Antara Air Mata Dan Harapan Kita

Beberapa kejadian yang berlaku pada awal tahun ini amat menyedihkan kita. Isu pembunuhan di beberapa tempat, termasuk di Paris dan pejabat Charlie Hebdo, Gaza dan sebagainya serta pelbagai rentetan peristiwa yang berkait rapat membuat kita berasa demikian sedih menyambut tahun baharu. Bilakah akan berakhir semua ini?

Pelbagai teori dikemukakan mengenai peristiwa berdarah di sekitar Paris dan Charlie Hebdo dan kita semakin musykil membaca pelbagai kisah yang berkaitan. Tulisan Bilahari Kausikan, dalam The Straits Times (17 Januari 2015) ada juga memberi sedikit kecerahan. Beliau menukil kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa membunuh itu salah, demikian juga menghina agama orang lain. Kebebasan itu ada batasnya dan bertindak balas dengan pembunuhan dan kekejaman seperti dalam kejadian di Paris, bukanlah jawapannya. Kadangkala kita mudah melaungkan hal kebebasan mutlak walhal perkara tersebut tidak wujud di mana-mana pelosok dunia. Dan kadangkala kita ingin dianggap intelektual dan berfikiran terbuka tetapi terlalu mengagungkan hak kita dan terlupa orang lain juga ada hak jika agamanya dihina. Perkara sebegini bukanlah baharu sebagaimana pernah ditunjukkan oleh sarjana seperti mendiang Edward Said. Dan dalam sastera, banyak penghinaan kepada agama Islam dan Nabi s.a.w. semakin berleluasa, bermula dengan novel Satanic Verses tulisan Salman Rushdie. Anehnya dunia kita, menghina Nabi s.a.w. dianggap jempolan dan juara kebebasan dan mereka yang kononnya menuntut bela pula sering bertindak di luar batas yang ditetapkan Nabi s.a.w.

Saya tabik langkah Singapura dan beberapa negara yang tidak membenarkan karikatur Nabi Muhammad yang diedarkan dalam keluaran terbaru majalah satira Charlie Hebdo, diedarkan. Kalau pihak-pihak tertentu asyik melempar bunga-bunga api, suatu hari nanti seluruh dunia kita akan terbakar dan kita semua akan dimusnahkan oleh api prasangka, sengketa dan dendam yang tidak berkesudahan. Atau kitakah bagai dialihkan perhatian, dan semakin mengabaikan hal-hal yang memerlukan pertimbangan kita kerana seolah-olah dimasukkan ke dalam semacam ‘pusaran waktu’ kerana kejadian-kejadian yang baru membara ini? Kata Mahatma Gandhi, ‘an eye for an eye will only make the world blind’ – kita bukan hanya menjadi ‘buta’, malah akan hilang tumpuan kita untuk lebih membantu mereka yang dilanda kezaliman, penindasan, kemelaratan dan lain-lain lagi dan cuba mengurangkan pelbagai masalah yang menusuki jasad kemanusiaan bersama kita.

Tahun ini masih baharu – semoga kita akan bersikap lebih positif menghadapi pelbagai dugaan yang dihamparkan bagi kehidupan kita pada tahun ini. Api kemarahan, permusuhan dan dendam itu mudah dinyalakan dan dikekalkan – hanya keprihatinan kita kepada sesama makhluk dan sesama manusia dengan hati yang terbuka dan ikhlas yang akan memadamkan api-api negatif tersebut daripada terus marak dan menghangusi dan merentungkan semua. Kita bukan orangnya yang ‘turn the other cheek’ apabila orang menzalimi kita tetapi kita juga bukan orangnya yang harus bertindak di luar batas yang ditetapkan agama Islam kita bila berdepan dengan pelbagai bentuk penghinaan atau kezaliman.

Mungkin ada orang-orang tertentu menangguk di air yang keruh dan mengadu domba pihak-pihak yang seharusnya berdamai. Mungkin ada dalang-dalang yang sedia mempercaturkan manusia dan kemanusiaan. Bak perbincangan saya dengan seorang kawan saya (bukan Muslim) – selagi orang bertelagah, selagi itu ada yang mengaup keuntungan. Bila orang berperang atau bermusuhan, saudagar senjata dan seumpama itu yang terus mendapat rezeki yang melimpah ruah. Kalau orang berdamai, apalah keuntungan mereka? Kata John Lennon, daripada kumpulan The Beatles, ‘give peace a chance’ tetapi sebilangan penghuni dunia mahu melihat dunia kita semakin porak peranda kerana hanya dengan begitu mereka tetap menjadi kaya raya, jaguh dan penentu pelbagai hal dalam dunia kita. Kerana adanya anasir-anasir sebegini, kita seharusnya tidak mudah termakan dan belajar lebih menghargai sesama kita dan lebih jitu mencari pelbagai huraian bagi masalah-masalah kita.

Di Paris dan di beberapa tempat, sebilangan kita ada kerabat, sahabat, kenalan atau sekadar berkongsi kemanusiaan dengan orang-orang di beberapa tempat ini. Kata Isaac Newton, ‘to every action there is an equal and opposite reaction’ – semoga reaksi kita terhadap beberapa kejadian yang negatif ini akan lebih mendewasakan kita dan melorongkan kita untuk selalu memartabatkan ajaran Rasulullah s.a.w. dalam apa pun reaksi atau respons kita. Amin.

Ditulis: 20 – 21 Januari 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s