Beberapa Keprihatinan Kita

Beberapa kejadian di sekitar kita menimbulkan kesedihan, kegusaran dan juga kemarahan kita. Kisah penyerangan dan tebusan sebuah kafe di Sydney, pembunuhan di sebuah sekolah di Peshawar, Pakistan, pelbagai kisah ISIS, Boko Haram dan beberapa kisah yang lain selalu menyentak dan menyayat hati kita. Tentunya sebagai manusia biasa, apalagi seorang Muslim, kita tidak menyetujui tindakan-tindakan begini. Kita memaklumi orang-orang yang bertindak begini sebenarnya tidak menghayati makna sebenar Islam dan/atau didalangi pihak-pihak tertentu yang ingin mencemarkan nama baik Islam. Secara rasional, kita tahu tentunya tindakan mereka tiada kena mengena dengan agama suci kita tetapi perbuatan mereka bak nila setitik yang merosakkan sesusu sebelanga. Kita dan masyarakat dunia mudah-mudahan dapat sentiasa membezakan perbuatan jahat orang-orang dan kumpulan-kumpulan tertentu dengan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dan kita juga seharusnya prihatin dan saksama bahawa semasa kita mengutuk tindakan-tindakan kejam dan tidak berperikemanusian kumpulan dan individu militan ini, kita juga harus memaklumi di Gaza dan beberapa tempat, penghuninya masih dizalimi dan ditindas dan sebilangan penduduk dunia akan terus mengharungi pelbagai kesukaran di negara mereka sendiri atau terpaksa menjadi pelarian di beberapa negara kerana peperangan dan kekejaman yang berterusan. Bersikap seperti burung kakak tua yang hanya menyuarakan apa yang ingin didengar pihak-pihak tertentu, tanpa kajian dan keprihatinan yang jujur dan mendalam atau seperti burung kasuari yang menyembunyikan kepala di tanah dan menganggap perkara-perkara ini tidak berlaku, tidak akan menyelesaikan masalah-masalah sebegini. Mudah-mudahan pelbagai punca masalah sebegini akan ditelesuri dengan mendalam, jujur dan saksama dan dicari jalan-jalan penyelesaiannya.

************************************************************************

Berita Harian Singapura (16 Disember 2014) menyiarkan pemergian salah seorang seniman perfileman kita, Mustapha Maarof, pada 15 Disember lalu. Hati kita sayu menerima berita ini, sama sayunya hati kita mendengar pemergian Iskandar Mirza Ismail, Jamil Sulong, Aziz Sattar, Sharifah Aini, M. Ismail, A. Ghani Hamid, Kartina Dahari dan Kassim Masdor pada tahun ini. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di syurga. Amin.

*************************************************************************

Berita Harian Singapura (15 Disember 2014) juga menyiarkan masalah peniaga mapan di Kampung Gelam dan masalah ini berkaitan dengan beberapa masalah yang lain. Yang menjadi perhatian kita bukan hanya peniaga-peniaga mapan kita menghadapi masalah meneruskan perniagaan mereka di Kampung Gelam, malah, daerah yang bersejarah ini semakin ditulari anasir-anasir yang kurang sihat – penjualan minuman keras tidak jauh dari Masjid Sultan, bercendawannya perniagaan-perniagaan yang amat tidak bersesuaian dengan daerah yang terkenal sebagai ‘Kampung K(H)aji’ dan tempat bermula dan berkembangnya pelbagai perniagaan Melayu/Islam. Daerah ini dahulu ramai penghuninya dengan pelbagai kegiatan keagamaan, kebudayaan, sukan, perniagaan dan kisahnya; setelah penduduk-penduduk terpaksa berpindah, seperti kebanyakan orang Singapura yang terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada pembangunan negara kita, adalah menyedihkan jika daerah yang demikian bersejarah ini dijadikan sekadar tempat yang tidak jauh berbeza seperti tempat-tempat lain di Singapura dan dicemari pula oleh beberapa anasir liar. Bagi saya, apa lagi yang kita ada, jika beberapa daerah di Singapura ini semakin hilang identitinya dalam peta kenangan kita. Tidakkah kita bersedih jika nanti Chinatown, Little India, Katong, semakin hilang identitinya, dan sama sedihnya jika Kampung Gelam, Geylang Serai dan beberapa tempat yang menyerbakkan kenangan kita hanya tinggal nama atau gambar-gambar lama saja? Saya ada juga bertemu beberapa penghuni lama Kampung Gelam dan ada juga saudara-mara yang membesar di sana – alangkah sedih dan terkilannya jika salah satu daerah yang unik milik Singapura semakin mengasingkan penduduk dan bekas penduduk yang mempunyai banyak kenangan mengenainya dan masyarakat umum dan seNusantara yang sejak sekian lama tahu keunikan daerah Kampung Gelam ini? Memaklumi beberapa keadaan sebegini dahulu, saya pernah menulis sebuah sajak:

Dari Kampung Ke Istana

Setelah dipugar
Kampung Melayu yang kita kenal
& kampung-kampung berdekatan
usaha KMS, Encik Eunos, tahun 1928
akhirnya terselit di Geylang Serai
kampung pameran
yang semakin tersisih
& diurus orang asing
hanya sesekali bersinar.

Akankah peristiwa berulang
di Kampung Gelam
& sejarah disulap
sebuah Istana, Gedung Kuning,
ditukar harta
kampung, kedai, bersalin wajah
yang terhakis
yang tertepis
bukan sekadar sebidang pusaka
& kita terpinggir
disilau suasana
diteriki ketika.

Ditulis: Akhir Mei – 19 Jun 1999
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Mudah-mudahan langkah-langkah sewajarnya diambil agar sejarah, perniagaan mapan dan kenangan kita bukan sekadar satu keluhan yang berpanjangan, demi kebaikan semua dan Singapura, insya-Allah.

************************************************************************

Disember juga merupakan bulan yang mengingatkan saya kepada tarikh berpulang ke rahmatullah nenek yang membesarkan saya, pada 16 Disember 1991. Bulan Disember 2007 pula saya mendapat khabar rakan sekerja saya dahulu di Universiti Brunei Darussalam, Ibu Isma Nasrul Karim, telah berpulang ke rahmatullah pada tarikh yang lebih awal iaitu pada 30 September 2007. Saya menziarahi Ibu Isma di Padang, Sumatera pada Januari 1996. Ibu Isma telah beberapa tahun bersara menjadi pensyarah di Universiti Brunei ketika itu. Beliau menjadi pensyarah sambilan dan sukarela di institusi pengajian tinggi di Padang setelah bersara. Kami berhubungan melalui surat dan sesekali kami saling menelefon. Saya sebenarnya bercadang menziarahnya lagi di Padang pada 2008, setelah dua buah buku saya (Hikayat Sri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi) dilancarkan oleh penerbit saya, Pustaka Nasional, pada 1 Disember 2007, bersempena Pesta Penulis Singapura 2007. Saya mengirimkan buku-buku tersebut kepada Ibu Isma dan suaminya, Pak Nasrul. Selalunya pada Hari Raya, saya menghubungi Ibu Isma tetapi pada Hari Raya 2007, saya tidak melakukannya kerana berhalangan. Betapa terkejutnya saya mendapat surat berdaftar pada 27 Disember 2007 daripada Pak Nasrul menyatakan isterinya telah berpulang ke rahmatullah pada bulan September lalu. Dan lebih menyedihkan, seminggu selepas menerima berita ini, saya mendapat satu lagi surat berdaftar daripada Pak Nasrul, menyatakan satu-satu anaknya dan Ibu Isma, seorang pensyarah, tiba-tiba meninggal dunia di Jakarta, meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Tetapi saya tidak mahu bersedih sahaja mengenangkan mereka yang telah berpulang ke rahmatullah. Kehidupan orang-orang yang kita sayang yang telah berpulang ini selalu mengingatkan kita agar kita pandai menghargai kehidupan ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin. Disember juga merupakan bulan yang melahirkan beberapa orang yang saya sayang iaitu ibu saudara bongsu saya yang saya panggil ‘Kakak’, adik lelaki saya dan beberapa orang kawan saya. Saya titipkan sebuah sajak yang saya tulis semasa menerima berita berpulangnya Ibu Isma ke rahmatullah di akhir masukan blog saya kali ini – semoga ada manfaatnya kepada kita.

Tulisan: Rasiah Halil
19 Disember 2014/26 Safar 1436 Hijriah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s