Renungan Awal Tahun: 1997

Mukadimah

Apakah yang anda lakukan akhir tahun lalu (1996)? Adakah anda, seperti kebanyakan orang, terpaksa membereskan beberapa tugas yang berhubung dengan hal-hal keluarga, pejabat dan diri sendiri, agar dapat memulakan tahun baharu dengan keadaan yang lebih selesa? Atau anda ligat bersiap dan merayakan tahun baharu, terlalu disibukkan oleh kesesakan jalan raya, atau sekadar berduka kerana tiada apa yang istimewa yang anda harapkan bagi tahun baharu 1997?

Bagi setiap orang, tahun baharu memberi makna yang berbeza, walaupun secara umum, dunia menyambut kedatangan tahun baharu dengan ria dan gembira. Telah 365 hari kita tinggalkan, apakah 365 hari yang mendatang akan menjanjikan sesuatu yang baik seperti masa-masa yang sudah? Atau ufuk masa depan kita tidak secerah yang kita harapkan?

Akhir Tahun Dan ‘Pengkelanaan’ Saya

Saya ke Brickfields dan Bangsar (di KL) pada akhir tahun 1996; mengirim surat, bayar bil telefon dan membeli beberapa keperluan. Saya menghabiskan banyak masa di Bangsar, kerana kebetulan tempat ini ada beberapa kedai buku, kedai-kedai lain yang menarik dan juga, kerana Bangsar mengingatkan saya pada Singapura, terutama daerah Katong, tempat saya membesar, dan juga Orchard Road. Sebuah kedai runcit yang telah beberapa kali menimbulkan semacam keharuan dalam hati saya, buat pertama kali saya masuki pada akhir tahun 1996. Bukan istimewa sangat kedai runcit ini; hanya kebetulan nama kedai ini bersamaan dengan nama bapa saya, dengan ejaannya yang sedikit unik (nama saya dan nama bapa saya telah disalah-eja dalam surat kelahiran saya). Kerana nama bapa saya yang dijadikan nama keluarga kami ini, kedai runcit ini menjadi istimewa dan menimbulkan nostalgia saya. Dalam hujan gerimis itu saya teringatkan arwah bapa saya dan kaum keluarga. Saya terkenangkan masa silam saya. Dan di Bangsar, berdepan dengan sebuah kedai yang menyamai nama bapa saya, saya terfikirkan apakah yang menanti saya pada 1997 dan tahun-tahun seterusnya.

Pada akhir tahun 1972, ketika hujan gerimis, dan dalam usia belasan tahun, saya menulis sebuah sajak berjudul ‘Venus Menjelma’ ketika menyambut tahun baharu. Ketika itu dunia dilanda perang di Vietnam, Ireland, Bangladesh, Timur Tengah selain adanya Perang Dingin. Bagi sebahagian besar Dunia Ketiga pula, masalah kemiskinan dan kebuluran bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun, dalam malapetaka yang pelbagai itu, saya masih idealistik melihat dunia dan mengharapkan ‘Venus’ (Dewi Cinta/Kasih Sayang) akan menjelma dan merubah dunia. Kini. 25 tahun sesudah peristiwa itu, dapatkah saya menyambut tahun baharu dengan idealisme yang pernah membumbui zaman remaja saya, dengan mengharapkan wujudnya kasih sayang di antara manusia dapat menangkis segala malapetaka yang sedang dan bakal melanda manusia dan dunia?

25 tahun adalah masa yang amat panjang. Apakah 25 tahun yang akan datang saya masih hidup dan dapat melihat dunia yang belum lagi dimusnahkan penghuninya? Setiap hari, membaca akhbar dan mendengar berita kita semakin sangsi akan keupayaan kita menjadi ‘manusia’ yang sebenar. Di sana sini berlaku peperangan, keganasan, rusuhan kaum, kemiskinan yang amat melarat, masalah-masalah sosial semakin meningkat, musnahnya hutan, cemarnya alam, manusia yang mudah dipancingi prasangka dan wang sedangkan kemungkinan ledakan nuklear meremang bagai senja yang berulang? Apakah saya dapat membina harapan melihat dan mengalami segala peristiwa yang seolah-olah menghakisi segala kemungkinan?

Kata Shakespeare, harapan itu terserlah abadi di dada manusia. Kata psikologis Eric Fromm, tanpa harapan, kita tidak dapat merubah apa pun keadaan. Dan kata Nabi Muhammad s.a.w, seorang Muslim tidak pernah berputus harapan terhadap rahmat Tuhan.

Bukanlah mudah menghadami kata-kata di atas, bila melihat beberapa ketegangan dan malapetaka yang melanda kita dan dunia. Bagaimanakah membina harapan, bila anak yang kita sayangi, mengecewakan kita, rumahtangga yang dibina, musnah segala, gaji bulanan tidak dapat menampung keperluan kita, majikan yang tidak bertimbang rasa, ‘kawan’ yang menikam dari belakang, rakan kongsi yang pecah amanah, sokongan yang membawa rebah, selain peristiwa-peristiwa dunia yang lebih ‘besar’? Masihkah boleh kita mempunyai harapan berdepan dengan keadaan-keadaan negatif sedemikian?

Tiada siapa yang dapat menjamin, hari-hari dan tahun-tahun mendatang akan bertambah baik bagi kita sebagai manusia yang menghuni dunia yang serba mungkin ini. Dihadapkan apa pun malapetaka atau masalah, kita mungkin memilih untuk ‘berdepan’ atau ‘lari’ dari masalah itu; ini lumrahnya tindakan manusia. Mestikah kita melihat kehidupan ini dari kaca mata yang naif dan seperti Polyanna daripada cerita Tolstoy, percaya semuanya akan menjadi baik, di akhirnya, seperti cerita-cerita fabel? Atau, sebaliknya, dengan penuh sinis, kita tidak percaya akan kebaikan di hati manusia dan melihat segala-segalanya begitu negatif dalam kehidupan kita dan dunia?

Memang mudah untuk menjadi sinis dalam dunia yang serba canggih ini dan tidaklah sukar menjadi naif dalam arus kehidupan yang menuju ke abad 21. Kedua-duanya adalah jalan ekstrem yang sebenarnya mengaburi mata pengamat dan tidak akan membawa kita kemana-mana. Hidup bertunjangkan harapan bererti memilih jalan tengah; dan jalan tengah adalah jalan yang dipertunjukkan oleh Nabi kita s.a.w. Kita seharusnya melihat hidup tanpa menjadi sinis atau naif, sebagaimana dirumuskan oleh pepatah kita: ‘Bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak’. Maknanya kita menjadi celik manusiawi; kehidupan ini bukan sekadar diwarnai dengan hitam dan putih tetapi dijurusi pelbagai warna bagaikan pelangi.

Masalah yang kita hadapi tidak akan tiba-tiba hilang kerana perasaan naif kita atau sentiasa menghantui kita kerana perasaan sinis kita. Tetapi masalah itu ‘bertukar warna’ kerana kaca mata dan kayu-ukur yang menjadi rujukan kita telah berbeza. Dan perbezaan ini dimungkinkan oleh adanya harapan di hati kita. Ini bererti, berdepan dengan apa pun keadaan yang menggusar dan menggetirkan, kita akan melihatnya dari berbagai sudut, menilai dan menafsirnya, bersungguh-sungguh mencari penyelesaiannya secara jujur dan kemudian, menyerahkan pada Tuhan, akan rumusannya.

Ini bererti kita membuat pilihan dan perancangan berhadapan dengan apa pun masalah yang kita hadapi. Kita memilih untuk mempunyai harapan atau untuk menjadi sinis ataupun naif. Kita memilih untuk mengecap kebahagiaan ataupun bergelumang dengan penderitaan dan perasaan ‘kasihan pada diri sendiri’. Kita memilih untuk berikhtiar atau duduk menangisi nasib kita. Pucuk pangkalnya adalah kita: penentu terpenting, selain Allah, dalam menjalani kehidupan kita dan masalah-masalahnya. Dan membuat pilihan terhadap cara kita berdepan dengan masalah bererti kita tahu makna dan nilai tanggungjawab kita sebagai manusia. Dan cara ini bukanlah mudah kerana ia menuntut seluruh komitmen kita untuk menjadikan hidup kita lebih bermakna walaupun dengan cara sekecil zarah.

Menyusuri Jalan Bangsar dan kemudian ke Taman Pantai Indah, Kuala Lumpur, ingatan saya masih tertumpu kepada kedai runcit yang mempunyai nama seperti nama bapa saya. Dapatkah kita melupakan masa silam? Tanpa yang lepas, dapatkah mungkin timbul yang sekarang? Tanpa Hamzah Fansuri, akankah wujud Chairil Anwar, Amir Hamzah, Taufik Ismail, Pramoedya, Usman Awang dan A.Samad Said? Tanpa P.Ramlee dan Saloma, akankah wujud M.Nasir dan Sharifah Aini?

Yang silam itu adalah kekuatan, bagai akar tunjang, yang meneguhkan pohon kehidupan kita. Ia memberi akar, melarik kayu-kayan yang turut membina rumah panggung kita. Ia mengejapkan semangat dan membuhulkan niat kita. Masa silam, terutama perisitwa-peristiwa yang dilalui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita, dapat menjadi cermin perbandingan yang jujur: sejauh mana kita telah melangkah dan sejauh mana kita boleh terus-menerus melangkah. Dan dalam dunia yang tanpa sempadan ini, dengan teknologi maklumat yang begitu cepat dan canggih, masa silam itu memberi erti jati diri dan kekuatan yang tersendiri.

Namun, terlalu terikat dengan masa silam tanpa melihat perubahan di sekitar, adalah belenggu yang amat menyeksa. Kita akan dihanyuti arus dan tersadai di pinggiran. Kita akan terus digari, kerana peristiwa-peristiwa silam, sedangkan yang lain demikian ceria dan bebas mengharungi kehidupan. Dan kita akan tenggelam dalam duka dan dendam lama serta gagal menggarap masa-masa kini yang mendatangi kita.

Kata pepatah kita: ‘Yang baik buat teladan, yang buruk buat sempadan’; demikianlah ertinya masa silam itu kepada kita. Ia bukan belenggu tetapi mangkin dan pemacu bagi kekuatan dan jati diri kita, menghadapi masa kini dan mendatang. Tidak kita pudarkan keburukan silam atau kita sekadar menggilap keindahannya. Yang silam itu adalah pelbagai benih yang merimbunkan taman kehidupan kita, zaman demi zaman. Bagai rentetan tanah lapang yang membolehkan kita membuat ‘lepas landas’ (take-off) dalam apa pun bidang kehidupan. Kita dapat membuat ‘lepas landas’ itu kerana leluhur kita juga pernah melakukannya, walaupun secara luaran, modus operandi mereka mungkin berbeza dengan cara kita.

Kesimpulan

Apakah kemungkinan-kemungkinan tahun 1997 dan tahun-tahun mendatang bagi dunia kita yang semakin tua ini dan penghuninya yang sering dipisahkan oleh pelbagai masalah dan prasangka?

Dapatkah saya menulis sajak dengan penuh idealisme 25 tahun dari sekarang sebagaimana sajak ‘Venus Menjelma’ saya tulis 25 tahun yang silam? Atau idealisme saya terhadap manusia dan kehidupan akan hancur pada tahun-tahun tersebut?

Sepanjang 25 tahun yang lalu, idealisme saya turut juga diwarnai oleh sinisme, kekecewaan, kehancuran, malapetaka, kegetiran; dan tidak kurang juga oleh kebahagiaan, keindahan, keluhuran, keyakinan dan ketulusan. Dan saya percaya, 25 tahun yang menjelang ini, ciri-ciri keindahan dan kejelekan kehidupan akan tetap berbaur dan mendatangi saya dan manusia lainnya, walau betapa pun canggih kehidupan yang bakal kita semua lalui ketika itu.

Kata Pujangga Rabindranath Tagore, setiap lahirnya seorang bayi ke dunia, menandakan Tuhan tidak pernah kecewa dengan manusia. Saya yakin Tuhan tidak pernah kecewa dengan apa pun tindak tanduk manusia, namun kata-kata Tagore ini menunjukkan padunya harapan dalam hati manusia: sanggup melahir dan membesarkan anak walau dalam apa pun suasana dunia.

Melihat seorang anak kecil kali pertama melangkahkan kaki ke sekolah, menyaksikan bayi yang pernah anda timang menjadi remaja, mengamati anak-anak anda menjalani perkhidmatan negara, menceburi bidang pekerjaan atau dunia berumahtangga, apa lagi yang berbaur di hati anda, melainkan kesedaran dan harapan dalam melihat pusingan kehidupan manusia. Memang, anda juga pernah terguris oleh kata-kata dan tindakan yang kurang sopan daripada mereka dan anda juga pernah memarahi dan mungkin memukul mereka. Tapi peristiwa-peristiwa itu mendewasakan mereka dan anda, kerana pada natijahnya, anda yakin akan proses yang perlu dilalui oleh tiap seorang daripada kita. Dan betapa pun anda sayangkan keluarga dan sahabat handai anda, anda tidak mampu menjalani proses itu untuk mereka melainkan mereka sendiri menjalaninya dan mahu melakukan perubahan-perubahan dalam kehidupan mereka.

25 tahun dari sekarang, anda juga akan tersentuh melihat kanak-kanak yang didera atau dijadikan buruh paksa; orang tua diabaikan anak-anaknya; saudara yang terpisah jauh dan bertemu semula; manusia yang dikejami perang dan kebuluran; insan daif yang sanggup membantu sesamanya dengan ketulusan dan keupayaan manusia mengkesampingkan kelainan dan prasangkanya demi menolong sesama insan.

Bukan semuanya indah bagai taman-taman mawar atau kelam bagai jelaga malam. Dalam pembauran keduanya, dapat juga kita hidu wanginya mawar dan menjadi ‘remaja’nya perasaan melihat sebutir bintang. Sebagaimana tertera kata-kata ini di sebuah kampung di Britain, yang hampir musnah keseluruhannya semasa Perang Dunia Kedua: ‘Tiada kegelapan yang secukupnya dari seluruh dunia untuk menghilangkan cahaya dari sebatang kandil yang kecil.’

Demikianlah kandil tersebut, harapan secarik yang akan senantiasa gemerlapan di hati insan, dalam menghadapi apa pun kegelapan kehidupan dan zaman. Dan seperti nama kedai yang mengingatkan saya kepada seorang bapa, kenangan silam ini meneguh dan keyakinan saya, seperti kandil itu, ketika saya menyusur dan meredah lorong-lorong dan lalu-lintas kehidupan saya, insya-Allah.

Disiapkan: 1 Januari 1997
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur
Tersiar : Berita Minggu Singapura
Tajuk Asal: Merenung Tahun Mendatang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s