Cerpen: Kesepian Adalah Seorang Perempuan

1 RT Quote on Butterflies2 Butterflies4 SA dua3 Biduanita Sharifah Aini

Cerpen ‘Kesepian Adalah Seorang Perempuan’ di bawah ini termuat dalam kumpulan cerpen saya, Orang Luar, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1991. Kumpulan cerpen ini diberi kepada Biduanita Sharifah Aini pada 1997, bersama kumpulan puisi saya, Sungai & Lautan (DBP: 1995). Kemungkinannya cerpen ‘Kesepian Adalah Seorang Perempuan’ bererti bagi beliau dan mengilhamkan lagunya, ‘Seribu Mawar’, ciptaan LY dan seni katanya ditulis oleh Baiduri, pada tahun 2000.

CERPEN: KESEPIAN ADALAH SEORANG PEREMPUAN

Di atas mejaku sudah terletak jambangan mawar. Dua kuntum mawar berwarna putih dan sembilan kuntum berwarna merah. Sekeping kad kecil yang manis terisi kata-kata. Waktu telah terlalu jauh meninggalkan kita, mengapa menghantarnya?

Semerbaknya sebelas kuntum mawar terbawa-bawa di bilik seminar. Tutorial kali ini akan memperbincangkan pertikaian antara watak Tess dan Angel Clare daripada buku Tess of the D’Urbervilles’, karya Thomas Hardy. Seorang mahasiswa telah memulakan tutorial itu dengan membentangkan kelemahan-kelemahan yang terdapat pada watak Tess. Ada seorang pula mengetengahkan kekurangan-kekurangan pada watak Angel Clare, yang baginya, hanya mencintai Tess imej buatannya. Seorang lagi pelajar menyampuk, menyalahkan kedua-dua watak ini, itu sebabnya, menurut mahasiswi ini, mereka terpisah begitu lama, dan menikmati kebahagiaan bersama hanya di akhir cerita. Tatkala suara demi suara terluah, fikiranku masih tertumpu kepada jambangan mawar dan pengirimnya.

“Siapakah yang sebenarnya bersalah, Dr. Fairuza?” satu soalan menerjah. Ya, siapakah yang harus dipersalahkan – Angel Clare, yang berpegang teguh kepada pendirian hidupnya, atau Tess, yang terjebak kerana keadaannya? Apakah ada hukuman ‘betul’ atau ‘salah’ dalam menilai sesuatu watak dalam sastera, atau sebuah cinta? Kami berbincang hebat selama lebih dari satu jam, dan akhirnya mereka keluar. Aku masih terpaku di bilik itu dengan berbagai-bagai perasaan berbaur di hatiku. Fikiran bercelaru. Gambaran jambangan mawar, Angel Clare dan Tess berlegar-legar. Tepat 28 tahun usiaku, mengapa kau hadiahkanku 11 kuntum mawar?

Aku beredar ke bilikku, tetapi perasaan tidak menentu ini masih belum reda, malah bergema. Jambangan mawar itu bagaikan seorang hakim, dengan angkuh dan tanpa senyum, bertakhta di atas meja. Mawar-mawar seolah-olah memerhatikan aku, menyoal, menjawab, menghukum dan menjelaskan makna kisah silam dalam pantulan resah. Aku resah dan gelisah. Kata-kata yang kupendamkan sedemikian lama, berpusu-pusu keluar tanpa suara. Menyapa dan berdialog dengan mawar-mawar itu. Namamu terserlah, pada mawar, kad, pada segala, bagai seorang insan yang terlalu lama terpenjara dan akhirnya mengisytiharkan dengan lantang akan kehadirannya. Betapa indah sebuah nama yang ingin kulupakan, terlalu lama terukir dalam sebuah kehidupan. Wajahmu terbayang: tersenyum, mengusik, serius, marah, sedih atau memberi pandangan redup dan aneh, yang hanya kau dapat berbuat demikian. Aku dipukul gelombang silam. Lemas dalam ingatan. Berpusar-pusar. Tasik kenanganku baru mulai tenang, mengapa kau kocakkan dengan jambangan mawar?

“Helo, Mal, ya?” Suara di gagang telefon sebelah sana berteriak kesukaan. Dia mula berkisah dengan suara yang sekali-sekala pelat dan manja. Mengucapkan ‘Happy Berday’, dan entah untuk kali yang keberapa, menyuruh aku datang ke rumahnya. Aku terhibur pada telatah dan kemanjaannya. Pada suaranya. Atau suara kecil itukah yang menjadi lambang pada suatu kerinduan? Ahmad Kamal kemudian memanggil-manggil ibunya. Suara riang ibunya membuat kami berbual panjang tentang itu dan ini.

“Kejap lagi?” Suaranya kaget sebentar, kemudian dihilangkan dalam derai ketawanya. “Kau nak bunuh aku, ya? Aku baru nak masak makanan tengah hari, kalau kau datang sekarang, pakai nampak, habislah rahsiaku terbongkar. Bukankah kau dah berjanji nak datang petang ini, Alwi pun dah bilang di akan balik lekas. Azadiah dan Hilmi pun nak datang. Fairuz, Fairuz, kau ini memang dari dulu, unpredictable…” Zaidah tertawa menghamburkan kata-kata ini kepadaku. Aku tergelak sama.

“Tak apalah, aku bukan nak bongkar resepi rahsia kau, Zai, kau bagi tahu Mal jangan tidur dulu, ya?”
“Tak payah beritahu, kau tak dengar dia terjerit-jerit nama kau? Jangan harap dia nak tidur sebelum kau sampai, ibu angkat oranglah katakan…”

Betapa gembiranya Zaidah, fikirku, seolah-olah kebahagiannya diperolehi daripada piala yang berisi air madu yang berlimpah-ruah. Kamal, Alwi, keluarga dan kawan-kawan rapatnya sudah cukup untuk menjadi sumber kebahagiaan dan nyanyian hidupnya. Dan aku? Akukah penggubah yang terlalu meminta daripada hidup ini, lantas tidak dapat melahirkan simfoni yang kuingini?

Jambangan mawar itu kubawa ke luar. Menuruni tangga bangunan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan. Menuju ke tempat meletak kereta. Kupandu kereta Ford Laserku keluar dari perkarangan Kent Ridge, membelok ke Clementi Road, dan terus melalui Pasir Panjang Road. Jalan raya ketika itu agak lengang, hanya lalu lintas fikiranku yang semakin sesak apabila memerhatikan kuntuman mawar.

Sebelas kuntum mawar. Apa yang kau maksudkan dengan menghantar sebelas kuntum mawar? Lambang tahun-tahun yang telah dilalui, dan dua kuntum mawar putih itu sebagai lambang dua hati yang suci? Dapatkah kuntum-kuntum mawar merah menyerikan tahun-tahun yang luka dan sepi? Menghilangkan kegelapan yang seolah-olah tertebar selama ini? Mengapa baru kini kau mahu bersuara melalui mawar-mawarmu, setelah sekian lama membisu? Akukah orangnya yang tahu menghargai kuntuman mawar itu? Bertubi-tubi soalan-soalan terkeluar, seolah-olah berperang sesamanya, sedang kakiku mula menekan minyak, seolah-olah kelajuan kereta dapat meninggalkan segala keresahan dan tanda tanya.

Suara seorang juruhebah terdengar berkelakar dari corong radio kereta. Aku terhibur mendengar kelucuannya dan apabila dia perdengarkan lagu ‘Pulang Dari Kilang’ nyanyian Sudirman. Seketika aku terlupakan jambangan mawar. Sebuah lagu berentak perlahan pula dikumandangkan, berjudul ‘Penantian’. Betapa terasa muzik dan seni kata lagu ini begitu lembut dan puitis. Menyentuh suatu perasaan seni di hati, bagai tali-temali pada sebuah gitar yang dipetikkan perlahan. Menggetarkan rasa kesayuan. Engkaukah sebuah lagu dari zaman silam, yang indah, tetapi memilukan?

Haw Par Villa. Dari jauh sudah dapat dilihat patung-patungnya. Hebat dan bagaikan bernyawa. Adakah perempuan yang selalu dianggap sebagai patung, yang indah untuk ditonton, dibentuk serupa hidup, tetapi dengan selamat ditempatkan di takuk lama?

“Kau gila!” Suaramya terdengar, seolah-olah diucapkan di sisiku. Tetapi di sisiku hanya jambangan bunga.
“Kau tahu apa yang kau lakukan, Fairuz?” suaranya meledak di perkarangan NHO, Universiti Singapura. Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa pada petang itu seolah-olah terhenti kerananya. Wajahnya yang selalu tenang, kini menjadi sedikit merah, dan matanya yang selalu redup kini begitu tajam merenungku. Aku gelisah.

“Kau ikut sangat telatah Juliet dan Hon Kwong,” tambahnya setelah melihat aku tidak sepatah pun melawan bicara.
“Buat apa susah payah nak anjurkan dialog dengan pihak Pentadbir, kau sendiri tahu itu mustahil. Mustahil mereka nak dengar cakap USSU*.” Dia melepaskan geramnya. Entah untuk kali yang keberapa , kita bertelagah kerana penglibatanku. [*USSU : University of Singapore Students’ Union/ Kesatuan Pelajar Universiti Singapura]

“Orang luar datang ke kampus menyebarkan risalah-risalah palsu atas nama Hon Kwong, cuba porak-perandakan USSU, kau mahu kami berpeluk tubuh? Aku exco, Amran.”

“Sengaja kau nak pikul beban, kau ingat USSU boleh menang?” Keberangannya bertambah beberapa darjah. Aku terdiam. Mengapa dia sebegini marah? Bimbang terhadap masa depanku? Kan dari tahu satu kita sama-sama bergiat dalam Kesatuan Pelajar, cuma dia yang telah keluar dan memulakan corak perjuangan yang berbeza.

“Ini bukan beban, Am, kau mempunyai tanggungjawab terhadap persatuan kau, begitu juga aku. Kita bukan menentang hanya sekadar untuk menang, kita berhak menyuarakan sesuatu yang kurang betul.”

“Idealisme melulu!” Suaranya seakan-akan mencemuh. Aku merenung tepat wajahnya, tidak tersangka dia akan mengucapkan itu. Adakah dia benar-benar khuatir terhadap masa depanku? Ke hulu ke hilir aku sering bersama Kassim kerana urusan USSU, sedang kita bagai orang asing setiap hari di kampus. Dia agaknya tidak percaya bahawa persahabatan boleh terbina antara seorang lelaki dan perempuan tanpa dipenuhi dengan unsur nafsu dan cinta, atau mungkin dia kurang yakin, tugas boleh membuat seseorang beramah-tamah dengan semua orang, tetapi mengkhususkan keistimewaan hanya untuk seorang. Atau mungkin gelagat dan tumpuan minatku hanya semakin menyimpangkan aku daripada dasar perjuangannya. Kami saling pandang- memandang tanpa bersuara dan wajahnya kembali tenang.

“Kenapa kau mahu membazirkan tenaga pada persatuan yang perjuangannya belum tentu betul, sedangkan persatuan yang memerlukan penglibatan kau, kau abaikan?” Dia bersuara lembut. Indahnya apabila dia bertutur selembut ini dengan wajah yang tenang dan bibir menguntum senyum.

“Aku tidak mengabaikan, Am, cuma aku sendiri masih dalam pencarian. Aku tidak pernah anti-perjuanganmu, malah menghormati apa yang cuba kau usahakan. Tapi aku tidak boleh melibatkan diri dalam persatuan hanya kerana kau berada di situ. Mengubah pendirian hanya keranamu. Aku mesti jujur kepada diriku, Amran …”

Jujur pada diriku. Kejujuran. Bagaimana dapat kulupakan kata-kata yang tertulis pada sebuah buku yang kau hadiahkan dulu? Kau memtik pesanan Polonius kepada Laertes daripada drama Hamlet, untukku:

‘This above all, – to thine own self be true;
And it must follow, as the night the day,
Thou canst not then be false to any man.’

Aku percaya aku telah berlaku jujur terhadap diriku. Terhadap apa yang aku namakan perjuanganku. Terhadap engkau. Sayangnya, tafsiran kejujuran itu berlainan bagi setiap orang.

Betapa tahun-tahun itu dibahangi oleh semangat dan idealisme. Terlalu. Itulah masa-masa yang genting, yang sukar, yang menuntut kita supaya banyak menyoal, dan cuba mencari penilaian baharu terhadap erti hidup dan pembelajaran. Aku yakin kita bukan subversif, atau hanya menyuarakan semangat antiborjuis dan proproletariat tidak menentu. Kita menentang bukan kerana kebencian, atau dengan radikalnya ingin menjahanamkan susun lapi kemasyarakatan. Suara kita adalah suara kesedaran. Suara Hon Kwong, Juliet, Wah Piow, Kassim, Chandra, Philip, Mei Ying dan lain-lain, yang bergema di Upper Quad, Lower Quad, Padang, Students’ Union, malah segenap daerah kampus Bukit Timah. Tetapi suara yang sedemikian kuat, tidak membawa sebarang erti atau kesan kepadamu. Malah ia menunjukkan betapa sia-sianya perjuanganku.

Engkaukah yang tidak cuba memahami proses kesedaran sosial yang sedang kualami atau akukah yang tidak cuba memahami tuntutan dan dasar perjuanganmu? Inikah yang dikatakan konflik idealisme dan peribadi? Suasana sekelilingkah yang semakin meruncingkan perkara-perkara yang sememangnya sensitif? Atau, seperti perjalanan keretaku ini, segala-galanya hanya menanti lampu merah untuk akhirnya berhenti?

“Tidak sedikit pun dia menunjukkan dia gembira atas kejayaanku, Diah. Kalau boleh, dia mahu aku kerja saja dalam Perkhidmatan Awam atau jadi guru. Tak usah belajar lagi. Segala-galanya bertentangan dengan apa yang pernah kita cita-citakan dulu …” Air mata mula bergenang. Panas. Azadiah membisu seolah-olah memikirkan sesuatu. Merenung air yang mula meladung di mataku. Tingkat dua, bilik nombor enam, blok sembilan, Asrama Dunearn Road ini juga turut membisu. Seolah-olah kebisuan adalah jawapan kepada segala kedukaanku.

“Mungkin egonya tersentuh, Fairuz.” Akhirnya Azadiah bersuara.

“Egonya?” Soalku kurang percaya.

“Fairuz, sebagai lelaki, dia pasti mahu melebihi kelulusan kau. Dan bila ini tidak berlaku, dia tentu rasa…kurang senang…”

“Tapi bukan aku yang menentukan keputusan, Diah, dan tidak pernah aku menilai seseorang dari segi kelulusan,” aku membantah.

“Itu kata kau, tapi perasaan dia?”

“Orang yang di balik kertas kelulusan itu yang lebih penting, bukan sehelai kertas yang mencatatkan ‘Ijazah Kelas Pertama’. Dia tahu ini pendirianku, macam mana lagi harus aku yakinkan padanya?” Azadiah membisu sejurus mendengar keteranganku.

“Masalah kau berdua bukan masalah kelulusan saja, Fairuz. Cubalah fahami dia,” Azadiah menasihati satu persatu.

“Aku telah cuba fahami dia. Cuba fahami perjuangannya. Orang-orang yang terdekat dengannya. Tapi, aku tidak berdaya memaksa semua orang menerima aku. Aku tahu erti maruah dan harga diri, Diah. Kalau dia dapat belajar lagi, sudah tentu aku gembira, mengapa bila aku, begini reaksinya? Dulu ini semua telah kita rancangkan, kenapa sekarang …aku tak mahu aku dinafikan pelajaran tinggi hanya kerana aku seorang perempuan, Diah.” Air mata mula menitis setitik demi setitik.

“Aku faham, Fairuz, aku faham, “ kata Azadiah, tidak tahu apa lagi yang harus dituturkan kepadaku.

“Tapi dia tidak … dia tidak faham betapa perlunya aku untuk meneruskan pelajaranku. Betapa pentingnya ini untuk kehidupanku …”

Betapa segar peristiwa-peristiwa itu dalam kenanganku. Ya, kau inginkan seorang wanita yang tipikal, yang submisif, yang tunduk kepada segala kemahuanmu, sikap-sikap yang mungkin tidak ada padaku. Tetapi aneh bukan, mengapa pada mula dulu, sikap-sikapku yang tidak tipikal yang telah menarik hatimu. Aku bukan inginkan sesuatu yang mustahil, cuma aku mahu hidupku lebih bererti, sekurang-kurangnya untuk diriku sendiri. Dan kau lupa, tunduknya seorang perempuan juga harus bertempat, dan setegas-tegas Katharina dalam drama Shakespeare, pada ketikanya, dia taat dan mendengar kata Petruchio.

Keadaan kita bagaikan keadaan seorang penghidap suatu penyakit yang telah lama menular. Bagai barah leukemia yang memakan satu persatu darah putih pada tubuh manusia. Dan aku terkapai-kapai antara dua perhentian yang tertulis ‘Ya’ dan ‘Tidak’. Dan betapa daifnya seorang perempuan cuba meruntuhkan tembok-tembok prasangka dan pemisah yang telah begitu lama terbina, sedangkan kau, yang memiliki tukul besi dan bakal memecahkan tembok-tembok itu, enggan menggunakannya.

“Idealisme kita tidak pernah berakhir di kampus Bukit Timah, Fairuz. Bagaimana dengan sebuah cinta?” Kata-kata yang mengisi kad kecil yang manis yang terlekat pada jambangan mawar. Apa yang telah terjadi pada sebuah cinta yang kau biarkan tak bersuara? Tiba-tiba sekeping kad jemputan menjelaskan perubahan sikapmu. Akukah selama ini menggantungkan harapan kepada sesuatu yang tidak patut kugantungkan harapan? Betapa sukarnya menghadapi satu kenyataan yang memusnahkan sebahagian daripada cita-cita hidupku. Kau bersamaku dalam kesibukanku menyiapkan disertasi, bersamaku dalam berbagai-bagai masalah yang kuhadapi. Bersamaku pada tiap orang yang mula mendekati hatiku, bersamaku bagaikan bayangan kelam yang mengekori tiap langkah dalam hidupku. Ya, mungkin dua tahun di rantau orang itu, cinta telah bisu. Dan kalau kesepian itu boleh kunamakan, telah lama kunamakannya seorang perempuan.

Aku telah sampai ke estet perumahan baharu itu, dan membelok ke Avenue Tiga.

Kamal memanggil-manggil ibunya menyuruh bukakan pintu yang bermangga. Aku masuk ke dalam dan berbual-bual antara ketawa dan suara riang mereka. Dia menghulurkan sesuatu, mencium pipiku, dan dengan aman, duduk di sebelahku.

“Mal belikan mak cik hadiah, ya?” tanyaku, cuba menutupi rasa terharu.

“Tidak, “ jawabnya seloroh, “Mal ikut mak dan ayah beli hari itu.” Dan dengan cepat pula dia cuba ‘menolong’ bukakan bingkisan itu. Sekilas akau memandang wajah Zaidah, tidak tahu apa yang harus kuucapkan kepadanya.

“Kau selalu ke majlis-majlis rasmi, Fairuz. Masuk forum, ceramah, mungkin hadiah ini sesuai untuk kau, “ terang Zaidah sambil menguntum senyum. Aku membisu beberapa ketika.

“Kenapa dah lama tak main skuasy, kau takut kalah lagi?” Dengan nakal dia cuba menukar suasana. Aku tergelak dengan telatahnya.

“Kalah? Dengan kau? Sue Paton boleh kalah di tangan aku, kau tak mahu cakap. Eh Zai, satu kali kau menang, seumur hidupkah kau ingat?” Kami tertawa terbahak-bahak, mengingati bagaimana ‘cara’ dia menewaskan aku. Namun hajat sebenar bagi kunjungan awal ke rumahnya seolah-olah memekik-mekik minta diluahkan segera. Aku terdiam beberapa ketika.

“Amran hantarku jambangan mawar, Zai, “ tuturku perlahan, takut keriangan yang sejak tadi menghuni di dewan rumah ini akan bertempiaran. Zaidah tidak menyambung cakap. Lama. Cuma Kamal yang kadangkala bersuara, sementara terlentok-lentok menahan mengantuknya.

“Biar aku berterus-terang, Fairuz. Beberapa bulan sebelum kau balik, dan sampai sekarang, Amran ada menghubungi kami bertanyakan hal kau. Azadiah dan Hilmi pun dihubungi. Kita rahsiakan ini sebab tak mahu kebahagiaan kau terganggu …” Berita itu sungguh mengejutkan aku.

“Am …dia tak bahagia, Zai?”

“Dari cakap-cakapnya, begitulah.” Zaidah membisu sesudah meluahkan itu. “Maaf, Fairuz, aku terpaksa jadi brutally frank. Masihkah kau ingatkan Amran?” Bagaimana seorang insan sepertinya dapat kulupakan?

“Ya, “ sukarnya aku meluahkannya.

“Cintakannya?” Aku tidak menjawab. Teringat kata-kata Profesor Van Baal dalam salah sebuah ceramahnya: “Love is telling someone that you care he exists.” Masih cintakannya?

“Kita sudah lama berkawan, Fairuza,” tutur Zaidah, lembut. “Aku rasa berhak juga memberitahu kau sesuatu, walau ia nanti menyakitkan hati kau. Daripada surat-suratmu dulu dan keadaan kau sekarang, kau nampaknya bahagia. Cuma satu saja, aku rasa yang kau tidak bahagia sepenuhnya. Kau masih belum melupakannya, walau tidak sepatah kau tanyakan halnya sejak …” Kata-kata Zaidah mati di situ. Dia tidak tahu, semasa menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Changi dulu, wajah pertama yang ingin kulihat adalah wajah Amran, walaupun jika dia yang datang hanyalah Amran sebagai kawan.

“Kau tidak berlaku adil pada hidup kau, Fairuz,” Zaidah menyambung. “Kenangan kau kepada Amran begitu tebal sehingga hati kau seolah-olah tertutup. Kau tidak membenarkan orang lain mencintai kau, hanya kerana dia bukan Amran, bukan cinta pertamamu. Apa guna diingat lagi, Fairuz? Kau sendiri tahu, Johari cintakan kau, apalagi yang kau tunggukan?

“Bukan aku tidak berlaku adil, Zai, tapi cinta bukan sekadar mengisi ruang, atau dibalas kerana kesepian. Sama ada orang itu Johari, atau sesiapa pun, aku harus yakinkan ini pada diriku dulu. Aku harus percaya dulu, Zai, kau faham? Dan janganlah kau bimbang sangat, aku bahagia sekarang, dan perkara itu, biarlah Tuhan saja yang menentukan, Zai.” Terasa dadaku lega setelah melahirkan ini kepadanya. Zaidah mengangguk-angguk setuju. Suasana berubah seperti waktu mula-mula tadi. Kamal sudah tertidur di sisiku. Zaidah membiarkan anaknya tidur di sofa itu. Kami rancak berbual sementara memakan makanan tengah hari. Setelah berehat, aku meminta diri daripada Zaidah dan berjanji akan datang selepas maghrib untuk menikmati hidangan istimewanya.

Keretaku meluncur laju, bersamanya tertayang sekali lagi peristiwa-peristiwa masa silamku.

Kau pernah menyifatkan aku sebagai seorang survivor, bukan quitter, malah kau pernah berkata, aku berpendirian tegas dan cekal hati, lantas dapat menghadapi segalanya. Tetapi kau lupa, setegas-tegas seseorang, dia kenal juga erti pilu dan air mata. Dan kini, bagai sebuah lagu lama, kau berkumandang lagi dalam hidupku, membuat aku menjadi nostalgik dan perindu. Akukah penyanyi yang layak mengalunkan lagu lama itu?

Benar, seperti kata Zaidah, aku masih belum melupakan kau. Bagaimana seseorang dapat melupakan sebuah impian yang terindah dalam hidupnya? Terlalu banyak keindahan yang kau kenalkan kepadaku, bagaimana dapat kupadamkan semuanya daripada pita kenangan hidupku. Segala-galanya yang pernah kita angan-angankan untuk masa depanku kini menjadi kenyataan. Aku berjaya mendapat ijazah kedoktoranku, bahagia dengan kerjayaku, penglibatanku, kegemaranku dan bahagia dalam kebahagiaan keluarga dan kawan-kawan rapatku. Benar, aku tidak seradikal dulu. Dunia tidak berubah dengan adanya seorang insan seperti aku, Hon Kwong atau Juliet. Kita telah didamaikan oleh kehidupan dan dunia. Tetapi idealisme melulu yang pernah kau kata kita miliki, tidak mencair dalam proses pendewasaan ini. Segala-galanya yang pernah kau doakan untuk hidupku telah dikabuli, kecuali sebuah mimpi.

Sebelas kuntum mawar. Mengapa kau kirimkan sebagai hadiah? Kau menyesal, terasa bersalah, atau fikirmu, sekarang aku, Fairuza binti Muhammad, lebih mendekati apa yang kau namakan perjuanganmu? Kau lupa, setiap pencarian itu akan berakhirkan penemuan, dan manusia akan berubah, tetapi bukan kerana paksaan. Tetapi bukan aku orangnya yang wajar menjatuhkan hukuman ‘betul’ atau ‘salah’ kepada watak seorang Tess atau Angel Clare, atau sebuah cinta. Dan betapa pun kenyataan, aku bukanlah seorang pelarian.

Memang idealisme kita tidak pernah berakhir di kampus Bukit Timah, tetapi sekarang yang ada hanya kampus Kent Ridge, bukan lagi Bukit Timah. Dan banyak perkara boleh kita kongsikan dengan seseorang, tetapi tidak semua perkara boleh kita kongsikan dengan seseorang, walau betapa kita saling sayang-menyayangi. Aku kini bergiat cergas dalam beberapa persatuan, terutama persatuan yang cuba meningkatkan taraf dan kebajikan untuk wanita, bagaimana akan aku mulakan sesuatu perhubungan yang bertentangan dengan pegangan dan penglibatanku? Bukankah kau pernah berkata, aku seorang wanita yang tegas dan cekal hati, pada suatu ketika dahulu?

Aku hampir sampai ke tempat yang ingin kutujui. Entah mengapa apabila melihat hadiahmu, aku terkenangkan sebuah lagu lama, nyanyian kumpulan The Beatles, yang dulu kita minati, yang sering menemani waktu-waktu sepiku:

The long and winding road
That leads to your door
Will never disappear
I’ve seen that road before
It always leads me here
Lead me to your door

The wild and windy night
That the rain washed away
Has left a pool of tears
Crying for the day
Why leave me standing here?
Let me know the way

Many times I’ve been alone
And many times I’ve cried
Anyway you’ll never know
The many ways I’ve tried

And still they lead me back
To the long winding road
You left me standing here
A long long time ago
Don’t leave me waiting here
Lead me to your door’

Seorang pegawai berbangsa Amerika, David Richardson, menyambut kedatanganku di Pusat Pelarian itu. Beberapa orang kawan juga berada di tempat itu. Bukan, hari ini bukan giliranku untuk mengajar, aku memberitahu David. Dia mengucapkan terima kasih kepadaku dan setelah berbual-bual, aku keluar dari tempat itu.

Kereta Ford Laserku sampai di Admiralty Road dan dengan kelajuan sederhana, aku menuju ke rumah. Hadiah jambangan mawar itu tiada lagi di sisi. Mungkin ia dapat menyerikan kehidupan pelarian-pelarian Vietnam di Hawkins Road tadi.

Ditulis: 6 November 1981
Tulisan: Rasiah Halil.

* Nama watak utama cerpen ini, Dr. Fairuza binti Muhammad pada mulanya (1981) saya beri nama ‘Dr. Hana binti Ahmad’. Saya kerap menggunakan nama ‘Hana’ dalam cerpen-cerpen saya kerana gemarkan nama ini dan ini ditukar apabila saya menghantar kumpulan cerpen saya Orang Luar kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia/DBP pada 1990 dan ia diterbitkan pada 1991. Nama suami Zaidah, Alwi, pada mulanya (1981) saya tulis sebagai ‘Saifudin’, juga ditukar dalam kumpulan cerpen yang dihantar kepada pihak DBP pada 1990. Dan nama Azadiah dan Hilmi ditukar sebanyak dua kali – pada 1981, nama mereka ditulis sebagai ‘Timah’ dan ‘Anwar’ tetapi semasa menghantar kumpulan cerpen saya kepada pihak DBP, nama-nama itu ditukar kepada nama-nama yang bermula dengan abjad ‘A’ dan ‘H’. Untuk masukan blog kali ini dan seterusnya, nama-nama watak ini kekal sebagai ‘Azadiah’ dan ‘Hilmi’. Saya menukar ketiga-tiga nama kawan Dr. Fairuza kerana sebab-sebab tertentu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s