Apakah Keihsanan Kita Berwarna?

Esei 1Esei 2

Beberapa tahun dahulu seorang kenalan Sri mempelawa Sri mengambil anak Bosnia sebagai anak angkat. Memanglah hati Sri terharu mendengar tragedi yang berlaku di Bosnia pada tahun-tahun 90-an itu tetapi ajakan kenalan Sri itu sukar pula Sri penuhi. Ajakannya bersalut kata-kata yang kurang menyenangkan Sri: ambillah, kanak-kanak ini putih dan comel. Dalam diam, Sri terfikir, apakah kenalan Sri akan seghairahnya terhadap kanak-kanak berkulit hitam dari Afrika atau kanak-kanak berkulit sawo matang dari Nusantara. Apakah keihsanan kita tercuit kerana mangsa sesuatu tragedi atau bencana itu orang-orang yang lebih cerah, cantik atau berada?

Fikiran yang sama bermain-main dalam otak Sri bila mengikuti bencana taufan Katrina yang melanda New Orleans, Alabama dan Mississippi. Seperti kebanyakan orang, Sri tertanya-tanya mengapa bantuan yang didatangkan begitu lambat, tiadanya penyelarasan yang lebih jitu dan mengapa dengan pelbagai amaran mengenai taufan ini, empangan-empangan tidak diperkukuhkan di tempat-tempat yang terdedah pada pukulan taufan itu? Tentunya banyak punca yang menyebabkan kecelaruan di ketiga-tiga tempat ini, cuma soalan kebanyakan orang, seandainya bencana ini berlaku di negeri-negeri yang lebih kaya di Amerika Syarikat, akankah kecelaruan sebegini berlaku?

Dan dalam mengikuti perkembangan taufan Katrina, kita maklumi juga beberapa nahas udara di Medan dan beberapa tempat, kebakaran di Perancis dan Mesir, selain satu lagi taufan besar yang kini melanda Jepun, iaitu taufan Nabi (kupu-kupu dalam dalam Korea), tragedi runtuhan lombong di China, perang saudara dan perang di beberapa pelosok dunia. Kadangkala membaca akhbar atau mendengar berita, kita mula kecut perut. Bencana dan nahas seolah-olah menjenguk di mana-mana.

Memang sebagai manusia biasa kita lebih mudah tersentuh bila mangsa itu lebih menyerupai kita atau kadangakala memenuhi impian kesempurnaan kita. Tetapi mangsa apa pun tragedi tidak pernah memilih untuk menjadi mangsa. Dengan keadaan dunia yang semakin dihubungkait, sukar bagi kita bertindak seperti burung kasuari; menyembunyikan kepala dalam tanah dan menganggap selagi kita tidak melihat sesuatu masalah, masalah itu sebenarnya tidak wujud. Bencana Katrina ini sebenarnya menyelongkar beberapa masalah dan lingkaran musibah yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib di sana, sejak dulu lagi. Bak kata seorang pakar bencana dari rancangan televisyen yang Sri ikuti: bencana ini menampilkan wajah sebenar ketiga-tiga negeri Teluk itu; bahawa yang hidup susah, terutamanya orang-orang kulit hitam, bagaikan terabai begitu lama. Dan kita, sebagai orang luar, yang mengikuti filem dan siri dari Hollywood, sering didodoikan dengan yang indah-indah di sana dan kegemilangan apa yang disebut sebagai ‘Impian Amerika’. Ternyata impian ini boleh juga memandang bulu dan warna. Melihat tragedi di New Orleans terutamanya, Sri terfikirkan perjuangan Martin Luther King dan Malcolm X pada tahun-tahun 60-an dulu – apakah kata-kata Dr King ‘I Have a Dream’ untuk sebuah Amerika impian untuk semua semakin berkecai sebagaimana yang tergambar dalam bencana Katrina ini – bahawa orang-orang kulit hitam masih jauh daripada apa yang diimpikannya dan rakan-rakan seperjuangannya?

Apakah keihsanan kita ‘berwarna’ mungkin menyentuh kita dari segi lain di Singapura? Misalnya, adakah kita berasa ihsan atau mengambil berat terhadap seseorang itu apabila orang tersebut memberi ‘warna’ kepada kita dalam bentuk wang. Dalam keadaan hidup kita yang semakin rancak, terdapat juga sebilangan anggota masyarakat kita tertinggal jauh. Wang gajinya tidak dapat menampung keperluan keluarganya. Kadangkala kita menyuruh mereka meningkatkan diri, sebagaimana orang-orang New Orleans disuruh meninggalkan kediaman mereka sebelum taufan Katrina melanda, tetapi sebagaimana mereka, kita terlupa orang-orang ini mungkin tiada wang tambang, kereta atau terlalu dikendala oleh pelbagai masalah sehingga sukar baginya meninggalkan New Orleans, atau bagi kita, mengikuti kursus-kursus yang kita anjurkan. Adalah penting badan-badan yang terlibat tidak hanya menganjurkan sesuatu untuk golongan yang tertinggal ini tetapi yang lebih utama, mencari punca-puncanya bila sesuatu kelompok sukar menyahut seruan peningkatan atau perubahan yang cuba kita anjurkan. Tanpanya, sebagaimana yang berlaku di ketiga-tiga negeri Teluk di Amerika, ramai yang akan terkandas atau terus dalam lingkaran musibah yang sukar diputuskan untuk beberapa generasi.

Keihsanan yang ‘berwarna’ juga kita temui dalam beberapa kejadian terhadap golongan tua kita. Di estet perumahan Sri ada seorang lelaki tua yang tiap pagi duduk di salah sebuah bangku dekat rumah pangsa Sri. Dia bertongkat kaki empat seperti kereta bayi, dibawa makanan dalam plastik yang diikat pada tongkatnya. Dari awal pagi sehingga larut malam dia akan duduk dan tidur di beberapa buah bangku di situ, malah kadangkala dia buang air kecil juga di sana. Anaknya hanya membenarkannya pulang ke rumah pada larut malam. Di sebuah lagi estet perumahan, kejadian yang hampir serupa berlaku; seorang wanita tua dibiarkan duduk di kolong rumah pangsa dari pagi sehingga anak dan menantunya pulang. Dia tidak diberi makanan atau wang; hanya jiran-jiran yang kasihankannya memberinya makanan. Kedua-dua warga senja ini terbiar kerana mereka bukan orang senang. Seandainya mereka orang-orang senang atau dianggap tidak membebankan, tentunya rasa ihsan anak-anak mereka akan berubah. Dengan ‘warna’ nya wang, yang terbiar pun boleh disenangi. Adalah penting rasa ihsan kita tidak dikelabui warna sama ada warna kulit atau wang. Orang yang dilanda petaka, yang terbiar hidupnya dan sebaginya, tidak memerlukan kata-kata, tetapi kesungguhan semua pihak untuk menyelesaikannya. Dan biarlah kita, sebagaimana kata Nelson Mandela menjadi bagaikan warna pelangi; indah dalam kelainan warna tetapi tetap satu dalam warna kemanusiaan kita.

Ditulis: 7 September 2005
Tersiar: Ruangan Sri Anggerik, Berita Minggu, Singapura, 18 September 2005
Tajuk Asal: Apakah Keihsanan Kita Berwarna?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s