Mimpi Apa Anda Semalam?

Nujum Pak Belalang 1Nujum Pak Belalang 2

Apakah yang anda mimpi semalam? Masihkah anda ingat atau ia sekadar permainan tidur yang tidak meninggalkan apa-apa kesan? Ada orang berkata dia jarang benar bermimpi dan ada orang pula, mimpinya kalah keluaran Hollywood, Bollywood, Malaywood dan Hong Kongwood sekali gus. Adakah mimpi anda dalam warna hitam putih bagaikan kebanyakan filem Melayu keluaran Shaw Brothers dan Cathay Keris atau berwarna-warni seperti filem-filem Steven Speilberg? Atau ada orang yang sedikit ‘charac’ atau ‘action’ akan berkata, dia tak ingat sangat sebab tak pakai cermin mata semasa tidur…

Tiap orang bermimpi setiap malam, menurut kajian, tetapi sebahagiannya tidak dapat mengingat mimpi-mimpi mereka. Melalui R.E.M. (‘Rapid Eye Movement’, bukan nama kumpulan muzik) dapat dijejaki berapa banyak mimpi yang melanda seseorang dalam semalam. Menurut orang tua-tua pula, mimpi yang terbaik berlaku dalam keadaan kita bersih/berwuduk dan dalam sepertiga malam sebelum subuh. Dan kita selalu dinasihatkan agar membaca ayat-ayat suci apabila mendapat mimpi buruk dan jangan menghebahkan sesebuah mimpi yang boleh menimbulkan tengkarah. Islam sendiri menggalakkan kita bersembahyang istikharah dan tidur (serta bermimpi) sebagai salah satu ikhtiar bagi membuat sesuatu pilihan atau langkah dalam kehidupan. Melalui mimpi tersebut dapat ditafsir langkah atau pilihan mana yang harus dibuat, dengan izin Allah.

Mimpi kadangkala menjadi alamat mengenai keadaan yang telah anda alami, misalnya kerisauan anda atau yang akan dialami. Pernahkah anda bermimpi pergi ke sesuatu tempat yang tak pernah anda kunjungi, dan kemudian, tanpa anda sedari anda kunjungi tempat itu semasa jaga dan seolah-olah anda mengenali betul tempat itu? Ini disebut juga sebagai sebahagian daripada E.S.P. (‘extra-sensory perception’ /sixth sense): indera yang keenam yang kadangkala boleh membantu seseorang, misalnya dalam penyiasatan dan sebagainya.

Mimpi yang melanda kita juga berbagai. Sri percaya tiap seorang daripada kita pernah bermimpi dikejar hantu atau anjing. Lari punya lari akhirnya anda di situ juga dan ketika hantu atau anjing itu betul-betul nak menyerang anda, tiba-tiba, bagai iklan yang tidak diundang, anda terjaga. Anda masih tercungap-cungap, berpeluh dan kaki anda terasa letih, maklum dah lari jauh (walhal dalam hidup nyata, anda mungkin malas berlari-lari anak walaupun untuk beriadah). Anda berasa seram nak tidur lagi, terkebil-kebil sepanjang malam sebab takut diserang lagi hantu atau anjing tadi…

Tidak kurang pula orang yang mimpinya demikian mengasyikkan dan bagaikan siri ‘soap opera’, boleh disambung-sambung, tiap kali bila terputus. Kadang mimpi-mimpi ini boleh bersambung sehingga seminggu. Mungkin anda ada kawan sebegini. Perwatakan dan jawatannya begitu serius dan profesional, malah orang-orang begini juga terpaksa mengimbangi bekerja sepenuh masa yang menuntut banyak perhatian, menjadi isteri dan ibu, tetapi pada waktu malam, mereka dilanda siri ‘soap opera’, kalah siri ‘Dallas’ dan ‘Dynasty’. Mungkin orang-orang begini, fikir Sri, ada bakat terpendam nak jadi penulis skrip drama jenis ‘soap opera’ lantas sering diilhami dalam mimpi. Atau mereka sebenarnya lebih ‘hidup’ dalam mimpi kerana kehidupan harian mereka kurang unsur ‘gila-gila’ macam Sri.

Mimpi sering dikaitkan dengan mengigau dan berjalan dalam tidur. Pernahkah anda alami ini? Adik Sri semasa berumur 9 ke 10 tahun, sering tertidur semasa kami menonton TV pada waktu malam, pada akhir tahun-tahun 60-an dahulu. Dia akan terbangun, mata tertutup, berjalan ke arah ibu Sri, menggeletek ibu Sri, kemudian keluar dari pintu, berjalan di halaman rumah kami yang luas (rumah bertaman) sehingga sampai ke pintu pagar. Dia akan berhenti, kerana pintu pagar selalunya ditutup atau bermangga, merentasi lagi halaman luar, masuk melalui pintu rumah, mencari ibu Sri, menggeleteknya sekali lagi, dan kemudian kembali tidur. Ini berlaku beberapa kali pada tahun-tahun 60-an itu tetapi adik Sri tidak sedar, melainkan dikejutkan. Nasib baik ini tidak berterusan sehingga dia dewasa, bayangkan betapa jika dia terus menggeletek dan berjalan dalam tidur tanpa hentinya…

Ada orang pula suka mengigau. Semasa tinggal di asrama dulu, ada juga Sri mengigau; kawan-kawan Sri tahu Sri mengigau bila ada perkara yang terlalu mengganggu kehidupan Sri. Tak boleh bercakap dengan mereka, sesekali perkara-perkara yang mengganggu itu terkeluar dalam mengigau…dan terbongkar sebilangan rahsia, walaupun kata mereka Sri bercakap macam rakaman rosak…bercampuk aduk. Dan ada juga berkata, semasa Sri di luar negara, Sri mengigau bukan hanya dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi sesekali terkeluar bahasa-bahasa lain…inilah agaknya cita-cita ‘polyglot’ (orang yang pandai pelbagai bahasa) yang terpendam dan tak kesampaian kecuali dalam igauan dan mimpi…

Sri percaya anda juga pernah mendapat mimpi aneh mengenai orang-orang yang anda kasihi, sebelum, semasa atau sesudah kejadian yang mereka alami, walaupun anda tidak diberitahu mengenai perkara tersebut. Kadangkala beberapa orang ahli keluarga mendapat mimpi yang sama pada satu malam, seolah-olah mengejapkan makna mimpi tersebut. Sri percaya, ikatan kasih suci dan keikhlasan itu kuat, sebab itu kita kadangkala diilhami sesuatu mengenai orang-orang yang kita sayang, melalui mimpi.

‘Malam ku bermimpi hai dengan satu bintang…’nyanyian P.Ramlee dan Saloma, ‘bintang hati’ yang manakah anda akan mimpi malam karang?

Ditulis: 7 September 1998
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu Singapura, 13 September 1998
Tajul Asal: Mimpi Dan Ramalan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s