Hargai Hidup Yang Singkat Ini

album (1)album

Kita sering takut menerima panggilan telefon lewat tengah malam, kerana seringkali beritanya buruk. Dan kematian yang tiba-tiba menjenguk teman dan taulan selalu menimbulkan kegenjotan dalam kehidupan.

Belum pun setahun yang lalu, saya menerima berita kematian seorang kawan. Dan baru-baru ini seorang lagi kawan saya menemui ajalnya dalam sebuah kemalangan. Antara kedua berita kematian ini, terdengar kematian adik seorang sahabat dan kematian-kematian lainnya dan juga berita mengenai kawan dan saudara yang ditimpa panyakit barah serta ginjal. Kebanyakan mereka dalam linkungan umur 20-an dan 30-an tahun.

Bagi kawan saya yang pertama (Aishah Abdul Aziz) yang meninggal ketika menjalani pembedahan, berita kematiannya amat sukar dipercaya. Untuk beberapa waktu, saya terkenangkannya dan terkenangkan makna kematian bagi diri saya. Beliaulah sahabat saya yang pertama dari kampus Universiti Singapura yang meninggal dunia. Allahyarhamah tidaklah berpenyakit, sekadar menjalani pembedahan bagi membantunya hamil. Tetapi beberapa pembedahan terpaksa beliau jalani kerana telah berlaku kesilapan teknikal dan mungkin faktor ini juga menjadi penyebab kematiannya.

Saya terkenangkan masa-masa lalu ketika dia, saya dan dua orang sahabat yang lain menyewa sebuah bilik di Kheam Hock Road pada tahun akademik 1976-1977. Bagaimana pagi-pagi lagi kami berdedai ke kampus Bukit Timah dan pulang bersama-sama, lewat malam setelah perpustakaan ditutup. Dan sepanjang perjalanan pulang, kami dan beberapa kumpulan yang juga menyewa bilik kawasan lain di Kheam Hock Road, akan berbual, menyanyi, bergurau, terutama apabila melalui kawasan jirat Cina dan tempat-tempat lain yang sunyi. Dan ketika sampai sahaja di rumah mak cik tumpangan kami, kami sering makan bersama, mencuci baju atau tidur. Sering juga kami berborak sehingga ke larut malam.

Kawan saya tidak meneruskan pelajarannya setelah tahun pertama. Beliau kemudian berumah tangga dan menetap di Kuala Lumpur. Perhubungan kami semakin terputus walaupun sesekali saya terdengar juga berita mengenainya. Sayangnya, beritanya yang saya dengari ketika baru juga pulang dan bertugas di Singapura ialah mengenai kematiannya.

Kawan saya yang seorang lagi (Hadijah Ali) adalah seorang senior tahun ketiga ketika saya menjejakkan kaki di Universiti Singapura. Apa yang boleh saya ingat kini ialah ‘kekecohan’ dan kegemaran beliau berjenaka, terutama apabila kami bertemu di Masjid Kebun Bunga, terletak di belakang kampus, yang kini telah tiada. Dengan senda guraunya dan wajahnya yang sentiasa girang, siapakah yang akan menyangka maut akan mengakhiri segala-galanya?

Kematian sering membuat kita insaf, terutama apabila mereka yang meninggal adalah orang-orang yang masih muda dan pernah menjalani secebis daripada kehidupannya di hadapan atau bersama kita. Kita selalu menganggap kawan yang kita kenal atau sahabat yang kita sayang akan kita temui atau dengar beritanya dari masa ke semasa, sehingga ke usia tua. Tetapi itu hanyalah sangkaan kita. Seringkali setelah menerima berita buruk mengenai seorang sahabat atau saudara, kita menyesal. Menyesal kerana kita sering terlalu sibuk dan tidak meluangkan sedikit masa, untuk mengukuhkan lagi silaturrahim yang sedia ada.

Selain memperbanyakkan amalan dan berdoa, kematian mereka yang kita kenal seolah-olah mengingatkan: hargailah kehidupan yang singkat ini dan mereka yang kita kenal, terutama mereka yang kita anggap rapat dan sayang. Kerana kita tidak tahu bila telatah dan senda gurau sahabat atau saudara kita itu tidak akan lagi kita lihat dan dengar.

Ditulis : 2- 3 April 1991
Tersiar : Ruangan Pendapat, Berita Minggu, Singapura
Tajuk Asal: Erti Sebuah Kehilangan
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s