Usah Dinodai Kediaman Kita

Semasa anak saudara Sri bernikah di Jamiyah, Lorong 12, Geylang, selepas maghrib pada Disember lalu, sesuatu yang memeranjatkan Sri berlaku. Bukan, bukan pada majlis pernikahan itu dan jamuan makan malam yang diadakan, tetapi setelah kami ingin pulang ke rumah. Sekitar lebih 10 malam itu, Lorong 12 bertukar wajah. Dalam bangunan Jamiyah, terasa ketenangan ciri-ciri keislamanannya; di luar, dengan pakaian menjolok mata, banyak pula kupu-kupu malam berkeliaran mencari pelanggannya. Sri telah beberapa kali pergi ke Jamiyah semasa remaja dan awal dewasa dahulu dan Lorong 12 di waktu malam ketika itu tidak pula disilaukan oleh kehadiran kupu-kupu malamnya. Mungkin kini taman-taman kita terlalu gemerlapan pada waktu malam, lantas banyaklah kupu-kupu malam dan sekutunya berpesta pora.

Sri teringatkan kisah ini semasa membaca surat pembaca di akhbar The Straits Times yang merungut mengenai perubahan yang berlaku di Katong, di beberapa lorong di Geylang dan juga kisah-kisah di Joo Chiat Road. Kita tahu di beberapa tempat di Singapura ada daerah-daerah merahnya, tetapi kalau ini merebak ke tempat-tempat kediaman kita, kesannya tentulah kurang menyenangkan bagi pembangunan masyarakat kita. Sri percaya kita bukanlah orang-orang yang lurus bendul yang menganggap gejala ini tidak pernah wujud dalam masyarakat kita, tetapi membiarkan gejala ini merebak sesukanya juga adalah semacam harakiri bagi masyarakat kita. Sebab itu Sri sokong apa yang dilakukan oleh penghuni di Joo Chiat yang bertindak untuk menjadikan daerah mereka sebuah kediaman, bukan sarang rumah urut, ktv lounge, hotel bajet dan seumpamanya. Sekadar berjalan di Joo Chiat Road kerana nak beli barang atau singgah bersolat di Masjid Khalid, hati kita boleh jadi tak sedap. Sebelum sampai ke tempat tujuan kita, sekitarnya disesakkan oleh anasir-anasir yang kurang menyenangkan. Seolah-olah hilang sudah segala kenangan kita di tempat-tempat tersebut semasa ia lebih sebagai tempat-tempat yang selesa.

Bagaimana kalau Katong dan beberapa tempat kediaman kita semakin digelapi gejala kurang sihat ini? Akankah kita semakin kehilangan ruangan untuk berasa selesa, seolah-olah kitalah yang mundur dan tidak pandai melihat dan mempergunakan peluang perniagaan? Tapi apalah ada pada keuntungan perniagaan sebegini jika risiko sosialnya begitu besar bagi anak-anak dan keluarga kita? Dan Sri selalu teringat kata-kata yang ramai di kalangan kita sudah sedia maklum: mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kalau gejala-gejala sebegini dianggap ‘biasa saja’, sama ada yang dipamerkan di depan kita atau melalui media cetak dan elektronik, pakai nampak akhirnya nanti negara kita yang dikenali bersih dan berkepiawaian yang tinggi, akan turut dijejas umpama titik-titik nila pada susu sebelanga. Dan lama kelamaan, kalau kita semakin lewa, negara kita yang mahu menjadi pusat kewangan (termasuk kewangan Islam), kesihatan, pendidikan dan kota keserlahan (renaissance), hanya sekadar impian sahaja kerana gejala-gejala negatif dari zaman Raffles, Crawford sehingga awal tahun-tahun 60-an dahulu, masih bermaharajalela. Dan gejala-gejala ini termasuklah sarang kupu-kupu malam, samseng, candu, perjudian dan sebagainya.

Apalah ada pada sebuah tempat, anda mungkin akan berkata. Kalau satu tempat dah jadi sarang-sarang negatif ini, masih banyak lagi tempat lain untuk kita huni. Tapi negara kita ini bukanlah besar sangat. Pusing sekeliling, akhirnya bertemu orang yang sama juga di sekitar kita. Bukan ada gunung atau hutan belantara untuk kita menyorok diri. Demikian juga kalau gejala-gejala negatif ini kita biarkan ia boleh saja membunuh sel-sel darah putih (pertahanan) kita dan bukan pula menguatkan sistem keimunan kita. Yang merana nanti ialah seluruh badan/negara kita.

Sri sayangkan daerah Katong dan beberapa tempat di Singapura. Sebahagian besar kehidupan Sri berpusar di beberapa daerah kenangan ini. Dan anda juga pasti mempunyai kenangan sedemikian di beberapa daerah yang lain. Ada beberapa tempat kita terpaksa lepaskan walaupun hati kita sayu bila melintas di daerah baharunya. Dan lebih sedih hati kita bila perubahan di daerah lama kita bukan pula sesuatu yang lebih baik tetapi sebaliknya. Katong, misalnya, bukan pula satu daerah baharu di Singapura. Semasa Raffles datang ke Singapura pada 1819, dia meminta daerah dari Sungai Singapura sehingga ke Katong untuk dijadikan loji bagi Kompeni Inggeris. Dia dapatkan lojinya, tetapi tidak sampai ke Katong. Jadi Katong memang telah sedia ada sebelum kedatangan Raffles. Dan sejak dulu, Katong lebih santai tempatnya dan dihuni oleh pelbagai bangsa: Melayu, Baba Peranakan/Cina, Serani, India, Arab, Yahudi, Armenia dan lain-lain. Di Lorong tempat Sri membesar dulu terdapat rumah-rumah jenis rumah panggung Melayu, rumah banglo, rumah sebuah (satu tingkat), rumah teres dan juga rumah berek. Tiada rumah melebihi dua tingkat, tiada kondominium dan perniagaan kecil-kecilan memang ada tetapi yang lebih besar, hanya di tempat-tempat tertentu saja. Dan perniagaan-perniagaan itu bukan pula daripada jenis yang menimbulkan kegusaran. Bagaimana nanti jika Katong dan banyak lagi daerah-daerah kediaman kita semakin dirayapi anasir-anasir yang tidak sihat? Nanti terpaksa kita tukar pantun lama kita; kata Usman Awang pada tahun 70-an dulu: Tanjong Katong airnya tidak lagi biru, kini kita terpaksa menambah: di Tanjong Katong, banyaknya ‘taman-taman’ baharu dan kupu-kupu!

Kita sering mahukan anak-anak kita berakar di negara ini dan penghuni-penghuni lama kita selesa untuk terus menetap di sini. Yang mengakarkan kita bukan lampu-lampu neonnya tetapi semacam keselesaan bahawa daerah inilah milik kita bersama tanpa dijejas anasir-anasir liarnya.

Ditulis: 6 April 2005
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 10 April 2005
Tajuk Asal: ‘Kebersihan’ Tempat Kediaman Kita.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s