Menjelang Tahun Baharu 2015

Sunrise 1Sunrise 2

Waktu-waktu terakhir menjelmanya tahun baharu sering membuat kita sedikit sibuk menguruskan pelbagai perkara. Di selang-seli kesibukan ini, mungkin kita sempat juga terfikir-fikir akan waktu-waktu yang meninggalkan kita – sempatkah kita melakukan perkara-perkara yang ingin kita lakukan pada awal tahun ini, dalam azam tahun baharu kita? Atau banyak perkara yang tidak disangka-sangka berlaku dan kita terpaksa mengetepikan beberapa perkara yang kita letakkan sebagai azam kita dahulu?

Betapa kita bersedia pun, kadangkala ada sahaja perkara lain yang timbul yang boleh sahaja melencongkan kita daripada azam tahun baharu kita. Namun persediaan terbaik mungkin terletak kepada kebolehan kita untuk menyesuaikan diri dengan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka dan bersikap terbuka dan bermata harapan berhadapan apa pun yang dihamparkan kepada kehidupan kita.

Tahun 2014 bagi sebilangan kita meninggalkan pelbagai kesan yang menyedihkan kerana berpulangnya anggota keluarga dan orang-orang yang kita kenal. Di samping itu, terjadi pelbagai nahas udara, taufan, banjir, peperangan, serangan pengganas dan sebagainya. Kadangkala begitu sukar untuk kita tersenyum lebar kerana beberapa kejadian yang tidak disangka-sangka dalam kehidupan peribadi, keluarga, kerjaya, kesihatan dan dunia yang kita huni boleh sahaja mengganggu kita. Langkah kita seakan semakin pendek bila berhadapan hal-hal sebegini. Walaupun demikian, sepanjang 365 ini, Allah juga telah menganugerahi kita hari-hari yang menyenangkan dan menceriakan kehidupan kita. Saat-saat indah yang tidak ternilai ini boleh sahaja tiba-tiba menjelma; mengingatkan kita betapa pun ‘mendung datang bertalu-talu’, akan tetap ada hari-harinya bila langit cerah dan mentari tetap memberi sinarannya dan vitamin D kepada kita.

I Januari 2015 kali ini jatuh pada hari Khamis yang tidak jauh daripada 12 Rabiul Awal, hari keputeraan Rasulullah s.a.w., yang jatuh pada hari Sabtu, 3 Januari 2015. Semoga hari dan bulan keputeraan Baginda s.a.w akan selalu mengingatkan kita akan perjuangan dan pengorbanan Baginda s.a.w., keluarga serta para sahabatnya r.a. dan membuat kita lebih memahami dan mengamalkan agama yang dibawa Rasulullah s.a.w.

Dan semoga tahun mendatang ini akan menjadikan kita insan-insan yang lebih baik, lebih ihsan, lebih prihatin, lebih gigih berusaha, lebih penyantun, lebih pemaaf, lebih bertenaga, lebih ceria, lebih sihat, lebih sabar, lebih tabah, lebih berprasangka baik dan lebih bersyukur terhadap segala pemberian Allah.

Saya lampirkan tiga kuntum sajak dan sebuah rencana untuk renungan bersama – semoga ada manfaatnya. Selamat Tahun Baharu 2015 – semoga Allah sentiasa memberi kita taufik dan hidayat, melindungi dan memberkati kita. Amin.

TIGA KUNTUM SAJAK

Harapan (ii)

Jangan dirikan tembok ini
menyempitkan ruang
nafas-nafas sesak
bahasa tegang
& udara kita dikotori
curiga serta kebimbangan.

Walau semua pintu tertutup
carilah tingkap-tingkap
kecapi kesegaran
untuk suatu pertumbuhan
kerana pohonmu juga perlu membesar
menjadi pelindung
menghadiahkan buah-buahan
untuk kehidupan.

Jadilah titian
menghubungkan pulau-pulau
walau diganggu ombak liar
kerana manusia selalu silap
tapi tali persaudaraan itu panjang.

Seperti pengembara itu
yakinlah pada ketentuan:
telah Tuhan hadirkan sebutir bintang
akan Dia kekalkan
di tengah kegelitaan.

Ditulis: 19 Mei 1985
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Selamat Pagi

Selamat pagi alam
kicau burung
melagukan kesunyian
cengkerik berbunyi
alam bersimfoni
& malam masih sarat
menanti subuh hari.

Selamat pagi dunia
kata pohon
tunduk & berfotosintesis
embun bergenang
bayu gemeresik
& muncul kesegaran
pada hari yang bakal naik.

Selamat pagi manusia
gema azan
bangunlah dengan doa
& secebis harapan.

Ditulis: 7 September 1993
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
Tulisan Rasiah Halil.

Di Sisi-Nya

Akhirnya segala akan tersingkap
walau betapa pun ditutup & dielak
sandiwara yang dipersembah
haloba yang bertakhta
riyak, iri, hasad, membusung
nama, pangkat, harta, direbut-rebut
sekadar zarah
nilai sebelah sayap nyamuk
di sisi-Nya.

Pintu-Nya tidak pernah tertutup
walau dosa bak buih laut
kecuali syirik digalas
ditaburi rahmat
dihampari sejahtera
& tiada satupun terlepas
segala pura-pura
segala helah
segala keangkuhan
kerana Dia lebih maklum
seluruh dunia & semesta.

Di sisi-Nya nanti
segalanya akan menjadi jelas
apa yang kita dikejar-kejarkan
apa yang kita bangga-banggakan
apa yang kita musuh-musuhkan
kerana yang terlebih besar
hanyalah takwa & ikhlas.

Ditulis: 25 – 31 Disember 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s