Semakin Usia Meningkat Ke Asar

Di kalangan sahabat Sri, topik-topik perbincangan kita kini dah banyak berubah. Kalau masa muda-muda dulu kita sibuk diresahi masalah pelajaran, teman-teman istimewa, kerjaya, rumah tangga dan kelahiran anak-anak, kini dah sedikit bertukar. Kita pula mula diresahkan oleh masalah anak-anak remaja kita yang bersangkutan dengan pelajaran, teman, kerjaya mereka dan lain-lain hal seumpamanya. Kalau dulu ada di antara kawan-kawan Sri ini begitu tahan lasak, maklum pernah sama-sama tunjuk hebat semasa bermain bola jaring dan sanggup berdedai tanpa berpayung dalam terik matahari, kini, bila panas sedikit, lain pula ceritanya. Dan walaupun ada juga yang meminati hujan dan suka berhujan satu masa dulu, kini, terkena hujan sedikit, dahlah mula lain macam. Bak kata Aziz Sattar dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk, kini kami semua dah mula ‘reput tulang’, maklum ‘enjin’ yang empunya diri ini dah meningkat ke asar.

Selain daripada kisah anak atau anak saudara, kini yang kami bincangkan ialah masalah kesihatan dan hal-hal yang bersangkut dengan meningkatnya usia. Kalau dulu ada yang berkobar-kobar mengenai kerjaya misalnya, kini kobaran itu semakin ditenangkan oleh perspektif yang lebih luas dan dewasa. Apa yang dulu begitu penting dan tak boleh tidak mesti ada dalam kehidupan kita, dengan meningkatnya usia, kepentingan sesuatu itu selalunya boleh berubah. Dan ini bukan pula bermakna kita tidak ada pendirian atau nilai hidup; yang kita ubah tentunya bukan hal-hal prinsip. Kalau salah satu prinsip hidup anda adalah nilai integriti, sampai ke akhir hayat pun prinsip ini menjadi pegangan anda. Lainlah kalau anda orangnya mudah berjual-beli dalam persoalan prinsip, mengikut ‘taruhan’ yang diberi kepada anda.

Dan kesihatan pula banyak cabangnya. Dengan usia yang meningkat, anda lebih menghargai kesihatan, baik jasmani, rohani mahupun mental. Bagai enjin kereta ia juga mesti diperiksa dari masa ke semasa agar ia tetap sesuai digunakan dalam jalan raya kehidupan. Dengan kehidupan kita yang semakin tergesa-gesa dan sibuk, gangguan yang sering berlaku ialah terhadap kesihatan kita. Kalau kita cuai menjaganya, besar kemungkinan akan berhari atau berminggu ‘enjin’ kereta kehidupan kita ini terpaksa tersadai di bengkel untuk dibaik pulih. Nak ganti dengan yang baharu, tak ada pula bahan gantiannya. Nak buat-buat macam yang baharu melalui pembedahan kosmetik, botox dan lain-lain, bukan sahaja ia terkeluar dari pertimbangan halal haram kita, bahkan boleh juga sebenarnya mengganggu kesihatan kita. Biarlah yang kita punyai itu asli dan bukannya bagaikan plastik, asalkan ia tidak menipu orang atau akhirnya mengganggu kesihatan kita.

Bila ditanya mengenai cita-cita hidupnya, seorang mahaguru Sri pernah berkata: dia tidak mahu menjadi kubis. Kubis? Apa kena mengenanya kubis dengan manusia selain untuk dimakan? Sebenarnya, mahaguru Sri itu mengingatkan bahawa dia tidak mahu hidupnya tidak membawa apa-apa erti iaitu setakat hadir dalam kehidupan ini bagaikan sebiji kubis. Hidup ini mestilah ‘diisi’. Dan setiap kita perlu mencari caranya untuk mengisi kehidupan masing-masing. Kalau yang kita isi hanyalah wang, harta, pangkat, nama dan sebagainya, lama laun kita akan tahu, hal-hal ini hanyalah sementara. Dengan terganggunya kesihatan, segala yang dikejar-kejarkan ini tidak lagi membawa apa-apa erti, melainkan tunjangan kita pada perkara-perkara tersebut hanyalah satu cara untuk mencapai tujuan yang lebih murni, itu pun kalau kita benar-benar jujur mengenainya. Kerana bak kata pepatah, memang lidah tak bertulang, lantas mudah bagi kita mengungkapkan yang muluk-muluk, padahal ada cita-cita yang tak semurninya di dalam hati. Kedewasaan selalu mengajar kita untuk walk the talk; untuk memaknakan kehidupan bukan seperti sebiji kubis.

Di kalangan kawan-kawan Sri, dah jarang pula kita memberi hadiah hari lahir, berbanding dengan masa remaja dan awal dewasa dahulu. Hadiah yang lebih bermakna adalah ucapan dan doa yang ikhlas untuk kesejahteraan masing-masing dan hadiah-hadiah yang kami beri kini tidak pula bergantung kepada tarikh hari lahir; kerana ia boleh saja diberi pada bila-bila masa. Ada yang mengingat anda dengan memberi ole-ole bila dia ke luar negera untuk bercuti atau bekerja, ada pula bila pergi membeli-belah dan ternampak sesuatu yang anda suka, membelikan anda, tidak kurang pula yang belanja membelanjai kerana mendapat bonus, berita gembira atau sengaja nak ‘mengeteh’ (minum teh) bersama anda, walaupun sibuk dengan pelbagai tugas. Keakraban yang anda jalinkan dengan orang-orang terdekat ini, yang telah melalui pelbagai ranjau dan duri, yang saling menerima anda seadanya, tanpa sedikit pun dijejas oleh pangkat, harta, wang atau nama inilah hadiah terbesar kehidupan untuk hari lahir anda dan hari-hari lainnya. Ada madah yang pernah Sri baca berbunyi: ‘Hidup yang tidak diperiksa/dinilai, hanya sia-sia dihidupi’. Kalau kita sekadar hadir dalam kehidupan tetapi tidak benar-benar hidup, apalah makna kehidupan ini. Dan hari lahir selalu mengingatkan kita akan maksud memaknakan kehidupan ini.

Walaupun kesihatan tetap menjadi topik utama, banyak perkara mula semakin jelas dalam meningkatnya usia. Kita lebih memaklumi kekurangan dan kelebihan kita dan kadangkala bagaikan jauhari, lebih tahu membezakan kaca dan manikam. Banyak yang keruh mahu kita buang, kerana kejernihan itu lebih indah kita renangi. Dan kita bersyukur atas segala yang Allah beri dan nafikan bagi kehidupan kita dan apa pun kekecewaan yang pernah kita alami, kita semakin yakin bahawa dengan izin Allah, segala-galanya boleh dibaik pulih, disembuh atau digantikan dengan yang lebih baik lagi sebagaimana dinyanyikan oleh Biduanita Saloma dalam lagu Mengapa Dirindu:

Patah kan tumbuh
Hilang berganti
Luka kan sembuh kalau diubati…..

Ditulis: 21 – 22 Februari 2005
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 27 Februari 2005
Tajuk Asal: Bila Usia Kita Meningkat

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s