Lima Kuntum Sajak

Kenang Daku

Kenang daku bila ku telah pergi
pergi jauh ke alam yang abadi
pabila tangisan & sesalan tiada erti
pabila harapan tiada bertunas lagi.

Kenang daku ketika mentari menyingkap dari tirainya
& burung-burung berkicauan dengan gembira
ketika azan subuh bergema di angkasa
rohmu & rohku kan bersama
memohon rahmat Yang Maha Esa.

Kenang daku demi peredaran waktu
jangan kau tangiskan perkara yang lalu
penuhi hidupmu dengan kebaktian & ilmu.

Ditulis: 20 Januari 1972
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak ini merupakan sajak pertama saya yang tersiar di media massa pada bulan Mac 1972, dalam Majalah Harapan, terbitan Kementerian Pendidikan Singapura. Saya dikenalkan kepada pantun oleh nenek saya semasa kanak-kanak lagi dan terpikat dengan keindahan pantun dan juga syair. Saya mula menulis pantun dan syair dengan cerita/tema tertentu sekitar 1970/1971 dan mencuba-cuba menulis sajak pada 1972. Sajak ‘Kenang Daku’ ini diilhamkan oleh sajak ‘Remember’ oleh Christina Rossetti (1830 -1894), sajak yang termuat dalam buku puisi bahasa Inggeris saya, A Book of Poetry, disunting oleh W.M.Smyth, 1969. Hanya dua baris sajak Christina yang ada persamaan dengan sajak saya: ‘Remember me when I am gone away/Gone far away into the silent land.’ Selainnya adalah idealisme anak muda yang baru belajar menulis. Sajak ini ditulis pada 20 Januari 1972 – hari lahir seorang sahabat karib saya semasa zaman sekolah rendah, walaupun kami tidak bersekolah di sekolah yang sama. Mungkin saya terfikir, seandainya pada suatu masa saya tiada lagi di dunia, akankah kawan saya dan mereka yang mengenali saya sebagai sahabat dan kerabat, mengingati saya? Itulah jiwa anak muda yang belum mengenali dunia.

Sajak ini juga bermakna bagi saya kerana inilah karya pertama saya yang diterbitkan. Dan mulai pada 1972 itu juga karya-karya saya mula diterbitkan dalam ‘Ruangan Remaja’, Radio Singapura dan juga majalah-majalah sekolah (dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris), akhbar Berita Minggu Singapura dan New Nation, Dewan Sastera dan lain-lain. Sajak ‘Kenang Daku’ lah – kenangan dan harapan seorang remaja kepada sahabat dan mereka yang disayanginya, memulakan perjalanan seni saya, 43 tahun yang lalu…..

Kepada Pohon Tak Bernama

Hujan begini, betapa teguh kau berdiri,
menghimpunkan titisan pada daun & dahan,
sabar diselimuti kesejukan, & dapat melihat
keindahan dari luahan hebat sang awan,
kerana kaupercaya,
kekuatanmu bertunjang pada akar-akar,
& kepaduan tanah adalah bahan pengukuhan,
di tengah taufan.

Tidak sekali pun kau menyoal,
mengapa awan-gemawan ini menjadi muram,
atau sinar mentari tiba-tiba menikam,
tubuhmu, yang belum begitu rimbun & tegap,
serangga pun membuat sarang, burung-burung
mencari perlindungan, berkicau riang, kau
kongsikan segalanya dalam kebisuan,
atau inikah caramu menyatakan, telah
kaudengar khabar yang dibawa bayu senja,
membisikkan:
‘sabar’.

Bertahun kau terpacak di sini,
di luar Central Library, begitu tenang,
mengheningkan mata kami yang jenuh belajar,
sentiasa menerima kotoran alam, tukar kepada
oksigen segar, & bersuara, tanpa kata,
tentang ketabahan.

Duhai pohon tak bernama,
ajarilah daku,
erti ketahanan,
yang kaupelajari dari alam.

Ditulis: 27 November 1982
Kent Ridge, Universiti Nasional Singapura (NUS)
Tulisan: Rasiah Halil.

Pujangga Silam

Tiada nama yang kautinggalkan
hanya khazanah seni
lahir dari pengamatan, pengalaman,
mewarnakan kehidupan.

Siapakah kau
pencipta pantun & syair
penyampai penglipur lara
menghibur dengan cerita jenaka
mencatat nilai & budaya
yang rapuh, utuh, angkuh,
lalu dalam seni, dalam tawa,
kau menghibur & mengajar
bahawa manusia itu besar
kaya & berhikmah
walau dikongkong berbagai-bagai kuasa.

Membaca cerita jenaka
aku mengenali akal budimu
yang berani berhujah, menyindir:
haruskah kita jadi Pak Kaduk
menang sorak, kampung tergadai
hidup selurus Pak Pandir
berangan-angan seperti Mat Jenin
atau tamak seperti Lebai Malang
mestikah sepintar Pak Belalang, Si Luncai,
atau secerdik seorang perempuan
mendedahkan Musang Berjanggut
dengan kebijaksanaan?

Pujangga silam
siapakah kau
yang mahir menganyam bahasa
sarat mengadun fikir & rasa
menghampar tikar mutiara
ke persada bangsa ?

Ditulis: 26 Februari 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Nadim

Rantai-rantai itu telah lama memasungku
sebelum rantai-rantai ini menenggelamiku
inilah kisah purba
berulang di daratan & perairan Singapura
ketika todak menyerang
betis rakyat dikubukan
& jongor todak terus membaham.

Kaukah menyirati kisah itu
atau masih didarahi perlakuan waktu
ketika nyawa rakyat terlalu murah
sehingga tak terfikir penyelesaian lainnya
& ketika batang pisang kusarankan
ada yang resah, iri, khianat,
seakan singgahsana Singapura & pembesarnya
akulah yang bakal menggugat.

Apakah dosaku, Singapura,
kecuali berfikir di luar yang lumrah
kecuali menyayangi rakyat jelata
dari terus diserang todak
tapi pembesar-pembesar itu semakin terancam
oleh fikiran yang tidak seacuan
oleh tajamnya akal budak
anak hingusan, di luar Bukit Larangan.

Akal yang menganjung ke hadapan
seringkali menerawang angkasa kehidupan
tapi bagai layang-layang
ramai yang mahu talinya diputuskan
biar selamanya terapung, hanyut,
sebagaimanalah aku, Nadim,
beratus tahun mereka tenggelami
di perairan Singapura ini
tapi aku tidak lemas, malah hidup, menanjap,
di hati yang tulus, jujur, beradab.

Ditulis: 6 – 7 Januari 2006
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Laut Itu

Laut itu telah lama hilang
ditambak perumahan, pembangunan,
lalu lintas manusia, kenderaan,
serta surutnya arus kenangan.

Ingatkah kau ketika kita mencari remis
mengutip tapak sulaiman, agar-agar laut,
atau mandi-manda pada hujung minggu
mencuri-curi berenang selepas ke sekolah
di Katong Park, East Coast, Siglap, Changi, Bedok,
kebahagian adalah pantai & laut
berkecipak dalam kegembiraan
tanpa tergesa-gesa, perhitungan,
bagai ombak beralun
berulang dalam keriangan.

Kini yang tinggal hanya sisa-sisa
daratan bertambak, laut yang menjauhi
Katong Park lenyap, menjelma ECP
yang indah hanya gambar-gambar silam di Katong & Changi
& kita terkenang tempat berkelah & permainan dahulu
tika laut ini semakin ditambaki pembangunan baharu.

Ditulis: 29 April – Awal Julai 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s