kesihatannya bertambah baik sedikit barulah ibu saudara faham ‘bisul’ apa yang saya hadapi.

Selalunya sebelum ke rumahnya saya akan bertanya apa-apa yang beliau ingin makan atau belikan. Dahulu Cicik saya suka membaca majalah Wanita atau Jelita dan juga majalah-majalah mengenai masakan. Masa mudanya Cicik saya suka membuat kek dan beliau gemar memasak sehingga ke akhir hayatnya. Rancangan TV yang gemar diikutinya merupakan rancangan masakan dan berita di saluran Suria dan rancangan ‘Adik-adikku’ di RTM1 dan rancangan radio pula, rancangan agama selepas solat subuh di Radio Warna. Tetapi bila corak majalah-majalah wanita lebih tertumpu untuk orang muda dan Cicik saya mulai sakit-sakit, majalah-majalah ini tidak mahu lagi dibacanya dan saya pun tidak lagi membeli untuknya, kecuali sesekali membelikannya majalah masakan. Cuma makanan yang saya selalu bawa untuk Cicik saya tetapi makannya selalu sedikit sahaja.

Sehari dua sebelum Hari Raya Haji yang lalu (Hari Raya Haji yang lalu jatuh pada 5 Oktober 2014 di Singapura), saya menelefon Cicik saya bertanya khabar dan memberitahu saya akan ke rumahnya. Saya bertanyanya, ada apa-apa yang boleh saya belikan. Cicik saya teringin makan sup kaki dan saya belikan untuknya. Saya berbuka puasa bulan Zulhijah di rumahnya dan beliau memakan lebih sedikit sup kaki yang saya bawa. Seperti biasa, selepas makan dan solat maghrib, kami beredar ke sofa dan Cicik saya bercakap-cakap dengan saya. Banyak nostalgianya dan saya mendengarnya seperti biasa.

Petang menjelangnya Hari Raya Haji, saya ke rumahnya. Kami bertakbir dan kemudian makan bersamanya dengan sejumlah anaknya sekeluarga. Melihat badannya yang semakin susut dan kesihatannya yang merosot, saya terasa bahawa Hari Raya kali ini mungkin merupakan Hari Raya terakhir ibu saudara saya akan bersama kami. Saya pulang ke rumah saya, pada malam Hari Raya itu sekitar 9 malam.

Kesihatan Cicik Saya Merosot

Beberapa hari selepas Hari Raya Haji, saya menelefon Cicik saya – saya tahu ada perkara yang mengganggunya tetapi saya hanya bertanya khabar seperti biasa. Beliau bercerita seperti biasa tetapi nada suaranya rendah dan bercampur kesedihan. Tidak lama selepas itulah beliau dikejarkan ke hospital. Pada mulanya darah di kakinya membeku dan ‘filter’ dimasukkan ke kaki kanannya. Kemudian beberapa komplikasi lain dikesan. Selama lebih kurang sebulan Cicik saya keluar masuk hospital beberapa kali dan sebilangan anaknya sekeluarga menjaga dan tidur di hospital menemaninya. Bila kembali ke rumah, ada seorang jururawat/penjaga kesihatan profesional menjaganya selain sebilangan anaknya sekeluarga juga turut menjaganya.

Pada 17 November lalu, ibu saudara saya dibawa pulang ke rumah kerana para doktor tidak boleh lagi berbuat apa-apa. Beliau menghidap barah usus tahap 4 dan ia merebak. Sebilangan anak cucu, ibu saudara bongsu saya selain jururawat yang datang pada masa tertentu, menjaganya 24 jam sehari. Ahli keluarga terdekat, termasuk kakak iparnya, turut membacakan ayat-ayat al-Quran untuknya. Semua kehendaknya dan penjagaannya dikendalikan oleh sebilangan ahli keluarganya. Anak buahnya di luar negara ada yang menziarahi, menelefon dan menghantar pesanan ringkas menanyakan khabar dan mendoakannya. Dua orang anak sahabat baik dan bekas rakan sekerja arwah suami Cicik saya (Busu saya – beliau dan Haji Narawi sama-sama bekerja di Sime Darby di Singapura dan Sarawak dan Haji Narawi pernah dilatih di Singapura) sejak tahun 60-an dahulu iaitu keluarga Allahyarham Haji Narawi, sempat menjengah Cicik saya di rumah dalam kesibukan mereka mengadakan majlis perkahwinan di Sarawak.

Sejak ibu saudara saya pulang ke rumah, saya menziarahinya setiap hari kecuali satu hari yang saya benar-benar berhalangan; semasa di hospital saya berselang sehari dua menziarahinya. Pada 23 November lalu saya menziarahi Cicik saya pada waktu malam, sebelum solat isyak. Seperti biasa, saya membacakan ayat-ayat syifa, surah-surah al-Quran dan berzikir untuknya. Saya pulang sekitar 2 pagi, 24 November lalu.

Berpulangnya Ibu Saudara Saya

Pada 24 November sekitar 3 lebih petang, anak saudara saya menelefon saya memberitahu neneknya sudah tidak lagi bernafas. Beberapa jam sebelum itu Cicik saya menyebut beberapa nama ahli keluarga, termasuk nama saya. Selepas ini reda, sedang sepupu saya berehat, ibu saudara saya memanggil anaknya: ‘Mat, bacakan Mak’. Sepupu saya membacakan ibunya surah-surah al-Quran dan ibu saudara saya menyambutnya dengan menyebut ‘Subhanallah’ dan ‘La ilaha illallah’. Apabila sepupu saya berhenti membaca, ibu saudara saya menyuruh anaknya meneruskan pembacaaan surah-surah al-Quran dan beliau menyambut lagi dengan menyebut ‘Subhanallah’ dan ‘La ilaha illallah’. Kemudian beliau tidur – tidur yang amat tenang, setelah lebih sebulan tidurnya tidak tenang. Jururawat yang turut menjaga berkata Cicik saya tidur dengan tenang sekali. Dalam tidur yang tenang itu, ibu saudara saya menarik nafas panjang dua kali, dan nyawanya berpisah daripada jasad. Jururawat yang menjaganya, menangis. Berpulangnya ibu saudara saya ke rahmatullah disaksikan oleh anak, menantu dan seorang cucunya serta jururawat yang menjaganya. Cicik saya berusia 77 tahun.

Saya berjanji kepada diri saya bahawa selagi saya sihat, saya ingin membersihkan, memandikan dan mensolatkan jenazah kedua-dua ibu saudara saya, bila tiba masanya. Saya dapat melakukannya untuk ibu saudara saya pada 24 November dan 25 November lalu. Sekarang nama seorang lagi saya tambah dalam senarai al-Fatihah dan lain-lain yang saya hadiahkan kepada mereka yang telah berpulang ke rahmatullah, selepas solat saya dan masa-masa tertentu.

Ibu saudara saya sudah selamat ke alam barzakh. Walaupun sedih, saya dan keluarga terdekat Allahyarhamah reda bahawa sakitnya tidak berpanjangan kerana barah usus dikatakan lebih menyakitkan daripada barah paru-paru, misalnya. Dan saya bersyukur, keluarga terdekat ibu saudara saya menjaganya dengan baik dan akhir permintaan dan kata-kata ibu saudara saya adalah ayat-ayat al-Quran dan zikirnya kepada Allah.

Epilog

Buat masa ini, bila terkenangkan Cicik saya, air mata saya mudah mengalir, sebagaimana perkara yang sama berlaku kepada keluarga terdekatnya yang lain. Saya hanya mampu menghadiahkannya al-Fatihah dan surah-surah al-Quran sahaja. Bagi saya, Allahyarhamah adalah ibu saudara saya, dunia dan akhirat, walaupun dari segi biologi tiada pertalian darah saya dengan ibu saudara saya. Shakespeare pernah berkata mengenai ‘the milk of human kindness’ – bagi saya, yang menghubungkan saya dengan ibu saudara saya sekeluarga dan ibu saudara bongsu saya serta beberapa ahli keluarga saya yang merupakan anak angkat ialah ‘the blood of human kindness, care and love’ – itu lebih bermakna dan teguh kerana ia bukan satu kebetulan tetapi satu pilihan yang sedar.

Dalam hidup ini kita hanya menumpang kasih kepada beberapa makhluk Allah yang Allah izinkan kita untuk bertemu, menyayangi dan disayangi mereka. Kita bertuah kerana dalam menjalani kehidupan ini, ada yang menyayangi kita, buruk dan baiknya kita, tanpa bersyarat. Saya bertuah kerana mempunyai Cicik dan Busu sedemikian, ibu saudara bongsu saya yang saya panggil ‘Kakak’ dan juga beberapa orang lain dalam kehidupan saya. Allah sahaja merahmati mereka semasa hayat mereka di dunia mahupun setelah berpulangnya mereka ke rahmatullah, insya-Allah. Keluarga ibu saudara saya, adiknya iaitu ibu saudara bongsu saya, kakak iparnya dan anak buahnya tentu mempunyai pelbagai lagi kenangan dengan Allahyarhamah.

Semoga Allah memberi ketenangan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga ibu saudara saya yang ditinggalkannya. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu saudara saya, Puteh Abdul Rahman, dan suaminya, Busu saya, datuk dan nenek saya, ibu bapa saya serta semua kaum Muslimin dan Muslimat yang telah berpulang ke rahmatullah dan menjadikan mereka orang-orang pilihan-Nya yang ditempatkan di syurga. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 1 – 2 Disember 2014 Masihi/8 – 9 Safar 1436 Hijriah
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s