Catatan Kecil 2 – Februari 2015

Dalam hikayat silam, kelahiran anak raja atau orang berkepentingan selalu ditandai oleh dua hal – anak itu akan membawa tuah kepada orang tua dan negaranya atau sebaliknya. Anak yang dianggap membawa nasib malang bagi ibu bapanya (selalunya raja dan permaisuri) akan diramal oleh ahli nujum dan kelahirannya dileraikan dengan membuangnya dari istana atau dia dibunuh. Demikian besar peranan ahli nujum dan demikian percayanya orang-orang tertentu bahawa seseorang anak sudah tentunya membawa tuah atau nasib buruk kepada keluarga dan negaranya.

Walaupun masyarakat kita sudah semakin maju, kepercayaan bahawa ada anak dilahirkan ‘bertuah’ atau sebaliknya masih juga diyakini sebilangan kita. Namun, semua anak dilahirkan suci, jadinya dia orang yang baik atau sebaliknya banyak bergantung bagaimana keluarga dan masyarakat sekitar yang membentuknya serta usahanya sendiri. Hadis Nabi s.a.w. ada menjelaskan hal tersebut.

Apakah sebagaimana pada zaman hikayat, kita menentukan segalanya kerana mimpi atau ramalan ahli nujum? Tentulah ini tidak logik dan kurang adil bagi kehidupan sesiapa pun. Mimpi itu permainan tidur dan adakalanya mimpi membolehkan kita menjengah ke masa hadapan. Tetapi tidak semua mimpi itu benar dan sebilangan mimpi boleh membuat kita tidak berpijak di bumi nyata atau berlegar dalam yang khurafat.

Memang ada manusia diberi kelebihan dapat menjangkau ke masa hadapan melalui mimpi – mungkin dia seorang yang benar-benar alim atau orang yang Allah anugerahi kelebihan begitu. Tetapi hidup kita tidak boleh bergantung kepada pandangan orang-orang begini sahaja. Kita diberi akal dan nurani serta tulang empat kerat untuk berusaha dan kita juga boleh bersolat istikharah untuk memilih jalan yang paling sesuai jika menghadapi jalan buntu dalam membuat pilihan. Dan setelah bersolat istikharah kita harus menerima apa pun akibat daripada keputusan kita kerana ia bukan suatu permainan.

Berkait rapat dengan mimpi tentunya pelbagai ramalan mengenai kehidupan kita yang diramalkan tukang tilik, bomoh dan orang-orang seumpama itu serta ramalan-ramalan bintang dan haiwan. Berdekatan dengan rumah saya terdapat beberapa gedung membeli-belah. Salah satunya memaparkan haiwan-haiwan dalam perkiraan tahun bagi masyarakat Tionghoa serta ciri-ciri sesiapa yang dilahirkan pada tahun haiwan tertentu. Ada haiwan dianggap lebih baik dan membawa tuah bagi mereka yang dilahirkan pada tahun tersebut dan ada pula sebaliknya. Malah, ada menganggap kerancakan ekonomi juga bergantung kepada tahun haiwan tertentu. Saya dapati ramai yang tertarik membaca paparan besar di luar gedung membeli-belah itu – mungkin sekadar ingin tahu tetapi ramai juga yang mempercayai ciri-ciri haiwan tahun kelahirannya adalah ciri-cirinya.

Pernah juga kita membaca dahulu orang-orang ternama juga menggunakan khidmat tukang tilik, bomoh dan sebagainya. Tentunya tukang tilik zaman ini sudah semakin canggih dan tidak perlu menjadi seperti P.Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang. Bertahun-tahun orang mengkaji mengenai ekonomi atau psikologi tetapi yang diguna pakai atau dipentingkan hanya orang-orang yang dianggap ada ilmu ‘ghaib’ boleh meramal segalanya – tanpa perlu mengkaji fenomena tertentu dengan mendalam. Setiap langkah mesti ada ‘pengeras’nya atau mengikut telunjuk si tukang tilik yang kini amat canggih dan fasih berbahasa Inggeris dengan jargon intelektualnya sekali. Betapa mudah kita terpesona dengan orang-orang begini dan sekali gus memusnahkan kehidupan kita, sedikit demi sedikit.

Kalaulah hidup ini hanya sekadar mengikut apa yang diramal dalam mimpi, tukang tilik atau bomoh, apalah makna kehidupan ini sebenarnya? Dalam hidup ada juga perancangan walaupun tidak semua perancangan itu boleh membuahkan kejayaan. Kita sebagai manusia mentadbir kehidupan ini sebaik mungkin dan Allah lah yang mentakdirkan segalanya.

Setiap kita bermimpi dan mudah-mudahan kita juga ada impian dalam hidup ini. Impian kita mungkin tidak besar atau hebat yang boleh menggegar dunia – tapi cukuplah kita ada impian dalam hidup kita. Dan kadangkala kita terpaksa melalui pelbagai liku untuk mencapai impian kita. Impian kita boleh berubah, ditukar haluannya dan sebagainya tetapi inti daripada impian itu mungkin masih kita miliki. Kalau impian atau cita-cita hidup kita untuk berbakti kepada masyarakat melalui ilmu kedoktoran tetapi kita tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran walaupun mendapat markah yang baik, mungkin kita boleh memilih bidang yang ada kaitannya dengan kesihatan, kerana inilah saluran bakti bagi kita. Tapi konsep ‘berbakti kepada masyarakat’ itu banyak cabangnya. Akhirnya, melalui jalanan kehidupan dan cabarannya kita akan tahu bagaimana kita dapat mencapai impian kita untuk berbakti kepada masyarakat misalnya, tanpa menggadaikan nurani dan harga diri kita.

Dalam tidur ada mimpi, dalam jaga ada impian. Dan betapa pun ia mungkin ‘tergelincir’ sedikit, dengan usaha dan doa, insya-Allah ia boleh tercapai. Kadangkala Allah ‘melencongkan’ kita daripada impian asal kita kerana pilihan-Nya lebih baik untuk kita. Kita bersedih kerana impian kita tidak kesampaian dan terlupa ada perancangan yang lebih baik menanti kita. Bak dipuisikan oleh Robert Frost dalam sajaknya ‘The Road Not Taken’:

Two roads diverged in a wood, and I –
I took the one less travelled by,
And that has made all the difference.’

Mimpi dan ramalan daripada pihak-pihak tertentu bukan penentu impian dan cita-cita hidup kita. Allah lah tunggak harapan kita dan penentu segalanya. Dengan menggunakan pemberian-Nya sebaik mungkin – akal, nurani dan tulang empat kerat, insya-Allah betapa berliku pun, impian kita boleh tercapai, walaupun perit dan hempedunya terpaksa kita hadami sekarang. Tapi yang perit dan hempedu itulah yang ‘made all the difference’.

Tulisan: Rasiah Halil
12 Februari 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s