Engkaukah Itu?

Engkaukah Itu?

Engkaukah itu
yang mengganggu ketenteramanku di waktu malam
wajah anak kecil tak terkawal & perempuan tua bernasib malang
budi bahasa seorang kakak & suara pengharapan
menyatakan lebih daripada ‘social stratification’ *dalam kajian?

Engkaukah itu
yang menjadikan aku pendengar yang selalu kesepian
sering kehilangan dalam rentak & suara orang luaran
ketika penghibur & penuturku hanya mampu meminjam
bila zapin, ghazal, joget, keroncong & dondang sayang
hanyalah rakaman asing & bukan lagi lambang keperibadian?

Engkaukah itu
yang mengajarku tentang seninya sehelai songket
tiup nafiri, gamelan, & persembahan wayang kulit
penglipur lara, sejarah kraton, para sufi & wira
syair perahu, pantun lama, peribahasa, gurindam & seloka
hanya bakal tersimpan di sekolah gambar* & arkib negara?

Engkaukah itu
yang menyuruhku setia pada sebuah cinta yang panjang
sedang kasihmu selalu berubah & sukar ditafsirkan
& ketika berehat-rehat di tepi perairan
engkau begitu gembira & tidak sedikit pun rasa tercabar
di pelabuhanmu tiada perahu, bahtera atau kapal layar?

Engkaukah itu
yang membuat aku terlalu perasa dalam berbagai keadaan
menyayangimu, tapi sekali gus selalu menyoal
& sesekali membikin aku sepi seperti penyanyi ini
hanya mampu melahirkan suatu macam kesedihan
ketika mendengar & mengalunkan ‘Ratapan Kamarul Zaman’*?

*Social stratification – kajian kursus sosiologi yang saya jalankan di sebuah estet perumahan berbilik satu pada akhir 1978 bagi tahun akademik 1978/79, di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura/NUS).
* Sekolah gambar – nama awal bagi ‘muzium’.
* ‘Ratapan Kamarul Zaman’ – lagu tradisional yang dirakamkan dan dinyanyikan oleh Biduanita Sharifah Aini pada tahun 1979.

Ditulis: 10 Jun 1979
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s