Tahi Lalat: Pemanis Ya, Tapi Bukan Penentu Segalanya

Latifah Omar 1 Latifah Omar 2 Latifah Omar 3

Bayangkan jika ada sekumpulan orang yang baru belajar bahasa Melayu dan mereka belum pandai menggunakan rangkai kata, hanya beberapa perkataan saja mereka tahu. Lantas, jika anda suruh mereka terjemahkan perkataan Inggeris ‘housefly’, akan mereka terjemahkan: ‘rumah terbang’. Dan jika anda suruh mereka beri makna ‘tahi lalat’, pakai nampak lain pula terjemahan mereka, rasanya tak bolehlah Sri tuliskan di sini…

Tahi lalat ini banyak pula kisahnya. Ada tahi lalat ‘hidup’ yang turut membesar bersama kita. Ia menjadi pemanis, tapi kita terpaksa juga tengok di mana letaknya tahi lalat ini. Kena pada orang lelaki, ada pula yang tak suka, macam kawan zaman kanak-kanak Sri. Budaknya agak kacak, ketika itu berumur lebih kurang 9 ke 10 tahun. Tapi tahi lalat hidupnya, walaupun kecil, betul-betul terletak di bahagian atas bibir, macamlah Cindy Crawford. Tiba-tiba satu hari tahi lalatnya hilang — rupa-rupanya dia menggunakan pisau cukur dan ‘mencungkil’ tahi lalat itu. Ada orang pula suka pada tahi lalat hidupnya dan enggan menghilangkannya walaupun ditakutkan mungkin ia satu ketumbuhan. Macam kisah seorang lagi kawan Sri. Kerana namanya agak biasa, walaupun dah dilagukan P. Ramlee, lantas tahi lalat hidup itulah menjadi semacam signature/lambangnya. Jadi orang selalu sebut: Zai yang mana, oh Zai yang tahi lalat kat hidung tu…

Bagi orang dulu-dulu, tahi lalat boleh membawa berbagai makna. Dikatakan orang yang bertahi lalat di hidung kiri itu lekas cemburu sedangkan mereka yang bertahi lalat di telinga dikatakan mudah dapat menangkap percakapan orang, walaupun jauh atau orang berbisik. Kalau banyak tahi lalat di tapak kaki, dikatakan anda suka merantau atau tak betah kalau bekerja sekadar terperuk di pejabat kerana anda suka merayap. Kalau banyak tahi lalat di jari, anda pandai menulis dan kalau anda ada tahi lalat di bahu, anda banyak memikul tanggungjawab. Sri, seperti ibu Sri, bukan sekadar mempunyai tahi lalat di satu bahu, malah kedua-dua bahu dan ada pula sepasang yang selari di bahu dan dada. Wah, ini tentu berat tanggungjawab, padanlah badan Sri pun berat… padahal dengan andaian yang sama, ibu Sri pula berbadan langsing dan taklah tinggi orangnya.

Kalau anda ada tahi lalat di tengah-tengah dahi, dikatakan anda akan mencapai cita-cita anda, walaupun sukar. Dan tahi lalat di pelupuk mata akan menjadikan anda orang kaya. Kononnya tahi lalat di tengah-tengah dada, anda akan ‘ditikam’ tapi mungkin ditikam penyakit dan sebagainya dan bukan mata pisau. Tahi lalat di bibir pula menjadikan anda orang yang petes. Semasa kanak-kanak, Sri mempunyai tahi lalat di bibir, agaknya peteslah tu, tapi bila Sri tinggal bersama keluarga Sri, tahi lalat tu beransur hilang. Habislah petes Sri, dah jadi pendiam. Sekarang, tanpa tahi lalat itu pun, kadangkala Sri bercakap macam tak mahu berhenti dan kadangkala terlalu pendiam macam tak tahu bercakap… Tapi antara kisah-kisah tahi lalat, yang sukar Sri lupakan ialah tahi lalat pelakon Latifah Omar. Bila terlihat tahi lalatnya, kita yang kecil-kecil ketika itu nak sangat tahi lalat dan kecantikan sepertinya bila dewasa walaupun sampai kini belum kesampaian nampaknya. Dan tahi lalat penyanyi yang masyhur (17), terpaksalah kita pakai lain kitab untuk tafsirkan…

Ada orang pula mempunyai kelebihan ilmu firasat. Melihat seseorang dia dapat meneka mengenai masa depan orang itu, dan acapkali tepat. Seorang pekerja bapa Sri dulu mempunyai kelebihan ini. Perkara yang diucapkan terkeluar saja dari mulutnya tanpa disangka-sangka. Misalnya semasa zaman kanak-kanak, dia berkata dua orang saudara Sri akan menjadi kaya; seorang dengan usahanya sendiri di negara yang jauh dan seorang lagi, kekayaan diberikan padanya. Setelah dewasa perkara ini ternyata benar. Orang ini juga pernah berkata kepada wanita yang kami kenal: dia akan mati di rumah suami pertamanya dan suami pertamanya amat menyayanginya. Ini kemudian benar-benar berlaku. Ada pula mudah ternampak buruk atau baik seseorang walaupun terselindung.

Salah satu ilmu firasat orang Tionghoa pula ialah dengan melihat gurisan-gurisan di jari-jari anda. Jika di tiap pangkal jari anda gurisannya merupakan bulatan konsentrik (concentric circles) yang tak terputus, dan anda memiliki lima atau lebih daripada lima jari sedemikian, hidup anda akan kaya. Semasa kanak-kanak, saudara-saudara jiran Tionghoa Sri sering ke rumah nenek Sri setelah melawat saudara mereka. Dalam salah satu lawatan, mereka memeriksa jari-jari Sri, ketika itu Sri berumur 3 ke 4 tahun dan sedang tidur. Kata mereka Sri akan menjadi kaya bila dewasa kerana Sri memiliki 7 jari sedemikian. Nenek kemudian memberitahu Sri mengenai peristiwa itu. Dan bila Sri dewasa, Sri tanyai nenek, kata Sri akan jadi kaya, kenapa tak kaya? Jawapan nenek Sri amat mengesankan sehingga kini: kenapa Sri ingat kekayaan itu hanya dengan wang ringgit saja? Lantas tak hairanlah Sri kini ‘kaya’… tapi kaya lemak saja…

Tahi lalat dan sebagainya kadangkala memang manis dan kisahnya indah didengar, tapi sukar pula nak percaya ia penentu segalanya. Kalau tidak, dah lama manusia tambah atau tukar tahi lalat/gurisan di jari dan terkaan-terkaan orang terhadap masa depannya…

Ditulis : 18 April 2001
Tersiar : Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu (Singapura), 22 April 2001
Tajuk Asal: Kisah Tahi Lalat, Firasat dan Sebagainya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s