Bela Nasib Anak-Anak Mangsa Tsunami

G 1G 2G 4G 3

Seperti Pak Oteh (ruangan ‘Celoteh’, Berita Harian [Singapura], 12 Januari 2005), ramai orang yang Sri kenal juga amat terganggu oleh bencana alam yang melanda beberapa buah negara Asia. Ada yang tak dapat tidur betul; bukan sekadar menitis atau mengalirkan air mata bila melihat gambar dan klip video akibat bencana ini, malah air mata terus berjurai. Ada yang tak ada lagi air mata; terlalu sedih dan terperanjat menyaksikan, walaupun hanya dari kaca TV atau dada akhbar, dahsyatnya bencana ini. Bayangkan gangguan atau trauma yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana ini.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa bencana ini berlaku; walaupun telah diterangkan mengenai perbenturan plat-plat di dasar lautan, terjadinya gempa dan munculnya ombak tsunami, ramai mengaitkannya juga dengan kemungkaran yang dilakukan manusia, sama ada terhadap diri sendiri dan orang lain ataupun terhadap alam. Apa pun pandangan orang, Sri yakin, setiap kejadian itu ada hikmahnya, meskipun kini sukar kita melihatnya. Dan bila kejahatan dilakukan manusia, mereka yang baik juga terpalit dalam menerima padahnya. Sri yakin, yang ditimpa bencana dan yang terlepas daripadanya, semua diuji oleh Allah.

Salah satu gambaran yang menyayat hati ialah melihat mayat kanak-kanak yang disusun rapi atau bergelimpangan, selain melihat wajah kanak-kanak mangsa bencana alam ini. Kita terharu melihat orang-orang dewasa yang dibaham bencana ini, tetapi bila melihat wajah kanak-kanak yang hampir hilang segala-galanya, hati kita amat terguris. Apalah masa depan anak-anak ini?

Dikatakan satu pertiga mangsa bencana tsunami ini adalah kanak-kanak. Ada yang menjadi yatim piatu dengan tiba-tiba dan ramai pula yang kehilangan salah seorang orang tuanya, selain adik-beradik dan rakan sepermainan. Dengan trauma yang dialami mereka, akankah terawat segala penyakit yang ditanggung mereka, zahir dan batin? Akankah keihsanan penduduk dunia berpanjangan untuk sama mententeram dan memantapkan kehidupan kanak-kanak sebegini? Jan Egeland, penyelaras ehwal kecemasan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu/PBB menyatakan jangka masa 5 sehingga 10 tahun diperlukan untuk memantapkan kehidupan mangsa-mangsa yang terjejas, membangun prasarana dan sebagainya. Bagi kanak-kanak ini, beberapa lagi masalah timbul: akankah mereka dimangsai pula oleh sindiket-sindiket tertentu misalnya golongan paedophile, dijadikan hamba seks atau abdi, atau dicabuli oleh mereka yang mengambil kesempatan dari keadaan yang kucar kacir ini? Atau mereka diseludup ke negara-negara tertentu untuk dijadikan anak angkat? Kemungkinan-kemungkinan ini adalah besar, jika pihak-pihak tertentu tidak bersungguh-sungguh menanganinya.

Dalam krisis, ciri-ciri terbaik manusia terserlah, demikian juga ciri-ciri terburuk kita. Dan petualang itu kadangkala boleh berwajah malaikat, walhal berselirat niat jahatnya terhadap mangsa-mangsa tadi mahupun mereka yang ingin membantu. Salah satu keutamaan, Sri rasa, adalah kanak-kanak kerana mereka terlalu terdedah kepada bahaya-bahaya tersebut. Sri berharap bukan sekadar negara-negara terjejas, malah pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan kebajikan akan lebih memberi perhatian mengenai hal ini. Bak kata buku tulisan Hillary Clinton, ‘It takes a village to raise a child’. Kanak-kanak memerlukan semacam kemantapan dalam kehidupan mereka dan ini lebih baik jika diadakan dalam suasana kekeluargaan atau kampung mereka. Ada agensi yang mahu mengambil anak-anak yatim ini sebagai anak angkat, tetapi bagaimana nanti jika kanak-kanak ini membesar dalam suasana dan kepercayaan yang berlainan dengan apa yang dianuti oleh mereka atau ibu bapa mereka? Dan perkara sebegini pernah berlaku misalnya kepada kanak-kanak dari Bangladesh yang juga ditimpa bencana alam satu masa dulu. Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) dikatakan akan membantu kanak-kanak yatim Muslim, walaupun kita belum tahu perinciannya. Mungkin selain membenarkan pengambilan anak-anak yatim secara undang-undang (dengan juga memenuhi kriteria agama yang sama) negara-negara terjejas dan badan-badan kebajikan boleh mengadakan semacam skim ‘anak angkat’, walaupun kanak-kanak tadi tetap menetap di negara asalnya. Perkara sebegini pernah dilakukan, walaupun bukan untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam. Seseorang itu membiaya persekolahan dan penghidupan kanak-kanak tersebut sehingga dia dewasa atau melengkapi pelajarannya. Beberapa mekanisme harus diadakan agar skim ini tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Dan orang yang mempunyai kelebihan, dapat membantu beberapa orang anak angkat sebegini. Yang utama, kanak-kanak tadi mendapat semacam kemantapan kehidupan dan dikelilingi orang-orang yang dia telah terbiasa, mengamalkan budaya dan agama yang sama. Jika sebaliknya, kita mungkin pula mula menanam benih-benih perbenturan di kalangan pelbagai bangsa dan agama.

Kita juga berharap negara dan pertubuhan yang mengikrarkan derma mereka, akan mengotakan janji mereka. Dalam tragedi gempa bumi di Bam, Iran, pada Disember 2003, yang membunuh 31,000 orang, sebanyak 1 bilion diikrarkan oleh dunia, tetapi hanya 17 juta saja yang diberi. Kini beberapa bilion telah pun diikrarkan untuk bencana tsunami; jangan pula ada yang sekadar berlagak kononnya ia lebih dermawan, tetapi tidak mengotakan ikrarnya ataupun melakukannya sekadar ada udang di sebalik batu. Tentunya menyedihkan jika kita menderma bagaikan membuat taruhan atau mengharapkan balasan, sedangkan lebih 150,000* orang telah terkorban dan lebih 5 juta *dikatakan menjadi pengungsi kerana hilang tempat tinggal dan mata pencarian. Mudah-mudahan tragedi ini bukan sekadar menginsafkan kita akan kekuasaan Allah, malah mengingatkan kemanusiaan bersama yang kita miliki, apa pun bangsa, negara dan agama kita.

*Laporan The Straits Times (20 Disember 2014), mencatatkan lebih 226, 000 orang dari Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, tMyanmar, Somalia and Maldives terbunuh semasa Tsunami Lautan Hindi ini dan lebih 1.7 juta orang menjadi pengungsi (refugees/displaced persons).

Ditulis : 12 Januari 2005
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 16 Januari 2005
Tajuk Asal : Kanak-kanak, Bencana Alam dan lain-lain.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s