Sajak ‘Kenangan 27 Disember 2007’

Ibu Isma Pensyarah Di Jabatan Sastera  Universiti Brunei DarussalamMakan Bersama Ibu Isma, Pak Supomo dan Pak Nasrul di Brunei

Kenangan 27 Disember 2007
(Mengenang Ibu Isma Nasrul Karim)

Kuterima surat berdaftar dari Padang tengah hari itu
“Buku-buku Rasiah sudah diterima, tapi Bapak minta ampun,
Bapak terlalu pilu, sesiapa pun tidak Bapak beritahu:
Ibu Isma sudah meninggal Ramadan/September lalu.”

Aku terperanjat, terharu, & menangis melulu
menyesal kerana tidak menghubungi Padang lebaran lalu
sedih kerana tidak sempat ke sana seperti rancanganku
pilu kerana masa-masa bersamanya sudah berlalu.

Aku terkenang masa-masa kita bertugas di Brunei
bersama di Jabatan Sastera, bersama pelbagai masalah
aku terkenang melawatnya di Padang setelah bersara
gembiranya dia & Pak Nasrul, mengobrol & berwisata
atau sekadar berehat-rehat di Jalan Raden Saleh, rumahnya.

Aku teringat pesanannya tika masalah-masalah melanda,
“Usah bimbang bila jujur, walau ada yang bermain silap mata.”
Aku terkenang panggilan telefonnya dari rumahnya di Jalan Muara*
untuk menikmati masakan nasi padangnya atau berbuka puasa
atau bersantai-santai dengan kawan-kawan dari Indonesia, Malaysia.

Kutangisi pemergian seorang sahabat
yang menganggapku bagai keluarga, anak saudara,
lembutnya mengajar
simpatinya menyabar
kejujurannya penawar
dalam suka-duka di rantau
& kuingat pesanannya setelah bersara:
“Selalulah membaca Al-Quran, Rasiah,
selalulah ingat kepada-Nya.”

Dalam keharuan itu, malamnya tersiar berita menyentak
di Rawalpindi, Benazir Bhutto mati ditembak
aku terkejut & teringat bukunya Daughter of the East
bangganya aku ketika dia menjadi pemimpin
tetapi ini kemudian mencair bila kuketahui kecuaian,
rasuah, pilih kasih, pembinaan dinasti & ego
sakan permainan pemimpin dari benua kecil.

Ibu Isma bukan pemimpin besar
bukan Benazir Bhutto
bukan Indira Gandhi
bukan Sheikh Hasina
bukan Khaleda Zia
tetapi manusia kecil yang besar jiwanya
membina manusia
membina bangsa
di Malaysia, Brunei, Indonesia,
dengan ilmu & kejujurannya
tanpa menggadaikan maruah
tanpa menumpuk harta
tanpa menyeksa sesamanya.

Kutangisi pemergianmu, Ibu Isma,
kerana bersihnya hatimu yang ikhlas & reda.

*Jalan Muara di Negara Brunei Darussalam.

Ditulis: 27 Disember 2007 – Januari 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s