Catatan 5 – April 2015

Naim  1 1987 RH PhotoNaim 2

Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi: 27 Jun 1950 – 13 April 2015

Prolog

Pagi semalam (13 April 2015) ketika subuh, saya terkenangkan Pak Ghani Hamid kerana genap setahun beliau berpulang ke rahmatullah. Dan 13 April juga merupakan hari lahir Allahyarham Pak Ghani.

Saya baru selesai solat subuh dan masih berada di tikar sembahyang apabila saya menerima pesanan whatsapp yang menyatakan pemergian seorang lagi yang saya kenal, Cikgu Mohamed Naim Daipi. Beberapa hari sebelum ini ada berita di akhbar menyatakan beliau dimasukkan ke hospital di Brunei semasa menghadiri seminar bahasa di sana sebagai wakil Majlis Bahasa Melayu Singapura. Namun menerima pesanan whatsapp itu tetap mengejutkan saya. Setelah memastikan berita itu sahih, saya mengunjurkan berita yang saya terima kepada beberapa orang yang mengenali Allahyarham.

Zaman Muda Dahulu

Cikgu Naim saya kenali sejak tahun-tahun 70-an dahulu. Beliau, bersama Mohamed Latiff Mohamed, Suraidi Sipan, Mohamad Gani Ahmad, Noor Hidayat dan beberapa orang lagi aktif dalam bidang sastera pada tahun-tahun tersebut. Saya masih di bangku sekolah dan karya-karya saya baru diterbitkan bermula 1972. Saya tidak terlibat dalam mana-mana persatuan sastera walaupun pernah diundang untuk menghadiri perbincangan sastera semasa usia remaja itu. Allahyarham Naim dan kawan-kawannya ketika itu sudah pun bekerja, hampir semuanya guru dan banyak melahirkan karya-karya mereka di akhbar. Mereka juga aktif berpersatuan, terutama dalam Asas ’50. Walaupun saya bukan anggota Asas ‘50, saya sesekali turut serta acara sastera anjuran Asas ‘ 50 dan pernah juga bersembang dengan Allahyarham dan kawan-kawan seangkatannya. Kerana saya masih muda dan jarang dapat bertemu rakan-rakan penulis serta tidak terlibat dalam mana-mana pertubuhan sastera ketika itu, pertemuan-pertemuan saya dengan Allahyarham dan kawan-kawannya jarang berlaku. Dan saya juga sedikit berat mulut ketika itu. Hanya semakin dewasa lebih mudah saya bercakap dengan Allahyarham dan kawan-kawan seangkatannya. Mereka rata-ratanya menganggap saya sebagai rakan muda atau adik dan di kalangan tiga orang sahabat karib ini – Allahyarham, Suraidi Sipan dan Mohamed Latiff Mohamed, keakraban mereka terserlah bagaikan abang-abang kepada saya yang masih menuntut ketika itu.

Saya hanya menjadi anggota Asas ’50 selama setahun, pada 1977, kalau tidak silap saya dan saya tidak memegang apa-apa jawatan tetapi kemudian tidak lagi menjadi anggota Asas ’50, walaupun ada juga membantu Asas ’50 misalnya dalam seminar yang mereka anjurkan. Saya sibuk belajar, berpersatuan dan aktif dalam pelbagai kegiatan di kampus Universiti Singapura, di Bukit Timah, mulai 1976 dan sebenarnya tidak banyak masa yang dapat diluangkan di luar kampus. Perkembangan sastera begitu mercup pada tahun-tahun tersebut dan Allahyarham serta rakan-rakannya aktif menggiatkan sastera Melayu ketika itu.

Bantuan Allahyarham Untuk Jurnal Jejak Kembara Universiti Singapura

Pada 1978, bersama beberapa orang rakan, kami mengusahakan sebuah jurnal sastera bernama Jejak Kembara. Idea ini timbul ketika saya di tahun pertama di Universiti Singapura pada 1976. Tetapi idea ini terpaksa saya tangguhkan kerana tiada sesiapa yang benar-benar komited untuk menjayakannya. Malah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura pun tercungap-cungap dan hampir dibubarkan ketika saya menjejakkan kaki ke Universiti Singapura pada Jun/Julai 1976. Setelah melakarkan apa yang kami ingini bagi jurnal ini dan mendapatkan bahan untuk mengisinya serta kata-kata aluan daripada Prof. Syed Hussein Alatas, Ketua Pengajian Melayu, Universiti Singapura pada 2 Disember, 1978, barulah kami mencetak, ketika itu dengan menggunakan mesin saiklostail. Orang yang paling banyak membantu kami adalah Allahyarham dan Rauzani Ahmad serta Suraidi Sipan yang melampirkan lukisannya untuk beberapa karya mahasiswa dan kajian yang kami buat.

Allahyarham Naim begitu gembira dan terbuka untuk membantu kami. Kami terkial-kial mencari dana, konsep jurnal, bahan, malah cara menyiapkan dan mengedarkan jurnal kami. Dan yang paling mendesak, mesin saiklostail di kampus boleh digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Kami membuat saiklostail di kampus tapi tidak semua dapat disiapkan. Pada 31 Disember 1978, saya dan seorang ahli jawatankuasa penerbitan Jejak Kembara pergi ke rumah Allahyarham di Marine Parade dan mencetak jurnal kami dibantu oleh Allahyarham dan Rauzani Ahmad. Mesin pencetak/saiklostail Asas ’50 terletak di rumah Allahyarham Naim. Kami menyambut tahun baharu 1979 di rumah Allahyarham Naim dengan menyelesaikan semua cetakan pada dinihari itu. Bantuan dan sokongan Allahyarham, Suraidi Sipan dan Rauzani Ahmad kepada idea menerbitkan jurnal sastera Melayu pertama di kampus Universiti Singapura itu sukar saya lupakan sehingga kini.

Usaha Penerbitan Dan Membantu Ruangan Sastera Berita Minggu

Pada tahun-tahun 1979 dan 1980, ketika Allahyarham mengendalikan Majalah Sasterawan Asas ’50, saya diminta menyumbang karya dan terjemahan, walaupun saya bukan anggota Asas ’50. Saya dan seorang rakan menterjemahkan cerpen Allahyarham ke bahasa Inggeris, selain saya menulis esei sastera dan menterjemahkan puisi-puisi berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu dalam Majalah Sasterawan. Ketika itu saya menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, yang tidak jauh dari Marine Parade, tempat Allahyarham menginap, jadi mudahlah saya menghantar karya-karya saya dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal ke rumahnya.

Satu perkara yang saya rasa besar sumbangan Allahyarham ialah ketika beliau membantu Encik Yatiman Yusof, ketika itu editor Berita Harian/Berita Minggu dan beberapa orang yang mengetuai Berita Harian/Berita Minggu atau bahagian sasteranya. Allahyarham ternyata lebih adil dan memberi peluang ramai menulis mendapat tempat di dada akhbar dengan saringan yang agak baik. Allahyarham Naim sepanjang bantuannya untuk ruangan sastera Berita Minggu, bukan hanya lebih terbuka dan baik saringan karya-karya yang disiarkan, bahkan beliau tidak menonjol-nonjolkan dirinya. Allahyarham mencintai bahasa dan sastera Melayu dan kerana itu menghidupkan kedua-duanya sebaik yang boleh, menjadi tumpuannya. Soal menggilap ego tidak timbul dalam usahanya menghidupkan sastera Melayu dalam akhbar Berita Minggu ketika itu.

Dan satu perkara lagi yang saya tabik kepada Allahyarham Naim dan kawan-kawannya seperti Suraidi Sipan, Mohd Gani Ahmad, Mohd Latiff Mohd dan seorang dua kawannya yang lain, apabila mereka mengusahakan sesuatu untuk Asas ’50, misalnya menerbitkan buku, menganjurkan acara sastera dan sebagainya, mereka tidak menonjol-nonjolkan nama mereka sebagai orang yang mengusahakannya tetapi meletakkan nama Asas ’50 sahaja. Mereka lebih mementingkan produk yang dihasilkan dan tidak menjadikan persatuan sebagai batu loncatan untuk menjulang nama mereka sebagai individu.

Hadiah Sastera Dan Kegembiraan Allahyarham

Pada 1983, majlis Hadiah Sastera diadakan di Perpustakaan Marine Parade bagi penilaian karya-karya tahun 1981/1982. Saya membawa beberapa ahli jawatankuasa Jejak Kembara pusingan kedua, ke rumah Allahyarham di Marine Parade. Kami tumpang bersolat di sana dan kemudian bersama-sama beredar ke Perpustakaan Marine Parade. Masa itu calon pemenang tidak diuar-uarkan terlebih dahulu dan jumlah hadiah (wang) juga tidak sebanyaknya. M. Nasir diundang untuk menghiburkan khalayak dan tetamu terhormat majlis tersebut ialah Prof. Syed Hussein Alatas. Saya terkejut diberi hadiah penghargaan bagi puisi saya, ‘Pengertian’ (tahun itu tiada hadiah sastera bahagian puisi) dan Allahyarham menerima hadiah sastera bagi esei sasteranya. Allahyarham, selain Prof. Alatas dan beberapa orang rakan benar-benar gembira saya menerima hadiah tersebut setelah terlibat dalam bidang penulisan sejak 1972.

Pada 1983 juga saya mewawancara Allahyarham Naim (dan juga beberapa orang penggiat sastera Singapura dan Malaysia) untuk tesis sarjana saya mengenai novelis-novelis Melayu Singapura dan Malaysia, selepas Perang Dunia Kedua. Pada 1985, Allahyarham mengusahakan antologi cerpen, Kehilangan, yang turut memuatkan cerpen saya. Pada Febrari 1987, Allahyarham tumpang gembira saya dapat mengajar di Universiti Brunei dan saya sekali lagi saya mewawancara Allahyarham (dan beberapa penggiat sastera Singapura) pada Ogos 1987 kerana saya memulakan kursus baharu mengenai kesusasteraan Singapura di universiti tersebut.

Pada tahun-tahun 80-an itu Allahyarham ada meminta pandangan saya mengenai cara-cara merancakkan sastera Melayu dan saya menulis secara ringkas dan memberinya kepada Allahyarham. Tujuannya ingin memulakan beberapa acara agar sastera Melayu Singapura semakin rancak tetapi niat baik ini tidak dapat lepas landas (take off) kerana beberapa hambatan. Dan mungkin kerana beberapa kendala, Allahyarham kemudian tidak lagi bergiat dalam Asas ’50 dan lebih menumpukan perhatian kepada kegiatan-kegiatan di balai rakyat, Majlis Bahasa Melayu Singapura dan sebagainya.

Tahun-Tahun 1990-an Dan Seterusnya

Mulai 1991, saya mengajar secara sambilan di Institut Pendidikan Nasional/NIE yang terletak di kampus Universiti Singapura dahulu. Allahyarham serta beberapa kawan saya, termasuk Suraidi Sipan dan Mohd Latiff Mohd, bertugas sebagai penulis pakar di Institut Pengembangan Kurikulum Singapura, yang juga terletak di perkarangan kampus Universiti Singapura dahulu. Justeru ada lebih banyak masa untuk sesekali bertemu rakan-rakan penulis dan Allahyarham juga ada mengajar secara sambilan di Institut Pendidikan Nasional/NIE.

Dari tahun 1987 sehingga 1990, tiada sebarang penilaian sastera dibuat bagi karya-karya sastera Singapura kerana Jawatankuasa Hadiah Sastera dibubarkan. Pada 1993, satu jawatankuasa penilaian baharu ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Anugerah Persuratan dengan adanya beberapa kategori baharu bagi penilaian karya sastera. Jawatankuasa Hadiah Sastera yang mula menilai karya 1974 pada tahun 1975 dan diteruskan setiap 2 tahun sekali sehingga 1986, disokong oleh sejumlah pertubuhan Melayu-Islam di Singapura tetapi Jawatankuasa Anugerah Persuratan pula ditaja oleh pemerintah Singapura.

Pada 1993, Allahyarham bersembang dengan saya dan mengajak saya terlibat dalam penilaian sastera dalam Jawatankuasa Anugerah Persuratan. Satu kategori baharu (yang kemudian ditiadakan selepas tahun 1993) diadakan iaitu kategori ‘Peraduan Menulis Sajak’ untuk golongan remaja dan dewasa dan Allahyarham meminta saya mengendalikannya. Saya sedia menerimanya. Allahyarham juga ingin saya terlibat dalam beberapa jawatankuasa kecil bagi penilaian karya sastera bagi tahun 1991/1992 itu. Saya menolaknya kerana saya masih menulis sajak, cerpen, esei sastera dan juga menerbitkan buku – tidak adil jika saya menjadi anggota jawatankuasa satu-satu genre sastera sedangkan saya juga menulis dalam genre tersebut kerana ini akan menimbulkan ‘conflict of interest’. Allahyarham bersetuju tetapi mahu saya terlibat dalam penilaian kategori ‘Tun Seri Lanang’ dan saya bersetuju. Namun, setelah melihat perisian dan cara bekerja jawatankuasa kategori Anugerah Tun Seri Lanang serta beberapa kategori lain untuk dua tahun Anugerah Persuratan iaitu 1993 dan 1995, saya akhirnya menarik diri dan tidak lagi terlibat dalam mana-mana jawatankuasa penilaian Anugerah Persuratan/Anugerah Tun Seri Lanang selepas 1995 dan saya memberitahu Allahyarham mengenai hal itu. Mungkin Allahyarham Naim sedikit kecewa dengan keputusan saya tetapi Allahyarham tetap bersikap seperti biasa terhadap saya. Bagi saya Allahyarham seorang yang bekerja bersungguh-sungguh dalam Jawatankuasa Anugerah Persuratan tetapi tidak semua orang bekerja seperti Allahyarham atau saksama dalam penilaian mereka.

Pada akhir Ogos 1995, saya berlepas ke Iowa untuk mengikuti Kursus Penulisan Antarabangsa/International Writing Programme di Universiti Iowa, Iowa, Amerika Syarikat. Berita mengenai pemergian saya ke sana tersiar di Berita Harian Singapura. Saya pulang pada bulan Disember 1995. Pada akhir Disember 1995, saya bersama keluarga seorang saudara saya menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka di sebuah restoran. Allahyarham juga hadir di restoran itu bersama rakan-rakan bukan Melayunya yang mungkin ahli jawatankuasa balai rakyat Tampines. Dengan spontan Allahyarham menyapa saya dan mengucapkan tahniah kerana saya dapat ke Iowa. Allahyarham juga memberitahu rakan-rakannya mengenai saya. Rasa gembira dan bangganya jelas kelihatan dan saya terharu. Saya menutup rasa terharu saya dengan mengusik Allahyarham: “Naim, buncitnya,” dan saya ‘mencucuk’ perutnya serta ketawa. Allahyarham dan kawan-kawannya turut ketawa. Allahyarham Naimlah satu-satu rakan seni yang saya boleh lakukan ini – ‘mencucuk’ perutnya dengan jari telunjuk saya sebab saya yakin seratus peratus tiada perasaan apa-apa di antara kita, kecuali sebagai rakan penulis dan sikap keabang-abangannya.

Setelah 1995 itu saya jarang bertemu Allahyarham kecuali dalam beberapa majlis kesenian/sastera sahaja kerana penglibatan seni Allahyarham dan rakan-rakan karibnya serta penglibatan saya sendiri menuju hala tuju masing-masing. Namun saya tetap mengikuti penglibatan sastera Allahyarham serta perkembangan sastera Singapura. Sesekali bila bertemu kawan yang mengenalinya, saya berkirim salam. Bila terdengar berita Allahyarham ada masalah jantung, saya, seperti kawan-kawan seangkatannya dan mereka yang mengenali turut bersedih dan mendoakan yang terbaik buatnya.

Kali Terakhir Bertemu Allahyarham

Kali terakhir saya bertemu Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi ialah pada hari Khamis, 5 Februari 2015. Saya baru mengendalikan kursus kreatif di Tanjong Katong Secondary School. Saya kemudian ke Geylang Serai untuk bertemu seorang rakan sekampus yang sedang bercuti di Singapura. Ini sekitar jam 4 lebih petang. Kami beredar ke Restoran Hajah Maimunah untuk makan petang dan duduk di bahagian dalam restoran tersebut. Sejurus kemudian, saya terlihat Allahyarham Naim, Nadiputra, Mohammad Ashik dan Yusof Ahmad masuk ke restoran dan duduk di bahagian depan restoran. Pada mulanya mereka tidak melihat saya dan bila terlihat, kami melambai. Kemudian mereka datang ke meja saya untuk bertegur sapa. Allahyarham memberitahu saya beliau mengalami masalah jantung sekali lagi pada tahun lepas dan bertanyakan hal kesihatan saya. Dalam ingat-mengingatkan hal kesihatan ini, saya bertanya Allahyarham mengenai tulisan-tulisannya – sudahkah dikumpulkan untuk diterbitkan? Allahyarham menjawab beliau telah menghantarnya ke pihak penerbitan. Saya gembira mendengarnya.

Setelah selesai makan, saya dan kawan saya pergi ke meja Allahyarham. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dan saya berdiri di sebelah Allahyarham. Kerana saya menganggapnya bagaikan saudara tua, saya tersenyum dan menepuk bahunya dan berkata: “Naim, kumpulkan karya-karya you dan take care, ya?” Itulah kali terakhir saya bertemu Allahyarham.

Pada 13 April 2015, saya menonton rancangan ‘Berita’ di Mediacorp untuk mengikuti berita terkini mengenai Allahyarham selain mendapat pesanan whatsapp daripada beberapa orang. Saya pergi melawat pada 14 April, selepas jam 10 pagi, terlambat sedikit dan jenazah Allahyarham baru berlepas ke Masjid Ba alawi untuk solat jenazah dan kemudian ke Pusara Abadi, di Choa Chu Kang. Saya berada selama lebih satu jam di rumah Allahyarham di Tampines, berbual dengan balu, keluarga dan sahabatnya. Saya sempat juga melihat beberapa gambar Allahyarham bersama keluarga dan orang-orang tertentu dalam ruang tamu rumahnya. Melihat gambar-gambar yang menunjukkan saat-saat istimewa bagi Allahyarham dan keluarganya, rasa hiba semakin menyelinap – berakhir sudah riwayat seorang rakan seni yang saya kenali.

Epilog

Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi seorang yang bersungguh-sungguh dalam beberapa bidang yang beliau ceburi. Cintanya kepada bahasa dan kesusasteraan Melayu bukan sesuatu yang tempelan atau untuk mengejar nama. Sejak novelet Tumpas sehingga pelbagai usahanya untuk mempertingkatkan penggunaan dan penghayatan bahasa Melayu baik di pentas majlis-majlis bahasa dan sastera ataupun di alam siber, walaupun kurang sihat, Allahyarham tidak pernah kendur semangat.

Dalam masa terdekat ini, tiga orang penulis pelapis telah meninggalkan kita iaitu Noor Hidayat, Iswardy, dan kini, Mohamed Naim Daipi. Setiap seorang daripada mereka memberi pelbagai daun dan bunga bagi merimbunkan pohon sastera kita. Dunia bahasa dan sastera kita beruntung kerana ketiga-tiganya bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam penglibatan seni mereka.

Sahabat-sahabat saya seperti Suraidi Sipan dan Mohamed Latiff Mohamed serta beberapa rakan seangkatan dan akrab dengan Allahyarham Mohd Naim, akan selalu terkenang masa-masa mereka, terutama masa-masa muda mereka bersama Allahyarham. Keluarga terdekat dan keluarga besar Allahyarham tentunya masih sedih dan dibuai pelbagai kenangan bersama Allahyarham untuk suatu jangka masa yang lama. Saya akan selalu terkenang seorang rakan seni berpangkat seperti saudara tua, yang walaupun pandangan kami boleh berbeza mengenai sesuatu hal, orangnya tetap sopan (decent) dan berlapang dada terhadap saya.

Semoga Allah memberi ketabahan dan ketenangan kepada keluarga, kerabat, handai dan taulan yang Allahyarham tinggalkan. Dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh sahabat saya, Allahyarham Mohamed Naim Bin Daipi, dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang solihin. Amin. Al-Fatihah.

Diulis: 13 – 15 April 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s