Lima Sajak : Alkisah/Cordelia/Dang Anum/Gunung Ledang/Cakerawala & Kita

Alkisah

Kerana esok hanya menjanjikan kehilangan,
kita pun berpaut kepada semalam, terapung
bersama jerami-jerami waktu, yang bakal
menghanyutkan masa kini & masa depan.
Terlalu ghairah menjaga, pusaka ini
tidak pernah kita nilai, & terlupa menyoal,
betapa tiba-tiba timbul si penglipur lara,
mengajar kita bahasa ketawa & alpa,
sedang hikayat kita belum pernah selesai.

Pentas ini pernah dihidupi seorang Fansuri,
ahli-ahli falsafah, sarjana, ahli seni,
apakah dengan adegan-adegan longgar &
watak-watak lemah,
bakal kita teguhkan sebuah tragedi?

Ditulis: 19 Oktober 1982
Panggung Victoria, Singapura – Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Cordelia

Lear tidak pernah mendengar
sayupnya suara kejujuran
kerana kepura-puraan itu lantang
& kau ditakdirkan pendiam.

Betapa terbatas keupayaan
bila kasihmu disalah-ertikan
menghukum tanpa keadilan
membelenggu dalam kesengsaraan
kerana makna cinta Raja Lear
digadai kata-kata & mahkota.

Kau tidak sepetah Goneril, Regan,
atau mahir memadui kata
lalu kejujuranmu menjadi pedang
memutuskan kasih Lear
menghunus kau keluar dari istana.

Inilah kepedihan
tika Lear menyingkir kasih anak setia
& Regan & Goneril memperbudak
cinta seorang bapa
dilucuti maruahnya
terbuang di padang terbuka
& jiwa Lear hancur diributi tanda tanya.

Di medan perang membela Lear
terlambat seorang bapa memahami
dalamnya cinta Cordelia.

Ditulis: 26 April 1985
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dang Anum

Kerana senjata wanita bukan hanya parasnya
kau diperbesarkan dengan nilai-nilai
dibendung oleh adat
diajar mengenal batil & hak
agar menjadi permata
berkilau untuk bangsa.

Kejelitaan wanitalah belatinya
tika raja memandang wanita
bagai perhiasan peribadi
& terlupa
seorang wanita pintar
adalah srikandi
dalam jagat raya lelaki.

Betapa ranum buah-buah fitnah
di taman Iskandar Shah
& seorang wanita menjadi embun
sirna ditelan mentari purba.

Tak tertanggung keaibanmu
diarak ke hujung pasar
dihina bagai perempuan murah
disula
kerana raja dimabuki buah fitnah.

Akankah terdengar kesengsaraanmu, Anum,
& pintu kota dibuka
kerana keadilan tidak pernah bertakhta
di hati raja?

Ditulis: 15 November 1987
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Gunung Ledang

Di pinggir kakimu
pernah Hang Tuah, Sang Setia, Tun Mamat, ke situ
membawa pinangan Sultan Mahmud
buat tuan puteri luarbiasa, jelita,
untuk dijadikan Raja Perempuan Melaka.

Tidak kulihat balai berbumbung rambut,
bertiang tulang, pelbagai burung bersiul
atau bunga-bunga berpuisi silam
tiada juga Dang Raya Rani,
dayang-dayang, perempuan bongkok tiga
walau puncakmu masih bertaman
mungkin dilihat Tun Mamat
& tidak pula kudengar
tuan puteri menerima pinangan bersyarat.

Tiada kulihat hati nyamuk, kuman, air mata,
air pinang, darah, jambatan emas, perak,
atau menjejaki langkah purba itu
setelah serba terasing
di kaki gunungmu
& di tingkat-tingkat air terjun
keindahan silammu semakin tercemar
dengan kebisingan pesta
dengan pedagang murah
& di peta Sejarah Melayu
kau diarah Ali Baba
& mudah terjual
bagai saham termurah.

Tuan Puteri Gunung Ledang
betapa bijaksana kau meningkah Sultan
betapa pintar kau memberi tamsilan
makna maruah & jati diri
ketika ia terlalu murah
di dunia dagang kini.

Ditulis: 20 Mei 1999
Gunung Ledang, Johor, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Cakerawala & Kita

Cakerawala seluas ini
gugusan galaksi, planet, asteroid,
meteorit, komet melintasi
Lubang-lubang Gelap, Bima Sakti
sistem matahari, berbilang bulan
bintang-bintang bagaikan kunang-kunang
namun hanya Bumi, daratan secarik
kebanggaan kita berpaksi.

Benarkah teori Letupan Besar
atau sekadar ‘Jadi, maka jadilah’
di manakah Arasy, Kursi Allah
sebutir zarah kita berlagak
seseni debu kita bercongkak
akulah,akulah,
terulung di mayapada
sedang pohon sejarah
daun-daunnya gugur
tertulis di Lohmahfuz
tanpa kemegahan ini dapat dibawa
menghuni alam-alam yang nyata segala.

Ditulis: 19 November 2005
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

*Lubang Gelap – Black Hole; Bima Sakti – Milky Way; Teori Letupan Besar – Big Bang Theory.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s