Bila Kita Bercakap Dengan Pokok

Bilakah kali terakhir anda memerhatikan pokok? Bukan sekadar berlalu di hadapan pokok tetapi benar-benar memerhatikannya? Ada orang suka pada pokok dan sanggup berbelanja membeli berbagai jenis pokok untuk menghiasi halaman rumah, koridor mahupun balkoni mereka. Ada orang pula tak tahan melihat pokok sebab dianggap pokok sekadar menyemakkan rumahnya dan tak sanggup pula menyiram air setiap hari. Pokok dan bunga sebenarnya menimbulkan reaksi yang berbeza dalam kehidupan kita.

Masa anda kecil-kecil, pernahkah anda bermain sembunyi-sembunyi? Kalau anda tinggal di kampung, tentulah salah satu tempat sasaran anda ialah pokok. Lebih besar pokok itu, lebih selamatlah anda, terutama jika pokok tersebut daunnya merimbun. Dan mungkin anda, seperti Sri, pernah berangan-angan nak buat ‘rumah di atas pokok’ (tree house) sebagaimana tergambar dalam cerita kanak-kanak, filem dan komik. Sampai sekarang Sri macam terkilankan hal ini, sebab itu ada kawan-kawan Sri menganggap Sri seharusnya bersahabat dengan Ah Meng dan benar-benar tinggal di atas pokok!

Pokok apa yang anda paling suka? Kata orang pokok kelapa banyak kegunaannya. Masa kecil-kecil dulu, pelapah kelapalah jadi bahan mainan kita: main tarik-tarik dan upih kelapa pula dijadikan bekas masa bermain masak-masak. Pokok jambu pula selalu ramai peminat, sama seperti pokok mangga. Dan di antara pokok-pokok jambu ini, buah jambu mawar yang paling istimewa — sekarang sukar benar nak cari buah jambu ini. Pokok nangka juga menimbulkan kelucuan kita, terutama nangka yang ‘bersarung’ — nak dilindungkan daripada dimakan burung — tapi masa nangka membesar, gambarannya macam orang pakai baju sendat — dan tetap menjadi sasaran kanak-kanak, bila tuannya tak nampak.

Ada pokok menimbulkan rasa takut kita — cubalah berjalan pada waktu tengah malam (terutama pada malam Jumaat) di bawah pokok kapas atau kenanga, entah-entah bulu tengkok anda berdiri! Masa kecil-kecil dulu, rumah Sri tak jauh dari pokok kapas, jadi banyaklah ceritanya, kalau ditulis, Russell Lee tentu tutup kedai dan tak tulis buku cerita hantu lagi!

Ada pokok-pokok yang menimbulkan rasa tenang kita bila kita berdekatan dengannya. Sebab itu kita gemar berehat di taman-taman bunga. Ketenangan ini sebenarnya ada sebab sains — pokok-pokok mengeluarkan oksigen setelah menyedut karbon dioksida dari alam. Dengan cahaya matahari dan air, proses fotosintesis berlaku. Kita tenang kerana warna pokok yang meredupkan pandangan dan juga kerana oksigen segar yang dikeluarkan. Sebab itu kalau dunia kita terlalu dipenuhi karbon dioksida, akan timbul pula ‘kesan rumah hijau’ — dan bumi kita menjadi panas serta bertambah darjah bahaya untuk kehidupan biasa.

Orang dulu-dulu selalu gemarkan pokok, walau tanpa mengetahui mengenai ‘kesan rumah hijau’ dan sebagainya. Dan kadangkala tanaman mereka merata saja, terutama masa tinggal di kampung. Cacing tanah dan siput babi tidak semua dibunuh dan sering pula mereka sirami pokok dengan air beras, air bekas mencuci ikan, kulit-kulit telur ditimbus dan menghiasi pokok serta tanah bakar dicampurkan dengan tanah biasa untuk pokok. Tanpa mengetahui sains, mereka tahu ini semua bermanfaat bagi pokok–pokok tadi.

Ada orang agak bertuah, tangannya ‘sejuk’, pokok apa pun yang ditanam, tumbuh. Tak perlu perkakas hebat, sekadar tin susu pun, pokok yang ditanam hidup. Kedua-dua ibu dan nenek Sri mempunyai kelebihan ini dan di mana pun kami tinggal, halaman rumah Sri sering dikelilingi pokok — pokok bunga, buah-buahan mahupun pokok/tumbuhan untuk dimakan (dijadikan ulam) dan dibuat ubat.

Apa yang anda lakukan jika pokok anda tak mahu berbuah? Sri masih ingat peristiwa ini — halaman rumah Sri dulu ada tiga pokok mangga, kecuali satu, yang lain tak mahu berbuah. Petua nenek Sri, pokok itu mesti beritahu keadaannya dan sedikit ‘digertak’ dengan pisau/parang pada hari Jumaat (sebelum orang bersembahyang Jumaat) dan disuruh berbuah, kalau tidak, ia akan ditakik. Petua ini berkesan, selang beberapa lama, pokok-pokok mangga itu berbuah — mungkin takut ditakik sang nenek dan cucu-cucunya! Bagaimana pula kalau pokok nangka anda buahnya tak manis? Petuanya, pada hari Jumaat anda siraminya dengan sedikit air gula dan cakap yang ‘manis-manis’ (baik-baik) dengan pokok tadi. Kalau pokok tadi tak suka dimanisi (maklumlah kalau pokok nangka anda pembawaannya memang masam) pakai nampak petua ini tak boleh jalan.

Ada orang bercakap dengan pokok-pokoknya, sebenarnya ini baik. Kalau kita bercakap, kita keluarkan karbon dioksida, dan pokok perlukan ini untuk proses fotosintesis. Dan orang tua-tua dulu berkata, jangan kacau pokok waktu petang sebab pokok ‘tidur’ — sebenarnya tanpa ada cahaya matahari pokok tadi giat memproses makanannya sendiri —jadi pada mata kasar kita, mereka ‘tidur’. Kajian juga menunjukkan pokok ada perasaan, jadi anda tak boleh marah-marah dengannya. Dan ada pokok pula suka tunjuk perasaan — pokok jermin misalnya, tak boleh anda sentuh kalau anda berhadas besar dan tak boleh cakap kuat-kuat di depannya jika anda nak beri sebahagian daun/ batangnya dan tanam di tempat lain, nanti ia ‘merajuk’.

Apa pun kerenahnya pokok membahagiakan sebahagian besar di kalangan kita kerana indahnya kurniaan Allah ini. Seperti kata seorang penyair, Joyce Kilmer:

Poems are made by fools like me.
But only God can make a tree
.’

Ditulis : Mac 1999
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 21 Mac 1999
Tajuk Asal: Perihal Pokok, Tumbuhan dan Bunga.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s