Alangkah Baiknya Jika Ciri-Ciri Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street Dikekal*

Kampung Gelam 2Kampung Gelam 1

Ramai di kalangan kita pergi bercuti semasa cuti sekolah baru-baru ini. Tempat-tempat yang kita kunjungi tentunya sedikit berbeza daripada negara kita sendiri. Kalau semuanya sama, buat apalah kita ke luar negara, ya?

Sri terkenang-kenang mengenai kenangan dan pelancongan sejak beberapa lama ini. Negara kita memang menjadi tumpuan pelancong dan sebahagian sumber pendapatan kita berhubung rapat dengan pelancongan. Bayangkan jika apa yang para pelancong dapati di sini sama seperti di negara mereka, akankah mereka ke mari? Mestinya ada sesuatu yang unik yang menarik minat mereka dan keunikan itu boleh didapati daripada kepelbagaian kaum, budaya, tumpuan tempat, kegiatan dan corak perniagaan yang diceburi setiap kaum tadi. Kalau semuanya sama, apa pula yang unik, ya?

Ada beberapa buah daerah di Singapura yang amat Sri sayangi dan berharap jika adapun perubahan di daerah-daerah ini, janganlah sampai menjejas imejnya yang unik. Bukan, bukan daerah Orchard. Bagi Sri, banyak tempat di dunia ini boleh mengingatkan Sri pada Orchard, baik dari segi bangunan, perniagaan mahupun hiburannya. Orchard bukan tempat kenangan, tapi sekadar untuk membeli-belah, makan-makan dan berhibur. Hati Sri tak terpaut dengannya, sama seperti jiwa Sri selamanya tidak akan mengakarinya. Tapi jika anda bercakap pasal daerah-daerah Geylang Serai, Katong/Telok Kurau, Kaki Bukit/Kampung Batak dan Kampung Gelam/Kampung/Jawa/Arab Street, lain pula perasaan Sri. Demikian juga sebahagian orang Singapura yang sama terasa perasaan begini bila bercakap pasal Chinatown, Serangoon, dan sebagainya. Ada sesuatu yang unik di tempat-tempat ini, dan kalau boleh, kita mahu ia tidak akan berubah dan diubah masa untuk selamanya.

Daerah Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street memang unik dalam peta sejarah Singapura mahupun kenangan peribadi kita. Tempat ini menjadi tumpuan orang Islam dari pelbagai keturunan; ia juga menjadi tempat perniagaan Melayu daripada pengusaha emas, tembaga, berlian, batik, rotan, perubatan tradisional, makanan, pakaian, minyak atar, kayu-kayan tradisional, capal, songkok, kelengkapan haji dan perkahwinan serta pelbagai perniagaan Melayu yang besar mahupun kecil-kecilan. Juga daerah ini menjadi tempat persinggahan haji dari pelbagai pelosok Nusantara, lantas dikenali juga sebagai ‘Kampung K(H)aji’. Dalam dunia penerbitan, di sinilah juga penerbitan Melayu bercambah bukan hanya pada abad ke-20 malah sebelum itu. Malah beberapa pertubuhan yang penting pada akhir abad ke-19 dan abad ke-20 didirikan di daerah ini. Wujudnya Masjid Sultan dan Istana Kampung Gelam menanjapkan lagi kedudukan daerah ini bagi masyarakat kita.

Bila Sri ada masa lapang, Sri suka ke daerah Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street. Mungkin, seperti yang dilagukan, tiap lorong di daerah ini seolah-olah memantulkan kenangan. Sri teringat semasa zaman kanak-kanak dan remaja sering dibawa oleh nenek Sri ke daerah ini. Nenek Sri dulu lama berulang-alik di daerah ini dan ketika itu mempunyai ramai sahabat dan saudara di sana. Salah seorang datuk Sri pernah mempunyai perniagaan runcit di sana dan seorang pak cik Sri pula membuka perniagaan barang-barang elektronik di Kampung Jawa. Yang Sri ingat ialah melalui rumah-rumah berek dua tingkat; di sana sini terdapat peniaga Melayu. Ada kedai perabot, ada pengukir batu nisan, ada yang menggiling cili/jerganan, ada menyiapkan mi siam, pendek kata banyak gerakan dan aroma yang demikian unik di daerah berkenaan.

Nenek Sri selalu ke rumah saudaranya di sana, selain menjenguk pak cik Sri di kedainya. Rumah itu pun bagi Sri agak unik dan bagaikan penuh misteri. Hanya setelah dewasa baru Sri tahu, bersebelahan rumah saudara Sri itu, P.Ramlee dulu selalu berlatih main saksafon ke biola. Dan dispensari doktor Sri juga terdapat di Kampung Jawa; bayarannya sedikit mahal tetapi mujarab untuk Sri. Kini, bila Sri ke Kampung Gelam, sebahagian daripada kenangan ini telah tiada. Namun, Sri tetap gemar mengunjungi daerah ini. Terdapat kedai-kedai makanan Islam yang sedap-sedap; selain itu masih terdapat peniaga-peniaga Melayu/Islam yang menjual pelbagai barangan dan menawarkan berjenis-jenis perkhidmatan. Ada semacam tarikan di daerah ini; ia mengingatkan kita kepada Singapura pada suatu zaman dengan peniaga-peniaganya yang ramah, cara perhubungan yang kurang tergesa dan gaya hidup yang sopan dan mesra. Dan yang Sri suka, masih terdapat peniaga-peniaga kecil, daripada tukang gunting rambut di tepi kaki lima, penjual kitab atau teh sarbat, masih tetap mendapat tempat. Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street masih tetap menerima peniaga kecil kerana daripada merekalah ia bermula. Dan setiap pengunjung tahu, dia tidak akan disisihkan bila di Kampung Gelam.

Membaca mengenai pelbagai pembangunan yang akan berlaku di Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street, hati Sri mula berkata-kata. Alangkah baiknya jika sebahagian besar ciri Kampung Gelam/Kampung Jawa/Arab Street ini dikekalkan di mana peniaga-peniaga Melayu/Islam masih mendapat tempat. Dan gedung-gedung besar tidak pula menggantikan bangunan-bangunannya yang unik sehingga yang ditemui sekadar pusat beli-belah seperti di Orchard dan Kampung Kaji Sri dibayangi kelab malam, lounge dan karaoke bar dan hilang pula jati dirinya yang unik?

*Tajuk yang diterbitkan Berita Minggu Singapura dan juga rencana Sri Anggerik saya hanya menyebut ‘Kampung Jawa/Arabt Street’ sahaja tetapi kini saya masukkan ‘Kampung Gelam’ sederet dengan Kampung Jawa/Arab Street kerana nama ‘Kampung Gelam’ lebih menyeluruh merangkumi kawasan tersebut.

Ditulis : 21 Mac 2001
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 25 Mac 2001
Tajuk Asal: Sepanjang Jalan Kenangan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s